Pekerja yang bagus bukan senang nak cari.
Kalau tak percaya, cuba tanya mana-mana majikan atau taukeh bisnes yang anda kenal. Tentu mereka akan setuju.
Itu dilema besar yang sering dihadapi para peniaga kecil. Malah turut sama di hadapi oleh entiti perniagaan yang besar-besar.
Anda tentu tahu bahawa salah satu perkara utama wajib ada, supaya syarikat berkembang dan membesar, adalah kehadiran para pekerja yang bagus.
Di situ lah cabarannya.
Dah jadi lumrah dalam kehidupan, apa saja yang bernilai, sudah pasti ia merupakan sesuatu yang sentiasa tak cukup. Permintaan sentiasa melebihi bekalan.
Untuk usahawan, bab pekerja inilah yang paling sukar sekali untuk diselesaikan. Hampir semua industri menghadapi masalah yang sama.
Dah la sukar nak cari pekerja yang ada kemahiran dan pengalaman. Untuk cari pekerja bagus, terlebihlah lagi sukarnya.
Mesin ganti pekerja bagus
Syarikat-syarikat besar tidak fikir panjang untuk laburkan duit dalam mencari kaedah terbaik menggantikan manusia. Mereka mahu tukarkan pekerja manusia dengan mesin.
Lebih mudah kendalikan mesin dari kendalikan manusia.
Sehingga kini, banyak mesin telah gantikan kerja yang selama ini dilakukan oleh manusia.
Dalam industri perbankan, mesin ATM buatkan kerani di kaunter bank dah tak ada kerja. Tak lama lagi, dengan kepesatan pembangunan Artificial Intelligence (AI), lebih banyak mesin akan buatkan manusia hilang kerja.
Banyak syarikat baru terutamanya di Israel dan Amerika memberikan tumpuan kepada penghasilan mesin yang cekap dan bijak, menyelesaikan masalah yang selama ini dilakukan oleh manusia.
Contoh paling ketara yang saya baca baru-baru ini adalah dalam dunia perundangan. Mereka guna AI bagi membuat semakan terhadap kontrak perjanjian. Kerja yang selama ni dilakukan oleh peguam.
AI semak kontrak perjanjian dengan pantas dan lebih cekap. Jauh lebih hebat dari para peguam handal yang dah berpengalaman lama buat kerja itu.
AI juga dah mula buat kerja para doktor dalam urusan diagnosis pesakit.
Hasil dari kerja yang dilakukan oleh AI dalam kedua-dua contoh yang saya berikan tadi, adalah jauh lebih cekap dan pantas berbanding orang.
Jangan terkejut jika selepas ini semua pekerja adalah mesin.
Mungkin itu adalah berita baik untuk para usahawan.
Lambat laun, masalah cari pekerja bagus sudah tidak timbul lagi. Diharapkan begitulah.
Usahawan hanya perlu sediakan wang yang banyak sahaja untuk dapatkan akses kepada mesin.
Jenis kerja sesuai untuk mesin
Kerja manusia yang akan digantikan oleh mesin adalah jenis yang remeh. Kerja berulang, yang makan masa tetapi penting.
Manusia memang mudah jemu dengan kerja sedemikian. Mesin yang tak ada perasaan lebih sesuai buat urusan macam itu.
Satu-satunya yang mungkin mesin tak boleh buat adalah bab pengurusan.
Untuk itu, manusia lebih diperlukan dalam bab pengurusan. Sekarang, dan lebih-lebih lagi di masa hadapan, keupayaan mengurus yang lemah akan membuatkan manusia jadi hampir tak bernilai.
Kalau anda, anak muda mahukan jadikan diri punya nilai yang tinggi, pastikan cekap mengurus.
Setakat kuat buat kerja yang pakai tenaga sahaja sudah tak berapa berguna sangat untuk majikan satu masa nanti.
Pekerja asing yang ramai
Perkembangan mesin ganti kerja manusia pesat berlaku di negara maju seperti Jepun, China, Israel dan lain-lain.
Tapi, usahawan kat Malaysia masih banyak perlukan tenaga pekerja bagus untuk membina syarikat dan perniagaan yang dijalankan.
Memang kebanjiran mesin datang dalam skala besar tetap akan berlaku juga di negara kita, Malaysia, tapi bukan dalam masa terdekat ini.
Cuba lihat suasana dunia pekerjaan sekarang. Kita masih banyak pakai tenaga buruh murahan dari luar.
Jumlah tenaga kerja bukan rakyat Malaysia yang ada sekarang mencecah lebih 6 juta orang.
Ada pendapat yang kata keseluruhan tenaga kerja termasuk yang tak ada permit mungkin mencecah lebih 11 juta orang.
Ertinya dalam 4 orang yang anda jumpa kat jalan tu, seorangnya adalah warga asing bukan rakyat Malaysia.
Kalau anda mengeluh ekonomi tak berapa baik untuk hidup sekarang, mungkin itu antara puncanya.
Bayangkan jika selama ini, kita ingat kek ekonomi dikongsikan hanya oleh 37 juta rakyat. Tapi hakikatnya kita terpaksa berkongsi dengan lebih dari 48 juta orang. Patut pun rasa sempit sikit nak berusaha cari makan.
Mesejnya kat sini, semua itu menunjukkan negara kita masih bergantung pada aktiviti pembuatan dan pengeluaran yang fokus pada tenaga kerja murahan.
Masih tahap negara baru nak naik.
Kita bukannya negara berpendapatan tinggi yang bergantung pada aktiviti industri bernilai tinggi.
Kriteria pekerja bagus
Maknanya, para peniaga kecil terutamanya, masih perlukan pekerja bagus untuk menjayakan bisnes.
Jadi, apakah kriteria untuk kenal pasti seseorang itu merupakan pekerja yang bagus?
Saya berikan kriteria mudah tersebut di bawah.
1. Kemahiran
2. Sikap
Kedua-dua kriteria di atas wajib ada pada pekerja yang bagus.
Kalau nak syarikat berjaya, carilah pekerja yang ada kedua-dua ciri tersebut. Kombinasi selain dari 2 ciri di atas tak diperlukan sangat dalam membantu syarikat untuk pergi jauh.
Ada 3 lagi jenis pekerja yang ada dalam sesebuah syarikat. Ianya adalah seperti berikut di bawah.
1. Kemahiran tinggi, perangai buruk
2. Kemahiran dan perangai keduanya buruk
3. Kemahiran rendah, perangai cemerlang
Kekalkan pekerja bagus syarikat
Jika anda sekarang ada pekerja yang bagus dalam syarikat, pastikan mereka dijaga seelok mungkin.
Kalau anda tak mahu jaga dengan baik, ada banyak lagi syarikat lain yang nak tolong jaga.
Jangan sampai pekerja yang bagus cabut lari ke syarikat lain.
Daripada kajian yang saya baca dari berbagai sumber, para pakar merumuskan ada 5 sebab utama kenapa pekerja bagus cabut lari.
5 sebab itu adalah seperti berikut
1. Tiada kebebasan
2. Tiada masa depan berkembang
3. Tak faham perasaan pekerja
4. Hak jalani kehidupan seimbang
5. Tak berikan kredit dan motivasi
Itulah 5 sebab kenapa pekerja yang bagus dalam syarkat anda cabut lari. Saya juga agak lemah dalam melaksanakan kesemua 5 perkara tersebut di atas. Paling ketara adalah dalam perkara no. 5 kat atas tu.
Saya susah nak puji orang. Tapi kalau saya puji tu, bermakna memang saya benar-benar terharu dengan sumbangannya. Tapi rasanya masih tak cukup. Untuk mereka yang kerja dengan saya, maafkan saya kalau bab ke-5 itu masih lemah. Saya tahu dan akan baiki supaya lebih sempurna, insyaallah. Tolong berikan masa dan sabar dengan saya.
Bagi anda yang dah ada pekerja, sila ambil perhatian dengan apa yang saya kongsikan kat atas itu. Pekerja bagus adalah tulang belakang syarikat anda. Jaga mereka sebaik mungkin dan insyaallah anda menghampiri kejayaan.
Moga sama-sama dapat kita beramal!
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !