Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

10 December 2021

Darah dan apa yang anda boleh belajar darinya - Penulis Jemputan Azad Jasmi

  Ano Nyme       10 December 2021


1. Sentiasa merendah diri dan buangkan sikap ego. Pangkat, harta, nama, panggilan, keturunan itu tidak membezakan kita.

2. Bila perlukan darah, kita tidak memilih ikut pangkat. P.Ramlee ada ceritakan dalam babak filem Antara Dua Darjat.

“Kamu selalu mementingkan darjat, mementingkan darah. Apakah keistimewaannya yang berada dalam darah kita Tengku Mukri? Tengku! Tengku hanya panggilan, gelaran, nama. Tidak ada kena-mengena dengan darah kita Tengku Mukri.”


3. Babak akhir filem ini juga melihatkan P. Ramlee ‘melepaskan geram’ terhadap golongan feudal dengan menjerit kepada Tengku Mukri yang sedang berdarah di kepala.

“Kamu selalu berbangga dengan darah keturunan mu! Kamu selalu berbangga dengan darah keturunan mu! Sekarang cubalah kamu bandingkan darah mu dengan darah ku! Bandingkanlah darah mu dengan darah ku!”


4. Menurut Imam al-Ghazali, sifat yang tercela ada banyak bilangannya dan untuk membersihkannya, ia memerlukan usaha yang berterusan. 

5. Di dalam kitab Bidayah al-Hidayah, Imam al-Ghazali memberitahu kaedah untuk membersihkannya dengan cara memfokuskan kepada tiga sifat tercela yang utama.

Tiga sifat tersebut ialah hasad, riyak dan ujub. Tiga sifat ini juga sering menjadi masalah bagi golongan yang alim kerana mereka juga tewas berhadapan dengan ujian itu.

6 Dalam Islam, tiada ruang sedikit pun untuk kita merendah-rendahkan apatah lagi menghina manusia lain. Sama ada dalam hati, secara lisan atau perbuatan, tindakan menghina orang lain ditentang Islam.

7. Perlu dipasak dalam minda ketika bermuamalat bahawa pangkat, darjat, kemasyhuran, kekayaan dan pengaruh tidak membuatkan seseorang itu lebih mulia berbanding yang lain.

Pernah berlaku ketika Nabi Muhammad SAW duduk bersama sahabat, melintas seorang lelaki di hadapan mereka.

Maka Baginda bertanya sahabat pendapatnya mengenai lelaki tadi, "Apa pandangan kamu tentang lelaki ini?". Maka sahabat itu menjawab: "Lelaki ini daripada golongan mulia (terpandang/bangsawan). Demi Allah, apabila dia meminang, pasti akan dinikahkan dan apabila dia meminta bantuan pasti akan dibantu!". Nabi terdiam.

8. Kemudian melintas pula seorang lelaki yang lain di hadapan mereka. Nabi SAW bertanya kepada sahabat, apa pula pandangan mereka terhadap lelaki kedua yang baru berlalu sebentar tadi. 

Maka sahabat itu berkata: "Wahai Rasulullah, pemuda ini adalah orang miskin daripada kalangan Muslimin, apabila ia meminang sudah pasti pinangannya ditolak, dan jika meminta pertolongan dia tidak akan ditolong, dan apabila berkata, katanya tidak akan didengari!"

Nabi SAW lantas bersabda, "Orang ini (lelaki kedua), lebih baik daripada seluruh isi bumi termasuk orang tadi (lelaki pertama)" (HR al-Bukhari).

9. Zahirnya, kita di dunia suka berdamping dengan orang yang terkenal, popular, berada dan berpengaruh kerana mengharapkan tempias kebaikan, motivasi serta kemasyhuran, bahkan mungkin kekayaan mereka.

10. Perlu diingat, doa golongan yang dilihat miskin, tidak dipandang manusia, tidak dikenali dan tidak dirasakan penting ini diberi kelebihan yang cukup besar di sisi Allah SWT.

Dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Adakalanya orang yang rambutnya kusut masai, diusir ketika mengetuk pintu-pintu rumah orang, namun apabila dia berdoa/bersumpah atas nama Allah, pasti Allah akan perkenankannya." (HR Muslim).

11. Hadis ini memberi gambaran dan pengajaran yang sangat berguna. Imam Nawawi meletakkan hadis ini dalam kitabnya Riyadh al-Solihin pada bab 'Mengutamakan orang Islam dari kalangan orang lemah, miskin dan tidak dikenali'.

12. Dalam hadis lain, Nabi SAW pernah menceritakan keutamaan golongan ini terhadap kita semua. Baginda bersabda, "Sesungguhnya Allah akan menolong umat ini dengan sebab orang-orang yang lemah daripada mereka, iaitu dengan doa, solat dan keikhlasan mereka." (HR al-Nasai)

Ibnu Hajar al-Asqalani ketika mesyarahkan hadis ini, menukilkan penjelasan daripada Ibnu Batthal yang menyatakan:

“Tafsir hadis ini bahawa orang-orang lemah lebih ikhlas dalam berdoa dan lebih khusyuk dalam ibadah kerana hati mereka sangat sedikit bergantung dengan kesibukan urusan dunia. Kerana itu nabi SAW berwasiat dalam banyak hadis supaya berkasih sayang kepada orang yang miskin dan lemah"

13. Allah SWT berfirman maksudnya, "Dan terhadap orang yang meminta-minta, maka janganlah kamu mengherdiknya." (Al-Dhuha, ayat 10)

Berdasarkan ayat ini, bukan sekadar memaki-hamun, mengherdik (mengeraskan suara) kepada golongan ini pun dilarang Allah SWT (berbeza jika nasihat atau menyiasat dengan cara baik, ia dibolehkan bahkan dalam sesetengah keadaan, ini lebih utama)

14. Boleh jadi, kita dimurahkan rezeki selama ini atau akan datang, asbab doa mereka. Mudah-mudahan Allah tunjukkan kita jalan yang benar.

15. Semoga perkongsian ini dapat berikan manfaat buat semua. InsyAllah. Yang baik dari Allah dan buruk pasti dari saya. Mohon ampun dan maaf serta sila berikan teguran anda ada kesalahan. Terima kasih.

Artikel di atas merupakan sumbangan dari penulis jemputan, Azad Jasmi, pada 10 Dis 2021 di bawah tajuk: Belajar Sifat Darah

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Darah dan apa yang anda boleh belajar darinya - Penulis Jemputan Azad Jasmi

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !