Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

31 May 2022

Apa yang peniaga kecil boleh belajar dari kaki memancing tentang pemasaran

  Ano Nyme       31 May 2022
Pemasaran 101

Kaki memancing boleh ajar perkara penting tentang pemasaran pada orang yang berniaga.

Sebelum itu, elok saya kongsikan sikit apa itu pemasaran ikut apa yang saya faham.

Bagi saya pemasaran secara mudahnya adalah aktiviti nak bagi tahu pada pelanggan tentang perniagaan dan produk atau servis yang syarikat anda tawarkan. Bagi tahu dengan cara yang betul, menarik supaya dia berminat nak cuba tahu lebih lanjut.

Punca nombor satu paling besar yang buat orang tak layan bisnes anda adalah sebab orang tak tahu!

Gagal buat pemasaran, maka bisnes tak akan berhasil. Macam mana nak berhasil jika orang tak tahu menahu pasal bisnes kita.

Ada banyak sebab jika bisnes tak berhasil. Apa yang saya akan kongsikan di artikel ini mungkin salah satu sebab utamanya.

Memancing dan pemasaran

Apa yang anda tahu tentang memancing?

Kalau anda bukan kaki pancing, malah tak pernah pergi memancing pun, saya yakin anda masih bijak untuk tahu apa itu memancing. Tahu juga perkara asas dalam urusan memancing.

Secara umumnya, tujuan memancing adalah untuk tangkap ikan.

Bila sebut ikan, anda juga tahu yang ikan hidup dalam air. Samada air masin di laut, atau air tawar di sungai. Jadi, nak pancing ikan, kenalah pergi ke kawasan tersebut, baru ada ikan.

Boleh juga ke kolam memancing atau tasik yang ada ikan di dalamnya.

Semua orang tahu perkara paling asas tersebut bila bercakap pasal memancing. Anda juga tentu dah tahu perkara itu sejak zaman kanak-kanak lagi.

Cuma untuk yang lebih advance, anda kena belajar jenis umpan yang sesuai digunakan, jenis tali, jenis mata kail, kewasan air dan lain-lain. Semuanya bergantung ikan apa yang nak ditangkap, setiap satunya berbeza.

Persamaan berniaga dengan memancing

Tanpa saya terangkan lebih lanjut bab memancing ni saya terus ke tujuan asal kenapa saya mulakan artikel pasal berniaga ni dengan perkara tersebut.

Berniaga lebih kurang sama saja dengan memancing.

Anda hanya perlu tukar perkataan ikan jadi pelanggan.

Seperti ikan, pelanggan juga ada macam-macam jenis pelanggan. Setiap pelanggan ada tempat yang sesuai di mana dia berada.

Untuk pancing pelanggan yang anda mahu, terlebih dahulu kenalah cari maklumat berkenaan pelanggan itu. Apa kesukaannya, apa yang tidak disukainya. Kat mana dia berada dan macam mana tabiatnya.

Macam aktiviti memancing tadi, anda kena tahu nak tangkap ikan apa. Bila dah kenal semua itu, lebih mudah untuk anda sediakan umpan yang betul. Dan paling penting, pergi campak mata kail yang ada umpan di dalam air yang ada ikan tersebut.

Bukan semua air ada ikan

Pernah lihat orang yang setiap kali jumpa air akan keluarkan pancing, letakkan umpan pada mata kail dan campak masuk ke dalam air tersebut?

Kalau dia campakkan mata kail berumpan tu ke dalam sebuah tasik, masih boleh diterima.

Tapi jika anda lihat ada orang campakkan mata kail masuk ke dalam tapak binaan yang berlopak selepas hujan, itu perkara pelik yang menimbulkan tanda tanya. Tambah pulak anda pun tahu takungan air tu baru saja ada selepas hujan lebat semalam. Nanti keringlah bila habis musim hujan.

Maksud saya kat sini, hanya orang yang sewel saja akan memancing kat mana saja ada air. Orang normal tahu bahawa bukan semua air ada ikan.

Walaupun pelik, perkara yang lebih kurang sama berlaku dalam perniagaan.

Ada peniaga yang main iklan saja di mana ada peluang. Dia tak peduli samada kat situ ada pelanggan atau tidak. yang penting iklan.

Iklan bisnes ditempat yang sesuai

Kaki pancing yang bijak, terlebih dahulu tetapkan ikan apa yang dia nak pancing. Dia kenal pasti kat mana ikan tu ada. Kemudian tak akan buang tenaga berusaha tangkap ikan pada tempat yang tak sesuai.

Begitu juga peniaga yang bijak, dia tetapkan pelanggan sasarannya. Dan tak akan buang tenaga buat iklan di tempat yang tak sesuai. Sekalipun tak ada kos untuk campak iklan kat situ, ia tetap satu perbuatan sia-sia dan kurang bijak.

Masa dan tenaga yang anda keluarkan sebenarnya bukan percuma.

Ada kos melepas berlaku kat situ. Masa yang anda gunakan untuk beriklan di tempat yang salah membuatkan anda terlepas peluang untuk beriklan di tempat ang sesuai.

Saya selalu tengok peniaga yang tak ambil peduli perkara asas dan sangat penting ni. Contoh paling dekat adalah dalam grup FB Usahawan bisnes kecil yang saya buat di sini.

Ada lebih dari 26 ribu ahli kat grup tu. Memang agak ramai.

Jumlah orang yang ramai ada kat situ membuatkan peniaga amatur suka buang tenaga sering campak iklan mereka di situ.

Walaupun dah beritahu sejak awal grup tu bukan untuk beriklan. Ahli hanya dibenarkan berbincang tentang bisnes dan kongsikan pengalaman atau masalah bisnes bersama kawan-kawan usahawan di situ.

Majoriti ahli kat grup tu cenderung kepada keusahawanan, fokus kepada nak cari peluang berniaga atau nak perbaiki perniagaan yang ada. Kalau nak iklanpun, pastikan iklan anda berkaitan dengan tujuan asal grup

Jangan buat seperti orang sewel yang nampak saja air akan campakkan mata kail. Bukan semua tempat yang ada air ada ikan. Yang pastinya, kat air tu tak ada ikan yang sesuai untuk dipancing.

Bisnes perlu pakai otak

Untuk berjaya dalam bisnes memang tak perlu jadi super bijak. Cukup sekadar guna common sense saja, insyaallah anda boleh jayakannya.

Tapi kalau common sense pun tak mahu guna, memang layaklah bisnes anda tak mendatangkan hasil.

Sikap main iklan di mana saja ada orang, menunjukkan anda tak rancang bisnes yang dibuat. Sekurang-kurangnya kenal pasti siapa pelanggan sasaran dan tahu kat mana nak cari mereka.

Bukan semua orang adalah pelanggan dalam bisnes anda.

Cara yang betul adalah dengan buat 6 langkah mudah seperti berikut di bawah.

1. Tetapkan siapa pelanggan sasaran

Siapa yang guna produk atau servis yang anda tawarkan. Siapa pula yang akan keluarkan duit untuk beli dan paling penting siapa sebenarnya yang buat keputusan sama nak beli atau tidak dan akhir sekali, siapa biasanya yang mempengaruhi pembelian tersebut. Semua maklumat itu memudahkan untuk anda buat langkah kedua di bawah.

2. Kenal pasti di mana mereka berada

Kadang kala anda boleh jumpa semua pengguna, pembeli, pembuat keputusan dan kaki pengaruh untuk beli, dalam satu tempat yang sama. Kadang kala semuanya ada di tempat yang berbeza. Bergantung kepada siapa mereka, cara beriklan juga berbeza.

3. Tetapkan sasaran iklan

Iklan atau aktiviti pemasaran lain perlu ada tujuan. Samada nak bina jenama (bina awareness), nak menjual atau nak tingkatkan keuntungan. Cara pemasaran adalah berbeza untuk setiap sasaran tersebut. Boleh juga digabungkan antara kesemua tujuan iklan itu jika anda kreatif.

4. Ukur keberkesanan

Bila dah buat kesemua aktiviti di atas, jangan lupa untuk ukur keberkesanan setiap aktiviti pemasaran yang dibuat. Dengan mengukur, anda akan tingkatkan lagi keberkesanan dan seterusnya menambahkan kemahiran anda dalam perniagaan.

5. Simpan maklumat perhubungan

Bila ada yang berhubung samada melalui wasap, telefon, komen, atau respon lain, jangan lupa simpan maklumat mereka yang berhubung dengan anda atau syarikat anda. Ini penting untuk aktiviti seterusnya di bawah

6. Follow up

Kebiasannya, orang baru, yang tak kenal anda atau perniagaan akan merisik terlebih dahulu. Kali pertama berhubung adalah untuk tengok samada anda boleh dipercayai atau tidak. Oleh tu gunakan maklumat perhubungan yang anda simpan kat atas tu untuk follow-up tanya khabar dan bina perhubungan.

Saya hanya berikan panduan asas sahaja di atas tu. Perlu tambah ilmu dengan membaca dan ikuti mana-mana kelas atau seminar yang baik.

Ingat!

Gunakan common sense bila berniaga. Tak tahu tanyalah pada kawan-kawan yang anda lihat berjaya.

Boleh juga hubungi saya dengan email kat menu ‘contact’ kat atas tu. atau guna terus email ni mohdshubhi@gmail.com 

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Apa yang peniaga kecil boleh belajar dari kaki memancing tentang pemasaran

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !