Tanda aras bahagia itu berbeza mengikut individu. Mencari kebahagian adalah perkara yang disarankan ajaran Islam.
Agenda ini dapat dilihat melalui ayat al-Quran surah al-Baqarah ayat 201 iaitu doa yang sering dibacakan setiap kali selepas solat bermaksud
“Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”
Al-Baqarah ayat 201
Menurut Tafsir Ibnu Kathir, kebaikan di dunia yang dimaksudkan dalam ayat berkenaan meliputi seluruh keinginan duniawi, sama ada kesihatan, rumah yang luas, isteri yang cantik, rezeki yang melimpah, ilmu yang bermanfaat, amal soleh, kenderaan yang baik, pujian dan sebagainya.
Manakala kebaikan di akhirat meliputi permohonan syurga, ketenangan jiwa, kemudahan hisab, keselamatan daripada api neraka, perlindungan daripada segala dosa dan larangan, terhindar daripada pelbagai syubhat dan perkara haram.
Setiap dari kita dituntut agar menyatukan kepentingan hidup di dunia dan akhirat sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud
“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.”
Al-Qasas ayat 77
Ayat ini dengan jelas memerintahkan supaya manusia menggunakan potensi-potensi nikmat yang diberikan Allah SWT seperti harta, kesihatan, ilmu dan sebagainya untuk mencari kebahagiaan di akhirat, bukan semata-mata untuk mencari kesenangan di dunia.
Namun ayat ini juga mengingatkan untuk tidak melupakan bahagia kenikmatan dunia yang dihalalkan oleh Allah SWT.
Orang yang dapat memanfaatkan nikmat untuk mendapatkan kebahagiaan akhirat akan memperoleh keuntungan yang besar.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, maksud bahagia ialah suasana senang dan aman, aman damai serta gembira.
Namun elok juga jika kita cuba lihat berberapa tafsiran erti “Bahagia” menurut tokoh-tokoh serta ahli falsafah; antaranya ialah :-
- Imam al-Ghazali berkata: Bahagia ialah ketika mana manusia berada dalam satu puncak ketakwaan. Ia merupakan kenikmatan daripada Allah SWT.
- Aristotles: Bahagia itu ialah suatu kesenangan yang dicapai oleh setiap orang menurut kehendaknya masing-masing.
- Plato menyebut: Hidup seseorang manusia itu akan menjadi bahagia sekiranya dia mampu menyeimbangkan antara nafsu, kehendak dan akal.
- Epicurus menyebut: Kebahagiaan hidup tidak bererti memiliki harta kekayaan yang banyak, melainkan wujud keseimbangan antara kebahagiaan fizikal dengan spiritual.
- Al-Farabi: Kebahagiaan yang sebenar adalah apabila manusia sampai pada tahap kesempurnaan yang ada di akhirat. Menurut beliau juga, kebahagiaan merupakan suatu yang dirindui oleh setiap orang kerana ia merupakan kebaikan paling besar di antara segala kebaikan yang ada.
- Ibn Sina: Kebahagiaan yang hakiki akan diperoleh pada hari akhirat kelak.
- Ibn Tufail menyebut kebahagiaan yang hakiki ialah kebahagiaan di akhirat saat bertemu dengan Allah dan melihat wajah-Nya.
- Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas menyebut al-sa‘adah pada manusia adalah kemuncak kebahagiaan terakhir iaitu dengan cara menyerahkan diri secara sukarela kepada Islam dengan beriman kepada Allah SWT dan mentaati segala perintah dan laranganNya. Kebahagiaan mempunyai pertalian dengan dua dimensi kewujuduan iaitu kewujudan di dunia (duniawiyyah) dan di akhirat (ukhrawiyyah).
- Prof. Dr. Hamka dalam bukunya “Tasawuf Moden” menyebut, kebahagiaan itu mempunyai sejumlah kaedah dan pengalaman seseorang.
Semua manusia ingin bahagia dalam kehidupan namun tidak semua mereka akan berjaya memiliki kebahagiaan yang di impikan .
Belum tentu harta dunia yang dimiliki akan menjamin kebahagiaan yang hakiki kerana ramai dikalangan manusia dari dahulu hingga sekarang jiwanya tidak tenteram dan rumah tangganya porak peranda walau pun memiliki kekayaan duniawi.
Secara mudah kebahagiaan itu ialah memiliki hati yang tenang dalam menghadapi apa jua ujian dalam kehidupan.
Inilah erti bahagia yang sebenar selaras petunjuk Allah SWT di dalam Al Quran.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
Rasulullah S.A.W. juga telah bersabda:
Rasulullah S.A.W bersabda lagi:
“Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan itu sebenarnya ialah kaya hati “
Kaya hati bermaksud hati yang tenang, lapang dan merasa cukup dengan apa yang dimiliki dan bersyukur dengan apa yang ada, sabar dengan apa yang tiada.
Oleh itu hati perlu dibersihkan serta dipelihara agar sihat dan melahirkan sifat-sifat mahmudah seperti amanah, sabar, syukur, qanaah, reda, pemaaf dan sebagainya.
Kemuncak kebahagiaan ialah apabila hati seseorang mampu mendorong pemiliknya melakukan kebaikan dan menghindari kejahatan dan larangan yang ditentukan oleh Islam.
Yang baik dari Allah pastinya dan semoga ada manfaat dari perkongsian ni. Maaf atas segala kelemahan yang pastinya dari saya.
Artikel ini merupakan sumbang Azad Jasmi
"Bahagia itu bila anda dapat leka dan tak peduli pada pergerakan masa"
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !