Apa yang anda fikirkan bila sebut nama tempat Genting Highland?
Bagi saya, nama tempat itu sinonim dengan Kasino. Pusat perjudian berlesen yang mendapat perkenan dari kerajaan Malaysia.
Biasanya ia disebut sebagai Pusat Peranginan.
Disebabkan itu saya keliru. Tersalah dalam membuat gambaran bahawa ia menyediakan tempat bersantai menikmati suasana keindahan alam sekitar semula jadi yang damai.
Rasanya, itu juga yang difikirkan oleh anak-anak. Sejak dulu mereka pujuk minta dibawakan ke sana. Saya tangguhkan sekian lama sehinggalah cuti Devali baru-baru ini.
Janda Baik sebelum Genting Highland
Kami sekeluarga bertolak dari rumah menuju ke Bentong pada hari Rabu pagi. Sehari sebelum itu saya hubungi pihak pengurusan atau lebih tepat, pemilik, Teratak Malaya. Sebuah resort dan training centre di Janda Baik.
Pemilik suruh pergi walk-in saja. Masih banyak kekosongan katanya. Penginapan untuk hari Rabu malam Khamis tak ada masalah. Orang belum keluar bercuti hari rabu. Jadi saya terus saja ke sana pagi rabu tu.
Untuk memudahkan urusan, masa tunggu anak-anak bersiap, saya pergi ke kedai mamak Syed Bistro untuk bungkus nasi kandar seorang satu. Amalan baru semenjak dunia dilanda covid-19.
Lebih baik beli bungkus dan makan sesama keluarga sahaja di rumah sendiri atau resort daripada makan di kedai. Itu yang saya buat setiap kali keluar berjalan. Makan di kedai dielakkan sebaik mungkin.
Sepanjang perjalanan dari Shah Alam ke Genting Sempah lancar. Tak ada banyak kenderaan. Masuk tol kat Gombak tu mudah sahaja. Lega bila dapat travel macam tu.
Dalam zohor, kami sampai ke Teratak Malaya.
Saya dah pernah masuk duduk di situ ketika awal resort itu di buka. Kayu dan bangunan masih ada bau papan dan cat. Chalet juga tak berapa banyak. Dewan ketika itu baru siap. Semua indah ketika itu.
Bila sampai kali ini semuanya dah berubah. Ada 3 ke 4 resort atau Home stay lain berjiranan dengan Teratak Malaya sekarang. Lebih baru dan lebih cantik.
Bangunan di Teratak Malaya dah banyak. Dewan dah berselerak sikit dan taman serta kolam sudah tidak seindah masa awal dulu. Boleh nampak tidak berapa terperinci dalam usaha selengaraan di kawasan resort tersebut.
Saya andaikan wabak covid-19 telah berikan kesan buruk kepada pemilik resort. Bisnes tak dapat jalan dalam tempoh lama. Jadi duit tak masuk dan kos selengaraan tak dapat disara dengan baik.
Untuk yang belum ke sana, sila ambil perhatian bahawa Teratak Malaya hanya sediakan perkara asas saja dalam setiap chalet yang anda duduk. Kipas dan TV serta Katil dan Tilam saja.
Tak ada pendingin hawa dan tak ada water heater.
Untuk anak-anak manja yang tak selesa dalam keadaan sebegitu, tentu akan ada banyak masalah.
Air sungai yang ada dalam resort itu pula terlalu cetek. Hanya sesuai untuk anak-anak bawa 5 tahun saja rasanya.
Apa yang saya buat sebaik saja sampai adalah buka bungkusan nasi kandar dan kami makan ramai-ramai satu keluarga dalam chalet yang ada balkoni depan sungai tu. Cantik pemandangan dan indah suasana.
Selesai makan, salin pakaian, kami pergi ke sungai dekat Masjid di depan sana. Ada tempat mandian sungai awam kat situ.
Bila sampai, saya tengok ada banyak notis ditampal pada wakaf sebelah sungai. Nak duduk dalam wakaf tu kena bayar RM50. Kalau hampar tikar dan duduk atas tanah berkelah kena bayar RM10.
Pendek kata semua pergerakan atas kawasan awam itu perlu dibayar!
Apa punya perangai gelojoh duit sudah merasuk manusia atas muka bimu sekarang ini. Semua tempat awam sesuka hati dikenakan bayaran. Ada resort yang saya lihat tampalkan poster bahawa sungai di depan resortnya, diluar pagar, hanya khas untuk penginap bilik resort saja.
Macam tupun ada!
Apa hak mereka untuk halang orang awam yang datang bawa keluarga nak mandi di situ?
Apakah semua itu sah dari segi undang-undang?
Nasib kami sekeluarga baik hari itu sebab tak ada sesiapa yang datang halang atau kutip duit. Memang tak ada orang hari rabu tu. Habis mandi kami balik ke chalet untuk solat magrib, bersiap dan keluar jalan-jalan cari makan.
Suasana malam di Janda Baik memang sangat baik. Bunyi unggas dan cengkerik sangat kuat. Dengan semua bunyi itu sahaja sudah cukup menyegarkan.
Banyak kedai tutup. Jadi kebanyakan kedai yang kami singgah orang ramai. Akhirnya jumpa satu kedai kampung yang tak berapa ramai orang duduk. Di situlah kami sekeluarga makan malam. Selesai!
Pergi naik Genting Highland
Pagi khamis tu, saya suruh anak-anak bersedia awal pagi. Kami bersiap, mandi air sejuk gedik dari paip dan keluar dari resort.
Orang ramai dah mula berpusu-pusu masuk ke Janda Baik. Resort juga dah mula masuk ramai penyewa. Nampak pemilik senyum gembira.
Paling gembira ialah anak-anak. Mereka teruja bila saya kata nak pergi naik Genting Highland. Dengan kenderaan Hilux yang kami naik kali ini, saya sikitpun tak risau dengan keadaan jalan curam menuju ke tempat tinggi itu.
Maka bermulalah perjalanan naik ke atas dan ke atas.
Cuaca makin ama makin sejuk. Pendingin hawa dalam kenderaan tak perlu buka lagi. Turunkan saja cermin tingkap, jauh lebih sejuk hawanya.
Kami naik sampai atas dan berahir dengan tunjuk arah ke hotel dan hotel sahaja. Kesemuanya hotel. Tak ada taman tak ada tempat singgahan. Jauh tersasar berbeza dari apa yang saya bayangkan selama ini.
Baru faham bahawa konsep peranginan Genting Highland adalah konsep In-Door sahaja. Semua aktiviti yang ditawarkan adalah ke arah in-door. Bukan taman, bukan tempat terbuka.
Sebab itu ia dipenuhi dengan bangunan demi bangunan.
Pusing dan pusing kat atas tu tak tau nak singgah kat mana. Akhirnya saya turun semula untuk pergi naik cable car.
Di stesen cable car itu dah mula didatangi orang ramai berpusu-pusu. Ramai yang serang pusat membeli barangan berjenama kat situ. Ada promosi melebihi 70% potongan harga !
Ramai yang sanggup berbaris untuk tunggu giliran beli barang branded.
Saya terus saja ke kaunter tiket cable car. Ramai yang sedang berbaris beli tiket. Panjang barisannya tapi sangat terjaga dan terkawal. Proses sangat lancar dan pantas. Satu tiket harganya RM18, tambang pergi dan balik.
Harga yang jauh lebih murah dari cable car di Langkawi.
Itu saja yang rasanya agak berbaloi sepanjang pengalaman berkunjung ke Genting Highland. Yang lain tak ada apa-apa sangat istimewanya.
Paling penting, saya dah penuhi hasrat anak-anak dan ibu mereka. Asyik berwirid nak ke saja sejak lama dahulu. Akhirnya tercapai impian dan mereka sendiri akui tak ada apa yang menarik pun. Jauh lebih best ke Fraser Hill berbanding ke Genting Highland.
Selesai naik cable car, kami turun ronda ke pusat barangan jenama. Pusing sikit dan akhirnya pergi semula ke kenderaan dan bertolak balik.
Singgah sebentar ke rumah dan keluar pulak untuk pergi bermalam di Bagan Lalang sehingga hari sabtu .. selesai cuti deepavali! dan habis lebih dari seribu ringgit. Itu lah kos untuk sebuah pengalaman bersama keluarga.
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !