Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

19 May 2022

Pengalaman berurusan dengan Cash Converter - Bisnes jual beli barang terpakai

  Ano Nyme       19 May 2022

Pernah dengar nama kedai Cash Converter?

Saya kenal nama tu sebab sering jumpa kawan dan minum di Nasi Kandar Pelita, Plaza Shah Alam.

Kalau duduk di meja makan restoran tu, di seberang jalan sana, anda boleh nampak papan iklan Cash Converter.

Kedai itu beroperasi di lot hujung bangunan yang berhadapan dengan Plaza Shah Alam tu.

Lama dah tengok, tapi tak pernah masuk. Sekadar lalu saja.

Bila saya buat carian pasal Cash Converter, baru tahu yang syarikat tu wujud sejak tahun 1984 di Perth Australia.

Bermula hanya dengan satu kedai, ketika itu. Sekarang ada 530 kedai di seluruh dunia.

Kat Malaysia saja ada 7 kedai Cash Converter dan kat Singapura ada 7 kedai. Syarikat itu berkembang dengan konsep Francais di seluruh dunia.

Zaman gila kamera dan lensa

Lebih 10 tahun lalu saya terjebak dengan hobi guna kamera. Semuanya bermula bila beli kamera kecil.

Dah jadi macam tabiat, bila jatuh cinta pada sesuatu, saya akan beri tumpuan penuh mendalami perkara atau benda yang saya minat tu.

Untuk itu, saya mula beli dan baca buku serta majalah pasal kamera dan photography. Belajar dari sumber bacaan dan cuba amalkan dengan kamera kompak yang ada.

Masa tu juga saya banyak berpetualang pergi ke merata tempat.

Kamera dan petualangan. Memang dua perkataan yang saling berkait rapat. Lepas berpetualangan, saya akan kongsikan pula kat blog. Masa tu dah mula berjinak dengan blogging.

Bila dah pakai bertubi-tubi, ambil gambar di sana sini. Kemas kini blog. Kongsikan kisah petualangan dengan koleksi gambar yang ada, mula rasa tak puas dengan keupayaan kamera kompak.

Akhirnya, saya beli pula kamera DSLR jenama Nikon. Belajar pulak pasal DSLR dan mula habiskan duit beli lensa pulak.

Saya layan semua aktiviti tu sehinggalah kesibukan datang kembali pada tahun 2014. Mulanya masih layan kamera lagi. Makin lama makin sibuk dan akhirnya kamera terperap dalam begnya. Sekali dengan semua lensa yang ada.

Aktiviti kamera dan lensa ni aktiviti yang agak habiskan duit sebenarnya. Kamera Nikon saja dah beribu. Begitu juga dengan lensa-lensa yang saya beli. Kebanyakkan lensa harganya lebih dari seribu. Malah ada yang sampai 4 atau 5 ribu.

Bila dah beli mahal, nak jual rasa sayang pulak. Lagipun ada niat nak layan semula aktiviti kamera tu. Jadi terbiarlah semuanya terperap begitu saja

Kali pertama masuk Cash Converter

Sehinggalah baru-baru ini, sebelum kejadian Covid-19 ni, saya nak hapuskan semua rasa bersalah. Rasa bersalah sebab ada segala lensa yang mahal-mahal tu tapi terperap tak guna bertahun-tahun.

Satu hari, selepas minum dengan kawan kat Restoran Pelita Shah Alam, saya singgah masuk ke kedai Cash Converter tu.

Wah! punyalah banyak barang menarik. Ada lensa, ada gitar, ada besi senaman, ada barang letrik, barang kulit, jam dan berbagai mak nenek jenis barang lagi.

Saya lekat lama kat tempat lensa. Ada satu lensa yang saya dah lama nak dapatkan dulu tapi tak beli sebab terhenti main kamera.

Bila nak beli, timbul rasa bersalah. Teringatkan banyak lensa kat rumah, dalam beg, tapi tak pakai. Sekarang dah nak beli satu lagi lensa. Nak tambah rasa bersalah lagi ?

Untuk hapuskan rasa bersalah, saya dapat satu idea.

Idea dari petua Jepun yang berikan idea minimalis menarik. Petuanya, kalau teringat nak beli satu barang baru, pastikan anda jual atau berikan pada orang 2 barang yang dah ada dalam pemilikan.

Saya terus tanya pada abang kat kaunter tu macam mana kalau saya nak jual lensa. Dia terangkan yang mereka hanya beli barang terpakai dari pelanggan pada waktu siang saja.

Masa saya tanya tu dah malam.

Pukul 7 malam ke atas, mereka hentikan semua operasi beli barang orang.

Saya balik malam itu dengan bersemangat untuk datang semula ke Cash Converter. Dalam bayangan nampak semua lensa  yang saya nak jual, termasuk sekali dengan beg khas simpan semua peralatan kamera dan lensa yang ada kat rumah tu.

Dah terbayangkan juga lensa mana yang akan saya simpan. Nak kurangkan semua bebanan rasa bersalah yang dah lama terbuku.

Jual dan beli lensa di Cash Converter

Keesokannya kat rumah, saya punggah kesemua peralatan kamera yang ada. Keluarkan kesemua lensa. Saya bersihkan beg buang segala debu dengan berus kecil. Susun semua lensa dan masukkan semula ke dalam beg.

Bila dah sedia, saya simpan semula. Tunggu masa yang sesuai, ada kelapangan nanti untuk pergi semula ke Cash Converter.

Jual 2 atau lebih barang yang dah ada, untuk beli satu barang.

Dan itulah yang saya buat.

Hari itu saya bawa kesemua barang yang nak ditolak di Cash Converter.

Kalau nak jual barang, anda kena masuk pintu sebelah satu lagi. Bukan di kedai yang pamerkan semua barang terpakai untuk dijual.

Masuk kat tempat jual tu, kena ambil nombor giliran. Mereka sediakan CD terpakai yang tertulis nombor giliran. Ambil CD teratas dan duduk tunggu giliran anda dipanggil. Saya ambil satu dan duduk.

Kelihatan ada sepasang suami isteri bawa barang banyak sedang nego dengan pekerja di bahagian pembelian tu. Saya rasa mungkin mereka nak berpindah agaknya. Untuk kurangkan bebanan bawa barang banyak masa pindah, lebih bagus jual saja.

Bagus khidmat yang Cash Converter tawarkan.

Ada seorang lagi pekerja tengah layan seorang wanita pertengahan umur. Dia jual beg tangan. Ada lebih dari satu beg. Nampak masih elok beg tangan dia tu. Saya terus teringat banyak beg kulit kat simpanan dalam rumah.

Ada sekali tengah kaji bisnes jual barangan kulit. Kebetulan saya juga minat barang kulit. Jadi nak cuba faham pasal bisnes tu saya mula borong beg kulit sebagai sample. Tapi projek tu terbengkalai separuh jalan. Banyak beg yang saya dah hadiahkan pada orang, tapi masih ada baki lagi.

Tengah leka tengok gelagat dan fikiran melayang, tiba-tiba datang giliran saya.

Teknik nego beli barang yang tersusun

Saya ke kaunter. Letakkan beg dan keluarkan 2 jenis lensa yang nak ditolak. Satu jenis zoom jauh dan satu lagi jenis makro. Sebelum tu, saya dah selak semula harga asal masa beli dulu. Saya juga buat carian dalam internet berapa harga terpakai yang orang jual sekarang.

Pekerja tu memang dah berpengalaman. Saya dapat tengok macam mana dia nego pembelian. Dia tanya dulu berapa yang saya jangka boleh jual. Dia tahu tentu saya dah semak semua maklumat sebelum datang ke situ.

Selepas bincang. Dia ambil semua barang yang saya cadang nak jual ke dalam bilik belakang. Saya jenguk sikit. Nampak ada banyak barang kat dalam tu. Dan ada komputer. Saya rasa dia buka database atau dia semak kedudukan harga barang tu dalam pasaran.

Dalam masa yang sama dia buka dan periksa keadaan lensa yang saya berikan.

Tak lama kemudian, dia keluar semula dan letakkan kedua-dua lensa atas meja. Dia buka harga dan berikan alasan kenapa itu harga yang ditawarkan. Salah satu kamera saya tu ada kulat sikit di dalam lensanya.

“Sampai ke situ depa check”, detik saya dalam hati.

Memang mereka cekap dan berpengalaman. Lagipun Cash Converter ada 7 cawangan. Tentu mereka akan saling tukar maklumat. Atau update segala maklumat terkini dalam sistem jual dan beli mereka.

Satu perkara yang saya perasan adalah, nilai tawaran yang mereka buka mesti lebih rendah dari separuh harga barang tu dalam pasaran. Kalau lensa saya harga pasarannya adalah RM500, mereka akan tawarkan harga beli lebih rendah dari RM250.

Itu satu teknik yang saya rasa sangat baik.

Sudah tentu anda akan rasa sangat rugi. Tapi daripada berhabuk tak terpakai bertahun-tahun, dibiarkan nanti rosak, lebih baik jual dapatkan duit saja. Lagipun saya dah niat nak hilangkan sekurangnya 2 barang sebelum ambil barang baru.

Saya bersedia untuk berikan percuma saja untuk hilangkan barang itu. Jadi harga yang mereka tawarkan adalah sangat baik bagi saya. Beg kamera tu, yang original, mereka tawarkan dengan harga bagus. Beg tu memang berkualiti tinggi masa saya beli dulupun masih mahal harganya.

Pendekkan cerita, saya berjaya lepaskan 3 barang hari tu. 2 lensa dan satu beg. Rasa lega. Rasa puas dan hilang terus rasa bersalah selama ini. Biarlah orang lain yang beli nanti. Orang yang akan gunakannya dengan optimum berbanding saya.

Selepas saya ambil duit cash, saya tanya macam mana saya nak beli ada satu lensa yang dipamerkan kat dalam kedai depan tu. Dia suruh saya masuk ke dalam kedai tu dan beritahu nak harga special sebab ada tolak barang kat situ.

Beli lensa terpakai pulak

Saya masuk semula ke dalam kedai depan. Terus ke bahagian lensa dan minta keluarkan satu yang saya nak belitu. Keadaan lensa terpakai tu macam baru. Sempurna dan saya mencubanya bersama kamera terpakai dalam kedai itu juga.

Bila dah puas hati saya setuju nak beli. Saya beritahu macam mana pekerja pembelian tadi suruh beritahu. Dia bawa lensa tu ke bilik belakang. Saya rasa da pergi jumpa pekerja yang beli lensa saya taditu.

Bila dia datang balik, dia berikan satu harga yang lebih rendah dari tawaran awal tadi. Saya minta kurang lagi. Dia masuk lagi tanya dan keluar pula dengan satu harga rendah sikit. Akhirnya saya beli dan balik.

Satu pengalaman menarik saya dah lalui. Lihat macam mana proses dan cara cash converter beroperasi. Nampak tersusun dan berpengalaman serta meyakinkan. Ada ramai pekerja dalam Cash Converter Shah Alam tu.

Kos gaji pekerja saja tentu tinggi. Saya yakin ada sistem komisyen untuk para pekerjanya. Terutamanya pekerja yang pakar dalam tawar menawar beli barang orang. Mereka ambil semua maklumat penjual tak tinggal satupun.

Maksudnya, dari segi keselamatan pun mereka dah pertimbangkan.

Dari jumlah pekerja tu, saya yakin bisnes tu punya hasil jualan yang tinggi. Nak bayar gaji staff saja tentu dan belasan ribu.

Bisnes tu menarik. Cuma banyak pakai duit tunai. Digunakan untuk beli barang dan simpan stok barang. Ada risiko sikit kalau barang terpendam lama tak ada pembeli. Sebab itu harga tawaran adalah separuh dari harga semasa.

Jual barang terpakai ni bagi saya salah satu dari cara untuk mula berniaga dari kosong secara mudah. Anda boleh tawarkan khidmat buang barang pada jiran, kawan dan saudara mara yang simpan banyak barang tak pakai.

Pergi ambil barang mereka dan kumpulkan di satu tempat yang sesuai. Bersihkan dan pulihkan barang tu. Kemudian pasarkan dengan harga yang menarik untuk yang berminat. Risikonya adalah takut orang ingat anda ajen beli barang curi … Perlu ada lesen kalau nak libatkan diri jual barang terpakai ni.

Harap dengan perkongsian ni, tercetus sedikit idea untuk anda mula berniaga. 

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Pengalaman berurusan dengan Cash Converter - Bisnes jual beli barang terpakai

Previous
« Prev Post

4 comments:

  1. Bunyi macam penulis nak sedapkan hati sendiri sbb brg yg dijual tu kena lowball habis dgn staff tu huhu....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul! memang nak sedapkan hati sendiri. Dan nampaknya agak berjaya. Hehe !

      Delete
  2. Salam . saya memerlukan duit untuk bayar mcm2 bulan ni. nasip saya baik selepas baca artikal ni. sebelum sy pergi jual barang2 yang tidak dipakai lagi ke kedai cash converter ni . terima kasih info tuan . saya tunggu pukul 10 pagi kejap lagi sy akan bawa barang ke cash converter shah alam . ada portable aircon/ camera dslr/ gopro hero 4. saya memerlukan duit segera untuk anak/

    ReplyDelete
    Replies
    1. Semoga Tuhan permudahkan urusan tuan. Terima kasih komen!

      Delete

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !