Selepas tunaikan solat zohor di rumah, saya keluar menuju ke pejabat. Sejak bermulanya wabak covid-19, keadaan bisnes makin mencabar.
Banyak perniagaan yang masih belum pulih. Cut cost adalah perkara biasa. Bagi yang kena buang kerja pulak, tak ada pilihan selain dari cuba berniaga. Dalam masa yang sama, boleh terjun sertai tawaran jana pendapatan yang ada dalam ekonomi GIG.
Sejak pagi tadi, sambil brisk walk kat taman, saya cuba cerahkan pemikiran. Fikir apa lagi yang boleh dibuat dengan aktiviti perniagaan syarikat saya untuk terus dapat bertahan dan membuat lonjakan jadi lebih bagus.
Syarikat berhadapan dengan masalah kewangan yang pulih-pulih sejak tahun lepas bermulanya covid-19. Pelaburan sebelum wabak nampaknya hangus macam tu saja.
Cubaan untuk pulih dan stabil dengan membuat susunan semula, macam tak menjadi.
Sering pertanyaan, ‘kenapa aku yang perlu cari jalan agar semua orang dapat teruskan hidup macam biasa. Kenapa aku yang perlu fikir nak cari duit kat mana?’.
Bisikan macam itu pantas saja cetuskan emosi negatif. Mula rasa diri jadi mangsa. Kalau tak sedar emosi sedang cuba kuasai diri, tentu akan dilayan perasaan itu jadi makin besar.
Lalu saya pujuk semula diri. Ini bukan bab menjadi mangsa tapi memang atas dasar sukarela mahu melihat keupayaan diri mengambil bebanan tanggung jawab. Untuk melihat sejauh mana keupayaan yang ada.
Bayangkan situasi paling teruk
Bila perasaan jadi mangsa itu dapat diatasi, barulah dapat berfikir secara rasional.
Langkah awal untuk melihat tahap kesukaran yang sedang dihadapi adalah dengan membayangkan kemungkinan keadaan paling buruk yang boleh melanda.
Paling teruk, semua duit yang dipinjamkan untuk syarikat bertahan tidak akan dapat diselamatkan. Syarikat masih tak mampu digerakkan ke aras yang mencukupi hingga ianya berbaloi diteruskan.
Dari situ, ekonomi saya sendiri runtuh. Terpaksa mulakan balik semua dari kosong. Itu kira kes paling teruk yang mungkin berlaku.
Otak mula ligat cuba bayangkan apa yang saya akan buat. Rasa menarik pula bila terpaksa bermula dari kosong. Banyaklah kerja nak kena buat balik untuk bina apa yang dah tak ada.
Jiwa rasa tenang semula. Insyaallah sanggup hadapi itu semua. Hanya perlu ikut saja rentak dan tengok apa yang akan berlaku.
Sambil jalan kaki, buka notes pada telefon pintar. Catitkan beberapa idea baru nak kena buat pada company nanti. Kalau dah tahu musuh memang nak bunuh kita, lebih baik melawan sampai mati dari merayu minta simpati. Lebih berbaloi mati begitu.
Singgah McD beli makanan
Dalam perjalanan nak ke pejabat, sampai di simpang stesen minyak Shell. Ada McD drive-thru kat situ. Saya belok untuk beli makanan buat bekal makan di pejabat nanti. Kereta nampaknya panjang beratur di situ, terus ubah fikiran.
Saya pusing. Teruskan perjalanan tak jadi nak drive thru. Masuk ke Giant pula untuk beli dari McD kat situ.
Selepas parkir, check in dengan MySejahtera, masuk ke dalam. Check in sekali lagi untuk masuk ke McD.
Kena tunggu kat luar ikut giliran sebab pekerja McD tak bagi masuk selagi ada pelanggan sedang order kat skrin auto mereka.
Saya akur dan tunggu. Jarak dari saya ke mesin agak jauh lebih 3 meter. Lama juga tunggu. Lembabnya makcik tu order, bisik hati saya.
Perasaan tak sabar mula berputik. Sebaik saja makcik tu selesai, tiba-tiba meluru masuk kak cik, terus ke mesin itu. Dia selamba tak ikut peraturan tunggu kat luar. Kebetulan bila dia lalu makcik tadi selesai, tentu peluang baik baginya, dia rasa.
Saya termanggu-manggu terkebil melihat selambanya kak cik tu.
Putik bunga tak sabar yang muncul tadi nampaknya dah berkembang jadi bunga yang lebih besar. Masih sempat berfikir, saya salahkan pekerja McD. Mereka tulis arahan tapi tidak kuat kuasakan.
Sebaik saja pekerjanya lalu saya mengadu kenapa saya setia ikut arahan sedangkan kak cik tu selamba terus masuk potong giliran?
Nasib baik kakak pekerja McD tu berikan respon. Dia dapatkan kak cik tadi dan tanya samada dia scan ke tak sebelum masuk tadi. Kak cik tu tersipu malu dan pusing balik ke luar untuk scan. Pekerja McD suruh saya segera ke mesin buat order.
Timbul pula rasa kesian kat Kak Cik tadi. Tapi tak apalah. Saya bukan salahkan dia. Tapi salahkan staff McD yang tak kuat kuasakan arahan mereka sendiri.
Selesai order, buat bayaran, saya ambil resit. Nombor giliran ambil order saya 191. Saya lihat skrin, order saya sedang diproses. Setia berdiri menunggu. Satu order demi satu order orang lain ambil. Saya punya masih tak siap.
Saya tengok kakcik yang kemudian dari saya pun dah pi ambil ordernya. Saya masih tak siap. Nombor 194 kemudian 195 juga dah siap, semua pergi ambil dan saya masih menunggu.
Bunga tak sabar, kembang lagi dah berputik jadi buah pula. Makin besar!.
Saya ke kaunter dan bertanya kenapa 191 tak siap-siap lagi. Mereka sedang bancuh Latte untuk saya masih tak siap. Buah tak sabar kembang besar bertukar jadi marah. Saya tahan diamkan diri dan berpatah belakang berdiri .. tunggu lagi.
Nombor 196 pula dah siap.
Bila sedar yang perasaan marah sedang cuba kuasai diri, akhirnya saya buat keputusan untuk matikan saja perasaan tersebut.
Saya rela tunggu lama. tak perlu nak kejar apa-apa. Biarlah semua order orang lain siap. Saya nak begitu, itulah niat hati saya.
Lalu saya keluar pergi window shopping sebentar kat kedai tak jauh dari situ. Kemudiannya saya nampak satu kerusi panjang kosong. Saya duduk dan buka e-book di telefon dan baca. Niat nak habiskan sikit lagi buku tu. Bila dah habis, baru saya nak bangun pergi ambil order tu. Sejam atau 2 jam, biarlah. Saya boleh habiskan buku tu dan buka buku lain pula nanti.
Tak lama kemudian, ketika sedang membaca, lalu staff McD yang jaga pintu masuk tadi. Dia nak ke tandas yang kebetulan perlu lalu depan saya yang sedang duduk kat situ. Saya biarkan saja dia selesaikan hajatnya dulu.
Bila dia berpatah balik, saya tegur, “Kak!, kalau rajin, nanti tolong tengokkan order saya no 191 samada dah siap atau belum!”.
Dia angguk dan berlalu.
Tak lama kemudian, nampak dari jauh dia datang sambil tatang order saya di tangannya.
Baiknya kakak tu, bisik hati saya. Perasaan marah memang dah tak ada sebaik saja saya buat keputusan untuk relaks dan terima keadaan. Timbul rasa berterima kasih pula pada kakak tu.
Saya ambil sambil ucapkan terima kasih dan bangun keluar dari Giant menuju ke kenderaan.
Ketika hidupkan engin kereta, saya teringat satu buku yang saya baca berkenaan marah. Dia beritahu yang marah ini adalah dalam bentuk gelombang. Setiap kali timbul marah, akan naik satu gelombang. Kemudian, berlaku satu lagi kemarahan, akan terbentuk satu lagi gelombang. Dua gelombang itu akan bergabung jadi satu, yang lebih besar.
Begitulah seterusnya bila tercuit satu lagi kemarahan, bergabung lagi gelombang jadi 3, 4, 5 dan akhirnya akan jadi gelombang tsunami.
Tak ada cara lain untuk kawal keadaan itu selain dari mendatarkan semua gelombang itu supaya ianya mati terus.
Itulah yang saya buat bila dah berlaku gabungan satu demi satu gelombang marah tadi. Padamkannya terus dengan berikan tumpuan pada urusan lain yang lebih bermakna ketika itu.
Alhamdulillah, berjaya sekali lagi.
Itulah caranya yang anda juga boleh cuba amalkan. Jika selalu diamalkan, moga-moga apa saja perasaan yang negatif, tak akan mampu kuasai diri anda dan saya. Insyaallah!
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !