Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

07 June 2022

Tok nenek dah bina dan tinggalkan budaya yang cantik sangat, tapi sekarang banyak dah rosak

  Ano Nyme       07 June 2022


Saya cari jumlah kes cerai pasangan yang berkahwin di negara kita dalam tempoh 50 tahun sudah, tapi tak dapat. Yang ada cuma statistik kes cerai dari tahun 2000 sehingga ke tahun 2018 untuk negeri Selangor.

Ringkasan dari kes cerai bermula dari tahun 2000 hingga ke tahun 2018 tu lebih kurang begini ..

Pada tahun 2000 kes yang didaftarkan adalah sejumlah 485 kes sahaja. Kes meningkat pada tahun 2001 kepada 514 kes. 

Naik lagi pada tahun 2002 kepada 1676 kes.

Bertambah lagi banyak kepada 3,159 kes pada tahun berikutnya.

Begitulah naik dengan laju dari tahun ke tahun sehingga menjadi sebanyak 11,860 kes pada tahun 2018.

Angka menunjukkan kes cerai semakin lama semakin tinggi jumlahnya. Itu hanyalah data untuk negeri Selangor.

Kenapa cari maklumat kes cerai di Malaysia?

Sebab nak tengok kaitannya dengan tajuk yang saya buat kat atas tu.

Andaian yang saya buat adalah, jumlah kes cerai meningkat dari tahun ke tahun apabila orang kita tinggalkan budaya yang Tok Nenek dah bina dengan cantik selama ini.

Nota Tambahan:

Seorang pembaca tolong berikan maklumat terkini pasal kes cerai pada pautan di sini. Dalam laporan itu, golongan yang dah berumur juga rancak bercerai berai. Banyak alasan yang diberikan adalah remeh temeh sahaja.

Makanan kurang garam pun boleh jadi pencetus untuk bercerai!

Punca utama kes cerai di Malaysia

Kalau anda buat carian Google apa punca berlakunya kes cerai kat Malaysia, ada banyak jawapan.

Ada yang berpendapat penggunaan media sosial rancak sekarang di kalangan orang ramai meyumbang kepada bertambahnya kes penceraian.

Maklumat dari mahkamah syariah pula merumuskan banyak kes cerai berlaku hanya disebabkan oleh perkara-perkara yang remeh sahaja.

Banyak punca yang menyumbang pasangan pergi ke mahkamah untuk buka kes cerai. Samada kecil atau besar, punca akhir penyebab yang dilaporkan depan hakim, sudah pasti ianya adalah gabungan dari seribu satu macam peristiwa.

Keputusan akhir adalah hasil dari himpunan semua perkara yang berlaku sepanjang hidup bersama sebagai pasangan suami isteri.

Tak logik jika suami nak cerai isteri hanya disebabkan sekali terlajak maki suaminya dengan perkataan yang keras.

Begitu juga tak logik jika isteri nak minta fasakh hanya disebabkan suaminya terlajak tampar isteri baru sekali.

Semua kejadian tak seronok boleh saja mencetuskan niat nak bercerai. Walaupun perkara remeh seperti tak ucap happy birthday.

Jadi, tak boleh lihat hanya dari sudut kenapa nak ambil keputusan bercerai tu.

Perlu juga dilihat pada suasana. Keadaan di mana proses pasangan nak bercerai adalah sangat mudah.

Presedur nak cerai yang mudah menggalakkan lagi kejadian bercerai. Dan juga tiada apa-apa kesan sampingan yang akan berlaku seandainya pasangan jadi bercerai.

Proses nak bercerai biasanya macam kat bawah ni ..

  • Kejadian yang buat tercetusnya rasa ingin cerai >
  • Proses minta cerai >
  • Ganjaran / hukuman kalau jadi cerai

Proses ke-3 tu ramai yang tak tengok.

Sedangkan ia memberikan motivasi akhir samada nak teruskan atau tidak. 

Maksudnya jika ganjaran lebih menarik dari hukuman seandainya berlaku perceraian, tentu pasangan akan lebih cenderung untuk teruskan niat mereka.

Begitulah sebaliknya, jika hukuman lebih tinggi dari ganjaran, ramai yang terpaksa fikir panjang sebelum nak terus bercerai.

Kepupusan budaya yang tok nenek dah bina dan tinggalkan banyak memberikan kesan kepada cerai menjadi satu pilihan. Amalan budaya yang dah rosak membuatkan hukuman masyarakat sudah tidak wujud.

Budaya cantik yang Tok Nek kita bina

Bila dah tua sekarang saya baru nampak semua kecantikkan budaya yang Tok Nenek kita dah ambil masa beratus tahun untuk membinanya.

Saya tengok satu soalan berat yang ditanya oleh seorang lelaki pada pakar sains sosial dalam satu artikel soal jawab.

Dia tak pasti samada nak teruskan perhubungan sehingga berkahwin dengan pasangan wanitanya. Timbul rasa ragu, dalam jangka masa panjang nanti, hubungannya dengan teman wanita akan erat dan selesa seperti mana perhubungan mereka sekarang atau tidak.

Pakar sains sosial itu merungkai satu idea yang sangat menarik.

Jawab pakar itu, soalan lelaki itu berkisar kepada apa yang bakal berlaku kepada perkahwinan mereka di masa hadapan.

Apa yang akan jadi, atau macam di mana keadaan teman wanitanya bila dah lama duduk sekali dengannya 15 ke 20 tahun yang akan datang.

Jadi, pakar sains sosial itu berkata, untuk melihat apa yang bakal berlaku pada bakal isterinya di masa hadapan, dia hanya perlu melihat bagaimana sikap dan keadaan emak wanita tersebut sekarang.

Dia cadangkan pada lelaki tersebut untuk cari ruang bersama dengan emak wanita itu dalam seminggu dua.

Maksudnya perlu mendekati dan menyelami keadaan emaknya sekarang. Itu adalah gambaran yang paling mudah untuk dilihat apa yang bakal berlaku pada isterinya nanti 15 ke 20 tahun nanti.

Perkara penting yang boleh diambil dari cadangan pakar sains sosial itu adalah untuk selidik secara lebih dalam, keadaan dan kedudukan ibubapa keluarga pasangan. 

Jangan main jatuh cinta pada pasangan dan tak ambil peduli pasal keadaan keluarga pasangan.

Sedikit sebanyak, apa yang akan berlaku pada pasangan kita adalah hasil dari pengaruh apa yang telah diterapkan oleh keluarganya. Terutamanya amalan dan budaya emak dan ayah pasangan.

Bab ini orang tua-tua kita dulu dah lama ambil berat.

Budaya merisik yang Tok Nenek kita amalkan untuk mengetahui kesesuaian pasangan yang nak berkahwin dulu dah mula kita tinggalkan. 

Jumpa kat tempat kerja, jumpa kat media sosial, 'dating', jatuh cinta dah menggedik nak kahwin duduk sekali.

Bila proses mendalami budaya keluarga pasangan diabaikan, alamat kita bakal berdepan dengan sesuatu yang diluar jangkaan. 

Masa tu kewarasan menjadi goyang sebab tak sangka atau tak boleh terima. Kalau tahu awal mungkin lain persediaannya.

Putus amalan bina silaturahim

Saya lihat kesemua orang tua-tua kat kampung dulu amat ambil berat pasal hubungan silaturahim. 

Ziarah menziarahi, bertanya khabar jadi perkara wajib dan amalan mereka.

Sekalipun ada ahli masyarakat yang dah berpindah keluar jauh dari kampung, mereka akan luangkan masa sekali sekala pergi berjalan ziarah tanya khabar. 

Kalau kenduri, sudah pasti bersusah payah untuk hadirkan diri walaupun kos nya tinggi.

Masih saya ingat geng basikal tua orang-orang tua kawan-kawan ayah saya dahulu.

Mereka akan kayuh secara berjemaah, konvoi pergi makan kenduri kawan lama yang berhijrah jauh dari kampung asal. Perjalanan 3 atau 4 jam dengan kayh basikal dari pagi sampai tengah rembang semata-mata untuk pastikan ikatan kasih sayang sesama kawan tidak rosak.

Itu hanya ahli kampung.

Kalau ahli keluarga sudah tentu lebih diambil peduli.

Masa ayah saya sakit terlantar atas katil, sekejap saja kawan-kawan samada kawan mak atau kawan dia sendiri akan datang berkumpul kat rumah. Walaupun kejadian berlaku pukul 2 atau 3 pagi. Begitu kuat ikatan silaturahim.

Masa raya tak payah cakaplah.

Kalau kenduri, mak akan ulang ingatkan supaya pergi bantu rumah ahli masyarakat yang nak buat kenduri tu setiap hari.

Dia ingatkan setiap aktiviti persediaan jiran sebelum kenduri. Bila nak bermesyuarat masak, bila nak pasang balai, bila nak ambil pinggan mangkuk, bila nak gotong royong dan lain-lain lagi.

Kalau tak pergi bantu, siap kena hamput dengan mak.

Semua aktivit kemasyarakatan dipandang tinggi. Semua dijangka akan turut sama menyumbang. Hadirkan diri sekalipun pergi tak buat apa-apa sekadar jadi tukang buka cerita lawak. Yang penting hadir!.

Bayangkan jika satu hari isteri bergaduh dengan suami tak bertegur sapa selama 3 atau 4 hari. Semua aktiviti kemasyarakatan itu akan jadi bahan gam untuk rapatkan dan selesaikan semula masalah. 

Orang akan dapat kesan dengan pantas ada masalah bila isteri pergi kenduri sedangkan suami tak datang sekali. Akan ada yang tampil perlahan-lahan cuba betulkan keadaan.

Akhirnya rapat semula.

Pasangan akan serba salah untuk cari pasal bercerai berai kalau tak berat sangat masalahnya. Takut nanti habis semua orang kampung tahu. Tentu rasa tak seronok pergi makan kenduri. Tentu tak selesa nanti berkumpul ramai-ramai kat surau atau masjid.

Apa hasil jika semua itu terhapus?

Tak berkawan dengan jiran. Tak rapat dengan ahli keluarga. Tak pergi kenduri. Tak ziarah keluarga atau kawan jauh atau dekat?

Jika semua itu terputus, maka apa yang berlaku pada kehidupan satu pasangan dan keluarga terus tertutup rapat. Nak bercerai berai, nak pecah kapal anak beranak atau apa saja, tak ada sesiapa yang akan tahu dan ambil kisah.

Maka tak hairanlah hanya disebabkan suami balik kerja lewat cari duit tambah pendapatan, terus jadi kes cerai. Isteri tak puas hati suami suruh berjimat terus nak minta cerai.

Apa saja kes besar atau kecil akan membawa kepada mudahnya nak jadi cerai. Sebab tak ada hukuman atau tekanan masyarakat jika berlaku kes cerai.

Dalam satu kajian yang saya baca, hukuman denda duit banyak manapun, kebanyakan orang masih boleh galas.

Tapi hukuman masyarakat seperti dipandang serong, dipandang hina dan sebagainya, adalah jauh lebih berat dan orang tak sanggup hadapi.

Kena tangkap basah, bayar denda RM3 ribu, itu benda ringan.

Tapi kalau kena tangkap basah zaman dulu, lelaki akan lari keluar kampung sebab malu. Keluarga perempuan akan dipandang serong satu kampung. Mereka akan usahakan untuk selesaikan dengan baik sampai kahwin kalau dah gatal sangat.

Hukuman masyarakat sangat berat dan orang tak mahu ambil risiko.

Begitu juga dalam kes cerai berai ni. Itu perkara besar yang cuba dielak seboleh mungkin jika amalan budaya eratkan silaturahim terus berjalan dengan baik.

Cuba lihat orang yang ada masalah cerai berai. Tentu mereka terdiri dari golongan yang pinggirkan aktiviti kemasyarakatan dan kurang bina ikatan silaturahim.

Jadi ingat sentiasa. Bina ikatan perhubungan dengan adik beradik. Ziarah selalu tanya khabar. Bina ikatan dengan jiran, ziarah kenduri dan lawat bila sakit demam. 

Bina ikatan dengan ahli masyarakat, sertai aktiviti keramaian dan gotong royong. Pergi masjid, pergi surau dan sertai semua kegiatan.

Semua itu sangat baik untuk kestabilan keluarga. Baik untuk membina kekuatan keluarga dan masyarakat.

Semua yang Tok Nenek kita bina dah baik sangat.

Tapi malangnya, kita dah rosakkan segala-galanya. 

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Tok nenek dah bina dan tinggalkan budaya yang cantik sangat, tapi sekarang banyak dah rosak

Previous
« Prev Post

2 comments:

  1. https://www.hmetro.com.my/utama/2022/06/848416/jodoh-rapuh-usia-tua, ini yang paling terbaru yang tua2 pun banyak bercerai..

    ReplyDelete

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !