Ini merupakan artikel sumbangan saudara Azad Jasmi yang bertarikh 9 Jan 2022.
———————————
Di satu sudut sunyi pada waktu awal pagi ketika ramai sedang menjamah mimpi indah saya terpanggil untuk menelusuri iklim kehidupan kita yang telah, sedang atau akan berubah dengan agenda Covid yang telah mendewasakan ramai manusia dengan cara ia membaham kesihatan manusia.
Ada yang melihat Covid sebagai satu sakit yang melanda dunia dan sebagai salah satu sakit biasa yang bakal ada ubatnya.
Ada juga yang melihat Covid sebagai satu tanda dan peringatan Tuhan melalui reaksi alam kepada manusia tentang perubahan pemikiran dan kehidupan yang perlu dijelaskan dalam satu pembentukan kerohanian kepada Tuhan dan makhluknya.
Saya lebih berpendirian untuk mengambil agihan pandangan yang kedua. “School of thought” saya ini menjuruskan pemikiran untuk bukan sahaja melihat Covid sebagai satu “sakit” tetapi juga sebagai satu terapi peringatan yang boleh mendokong saya untuk berubah.
Covid ini bagi saya ialah satu peringatan alam buat manusia yang masih kelam dalam mencari arah perjalanan ke alam kemudian.
Benar, insan yang lemah seperti saya dan sesetengah manusia perlu ada satu guru yang gagah untuk menerjah otak tengah agar berubah menjadi lebih gagah untuk berhujah dengan tekanan rasa dalam mencari makna hidup sebelum badan dikandung tanah.
Covid ini saya anggap sebagai guruh yang ingin sedarkan bahawa satu benda yang tak nampak mampu buat dunia berantak. Belum lagi datang halilintar, ribut taufan, air laut bergelombang dan Dajjal pulang datang menghasut manusia ke jalan jalang. Belum lagi masa itu mendatang.
Covid ini satu benda tak nampak dipandang namun mampu beri impak sekalian alam dan kematian teman-teman. Ubat juga belum ditemu oleh para pakar masih dalam kajian. Ambil ikhtibar dari tusukan penyakit ini yang tanpa kawalan datang tak pasti merebak waktu siang atau malam. Yang pasti, jika kena teruk jadi amat malang.
Penulisan saya kali ini, agak kurang santai bahasa tetapi lebih ikuti aliran minda yang melihat keadaan sekeliling dengan iklim diri yang perlu kepada satu terjahan minda yang lebih memberikan makna dan maksud dalam konteks yang lebih lembut dalam membaca alunan gerak hati mencari diri dalam dunia fana.
Maka sebagai insan saya sedar, ketika kita berusaha, kita sebenarnya menunaikan perintah Allah dan merupakan amal ibadah buatnya di akhirat kelak. Jika kita gagal, bukan bererti Allah menzaliminya tetapi kita adalah makhluk yang terpaksa tunduk kepada perjalanan alam yang Allah ciptakannya.
Kekerdilan kita insan dunia tidak mungkin membolehkan kita atasi segala cabaran alam dengan sekadar usaha semata, maka di situ dia disuruh bertawakkal dan berdoa. Kita perlu tahu sifat lemah kita yang perlukan Penciptannya.
Sambil mengikut alunan fikir dan menulis, suara gesekan violin André Léon Marie Nicolas Rieu yang sayu mendendangkan irama tema Godfather takkala waktu sunyi ini. Lagu dalam filem kegemaran dengan aktor Pacino aka Carleone yang menggesa, mengarah dan mendidik anak buah. Carleone jerkah dan marah untuk anak buah berubah dalam filem yang Cappola arah.
Saya lihat dengan usia manusia yang dewasa ini, tiada isu rotan dan marah untuk bimbing dan didik kita. Tidak seperti zaman sekolah di nama Emak dan Abah boleh rotan untuk berubah.
Namun Emak dan Abah kita tegur dan rotan untuk anak berubah. Namun bila dewasa memamah usia, siapa lagi akan tegur dan jerkah? Saya lihat Covid ini sebagai satu utusan untuk manusia berubah menuju kehidupan yang selama ini mungkin kurang arah untuk berubah menjadi manusia lebih terserlah di depan Allah.
Saya lihat Covid umpama “Godfather” yang ingin jerkah, marah dan asak untuk manusia berubah ke jalan Allah. Jerkah untuk kita sedar dosa yang tersasar dan pulang ke arah mencari pahala Allah. Jerkah dengan tunjuk bahawa kematian itu tak kenal usia; anak kecil syurga meninggalkan kita namun disambut malaikat rohnya menunggu ibu bapanya. Jerkah agar kita sedar neraka dan syurga. Jerkah agar kita lebih dekat kepadaNya.
Ambillah ikhtibar dari firman Allah:
Setiap kepayahan pasti diiringkan dengan kemudahan seperti yang dinyatakan dalam Surah Al-Insyirah, ayat 5-6 yang bermaksud: “Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.”
Allah mengajarkan hamba-Nya tatacara menangani musibah seperti mana dinyatakan dalam al-Quran bermaksud: “(Iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa sesuatu kesusahan (musibah), berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” (Surah al-Baqarah: ayat 156)
Dalam ayat al-Quran itu, Allah SWT menggunakan perkataan ‘musibah’ bagi menggambarkan ia boleh jadi ditimpakan kepada orang beriman, namun perkara yang lebih penting ialah untuk mereka kembali mengingati Allah.
Ummu Salamah berkata, beliau pernah mendengar Rasulullah bersabda yang menganjurkan doa bagi mereka yang ditimpa musibah.
Rasulullah menggunakan perkataan ‘musibah’ dalam doa itu yang mafhumnya: “Ya Allah, berilah ganjaran terhadap musibah yang menimpaku dan berilah ganti dengan yang lebih baik.” (Hadis Riwayat Muslim)
Tamat sudah alunan gesekan Rieu. Tamat juga tekanan jari pena maya saya.
Yang baik dari Allah dan buruk dari saya pastinya. Ampun maaf saya pinta.
Lokasi : Di satu sudut sunyi.
4.29am
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !