Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

22 March 2022

Ini cerita orang biasa-biasa yang orang 'bukan beshe-beshe' tak sanggup dengar

  Ano Nyme       22 March 2022


Ini cerita berkenaan orang biasa-biasa. Macam anda dan saya.

Saya yakin kalau anda bukan beshe-beshe tak kebuloq nak baca blog macam ni.

Anda sendiri pun tahu. Majoriti besar manusia adalah dari golongan yang biasa-biasa sahaja.

Orang 'bukan besha-besha' ialah seperti para pemimpin politik yang besar-besar macam kebanyakan pemimpin UMNO. Macam Tun Mahathir, Tan Sri Muhyiddin atau yang popularkan perkataan beshe-beshe ni, Datuk Seri Najib.

Majoriti kita juga bukan masuk dalam kumpulan pemikir dan cendekiawan yang besar-besar seperti Jomo Kwame Sundaram, Dr Muhammed Abdul Khalid dan lain-lain seumpamanya.

Kita juga bukan seperti saudagar dan peniaga besar-besar seperti Robert Kuok, Ananda Krishnan, Quek Leng Chan, Teh Hong Piow, Tony Fernandes, dan lain-lain.

Bukan juga celebriti top macam Neelofa, M Nasir, Yuna dan ramai lagi.

Para celebriti ni, kalau tweet ringkas saja macam, ‘hari ini Isnin’, akan ada like dan share sampai puluhan atau ratusan ribu!. Macam la retis tu sorang saja yang tahu hari ini Isnin.

Anda dan saya hanya insan biasa. Tak ada siapa yang nak buat cerita pasal kita yang kerja atau bisnes biasa-biasa ni. 

Tak ada nilai komersial lansung bagi media.

Orang pun rasa menyampah nak baca cerita simple hidup kita.

Ohbulan.com tak lapaq nak tulis satu artikel pun pasal kita.

Kisah kucing artis popular yang cirit salah makan, jauh lebih mendapat tempat bagi ohbulan.com berbanding kisah anda atau saya, yang saban hari menggigil cari sales, agar syarikat pest control saya dapat hidup dan bayar semua gaji pekerja.

Orang biasa-biasa terlalu biasa

Itu lumrah kejadian manusia. Lebih peka kepada yang bukan beshe-besha berbanding biasa-biasa. 

Tak perlu nak rasa kecil hati. Walaupun ada juga timbul rasa tak puas hati.

Sebab, kita pun sama macam tu juga.

Lebih tertarik dengan yang bukan besha-besha.

Dapat duduk makan satu kedai dengan seorang Najib, yang kebetulan singgah makan di kedai yang sama sudah mampu menjadi koleksi cerita kita seumur hidup. Diulang cerita setiap kali ada kesempatan.

Bayangkan betapa fokusnya kita pada bukan beshe-beshe.

Cuba bayangkan bagaimana orang ramai akan berkumpul satu kampung melawat sebuah rumah di mana tuannya ada cekup seekor biawak yang punya 2 kepala.

Bukan saja orang kampung, media juga akan hantar wartawan mereka untuk kutip cerita.

Sedangkan biawak tu terang dan nyata dilahirkan cacat!.

Yang lebih hebat adalah biawak normal yang tak cacat tu. Yang ada berjuta-juta zaman berzaman dengan tahap konsisten yang sangat luar biasa. Itu jauh lebih luar biasa.

Tapi disebabkan biawak normal tak cacat adalah sesuatu yang kita dah biasa jumpa dari kanak-kanak sampai dewasa, maka ia tak jadi luar biasa.

Kalau anda buka semua buku hikayat dan sejarah Melayu lama macam itu juga.

Mereka tak cerita dan tak ambil kisah pasal orang biasa-biasa.

Tak ada mereka nak cerita kisah petani susah kerja ambil upah potong kayu kat kampung. 

Tak ada juga cerita pemuda miskin sabung nyawa panjat pokok tinggi ambil madu untuk cari makan bantu keluarganya.

Kalau ada dalam cerita Melayu watak macam tu, tak sempat nak cam rupa mereka dah tamat riwayat meninggal dunia dalam cerita tu.

Semua watak biasa-biasa sama tak ubah macam batu kerikil atas jalan raya. Hilang 100 biji tak ada siapa nak periksa.

Bahan sejarah atau tinggalan seni kita adalah cerita anak raja berkenan kat perempuan lawa. Lalu suruh pahlawannya pergi kidnap dengan segera.

Anda tentu pernah baca cerita Hang Tuah. 

Baca kisah Hang Tuah tu, anda akan faham seolah-olah kerja pahlawan hebat itu hanyalah pergi bunuh, tewaskan orang atau culik perempuan untuk rajanya. Orang biasa tak buat macam tu. Mereka sibuk berusaha untuk teruskan hidup bela anak dan isteri.

Begitulah lumrah kehidupan.

Jadi saya nak ubah sikit. Nak tumpu cerita pasal orang biasa-biasa saja.

Kalau anda tak sukapun saya tak boleh kata apa-apa. Memang itu perkara biasa.

Jom kita layan cerita ringkas di bawah. Ringkas tapi best. Nama yang dipaparkan di bawah bukan nama sebenar.

Nelayan dan ahli korporat

Mat seorang nelayan kecil. Setiap hari dia akan ke laut awal-awal pagi pergi tangkap ikan dengan perahu kecilnya.

Sejak remaja dan sekarang dah lewat 40-an, dia buat kerja itu. Itulah sumber pendapatannya.

Dengan semua hasil itu dia bela anak dan isteri di kampung nelayan tu.

Mat, keluarganya dan ramai lagi kawan-kawan mereka kat kampung nelayan tu hidup sederhana dengan cara mereka. Susah senang, naik dan turun, itulah gaya kehidupan yang mereka pilih.

Di satu dunia lain pula ada seorang ahli korporat hebat. Tan Sri Wahid, nama ahli korporat tu.

TS Wahid seorang CEO. 

Dia juga pengasas syarikat yang dia mulakan, pupuk dan bina sejak 15 tahun dahulu.

Syarikat tu sekarang dah terkenal gilang gemilang. Tersenarai di bursa saham. Sejak mula disenarai awamkan hingga sekarang nilainya naik mencanak.

Itu semua hasil kegigihan usaha TS Wahid dengan visinya yang jelas jauh ke depan. 

Dah lebih 15 tahun dia kerja tanpa henti. Tak pernah ambil cuti seharipun sejak dari mula berusaha membina impiannya itu.

TS Wahid kerja siang dan malam untuk pastikan syarikatnya jadi hebat. Makin berjaya, makin sibuk TS Wahid. 

Dia dijemput berceramah. Diminta pendapatnya dari pelbagai isu yang menyentuh ekonomi dan perniagaan. 

Dia juga dilantik jadi penasihat di banyak syarikat.

Hari itu TS Wahid berada di Kampung Nelayan tempat tinggal Mat yang saya ceritakan di awal tadi. 

Kebetulan dia mendapat hidayah untuk ambil cuti rehatkan diri sebentar.

Sebenarnya TS Wahid dipaksa. Melalui pujukan, oleh ramai orang yang mengambil berat terhadap dirinya.

Sebab itu dia ada kat kampung kecil nelayan tu. Kampung yang aman damai jauh dari kesibukan kotaraya besar yang tak pernah tidur sehari 24 jam.

Pada pagi yang dingin, TS Wahid sedang jalan menghirup angin segar. Dia lalu di tepi jeti nelayan.

Di depannya kelihatan seorang nelayan sedang ikat bot kecil. 

Nelayan itu ialah Mat. 

Dia baru saja sampai balik, dah selesai kerja tangkap ikan rutinnya itu.

TS Wahid jalan perlahan-lahan ke depan. Sementara itu, Mat dah meloncat naik ke atas dan berjalan atas jeti sambil menjinjing seberkas ikan hasil tangkapannya untuk dibawa balik.

Mat dan TS Wahid bertembung.

TS Wahid lemparkan senyuman manis gaya korporatnya pada Mat. 

Lalu dibalas senyuman itu oleh Mat. Kulit berkilat gelap, terbakar dek matahari yang melekat pada muka Mat tidak menghalang kemanisan senyumnya terpancar ikhlas.

“Balik tangkap ikan ke?”, sapa TS Wahid.

“Ya!”, jawab Mat. Masih tersenyum sambil angkat tinggi hasil tangkapan yang dipegangnya.

TS Wahid berhenti depan Mat. Isyarat berminat nak bersembang. Tak sukar untuk Mat faham isyarat kemanusiaan itu. Dia juga berhenti. Tunggu pertanyaan lanjut dari TS Wahid.

“Banyak juga tu! Berapa lama ambil masa nak buat tangkapan banyak tu?”, keluar satu lagi pertanyaan dari mulut TS Wahid.

“Tak lama sangat. Ada la dalam 2 jam kot!”, jawab Mat laju.

“Waaa! tak lama sangat tu. Buat apa dengan semua ikan tu?” tanya TS Wahid lagi. 

Dia makin berminat nak tahu. Itu pengalaman baru bagi dirinya.

“Saya ambil sikit untuk lauk kami anak beranak di rumah. Bakinya saya tolak kat kedai kawan.” jawab Mat selamba.

“Cukup ke?”, soal TS Wahid lagi sambil kerut dahi hampir bersambung kedua kening lebatnya.

“Maksud saya, boleh hidup ke dengan semua hasil macam tu?”, tambah TS Wahid lagi supaya lebih jelas.

“Lebih daripada cukup .. hehe .. “, ketawa kecil keluar dari mulut Mat yang rasa lucu dengan pertanyaan TS Wahid tu.

“Selalunya lepas habis tangkap ikan ni, balik, buat apa pulak?”, TS Wahid tanya lagi.

“Biasanya saya balik rehat dan layan isteri. Tidur sebentar. 

Bangun layan anak-anak dan isteri serta keluarga sampai lewat petang.

Malam saya keluar jumpa kawan-kawan. Buat apa-apa aktiviti  yang patut sesama kami. Lepas tu balik tidur sebab esok nak kena bangun awal ke laut” panjang lebar Mat jawab.

Terdiam panjang juga TS Wahid dengar jawapan tu.

Orang korporat macam dia sangat sensitif dengan produktiviti. 

Setiap saat adalah emas yang berharga yang perlu diisi penuh dengan usaha gigih. Perlu diisi dengan kegiatan bermanfaat. Perlu pastikan ada pergerakan dan peningkatan mendekati sasaran kehidupan.

Tak cukup dengan diari, tambah lagi buku nota kecil. Tambah pulak dengan ‘productivity tool apps’. Guna smart phone. Ada secretary susun jadual dan susun appointment. Ada driver, yang juga dibekalkan dengan smart apps.

Ada laporan prestasi kegunaan masa. Cadangan penambah baikan masa supaya lebih cekap. 

Dibekalkan pula pembantu peribadi untuk susun atur pengisian masa dengan aktiviti dan sebagainya.

Orang macam TS Wahid ramai yang dah lupa macam mana bau bunga melur. 

Dah terlalu lama tak sempat tengok semua itu. Ramai juga dah terlupa bagaimana rupa kumbang tanduk atau kumbang pokok kelapa yang hitam merah tu.

Kesibukan mengejar masa membuatkan semua itu jadi tidak relevan dalam kehidupan.

“Mahu tak saya berikan satu idea hebat yang tuan boleh buat”, laju dan spontan kata TS Wahid kepada Mat.

TS Wahid nampaknya bermurah hati hari tu. 

Biasanya nasihat bisnes yang keluar dari mulut TS Wahid bukannya percuma. Setiap perkataan yang keluar dari mulutnya adalah duit.

Memang Mat beruntung hari ni.

Itulah yang ada dalam fikiran TS Wahid

“Idea apa tu tuan?”, Mat berminat nak dengar.

“Apa kata mulai esok, tuan pergi ke laut macam biasa, tapi luangkan masa lebih lama … “, TS Wahid berikan penjelasan.

Dia anjurkan Mat untuk gunakan sekurangnya sehari 8 jam untuk kerja tangkap ikan. 

Dengan masa 2 jam sahaja Mat dah mampu dapatkan hasl tangkapan yang mencukupi dan masih ada ruang untuk jual dapat duit. Dah tentu jika 8 jam diluangkan, hasilnya adalah berkali-kali ganda!.

Dengan hasil tangkapan banyak sebegitu, tak lama, Mat akan mampu beli satu lagi bot kecil. Dia boleh upah orang untuk tangkap ikan. 

Hasilnya akan bertambah lagi. Lepas itu akan ada 3, 4, 5, .. dan begitulah peningkatan dan perubahan akan berlaku.

Mat akan melakukan satu transformasi yang hebat. Dia akan mampu membina stor simpanan kan siap dengan cold box. 

Usahanya akan berubah dari sekadar nelayan kepada satu perindustrian. Pekerjanya akan bertambah, pendapatannya juga akan naik berganda-ganda.

Mat akan punya kapal besar ke laut dalam. Bukan hanya sekadar bot kecil nelayan saja. Dia juga ada gudang simpanan dan proses hasil tangkapan laut.

Tak lama lepas itu, dia terpaksa pisahkan antara pusat operasi dan pusat pengurusan.

Mat akan punya pusat pengurusan industri perikanannya sendiri di Kota Raya. Dan syarikat Mat akan bersedia untuk disenarai awamkan dalam bursa saham utama negara.

“.. syarikat tuan akan disenaraikan di bursa saham utama .. itulah kepakaran saya ..”, terang TS Wahid. 

Matanya bersinar galak. Puas sebab itu dah jadi kepakarannya selama ini. Tambah pulak Mat dengar kusyuk ternganga.

“Ini bahagian yang paling best!”, sambung TS Wahid lagi.

“Tuan boleh jual semua pegangan saham tuan selepas itu dan balik kampung rehat! hahaha .. !” TS Wahid gelak kuat berdekah-dekah. 

Rasa sangat puas bila berjaya sampai ke tahap itu.

“Tuan akan balik kampung dengan duit dalam akaun 2 ke 3 ratus juta !, hahaha”, makin kuat ketawa TS Wahid.

“Wuii! banyaknya! Berapa lama ambil masa untuk buat semua tu?”, soal Mat nampak takjub.

“Dalam lebih kurang 15 tahun saja!”, pantas TS Wahid jawab.

“Apa saya nak buat dengan semua duit banyak macam tu?”, tanya Mat lagi ternganga.

TS Wahid terdiam sejenak dengan soalan itu. 

Lama dia fikir, kemudian berikan jawapan.

“Errr .. tuan boleh hari-hari duduk rehat layan anak, isteri dan keluarga. Buat banyak aktiviti dengan kawan-kawan kampung, santai dan enjoy dengan kehidupan tuan !”, jawab TS Wahid.

“Ok!, tapi itu semua memang saya dok buat dah sekarang ni. Kenapa nak tunggu 15 tahun lagi kerja teruk untuk datang buat benda yang sama?”, tanya Mat kehairanan.

Soalan itu membuatkan TS Wahid terus terdiam.

Entah apa yang dia fikirkan. Matanya tidak berkedip memandang jauh ke laut seperti ada sesuatu yang sedang berlaku dalam pemikirannya.

TS Wahid masih terkedu. Dia hulurkan tangannya pada Mat, bersalam dan terus bergegas balik.

Siapa sebenarnya yang belajar dan siapa yang mengajar sekarang mungkin jadi persoalan dalam kepala TS Wahid.

Anda sendiri. 

Apa yang anda belajar dari semua cerita kat atas tu?

Orang kata, TS Wahid selepas balik dari percutiannya, dia lepaskan semua jawatan dan jual kesemua saham yang dia ada ..

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Ini cerita orang biasa-biasa yang orang 'bukan beshe-beshe' tak sanggup dengar

Previous
« Prev Post

4 comments:

  1. O...kisah yg menarik, patut la tokoh korporat nelayu makin berkurang. Mungkin mereka sama seoerti TS Wahid.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Haha ! perli nampak ..
      Mustahil semua orang sama pandangan hidupnya ..

      Delete
  2. Harap TS Wahid bila jual semua pegangan dan saham dia jgn lah juai dkt cina... kahkahkah kahkahkah

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kah Kah Kah !!! Ya ! juai kat Cina tak boleh, kat Multinational tak pa ... Kah Kah Kah .. berjaya sungguh hasutan benci pada cina masuk dalam melekat dalam DNA keturunan Bani Melayu ! kah kah kah !

      Delete

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !