Ada ambil insurans hayat tak?
Pergi tanya soalan di atas kepada 100 orang di luar sana. Anda akan dapati, kurang dari separuh jawab ‘ada!’.
Ini berdasarkan laporan yang saya baca di My Metro.
Di kalangan rakyat berpendapatan rendah lebih ketara. Hanya 4% saja memiliki insurans perlindungan hayat.
Baca lebih lanjut berita tersebut kat pautan di sini.
Anda yang terlibat dalam industri insurans, berita itu menunjukkan masih ada ruang dan peluang yang besar menanti di luar sana.
Cara syarikat insurans buat bisnes
Dari bancian tidak formal yang saya buat sejak dulu lagi, ramai yang tak suka kepada jurujual insurans.
Tak suka sebab teknik menakutkan prospek, yang diamalkan ketika menjual polisi insurans.
Perkataan ‘kalau’ yang dipakai, buat anda rasa takut terhadap perkara yang mungkin tak berlaku.
Kalau sakit, kalau kemalangan, kalau mati, kalau cacat kekal dan seribu satu macam kalau lagi yang menyeramkan.
Kemungkinan berlaku semua malapetaka itu sangat nipis.
Contoh mudah. Lihat insurans kereta. Dalam 100 orang, berapa ramai yang buat tuntutan dalam tempoh setahun beli insuran tu?
Berapa ramai yang buat tuntutan dalam tempoh 5 atau 10 tahun pula?
Data menunjukkan peratusannya sangat rendah.
Memang itulah sebab utama syarikat insurans masih wujud. Jumlah mereka yang tidak tuntut jauh lebih rendah dari yang buat tuntutan.
Syarikat insuran hanya jadi orang tengah antara, mereka yang malang yang sedikit tu, dengan mereka yang bernasib baik, yang majotiri. Bila berlaku sesuatu, majoriti akan bantu minoriti.
Syarikat ambil untung atas upah pengurusan tersebut. Ditambah lagi labanya dari aktiviti pelaburan duit pelanggan. Memang bijak cara bisnes itu.
Konsep bisnes mereka sangat baik. Terutamanya dalam dunia pentingkan diri sendiri sekarang ni. Berbeza dari zaman tok nenek dulu. Masyarakat saling bantu membantu.
Dahulu, jika ada yang ditimpa kemalangan, satu kampung turun padang untuk membantu.
Amalan perlindungan dari masyarakat sebegitu dah mula menipis.
Syarikat insurans yang ambil alih semua urusan itu.
Syarikat insuran memilih pelanggan
Satu lagi perkara yang orang tak suka pada syarikat insurans adalah tentang proses penapisan yang mereka buat.
Bila anda mahu ambil perlindungan hayat, terpaksa lalui proses pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu.
Mereka mahu semak sejarah kesihatan anda sampai ke tahap keturunan.
Tujuannya, untuk pastikan kemungkinan tuntutan berlaku adalah sangat rendah. Lebih menjurus ke arah tak buat tuntutan.
Lagi tinggi anda tak akan buat tuntutan, lagi mudah lulus untuk anda jadi pelanggan mereka. Bijak .. bijak .. !
Sekali imbas, macam scammer pulak!
Tapi mereka bukan scammer. Anda dan saya, yang buat bisnes kecil ni, perlu belajar dari syarikat insurans.
Insurans perlindungan kebakaran kilang
Untuk mudah faham, saya berikan contoh ringkas bagaimana proses membeli perlindungan insurans kebakaran.
Katakan anda ada sebuah kilang, mahu ambil polisi dari syarikat insurans untuk membuat perlindungan kilang jika terbakar.
Kenapa perlu ada perlindungan tersebut?
Sebab jika berlaku kebakaran, anda sudah tentu jatuh tersungkur sukar untuk naik semula. Semua aset, semua produk dan banyak duit yang terpendam di dalam kilang itu.
Bisnes akan hancur dan sukar bangun semula.
Jika anda faham begitu, mudahlah syarikat insuran nak bantu. Itu menunjukkan yang anda tak berharap agar kilang tu terbakar.
Anda juga tentu tak marah bila syarikat insurans buat semakan risiko kebakaran terhadap kilang itu.
Semua unsur-unsur yang memudahkan berlakunya kebakaran akan disemak dan diteliti.
Perkara seperti, adakah kilang terlibat dalam aktiviti pembuatan bahan bakar. Adakah kilang dibuat dari bahan mudah terbakar. Adakah kilang duduk berhampiran dengan kawasan mudah terbakar.
Adakah sistem penggera kebakaran disediakan, berfungsi dan berkesan menghalang kebakaran. Balai bomba jauh atau dekat.
Dan seribu satu lagi semakan dibuat, supaya kemungkinan kilang terbakar tidak berlaku.
Selepas itu baru syarikat insurans berikan jumlah bayaran yang perlu dibuat untuk mendapatkan perlindungan.
Bagi yang tak faham, dia akan kata, "kalau sampai macam itu kenapa perlu beli insurans?"
Kalau terlalu sukar untuk terbakar, apa perlunya lagi ada insurans perlindungan dari kebakaran?
Di situlah tujuan sebenar adanya insurans.
Untuk lindungi kemungkinan yang sangat tinggi dari berlaku. Perlindungan terhadap perkara yang tak terfikir dan tak disangka akan berlaku. Perlindungan di luar kawalan yang bukan disebabkan kecuaian.
Syarikat insurans tak mahu kilang anda terbakar. Anda juga wajib tak mahu kilang terbakar. Tak ada sesiapapun yang mahu begitu. Semua itu menyusahkan.
Jesteru itu anda berusaha jauhi semua kemungkinan yang boleh dicapai oleh akal supaya kilang dijauhi dari kebakaran.
Setelah semua itu diusahakan, kalau nak jadi kebakaran juga, akan ada talian hayat terakhir.
Iaitu 'perlindungan insurans'.
Maksudnya, anda boleh dianggap telah lengkapkan hampir kesemua usaha yang boleh dibuat semaksimum mungkin.
Jika ditakdirkan berlaku juga, masih ada peluang untuk anda bangun kembali.
Kes paling teruk yang bakal berlaku macam manapun, selagi anda tak mati, akan ada bantuan, insyaallah!.
Itulah matlamat insurans.
Bukan untuk anda lalai dan buat kerja sambil lewa, tak kisah samada terbakar atau tidak. Malah anda berusaha untuk cuba sempurnakan perlindungan ke tahap maksimum.
Boleh faham tak?
Tiru konsep insurans dalam bisnes
Sekarang saya bawa anda balik kepada cerita utama.
Cerita bagaimana nak mula bisnes dan pastikan bisnes yang dibuat itu kemungkinannya untuk berjaya adalah sangat tinggi.
Perlu ikut konsep syarikat insurans di atas tadi.
Anda wajib tutup semua lubang yang memungkinkan kegagalan berlaku. Sama macam usaha kilang tadi tutup semua punca kebakaran dari berlaku.
Usaha nak tutup semua punca yang boleh mengundang kegagalan itu bukan kerja mudah. Tambah lagi kalau tak ada pengalaman.
Bahkan, orang yang ada pengalaman sekalipun akan terperangkap dengan rasa teruja dan yakin diri dari kejayaan yang lalu. Ego sampai tak nampak lubang gagal terbuka.
Perlu semak perkara paling asas dalam perniagaan.
Iaitu, samada bisnes yang nak diusahakan itu ada permintaan atau tidak.
Kalau anda nak hasilkan satu benda baru yang tak pernah ada di pasaran, produk lebih kurang sama pun tak ada, bertambah perlu lagi ianya disemak.
Soalan cepu emasnya, "kenapa tak ada?"
Mesti ada sesuatu yang anda tak tahu atau tak nampak.
Cuba semak pasaran, semak undang-undang, adakah bisnes tu dibenarkan atau tidak?.
Perlu semak juga kos atau modal yang diperlukan. Adakah harga yang anda tawarkan itu mampu membuatkan orang beli atau tidak?.
Ada benda yang memang orang nak. Tapi disebabkan harga tak ngam berbanding alternatif yang ada membuatkan produk anda tak ada permintaan.
Kalau nak mudah semak kebolehjayaan idea bisnes anda, cuba bentangkan pada kawan, pelabur atau pihak bank.
Bentang seolah-olah anda nak pinjam duit walaupun hakikatnya tak perlukan duit.
Bukan duit yang jadi sasaran utama. Tapi sudut pandang dari mereka yang nak lindungi duit dari hangus, itulah yang paling utama.
Macam kes insurans di atas tadi.
Bila ada orang mahu bagi duit, melabur dalam idea bisnes anda, mereka sudah pasti tak mahu duit tu hangus.
Anda juga tentu tak mahu bisnes tu gagal.
Tak ada orang gila nak mulakan bisnes untuk gagal.
Untuk itu, semua sudut perlu disemak dan dikaji. Elakkan segala kemungkinan dari gagal. Barulah boleh laburkan duit dan segala sumber yang ada di situ.
Setelah buat kesemua itu, ditakdirkan nak gagal juga, nak buat camna!
Marah bila orang tak bagi duit
Ada usahawan yang letakkan punca bisnesnya gagal adalah disebabkan tak ada atau tak cukup duit. (Saya yakin anda bukan begitu)
Kalau ada duit pula, dia akan kata tak cukup masa. Atau duit datang bila keadaan dah terlambat.
Dia akan minta pada MARA, pada PUNB, pada Tekun, pada Amanah Ikhtiar dan pada mana-mana lagi agensi kewangan atau bantuan perniagaan yang disediakan oleh kerajaan.
Bila tak dapat dia nak marah!
Hakikatnya, semua itu hanya alasan.
Kalau dah tahu duit bakal jadi punca bisnes gagal, kenapa tak buat persediaan dari awal sebelum terjun berniaga?
Cuba muhasabah, betulkah kalau ada duit bisnes tu akan berjaya?
Betulkah perlukan duit tu?
Tak ada kah cara lain yang anda boleh reka supaya bisnes bergerak juga?
Cuba fikirkan semua kemungkinan itu terlebih dahulu.
Pergi tanya kawan yang berpengalaman. Pergi jumpa Coach atau Mentor Bisnes yang berpengalaman untuk perah otak anda.
Bila agensi tolak permohonan tu, kat mana silapnya?
Fikirkan macam mana syarikat insuran yang tak mahu berikan perlindungan pada kilang yang mudah terbakar kat atas tadi.
Bukan dia sengaja tak mau tolong.
Tapi dia hanya buat kerjanya sebagai melengkapkan usaha ke tahap maksimum sahaja. Bukannya nak galakkan anda lalai untuk mengelak dari kebakaran.
Tapi kalau anda dah mulakan bisnes kemudian tetiba Covid-19 melanda, terus terkangkang hangus semua impian.
Itu boleh diterima.
Bukan kerja anda nak buat ramalan samada akan ada wabak penyakit tak diketahui akan berlaku atau tidak.
Point asas yang saya nak kongsikan kat sini adalah, elakkan semua kemungkinan akan gagal yang berada dalam kawalan anda sebelum nak mulakan bisnes.
Jangan main terjun dan harapkan keajaiban berlaku tanpa ada usaha menutup kelemahan. Macam yang saya selalu ulang …
Percaya pada keajaiban boleh, tapi jangan bergantung kepadanya untuk berjaya.
Harap artikel ini dapat memberikan pencerahan kepada semua pengusaha bisnes kecil di luar sana.
Dan perlu juga diamalkan dalam semua urusan kehidupan kita.
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !