Setakat ni, saya belum lagi jumpa kawan-kawan yang berniaga, mengaku tak pernah ada pengalaman kena kencing dengan orang atau kawan.
Paling ramai kena kencing, ialah kawan-kawan yang akhirnya tak jadi berniaga sampai sekarang.
Mereka merupakan golongan yang paling ketara kena kencing dengan kawan. Mereka cuba berniaga pada satu ketika dahulu, tapi perniagaan itu gagal.
Kalau tanya, kenapa bisnes tu tak jadi. Antara sebab yang popular adalah, 'kena kencing dengan kawan'.
Ada juga yang kena kencing berkali-kali.
Kena sekali, sabar. Belum serik lagi dan cuba lagi.
Kena kencing pula kali ke-2. Sabar lagi dan cuba lagi.
Kena kencing lagi! Terus angkat tangan, bertaubat tak mau berniaga dah.
2 jenis usahawan kena kencing kawan
Ada 2 jenis usahawan yang lalui pengalaman kena kencing ni.
Yang pertamanya
Dia kena kencing tapi tidak dianggapnya sebagai kena kencing. Dia melihat pengalaman itu dari perspektif yang berbeza.
Dia sedar dan akui yang dia masih bodoh dan tak ada pengalaman.
Apa yang terjadi dianggapnya sebagai bayaran untuk faham. Untuk jadikan pelajaran baru dalam melayari dunia pengalaman.
Itu golongan yang biasanya berjaya dalam usaha perniagaan mereka.
Golongan yang macam tu tak berapa ramai. Sama macam tidak ramainya jumlah orang yang berjaya dalam perniagaan.
Kalau anda tanya pada kumpulan pertama ini, tentang pengalaman kena kencing, mereka akan senyum dan rasa lucu.
Lucu bila ingat kembali betapa bodohnya diri mereka satu ketika dahulu.
Golongan ke-2
Ialah mereka yang kena kencing, yang betul-betul percaya mereka memang kena kencing.
Mereka percaya kawan yang kencing tu memang sengaja jahat dan kaki kencing serta hidup kat dunia ini semata-mata untuk kencing orang.
Kalau pergi tanya golongan ini sekarangpun, mereka masih anggap yang mereka betul. Mereka telah jadi mangsa kepada manusia yang diutuskan ke muka bumi hanya untuk kencing orang.
Golongan ini biasanya samada mereka dah gibab. Berhenti berniaga dan kerja makan gaji.
Atau masih tak kerja makan gaji, berniaga lagi.
Tapi perniagaan yang dilakukan tak ke mana.
Terlalu berhati-hati dan susah nak buat kerjasama dengan orang.
Perniagaan mereka juga lebih banyak memberikan kesusahan kepada dia sendiri dan ramai orang lain.
Beza usahawan berjaya dan tidak
Dari 2 golongan kat atas tu, anda boleh nampak sendiri beza antara orang yang berjaya jadi usahawan dengan orang yang sekadar jadi tak ketahuan.
Yang pertama, dia hadapi semua kejadian dan serap semua pengalaman.
Semua itu dilalui dengan cara berfikir yang unik, ada pada setiap usahawan berjaya.
Cara fikir unik itu juga dikongsi oleh semua orang yang berjaya dalam jurusan selain keusahawanan. Samada pendidik, ahli politik, penyelidik, aktivis NGO atau apa saja jurusan.
Cara berfikir unik orang berjaya adalah begini.
Dalam apa keadaan sekalipun, jika berlaku sesuatu yang tak kena, orang pertama yang dia cari salah adalah, ‘dirinya sendiri’.
Dia masuk dalam bilik gelap. Buka lampu suluh. Duduk depan cermin. Angkat lampu suluh atas kepala dan suluh dirinya sendiri kat depan cermin tu.
Dia akan tanya soalan, ‘apa yang tak betul aku dah buat sampai jadi macam ni?’.
Dia juga tanya, 'apa yang aku boleh buat supaya perkara ni tak berulang lagi?'.
Jika anda buat semua itu, anda akan jadi kuat dan semakin kuat. Pandai dan semakin pandai, setiap kali berlaku perkara yang tak betul dalam hidup anda.
Kecuali kejadian itu membuatkan anda mati, barulah habis proses peningkatan diri tu.
Tapi saya yakin golongan ni selalunya pandai kira untuk ambil risiko. Tak akan lalui cubaan yang merbahaya sampai boleh bawa maut.
Usahawan atau orang yang tak berjaya pula macam mana fikiran mereka?
Tak payah nak terangkan rasanya. Anda sendiri boleh baca. Mereka punya fikiran tak unik lansung. Dipegang dan diamalkan oleh majoriti manusia atas muka bumi ini.
Bila ada sesuatu yang tak kena terjadi dalam hidup, secara spontan radar kepala otak mereka mula bergerak. Mencari siapa orang pertama yang perlu disalahkan terlebih dahulu selain dari dirinya sendiri.
Terbalik berbanding kumpulan pertama tadi.
Perumpamaannya adalah seperti sebuah stadium. Dia masukkan semua orang dan apa saja yang boleh ke dalam stadium dan buka lampu terang benderang ke atas semua orang kecuali dirinya sendiri. Dia mula lihat satu persatu siapa yang patut dipersalahkan.
Yang pertama sangat bertanggung jawab ke atas segala kejadian yang menimpa dirinya. Manakala yang kedua pula lansung tak ada tanggung jawab.
Dia tidak mahu ambil tanggung jawab terhadap apa yang berlaku kepada dirinya sendiri.
Pengalaman bodoh dikencing
Sebenarnya, ada banyak lagi kebodohan yang saya dah buat selama jadi usahawan ni. Tapi saya nak kongsikan 2 kebodohan saja.
Kalau dalam sebutan biasa, kita boleh cakap yang saya kena kencing. Tapi hakikatnya, saya buka kebodohan diri. Ianya berpunca dari keadaan diri saya sendiri yang bodoh ketika itu.
Kebodohan pertama
Tawaran beli hartanah yang bagus harganya dari seorang kawan.
Anda tentu tahu. Salah satu cara yang terbukti berkesan untuk bina kekayaan, yang biasa diamalkan oleh orang kaya, adalah beli hartanah bila ada duit.
Beli hartanah yang murah harganya dan boleh dijual dengan harga menarik di masa akan datang.
Kalau beli dengan harga pasaran biasapun masih tak apa. Asalkan ada maklumat yang boleh dipercayai bahawa harganya akan melambung naik tinggi dalam masa yang akan datang.
Saya ditawarkan untuk beli hartanah, harga murah dari pasaran. Lokasi pulak memang saya tahu akan naik makin lama makin mahal harganya.
Kononnya nak jadi kaya dan buat macam orang kaya, tanpa fikir panjang, tanpa buat kaji selidik. Saya keluarkan duit bayar deposit.
Habis kesemuanya lebih dari RM50 ribu.
Kenapa tak buat semakan dan selidik dahulu?
Macam yang saya katalah. Yang datang berikan tawaran tu adalah kawan baik yang saya percaya sungguh-sungguh.
Kalau dia datang beritahu kat saya yang dia baru jumpa sekor kucing yang ada 2 tanduk, saya akan percaya.
Kalau dia datang beritahu yang dia jumpa marka lama yang kirim salam kat saya. Sudah tentu saya akan percaya.
Macam itulah tingginya kepercayaan saya kepada nya. Kenapa nak semak pulak tawaran bagus itu?
Haaa! kat situlah kebodohannya!
Jangan jadi bodoh walaupun kepada kawan baik yang anda sangat percaya.
Dalam bisnes, dan sebenarnya dalam apa saja urusan. Anda perlu bertanggung jawab dengan semua keputusan yang dibuat.
Jadi sila selidik terlebih dahulu.
Selepas dah terkena hangus semua duit saya baru tahu duduk sebenar kejadian. Panjang cerita kejadiannya.
Tapi dipendekkan cerita adalah, dia hanya mahu ambil duit saya untuk selesaikan masalah yang terdesak sedang dihadapinya.
Adakah saya patut salahkan dia kerana kencing dan bodohkan saya?
Adakah saya patut dendam tunggu peluang untuk jangkitkan dia dengan Covid-19?
Sudah tentu tidak.
Macam seorang kanak-kanak yang tertekan. Dia akan cari solusi yang paling berkesan, paling hampir berdasarkan pengetahuan dan pengalamannya selama ini untuk melepaskan diri. Bukan ada niat jahatpun. Budak-budak katakan.
Solusinya saja salah. Dah itu saja yang dia tahu. Nak buat macam mana!
Yang bodohnya adalah saya. Tak semak dan tak berhati-hati. Itu kebodohan pertama saya.
Kebodohan kedua
Bila berniaga ni biasalah. Bab duit yang selalunya yang membodohkan anda. Ini satu lagi kejadian yang membodohkan diri saya selama jadi usahawan.
Staff sendiri. Orang yang saya percaya juga.
Percaya sebab tak ada satu haripun yang mulutnya tak basah dengan zikir dan kata-kata yang sangat baik serta nasihat yang terpuji. Sebab itu juga saya gajikan dia dan biarkan dia ketuai syarikat dalam tempoh yang lama.
Selama bertahun-tahun, saya akan lepaskan semua urusan perniagaan kepada staff dan kepada rakan kongsi melainkan satu perkara. Kewangan.
Bab luluskan keluar duit saya tak akan lepaskan pada sesiapa.
Saya akhirnya pecahkan tradisi tu dan berikan kuasa untuk keluarkan duit pada staff kepercayaan tu.
Dan tak lamapun, habis berpuluh ribu telah disalah gunakan. Nasib baik saya semak sebelum jumlah itu naik jadi ratusan ribu.
Bukan tak buat proses semak dan imbang. Saya dah pecahkan proses keluarkan duit kepada peringkat. Perlu disemak oleh lebih dari satu orang.
Tapi depa lagi pandai. Pakat dan buat diam-diam.
Itu bodohnya saya.
Bila berikan kuasa. Sila semak secara detail setiap bulan kalau tak setiap minggu. Ada macam-macam tujuan dia keluarkan duit. Semuanya berniat baik. Termasuk untuk lepaskan masalah peribadinya yang sangat terhimpit.
Macam kes kat atas tadi juga.
Mereka cuma nak selesaikan masalah mereka. Dengan cara yang terbaik yang paling hampir pasti dapat selesaikannya segera.
Saya sangat yakin, kalau ada cara lain sudah tentu mereka tak akan buat cara membodohkan saya tu.
Sekarang ni pun saya dapat bau ada beberapa kebodohan lagi yang akan menimpa saya.
Tunggu masanya saja. Moga saya diberikan kekuatan untuk hadapi dan minimumkan kerosakkannya.
Maafkan orang adalah lebih baik
Saya tahu anda juga tentu ada pengalaman seperti yang dah saya lalui. Mungkin dalam bentuk yang berbeza.
Mungkin bukan duit. Sesuatu peluang dimana anda telah dinafikan sedangkan anda yang bawa, idea anda dan usahasama anda, tapi hasilnya dibolot oleh kawan kesemuanya.
Itu juga boleh berlaku dan sering berlaku.
Mulai dari sekarang, anggaplah anda bukannya kena kencing.
Sebaliknya anda yang bodoh dan sedang ditarbiah supaya jadi lebih pandai di masa yang akan datang.
Maafkan sajalah. Masa kawan anda buat tu, dia hanyalah buat keputusan yang dianggapnya terbaik dalam menyelesaikan masalah dirinya sendiri. Kebetulan anda ada sekali dalam kapal dan keputusan yang dia ambil membuatkan anda rugi.
Nak buat macam mana. Maafkan saja dan belajar dari kesilapan.
Saya baca satu ayat yang sangat menarik dalam bab memaafkan ni. Ia ditulis oleh seorang penulis dan penggiat seni bernama Lily Tomlin. Begini ayatnya;
“Forgiveness means giving up all hope for a better past”
Sangat indah ayat itu.
Bagi orang yang belajar ilmu Tauhid, itu adalah satu dasar yang sangat kuat tentang kepercayaan terhadap Qada dan Qadar.
“Apa yang telah berlaku, sesekali tidak akan tidak berlaku. Dan apa yang telah tidak berlaku, sesekali tidak akan telah berlaku”
Maksudnya kalau minggu lepas anda telah kena kencing dengan Si Anu dan rugi sebanyak RM50 ribu, maka itulah yang anda dapat. Kena kencing dan rugi RM50 ribu.
Adalah sesuatu yang mustahil untuk berlaku selain dari itu.
Mengharapkan supaya anda cekap dan terselamat dari kena kencing minggu lepas adalah satu impian yang sia-sia dan mengarut. Mengharapkan minggu lepas anda hanya kena kencing 50 sen saja, juga adalah satu impian yang sia-sia.
Lepaskan saja semua impian mengarut tu. Jangan nak harapkan agar apa yang anda telah lalui, tidak berlaku. Atau berlaku kejadian yang lebih baik dari yang telah berlaku.
Itu adalah mustahil.
Selamat berjaya!
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !