Jika ada merupakan seorang pengusaha perniagaan kecil dan sederhana, anda tentu dah lama tahu betapa teramat pentingnya urusan melakukan jualan dalam sesebuah perniagaan.
Justeru itu, anda perlu tahu dengan jelas semua proses yang berkaitan dengan urusan menjual dalam perniagaan yang anda jalankan.
Sehebat manapun produk yang anda tawarkan, kalau tak dboleh nak jual, sedikitpun tak guna.
Untuk menjayakan perniagaan, ada 2 elemen penting yang wajib ada.
- Produk yang boleh diterima – Ini memerlukan kemahiran teknikal untuk mengadakan produk atau servis yang nak ditawarkan ke dalam pasaran.
- Keupayaan menjual – Ini memerlukan kemahiran menjual dalam masa yang paling pantas dalam kuantiti yang mencukupi untuk membolehkan perniagaan terus hidup.
Biasanya, usahawan yang ada kemahiran teknikal lebih mudah untuk memulakan perniagaan. Sebab dia sentiasa boleh bergantung harap pada dirinya sendiri untuk buat kerja.
Tapi AWAS!
Kemahiran teknikal biasanya tak datang seiring dengan kemahiran menjual.
Kalau anda mahir menjual, anda tak akan berapa mahir dalam teknikal. Dan begitulah sebaliknya.
Untuk jumpa seseorang usahawan yang cekap serentak kedua-dua urusan itu, amat jarang.
Sebab itu, bila nak mula berniaga, elok ada 2 orang rakan kongsi.
Seorang akan tumpu pada urusan produk & operasi dan seorang lagi berikan tumpuan pada urusan pemasaran dan jualan.
Mengambil rakan kongsi yang mahir dalam urusan selain dari 2 perkara tersebut di atas adalah tidak diperlukan, di waktu awal berniaga.
Maksudnya, rakan yang mahir dalam pengurusan kewangan, pengurusan administrasi dan lain-lain seumpamanya, adalah tak diperlukan lagi. Itu semua boleh direkrut bila dah mampu nanti.
Yang pentingnya, dari awal, perlu boleh sediakan produk dan boleh dijual. Itu saja yang paling penting.
Tetapi, kalau anda memang dah ada produk, mungkin pakai khidmat syarikat OEM. Atau mungkin buat trading. Anda perlu berikan tumpuan pada aktiviti menjual.
Berlatih untuk menjual
Bagi mereka yang masih kerja makan gaji, nak cuba berkecimpung dalam dunia keusahawanan satu masa nanti, anda boleh minta pada majikan untuk masuk jabatan Sales & Marketing dan berusaha jadi seorang jurujual.
Ini akan dedahkan diri anda ke dalam dunia perniagaan. Malah, anda masih boleh jadi jutawan dengan hanya menjadi jurujual tanpa mempunyai syarikat perniagaan anda sendiri.
Bagi yang berminat nak jadi jurujual. Juga untuk usahawan yang sedang hadapi masalah tak boleh jual produk atau servis yang ada. Saya kongsikan 22 prinsip dan proses menjual kat bawah ni, yang anda perlu belajar dan praktikkan.
Jom hadam satu persatu.
1. Komitmen tinggi menjual
Perlu pasang niat dari awal untuk menjadi seorang jurujual yang profesional dan hebat.
Bukan nak jadi jurutipu. Asal boleh ambil duit orang, tak fikir jauh ke depan. Sanggup tipu dan melakarkan rekod hitam dalam sejarah kehidupan anda.
Oleh itu, perlu pasang niat dari awal, mahu ikhlas dan jujur untuk menjual.
2. Tumpu pada matlamat
Sentiasa berikan tumpuan pada matlamat. Iaitu mahu menjual.
Tak kira samada kena reject berkali-kali, jangan terus goyang dan hilang tumpuan untuk menjual. Terus berusaha gigih sampai jadi.
Pastikan ada sasaran dari segi kuantiti. Letakkan sasaran berapa unit produk dan berapa ringgit anda nak capai. Jangan hilang fokus selagi sasaran tak tercapai.
Sentiasa renung atau buat refleksi semua aktiviti menjual dan buat penambah baikan sampai berjaya mencapai sasaran.
3. Kuasai skill menjual
Ini kelemahan paling ketara yang ada pada kebanyakan orang. Nak jadi jurujual, tapi lansung tak ada usaha untuk kuasai skill menjual.
Anda perlu belajar dengan masuk seminar, baca buku, tanya orang yang dah berjaya dan lain-lain seumpamanya. Belajar dan amalkan secara berterusan supaya skill menjual anda sentiasa meningkat.
Skill menjual tidak akan diperolehi hanya secara teori. Nak betul-betul faham, perlu buat. Macam naik basikal atau berenang. Perlu buat baru dapat kuasainya.
Lagi banyak anda buat, semakin meningkat pemahaman.
4. Bina dan ikut sistem menjual
Anda perlu membina satu sistem yang terbukti berjaya dan ikut sistem yang anda buat itu.
Boleh juga tiru sistem orang lain yang dah terbukti berjaya dan cuba lakukannya. Dari situ anda boleh perbaiki dari masa ke masa sampai jadi sistem anda sendiri.
Jangan sampai main belasah hentam kromo saja tanpa ada ada panduan terhadap satu sistem yang terbkti berkesan. Belasah ikut mood kejap begitu kejap begini tak akan bantu anda jadi jurujual yang cekap dan berjaya.
5. Susun usaha
Urusan menjual perlu ada perancangan yang baik. Susun usaha anda itu dengan jelas satu persatu. Bukan main hentam tak tahu hujung pangkal.
Untuk itu perlu ada masa muhasabah dan semak segala sasaran dan perkemaskan perancangan dan perbaiki tindakan. Perlu ada masa bersendirian buat review sasaran.
6. Hormat dan dihormati
Sentiasa hormat orang lain. Jangan biadap dan tinggi diri. Dalam masa yang sama perlu ada keyakinan yang tinggi dan jangan benarkan orang tidak hormati anda.
Pastikan anda belajar bagaimana cara untuk pastikan orang lain memandang anda sama taraf supaya dia bersedia untuk berurusan dan bekerjasama dengan anda.
Penting ni .. saya ulang. Perlu tahu cara untuk buatkan orang pandang anda sama taraf dan bersedia berurusan dengan anda!.
7. Fahami orang
Berusaha untuk faham orang lain dan cuba selami cara orang lain berfikir. Jangan keliru antara apa yang sepatutnya berlaku dengan apa yang biasanya berlaku.
Contohnya, sepatutnya polis tak rasuah. Itu sepatutnya berlaku. Tapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Polis biasa saja ambil rasuah. Itu yang biasa berlaku.
Manusia kebanyakannya bertindak dan buat keputusan secara tidak rasional disebabkan oleh peranan emosi yang sering berubah-ubah dengan mudah.
Itu yang kebiasaannya berlaku.
Terima hakikat ini dan belajar untuk faham dan ikut rentak pemikiran mereka.
8. Bina senarai suspek dan prospek
Sentiasa senaraikan suspek dan bina prospek.
Suspek adalah siapa saja yang anda rasa berpotensi jadi pelanggan anda. Suspek akan jadi prospek bila anda dapat berhubung atau dia berhubung dengan anda.
Fkirkanlah cara untuk dapat berhubung dengan suspek sampai jadi prospek.
9. Tapis prospek
Bila dah jadi prospek, anda perlu membuat penilaian dan terperinci dan buat penapisan.
Kekalkan prospek yang berpotensi sahaja dan tinggalkan yang tidak berpotensi. Jangan buang masa melayan prospek yang anda tahu bukan pelanggan yang anda sasarkan.
10. Paham cara buat keputusan
Perlu hadam bagaimana keputusan akhir berlaku dari mula sampai habis.
Ada prospek yang bertindak selaku pengguna sahaja, tapi dia tak buat keputusan akhir untuk membeli.
Disamping prospek, ada juga kaki sabotaj yang akan menghalang prospek dari buat keputusan membeli.
Disamping prospek juga ada orang lain yang punya daya mempengaruhi.
Perlu baca semua itu lebih-lebih lagi jika anda berurusan dengan sesebuah organisasi.
11. Belajar berkawan
Belajar cara terbaik untuk mendekati orang baru. Bina perhubungan awal dengan memberikan impak awal yang positif.
Ingat, 'first impression' adalah perkara yang amat penting dalam berurusan dengan orang. Ambil berat terhadap setiap pertemuan pertama supaya anda berjaya tanam persepsi yang terbaik terhadap diri anda.
12. Bina kepercayaan
Bila dah berjaya mendekati dan berhubungan, berusahalah untuk membina kepercayaan.
Hanya orang yang dah mula taruh kepercayaan pada anda sahaja yang akan berkemungkinan membeli.
13. Kumpul fakta dan bentang
Jangan main-main dengan amalan buat andaian.
Dalam menjual, andaian tak boleh pakai. Semua andaian perlu dipastikan terlebih dahulu dengan semakan.
Cari fakta yang betul dan sediakan sebelum bentangkan produk atau servis anda.
14. Tanya soalan bijak
Bila bertanya, jangan buat pertanyaan bodoh yang tak relevan. Semua pertanyaan adalah bermatlamatkan untuk membawa kepada aktiviti jualan.
15. Cari keperluan pelanggan
Perlu mahir kenal pasti apa sebenarnya yang diperlukan pelanggan. Dengar percakapannya dan baca tanda-tanda yang tersembunyi untuk pastikan masalah sebenar.
Dalam berbual anda perlu mahir tangkap ayat yang zahir dan terpendam.
16. Selesaikan masalah
Selesaikan masalah pelanggan. Bukannya selesaikan masalah anda.
Ada orang yang nak menjual tapi pakai teknik supaya orang kasihaninya dan membeli atas dasar kasihan itu.
Anda nak bantu selesaikan masalah orang atau nak orang tolong selesaikan masalah anda?
17. Atasi kerisauan
Jika dah jelas yang produk atau servis anda memang diperlukan oleh pelanggan, tapi dia masih juga tak beli, biasanya hanya disebabkan satu perkara saja.
Dia risau. Takut buat silap bila dah beli nanti.
Oleh itu, sentiasa berikan jaminan. Atau buatlah apa saja supaya rasa risau itu dapat dihilangkan.
18. Tutup jualan
Bila dah selesai semua perbincangan dengan baik dan pelanggan dah tak risau lagi, segera tutup jualan.
Jualan dianggap tutup hanya bila pelanggan dapat produk atau servis anda dengan sempurna dan anda dapat pembayaran dengan penuh. Selagi tak berlaku 2 proses tu, jualan masih tak ditutup.
19. Buat susulan jualan
Bila dah dapat bayaran dan pelanggan dapat apa yang dia mahu, jangan tinggakan begitu saja.
Buat perhubungan susulan. Berikan komitmen penuh supaya dia puas hati dan tidak rasa diabaikan.
20. Kekal perhubungan
Kekalkan perhubungan. Ambil maklumat pelanggan dan simpan dengan baik. Sekali dia pernah beli dari anda, sampai mati anda perlu ingat dan mampu menghubunginya semula.
21. Elak salah dan belajar
Sentiasa berusaha elak kesilapan. Kalau berlaku juga ambil iktibar dan belajar.
Paling baik, belajar dari kesilapan orang lain dan elakkan dari buat kesilapan yang sama.
22. Kuat semangat tahan lasak
Paling akhir sekali dan paling penting.
Sentiasa kuatkan semangat. Tahan kena reject walaupun beratus kali. Pujuk diri sendiri dan jangan biarkan emosi kecewa berlarutan dalam tempoh yang lama.
Lagi cepat anda mampu pulihkan kekecewaan, lebih cekap anda menjadi jurujual yang berjaya.
Selamat beramal !
Terima kasih selalu berkongsi perkara yang bermanfaat, artikel diatas macam baca buku sales Bible , teruskan usaha anda berkongsi ilmu yang bermanfaat ( salah satu amalan yang digalakkan kepada umat islam).
ReplyDeleteTerima kasih Tuan. Selalu berikan support.
Delete