Kalau anda ada niat nak jadi usahawan dan mula berniaga, artikel ini khas untuk anda baca dan amalkan.
Bagi anda yang selama ini hanya terdedah kepada budaya hidup makan gaji, tentu pernah juga terdetik hasrat nak jadi usahawan. Jadi boss kepada perniagaan dan syarikat anda sendiri.
Cuma masalahnya, tak tahu bagaimana nak mulakan pergerakan ke arah menjadi usahawan. Bila tak tahu, maka dah tentu tak boleh nak mulakan langkah ke arah itu.
Kebanyakan orang rasa nak jadi usahawan mudah saja. Ada peluang, boleh saja mulakan.
Tapi tak semudah itu sebenarnya.
Selagi ada manusia atas mukabumi ini, peluang perniagaan memang sentiasa akan ada. Manusia sentiasa berhadapan dengan masalah selagi hidup atas mukabumi. Masalah merupakan pencetus kepada terbukanya peluang perniagaan.
Persoalannya adakah peluang perniagaan yang anda lihat itu sesuai atau tidak.
Dengan kekangan masa dan keupayaan yang ada pada setiap orang, yang masing-masing berbeza, bukan apa saja peluang itu sesuai untuk sesiapa saja.
Oleh itu, langkah terbaik adalah untuk kenali keupayaan diri terlebih dulu. Dan isikan masa yang terhad yang anda ada, kepada pilihan yang bersesuaian.
Ada peluang bisnes tak?
Macam kata-kata yang pernah diucapkan oleh Louis Pasteur, seorang saintis microbiologist berbangsa Perancis (1822-1895), dalam Bahasa Perancis bunyinya begini,
Dans les champs de l’observation le hasard ne favorise que les esprits préparés
Kata-kata itu diterjemahkan ke dalam bahasa inggeris dalam berbagai versi, antaranya adalah seperti berikut;
- Chance favors the prepared mind
- Fortune favors the prepared mind
- In the field of observation, chance favors the prepared mind
- Where observation is concerned, chance favors only the prepared mind
Kalau nak terjemahkan dalam bahasa kita, maksudnya lebih kurang ..
“Peluang hanya datang kepada orang yang dah memang bersedia”
Kalau anda lansung tak ada usaha untuk siapkan diri dengan segala persediaan yang patut, janganlah harap peluang perniagaan tu datang bergolek lalu berhenti kat depan mata.
Baca buku tak mau, kawan dengan orang tak mau, pi kursus tak mau, semua benda dilihat dari sudut negatif, semua orang lain tak betul, asyik rasakan diri sentiasa dianiaya, itu susah, ini susah, …
Kalau macam itu punya perangai, sampai mampus peluang perniagaan tak akan ditemui !.
Jadi macam mana nak sediakan diri anda untuk kenal pasti peluang. Dan seterusnya merebut peluang tersebut bila ianya muncul di depan mata?
8 langkah bersedia rebut peluang
Saya kongsikan petua macam mana nak sediakan diri untuk rebut peluang perniagaan buat anda yang sering berdoa mengharapkan akan datang satu peluang perniagaan yang baik buat diri anda satu hari nanti.
8 langkah persediaan untuk kesan peluang perniagaan ini saya rujuk daripada tulisan seorang business coach KC See dalam bukunya Entrepreneur’s Treasure Chest.
Teruskan membaca di bawah panduannya.
#1. Nak buat bisnes apa?
Buat keputusan terlebih dahulu anda nak masuk dalam industri apa. Nak buat perniagaan yang berkaitan dengan apa?
Makanan?
Teknologi?
Fesyen?
Atau apa-apa saja yang menarik minat anda untuk jadi bidang perniagaan yang akan diceburi satu masa nanti.
Buatlah satu keputusan terlebih dahulu. Perah otak tu sikit jangan lembab dan malas sangat.
Sampai nak masuk bidang apapun tak tau nak fikir, asyik tanya orang nak niaga apa ha … nak niaga apa ha? … tak payah nak jadi usahawan lah macam tu. Elok pi kerja makan gaji dengan orang saja, habis cerita.
Simpan saja akal tu dalam peti ais. Bila mati nanti pi tanam sekali.
Minta panduan dari orang yang ada kemahiran dalam membantu mengenal pasti kekuatan dan kelemahan anda bagi menentukan bidang yang sesuai untuk anda ceburi. Jangan ambil nasihat orang yang hanya nak suap anda saja.
Contohnya, bila anda pergi jumpa seseorang nak tanya bidang perniagaan yang sesuai untuk anda, dia lalu bersungguh-sungguh suruh anda buat perniagaan yang dia sedang jalankan. Dia suruh jadi ajen Top-Up line komunikasi umpamanya ..
Tak payah ikut nasihat orang macam tu.
#2. Kemahiran dan pengetahuan
Bila dah buat keputusan bidang atau industri mana yang nak anda ceburi. Segera buat kerja rumah untuk kenal pasti apakah skill yang anda perlu ada kalau nak masuk bidang atau industri tersebut.
Tentukan juga apakah ilmu yang anda perlu kuasai untuk melayakkan diri anda masuk ke dalam industri tersebut.
#3. Dapatkan skill dan ilmu
Bila dah tahu skil mana satu, ilmu apa yang perlu ada, maka carilah kesempatan seboleh mungkin untuk mendapatkannya.
Mungkin anda sendiri yang perlu jadi mahir dengan pergi belajar sendiri. Mungkin juga anda boleh ajak kawan yang anda tahu ada semua itu untuk sertai anda dalam projek sediakan diri untuk rebut peluang bisnes.
Tapi seeloknya, anda mesti dapatkan juga kemahiran dan ilmu paling minima yang sepatutnya untuk anda sendiri kuasainya.
#4. Lihat contoh orang yang dah sukses
Anda perlu buka semua deria yang anda untuk melihat mereka yang sukses dalam bidang yang sama yang anda dah tentukan di atas tadi.
Zaman sekarang, mudah sangat untuk anda dapatkan maklumat.
Pantau siapa usahawan yang memang dah sukses hebat dalam industri itu. Pastikan dia memang berjaya dengan hebat, bukan sedang-sedang saja.
Baca biodatanya, ikuti perjalanannya, pantau pergerakannya, dan kalau dapat rapat dengan orang itu, memang lebih baik.
Anda perlu buat analisa apa yang orang itu ada dari segi skill, networking, sikap, keupayaan dan sebagainya.
Kemudian, bandingkan dengan diri anda sendiri. Fikirkan macam mana nak atasi jurang perbezaan antara anda dengan dia.
#5. Cari kawan dalam industri yang sama
Anda juga wajib pergi berkawan dengan ramai kawan-kawan lain yang dah masuk dalam industri yang nak anda ceburi itu.
Tak kisah mereka dah berjaya tahap gaban atau belum. Besar atau kecik. Yang dah naik berjaya atau yang dah merudum jatuh bergolek sekalipun.
Yang pentingnya, anda mesti berusaha untuk masuk ke dalam kumpulan mereka sampai orang kenal anda dan tahu kehadiran anda dalam industri tersebut.
#6. Ubah jadi individu yang anda perlu jadi
Katakan anda nak masuk dalam bidang fesyen. Sedangkan anda memang tak suka sertai majlis keramaian dan tak gemar pasang badan dengan pakaian yang menarik.
Itu memang tak kena lah !
Kalau memang anda nak sertai industri tu, mahu tak mahu anda perlu buat transformasi untuk jadi orang yang selesa dengan majlis keramaian dan suka melaram serta punyai citarasa pemakaian yang hebat.
Itulah maksudnya, untuk jadi siapa yang anda perlu jadi untuk pastikan anda akan sukses dalam industri tersebut.
Kalau anda nak jadi trainer yang baik umpamanya, sebab nak masuk bidang pengajaran. Maka sediakan diri untuk mampu berpidato bercakap di kahalayak ramai.
Kalau anda jenis yang suka pengsan setiap kali disuruh bangun bercakap di depan lebih dari 4 orang, maka pergilah cari mana saja bomoh yang boleh ubati penyakit anda itu.
#7. Masuk dalam komuniti orang berniaga
Jangan nak elakkan diri dari berkwan dengan komuniti orang yang memang dah jadi usahawan sepenuh masa.
Sertai mereka, jadi kawan mereka dan jadualkan masa luangkan diri untuk sertai kumpulan mereka sekerap mungkin.
Jika dengan berbuat demikian anda terpaksa kurangkan masa bertemu dengan kawan-kawan biasa makan gaji anda selama ini, jangan risau.
Anda memang terpaksa buat macam itu kalau memang nak berjaya satu masa nanti. Biarlah apa kawan-kawan nak kata, tetapkan iman. Anda bukannya buat benda burukpun.
#8. Rebut peluang sebaik saja ia datang
Bila anda dah lakukan kesemua yang saya sebutkan kat atas tadi. Teruskan kesemua urusan itu dengan konsisten tanpa jemu.
Peluang akan datang juga satu masa dan ketika yang sesuai nanti.
Sebaik saja ianya datang, cekup terus jangan nak leka-leka lagi. Mungkin itulah titik perubahan penting dalam hidup anda untuk jadi usahawan peringkat global nanti, insyaallah !
Moga perkongsian ini berfaedah untuk anda yang mahu buat persediaan untuk kenal pasti peluang dan rebut peluang perniagaan bila ianya datang nanti.
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !