Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

06 May 2022

4 langkah yang anda perlu buat agar pelanggan memilih perniagaan anda berbanding pesaing

  Ano Nyme       06 May 2022

Bagi anda yang menjalankan perniagaan, soalan di bawah ini tentu selalu muncul.

Bagaimana nak jadikan bisnes yang aku buat sekarang menjadi pilihan pelanggan berbanding pesaing?

Itu soalan yang sama, sering bermain dalam fikiran sejak hari pertama saya mula berniaga.

Disebabkan soalan itu, saya tak jemu berusaha cari maklumat.

Tengok macam mana orang lain buat.

Baca buku, tanya kawan, dengar radio, nonton TV dan layan macam-macam blog bisnes.

Ada macam-macam formula yang saya jumpa. Masing-masing berikan pendekatan yang berbeza. Penerangan yang berbeza.

Tapi jika dilihat secara umum, semua bercakap perkara yang lebih kurang sama sahaja. Nampak macam ada satu rumusan umum yang boleh diguna pakai dalam semua keadaan.

Apa agaknya rumusan umum tersebut?

Lama juga saya mencari.

Sehinggalah berjumpa satu buku yang menarik. Ia berikan formula untuk ubah atau membina tabiat yang baik agar berjaya.

Walaupun buku itu fokus pada pembinaan tabiat, ia juga dapat diguna pakai dalam urusan bisnes. Sebab apa saja aktiviti manusia, akhirnya ia tidak lari dari menyentuh tabiat manusia itu sendiri.

Bila anda kenal macam mana manusia berfikir dan buat keputusan, maka apa saja yang melibatkan manusia, dapat anda kuasai.

Untuk mudah saya ambil contoh bisnes gerai nasi lemak untuk diaplikasikan. Kalau anda buat bisnes lain, cuba faham konsepnya saya dan aplikasikan pada bisnes anda sendiri.

Buka gerai jual nasi lemak tepi jalan

Jumlah orang berniaga tepi jalan sekarang meningkat. Saya dapat bandingkan sendiri dengan hanya melihat tepi jalan setiap kali memandu melalui kawasan penempatan.

Itu tak ambil kira lagi jumlah orang yang buat bisnes makan delivery. Dia masak, pasarkan dalam media sosial dan buat penghantaran melalui grab food atau food panda.

Kalau lalu tepi jalan waktu pagi, akan nampak banyak gerai express jual nasi lemak.

Itu antara bisnes makan tepi jalan yang paling mudah untuk anda. Lebih mudah dari jual nasi campur sebab gerai nasi lemak lebih ringkas.

Lagipun, gerai nasi lemak tepi jalan ni, biasanya berkonsepkan beli bungkus. Orang singgah beli nasi lemak dan bawa balik makan kat rumah atau bawa makan ke tempat kerja.

Oleh kerana ini bisnes mudah dan tak berapa ada banyak halangan untuk dimulakan. Maka sudah tentu akan ada ramai pesaing.

Keupayaan anda untuk susun strategi bagi memastikan anda dipilih ole pembeli, akan menentukan samada anda mampu bertahan dan menjana keuntungan atau tidak.

Panduan untuk buat begitu ada pada artikel ini. Teruskan membaca ..

Saya kongsikan secara mudah dan ringkas konsep yang anda boleh buat agar gerai jual nasi lemak anda itu mendapat sambutan lebih bagus dari pesaing.

Anda hanya perlu susun strategi berdasarkan 4 langkah mudah di bawah.

Saya akan berikan konsep sahaja. Pilihan idea lebih terperinci, andalah yang akan tentukan sendiri berdasarkan kesesuai, lokasi dan suasana tempat anda jalankan bisnes tersebut.

Berikut adalah 4 langkah mudahnya itu.

#1. Jelas, menonjol dan mudah nampak

Ini konsep asas untuk pastikan orang tahu kewujudan anda semaksimum mungkin.

Kalau dalam terma bisnes, kita boleh katakan ini adalah aktiviti pemasaran.

Anda perlu sentiasa bertanya samada orang nampak gerai anda jelas atau tidak. Buat penambah baikan sepanjang masa dengan bertanya orang ramai yang anda kenal.

Tanya pada mereka yang datang singgah dan tanya pada orang yang anda tak kenal disekitar kawasan anda berniaga. Jangan malu untuk dapatkan semua maklum balas ini.

Nak bisnes tak boleh malu-malu.

Anda boleh rentang banner yang jelas dan terang. Ikat tinggi buat kain rentang besar dan seumpamanya. Ini membantu untuk anda capai sasaran agar gerai anda mudah nampak.

Jangan pasang banner atau kain rentang yang orang tak boleh nak faham anda jual apa. Dan tak boleh nak faham kenapa gerai nasi lemak anda unik. Pertimbangkan semua itu dalam apa saja aktiviti anda nak bagi mudah nampak.

Macam mana nak pastikan orang yang tak pernah lalu depan jalan tempat anda berniaga tahu tentang gerai nasi lemak anda itu. Buat tanda arah jalan. Buat banner, buka page FB, dan macam-macam lagi anda boleh buat.

Sentiasa perbaiki. Sentiasa tambah aktiviti dengan sasaran agar gerai nasi lemak anda mudah nampak.

#2. Menarik

Ini masih lagi lanjutan dalam perkara #1 di atas. Masih dalam ruang lingkup pemasaran.

Setakat mudah nampak saja masih tak cukup.

Pastikan ianya sangat menarik. Biar sampai orang teruja melihatnya. Rasa nak pergi lebih dekat. Rasa nak tahu lebih lanjut.

Rasa teruja, rasa lawak, rasa lega, rasa kagum dan lain-lain lagi rasa yang membuatkan perniagaan anda jadi sangat menarik.

Aktiviti ini ternyata berjaya jika anda masih ingat bagaimana orang pakai pakain Spiderman untuk berniaga. Ia berjaya menarik perhatian orang ramai.

Meletakkan jurujual yang sangat cantik, comel, putih serlah juga menepati sasaran nampak menarik ini. Kalau anda tak comel, berusahalah untuk bagi comel.

Pakai bedak, pakai gincu, mekap, pakai baju terang dan menarik. Jangan pula berpakaian kusam serabai.

Kalau anda lelaki, cuba pakai macam Wak Doyok umpamanya atau seumpama dengannya.

#3. Permudahkan segalanya

Kalau perkara #1 dan #2 di atas adalah dalam rung lingkup pemasaran, kali ini adalah dalam ruang lingkup jualan.

Bila mudah nampak. Bila menarik. Maka orang akan terpanggil untuk datang. Mereka nak tahu lebih lanjut dan mungkin nak cuba.

Pastikan segalanya sangat mudah.

Cuba bayangkan proses bagaimana orang nak datang ke tempat anda dari rumah mereka.

Dari mula dia keluar rumah, naik kenderaan, motor atau kereta, datang, berhenti, parkir, turun kenderaan, jalan menuju ke gerai, tengok lauk pauk, buat pilihan, ambil dan bayar dan sampailah dia balik semula ke rumahnya atau ke tempat kerjanya.

Jika anda mampu bayangkan kesemua proses itu secara terperinci, anda akan mampu merangka supaya pengalaman semua orang yang melalui proses tersebut menjadi sangat mudah.

Macam-macam yang anda boleh lihat dan buat penambah baikan. Bagi mudah pilih, mudah tanya, mudah bawa, mudah bayar, mudah makan, mudah segala-galanya.

Ini juga membantu anda untuk membuat pilihan lokasi tempat anda berniaga. Pastikan ia menepati ciri-ciri segalanya adalah sangaaaaat mudah.

Proses ini tak akan habis. Perlu diperbaiki sedikit demi sedikit. Tanya pelanggan apa kesukaran yang mereka hadapi dan cari jalan atasinya.

#4. Pastikan ada ganjaran

Ini adalah penentu samada mereka akan datang lagi atau tidak ke gerai jual nasi lemak anda.

Kalau ada ganjaran yang setiap orang yang datang dapat, sudah pasti mereka akan datang lagi.

Paling utama sudah tentu masakan dan rasa nasi lemak dan lauk pauk anda sangat sedap sampai membawa ke mimpi.

Atau bila mereka datang, layanan anda sampai buat mereka yang rasa nak bunuh diri terus tak jadi. Atau mereka yang sedih jadi riang gumbira. Yang tua terus rasa macam muda dan sebagainya.

Fikirkan segala ganjran yang mungkin yang anda mampu berikan kepada setiap pelanggan yang datang ke gerai jual nasi lemak anda itu.

Ini juga adalah proses yang tak akan habis. Boleh bertukar-tukar dan buat penambah baikan dari masa ke masa.

Masukkan elemen kejutan umpamanya secara rawak. Pelanggan yang ke 15 akan anda berikan nasi lemak tambahan secara percuma. Atau kuih 2 ketul percuma, atau sebotol air mineral dan sebagainya.

Yang pastinya tiada sesiapa pun yang akan tak dapat ganjaran setiap kali datang jadi pelanggan anda. Hatta, datang bertanya sekadar nak tengok laukpun anda akan berikan ganjaran.

Amalkan 4 langkah di atas segera

Nampak sangat ringkas bukan?

Memang sangat ringkaspun konsepnya. Tak payah nak masuk Universiti untuk faham dan amalkan 4 langkah yang saya sebutkan di atas.

Anda hanya perlukan keazaman dan rajin mulut bertanya serta sentiasa sedar buat pemerhatian sahaja.

Macam saya sebut di atas tadi, 4 langkah mudah itu bukan hanya untuk gerai jual nasi lemak saja. 

Apa saja bisnes pun anda boleh guna pakai. 

Semua syarikat yang berjaya samada besar atau kecil akan melakukan proses yang sama untuk atasi persaingan yang sengit dalam dunia perniagaan sekarang.

Kalau nak jadikan pesaing anda malap, boleh juga lakukan 4 langkah tersebut. Anda hanya perlu terbalikkan sahaja setiap proses.

Jadikan ianya susah nampak, jadikan ianya tidak menarik, jadikan sukar nak berurusan dan berikan hukuman.

Jika itu berlaku pada pesaing, sahih bisnes mereka akan lingkup!

Tapi janganlah buruk perangai macam itu. Setiap bisnes ada uniknya. Setiap bisnes ada pelanggan sasarannya yang berbeza. Jadi strategi adalah berdasarkan kesesuaian jenis pelanggan yang anda sasarkan.

Tentukan pelanggan sasaran anda dan fokus 4 langkah yang saya kongsikan kat atas itu khas untuk mereka

Semoga bermanfaat.

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, 4 langkah yang anda perlu buat agar pelanggan memilih perniagaan anda berbanding pesaing

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !