Mak ada lagi ka kat kampung?
Kalau masih ada, berapa kerap anda balik tengok muka suci bersih dia kat kampung?
Ketika PKP dilaksanakan sebab wabak Covid-19 tahun lepas, saya yakin anda juga macam kebanyakan orang lain. Sangat rindu nak balik tenguk orang tua kat kampung masa tu.
Kena pulak PKP dibulan puasa! Ingin sangat nak hadirkan diri buka puasa bersamanya sehari dua.
Paling diharapkan adalah agar dapat beraya sekali bila masuk syawal.
Masa semua ok, tak ada isu Covid-19, tak berapa nak fikir sangat semua tu. Rasa macam takkan ada apa-apa halangan kalau nak balik. Bila-bila saja boleh pergi tengok muka Mak kat kampung.
Kononnya, semua berada dalam kawalan. Selalunya berakhir dengan tak ada masa nak balik. Itu yang berlaku bila perasan sentiasa ada masa.
Tapi tiba-tiba saja bila tak boleh sewenangnya bergerak balik, dah teringat dan rindu sangat pada Mak kat kampung. Kenapa?
Rindu Mak bila tak boleh balik kampung
Sebagai individu normal, salah satu dari sifat semula jadi anda adalah, cenderung untuk lihat pada perkara yang tak ada berbanding apa yang anda sedia ada.
Dari kajian yang saya baca, ia ada kaitan dengan cara berfikir primitif manusia sejak zaman purba lagi.
Masa tu manusia memburu untuk cari makan. Mereka masih belum bercucuk tanam dan masih tak ada kandang kambing atau ‘lau ayam’ di belakang rumah.
(Nota: Orang utara biasanya panggil tempat kurung bela ayam sebagai ‘Lau’ atau ‘Reban’)
Bila dia masuk hutan buru lauk, sudah tentu mata dan semua deria yang ada akan fokus pada apa saja kemungkinan bahaya yang bakal menerjah datang. Hampir 100% peka pada apa yang masih diluar kawalan dan tiada dalam pengetahuan.
Kalau dia leka fokus pada apa yang ada, alamat mati kena baham binatang ganas.
Kod genetik tu masih melekat dalam diri anda dan saya. Walaupun secara fizikal, dunia sudah terlalu jauh berbeza, kemajuan fizikal yang kita kecap sekarang masih tidak dapat ubah akal primitif yang melekat dalam otak tu.
Satu-satunya cara untuk atasi cara fikir semula jadi itu adalah dengan sentiasa berada dalam kesedaran yang sangat tinggi. Barulah anda tidak akan sentiasa kena culik dek akal primitif itu.
Fikiran melayang, cepat melenting setiap kali kena cuit dan seumpamanya adalah contoh tahap kesedaran diri yang sangat rendah.
Orang yang keluar kenderaannya setelah dilanggar, ambil senjata, lalu pukul orang yang langgar, adalah contoh ketara akal yang hidup tapi tidak sedar. Ia dikawal sepenuhnya oleh pemikiran autopilot primitif zaman kuno.
Saya terangkan semua tu di atas sebab nak kaitkan genetik cara berfikir anda kepada rasa ingin sangat nak ziarah Mak kat kampung.
Kalau anda biar fikiran primitif kuasai diri, memang akan sentiasa tangguh hasrat nak ziarah mak kat kampung tu.
Pasti akan ada saja halangan yang mendatang. Boss nak jumpa. Ada assignment penting nak kena siap. Tiba-tiba ada meeting berat .. seribu satu macam alasan lagi.
Akhirnya jadi kebiasaan setiap tahun. Balik kampung ziarah mak hanya pada hari raya. Paling hebat 2 kali setahun. Itupun kalau mertua satu kampung. Kalau kampung tak sama, alamat setahun sekali saja akan balik.
Jika anda sedar perkara itu sering berlaku saban tahun. Sampai dah lebih 10 tahun berulang, masih tak belajar juga. Maknanya anda dah kena tawan fikiran primitif tu. Dia kuasai diri walaupun anda rasa, andalah yang kuasai dia.
Hanya mereka yang buat jadual tetap saja yang akan selamat. Contohnya adakan sekali setiap bulan jadual untuk balik tengok mak kat kampung.
Patuhi jadual tu walau apapun yang terjadi.
Balik tengok mak kat kampung sebulan sekali
Itulah yang saya buat sejak bangsat ke Lembah Kelang ini. Pastikan setiap bulan akan ada sekali balik ke kampung.
Tapi, rasanya masih tak cukup.
Masa dia sihat dalam keadaan normal dulu, tak terlintas bahwa apa yang saya dah buat masih tak cukup.
Saya akan balik kampung setiap bulan sekali untuk jumpa Mak. Juga untuk jumpa kawan-kawan lama. Juga untuk selesaikan urusan kerja yang biasanya sengaja saya cari supaya rasa ada sebab kena balik.
Masa tu rasa macam rugi kalau duit hanya keluar saja, tak ada yang masuk, dengan perjalanan dari KL ke Penang. Kos perjalanan. Kos makan minum dan semua belanja bila balik beli, itu dan ini dan hulurkan duit tambahan lagi pada mak kat kampung.
Jadi cari kerja yang boleh datangkan hasil duit. Sekurangnya balik modal.
Itulah cara saya fikir masa tu.
Tapi bila fikir sekarang, terasa betapa bodohnya.
Bila ada banyak urusan sekali gus macam itu, tumpuan menjadi lebih rendah kepada Mak kat kampung masa balik.
Biasanya saya akan beritahu mak sehari awal yang saya nak balik kampung. Jadi dia tahu lebih awal.
Bila dah tahu awal, dia akan buat macam-macam. Masak lauk kegemaran. Buat atau pesan kuih atau apa saja yang dia tahu saya suka. Sediakan tempat tidur saya dan semuanya serba lengkap. Kalau saya bawa satu keluarga, lain persediaannya dan kalau saya balik seorang diri lain pula caranya.
Biasanya saya lebih kerap balik seorang diri.
Bila dah atur macam-macam urusan, biasanya jadual banyak meleset. Saya akan lewat 3 atau 4 jam dari jangkaan.
Kalau saya balik sampai depan rumah lewat petang, setiap kali saya sampai, kelihatan mak sedang duduk seorang diri atas katil buruk bawah rumah tu.
Katil tu jadi tempat rehat kat luar. Macam tulah orang kampung. Kat situ juga jadi tempat duduk borak kawan-kawan mak bila datang jenguknya di rumah. Juga jadi tempat borak saudara mara yang datang sebentar singgah tanya khabar.
Sekarang, saya masih singgah kat rumah tu walaupun Mak dah tak duduk kat kampung.
Setiap kali singgah rumah kosong tu, sebaik saja sampai, parkir kereta depan rumah, saya akan jeling katil lama kat bawah rumah tu dari dalam kereta. Setiap kali itulah rasa bergenang air mata imbas kembali mak duk tunggu dengan sabar saya balik sebelum ini.
Rasa bersalah.Rasa bodoh. Rasa tak guna sebab saya tahu betapa selama ini dia buat perkara sama setiap kali tahu saya nak balik. Saya pula tak berusaha untuk sampai awal lebih dari pada jangkaan supaya dia tak tunggu berjam-jam seorang diri kat situ.
Baru saya nak rasa kesunyian yang dia rasa selama berpuluh tahun duduk kampung dan semua anak-anak ada hal dan ada keluarga masing-masing.
Mak dah tak macam dulu baru nak sedar
Macam saya kata kat atas tadi. Benda yang dah tak ada barulah manusia akan fokus. Benda ada kat depan mata dia abaikan.
Perasaan sesal dan rasa apa yang dah dilakukan masih tak mencukupi timbul bila mak dah tak macam dulu.
Dia tinggal dengan adik sekarang kat Langkawi. Saya akan balik terus ke Langkawi setiap bulan untuk ziarah dia kat sana. Kadang-kadang memandu dan kadang-kadang naik kapal terbang. Yang penting sebulan sekali mesti pergi.
Masa mak kat kampung dulu, mak jatuh sakit secara tiba-tiba.
Satu hari dia berjalan kaki pergi ke rumah jiran tak jauh di depan jalan. Dia pergi rumah kawan baiknya kat situ. Masa pergi tu, mak tanya soalan-soalan pelik. Dia tanya pasal pokok pisang depan rumah tu sedangkan tak ada sebatang pokokpun kat rumah kawan baiknya itu.
Selepas dia balik, anak kawan baik mak telefon adik saya di Langkawi. Dia pesan suruh sesiapa balik tengok mak kat kampung. mak tinggal seorang diri masa tu. Dia ceritakan sikap pelik mak tadi.
Adik saya terus telefon bapa saudara, adik mak kat kampung yang tinggal dalam 20 kilometer dari rumah.
Minta dia pergi tengok mak. Adik ceritakan apa yang diberitahu pasal mak tadi. Tapi bapa saudara kata dua tiga hari sebelum ni dia ada pergi tengok mak tapi semuanya ok saja.
Bapa saudara saya terus pergi hari itu. Bila dia sampai rumah, mak terbaring seorang diri kat bawah tu. Dia nampak sangat lemah. Dia sendiri tak tahu kenapa. Bila bapa saudara selidik, baru tahu yang dia lansung tak makan.
Dia juga tak masak.
Mak berubah. Ingatannya tak sama macam dulu. Dia lupa semua benda. Dia dah tak tahu memasak. Dia ulang cakap perkara yang sama. Sejak hari itu bermulalah episod cerita baru dalam hidup mak.
Sejak dari hari itu baru saya sedar semua yang ada pada mak, yang saya kenal selama ini, sebelum ini, sudah ditarik balik.
Saya dah tak akan dapat rasa masakannya lagi. Saya dah tak akan dengar celoteh dan perkongsiannya lagi. Saya dah tak akan dapat lihat kelam kabut dia bersiap nak ke masjid lagi. Macam-macam ciri-ciri dirinya yang dan hilang.
Semua hilang sekelip mata.
Tapi nasib baik dia masih ada.
Hanya pengalaman lama kenangan balik kampung dia tunggu atas katil, dia masak kari ikan bawal, dia buat kuih lompat tikam, puteri berendam, karipap, lopis, lepat liat, lepat pisang … semua dah tak ada.
Terasa sangat dengan semua kehilangan itu.
Panjang cerita kalau nak kongsikan semua ini. Ini cerita yang bermula pada tahun 2014. Banyak yang saya dah lalui sejak itu.
Mak masih ada, sihat alhamdulillah tapi sudah tak macam dulu.
Pesan saya, bagi yang mak masih ada, masih ok tak ada perubahan, nikmati betul-betul saat anda bersamanya.
Jangan sia-siakan waktu dan kesempatan untuk berbakti yang ada sekarang ni sebelum semuanya ditarik kembali. Seelok mana yang pun yang ada rasa dah buat untuk dia, perasaan menyesal masih tetap akan ada satu masa nanti.
Benar kata seorang tua Taukeh berbangsa Cina yang saya kenal masa mula-mula berniaga dulu. Dia selalu datang bersembang dengan saya di pejabat buruk saya masatu. Setiap kali dia nak balik dia akan pesan ..
- “Shubhi, you tak perlukan 1 juta untuk bahagia .. always remember that”
- “If my mother still alive, I will drive back from KL to Johor every week, just to see her face”, itu ayat penyesalan yang dia selalu ucapkan pada saya – “Jangan ulang kesilapan yang sama macam saya ..” pesan Mr Kwek sebelum dia beredar balik.
Dan sekarang, saya nak pesan perkara yang sama pada anda.
“Jangan kejar duit macam orang gila. Tak perlu RM1 juta untuk bahagia. Balik tengok muka mak dan dengar semua ceritanya dengan setia sekerap mungkin”
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !