Ini laporan tahun 2020 yang ditulis di sini. Tentang senarai 10 buku yang paling kerap orang pinjam di perpustakaan awam New York!
Senarai itu dikeluarkan sempena sambutan ulang tahun yang ke 125 perpustakaan awam New York.
Hebat ! Perpustakaan awam itu dah dibuka untuk kemudahan orang ramai sejak tahun 1895 ! Dah 125 tahun perpustakaan itu wujud. Dan sampai sekarang masih wujud.
Bercakap pasal perpustakaan ni. Saya tertanya apa agaknya perlustakaan paling lama wujud di negara kita. Cuba google, malangnya tak dapat banyak maklumat sangat. Kebanyakan perpustakaan lama yang ada hanya diwujudkan dalam lingkungan 60 ke 70 tahun dulu.
Salah satunya adalah "The Malaysian Public Library, Research and Development Centre" yang sekarang berpindah tempat baru ke Wisma HELP, Jalan Dungun, Bukit Damansara in Kuala Lumpur. Perpustakaan itu sudah lebih 65 tahun wujud.
Satu lagi perpustakaan lama yang dah wujud di negara kita adalah perpustakaan FRIM (Forest Research Institute Malaysia).
Perpustakaan paling tua di dunia
Lanjutan nak tahu kewujudan perpustakaan di Malaysia, terlanjur mencari perpustakaan paling tua di dunia pulak dan ini senarai yang saya dapat.
- Perpustakaan Al Qarawiyyin - Ditubuhkan pada tahun 859 oleh seorang wanita bernama Fatima Al-Fihri. Tempatnya di Fez, Maroko
- Perpustakaan Librije - Terletak di sebuah gereja bernama St. Walburga, daerah Gelderland di Belanda. Ia wujud sejak abad ke 16 lagi. Kebanyakan buku yang anda nak baca di situ diikat dengan rantai yang melekat pada meja. Keadaan dalam dan luar bangunan perpustakaan itu kekal tanpa perubahan dari dulu sampai sekarang.
- Perpustakaan Hereford Cathedral - Perpustakaan ini mengandungi koleksi buku yang menyentuh urusan ilmu keagamaan. BUkunya di ikat oleh rantai dan kunci. Dan kesemua rantai dan kunci yang ada pada perpustakaan ini semuanya masih elok dan boleh digunakan sejak dulu sampai sekarang. Perustakaan di Gereja Hereford England ini dimulakan pada 1611 dan banyak buku yang ada merupakan koleksi buku tulisan tangan sejak tahun 1100
- Perpustakaan Francis Trigge - Satu lagi perpustakaan lama yang mana bukunya juga diikat dan dikunci pada rantai. Lokasinya di Bandar Grantham, Lincolnshire, England. Diasaskan pada tahun 1598
- Perlustakaan di Royal Grammar School - Diasaskan pada tahun 1575. Ada bukunya yang dicetak sejak tahun 1480 dari Venice.
- Perlustakaan Wells Cathedral - Menyimpan koleksi buku yang menyentuh banyak jurusan termasuklah sains, keagamaan, sejarah, eksplorasi, bahasa dan lain-lain. Terletak di England dan dibuka sejak tahun 1450 an lagi.
- Perpustakaan Laurentian - Terletak di Florence, Italy. Mengandungi lebih dari 11 ribu manuskrip dan lebih dari 5 ribu buah buku. Ditubuhkan sejak tahun 1571.
- Perpustakaan Malatestiana - Dibuka sejak tahun 1452 di Cesena, Italy. Terkenal sebagai perpustakaan untuk orang awam pertama di Eropah. Menyimpan koleksi lebih dari 400 ribu naskah.
- Perpustakaan Wimborne Minster - Ditubuhkan sejak tahun 1686 di South West England. Punca utama ia ditubuhkan kerana ketika itu pemilik buku buku agama risau takut buku dalam simpanan mereka hilang atau rosak. Lalu buku dikumpulkan di situ sebagai perpustakaan untuk umum.
- Biblioteca Marciana - Terletak di St. Mark’s Square, Venice. Sebuah perpustakaan awam ditubuhkan sejak tahun 1468.
Mula kenal dunia buku zaman kanak-kanak
Masa zaman kanak-kanak dulu, tak banyak buku ada kat rumah. Maklumlah, orang kampung berumahkan atap rumbia masa tu. Rumah sering tirih ketika hujan. Kalau ada bukupun, kemungkinan basah dan rosak tentu banyak.
Kalau orang tua ada bajet, saya kecek untuk beli majalah Bujal. Dapatlah sekali sekala baca majalah kartun Bujal tu.
Betapa nikmat, betapa teruja, dapat sebuah majalah Tuhan saja yang tahu. Setiap kali orang tua belikan buku, saya akan cium dan peluk majalah tu dulu. Ada satu bau yang sangat harum pada majalah.
Saya belek lama-lama kulit majalah tu dahulu. Hayati warna-warna yang gilang gemilang pada kulit depan majalah bujal tu. Baca tajuk penting pada muka depan tu. Cium dapatkan baunya berkali-kali sebelum buka dan baca satu demi satu setiap muka surat yang ada.
Ahhh! Nostalgia !. Indah! Moga Allah tempatkan roh bapak bersama dengan orang-orang yang soleh. Moga Allah panjangkan usia dan berikan kesihatan yang baik pada mak yang masih ada. Buangkan semua duka laranya. Hilangkan semua kesunyiannya. Damaikan jiwanya dan lapangkan seluas mungkin dadanya.
Masa zaman tu, ada penjual akhbar yang akan masuk naik motosikal keliling kampung setiap hari. Dia bawa bersamanya majalah-majalah popular untuk orang yang ada bajet nak beli. Saya dah tak ingat siapa nama pakcik tu, kalau tak salah Mat Tat. (kalau ada orang kampung yang baca artikel ni, tolong betulkan namanya kalau ingat)
Selepas Mat Tat meninggal, anak lelakinya sambung kerja jual akhbar dan jual majalah keliling kampung.
Itu zaman awal saya kenal dan suka pada buku atau majalah.
Mula kenal tentang perpustakaan awam
Masa sekolah rendah, abang-abang dah sekolah menengah. Mereka ambil aliran sastera, jadi ada beberapa buku menarik yang saya curi baca. Hikayat Indera Putra, Hikayat Malim Dewa, antara buku yang saya leka baca.
Kemudian, saya dapat tahu ada perpustakaan bergerak masuk kampung. Saya tak lepaskan peluang. Minta mak bawa saya daftar untuk jadi peminjam.
Mungkin pengaruh baca buku hikayat kepunyaan abang-abang, saya banyak pinjam buku dongeng dari perpustakaan awam bergerak yang masuk kampung.
Habis semua buku dongeng saya baca. Dongeng dari Parsi, Dongeng dari India, Dongeng dari China dan seribu satu macam cerita dongeng. Antara buku paling tebal saya pinjam adalah Hikayat Hang Tuah.
Semua buku hikayat dan dongeng tu mempengaruhi pemikiran dongeng saya. Imaginasi dongeng terpahat masuk dalam minda. Setiap kali main dengan kawan-kawan, saya sentiasa nak jadi ketua atau hero.
Perpustakaan sekolah menengah
Bila masuk sekolah menengah, saya seronok sebab ada perpustakaan besar. Kebetulan pula kawan sedarjah jadi ketua perpustakaan itu.
Masa tu saya terpengaruh pulak dengan cerita sains fiksyen. Ada masa, saya cari buku-buku genre macam tu dan sorokkan pada satu sudut. Kononnya takut orang lain pinjam dan saya tak sempat baca takut hilang.
Selain dari buku sains fiksyen, saya himpun dan sorokkan juga buku penyiasatan dan buku pengembaraan. Paling seronok kalau ada jenis yang mengembara ke pulau terpencil. Fikiran melayang berimaginasi mengembara di pulau penuh dengan pohon kelapa dan pantai serta laut yang indah.
Perpustakaan ITM Shah Alam
Masa belajar di ITM Shah Alam, ramai kaki study yang buat study group. Mereka berkumpul dan belajar sama-sama di perpustakaan besar ITM Shah Alam tu. Ramai juga yang berpacaran sebenarnya, bukannya nak study sangat.
Saya jadi salah seorang yang sering kelihatan masuk ke perpustakaan ITM.
Selepas masuk, saya akan hilang.
Orang ingat saya pergi study kat mana-mana sudut jauh dari orang.
Tapi sebenarnya saya ke perpustakaan bukan untuk ulang kaji. Saya leka baca buku pasal sejarah Islam masa tu. Saya jumpa koleksi sejarah Islam yang ada banyak siri.
Untuk pastikan saya boleh baca hari-hari sampai habis kesemua koleksi tu, sama macam sekolah menengah dulu, saya ubah dan sorokkan kesemua buku tu pada satu sudut yang orang tak perasan.
Saya tak pinjam dan bawa keluar. Sebaliknya saya akan duduk atas lantai di sudut itu berjam-jam baca satu demi satu. Begitulah hampir setiap hari saya masuk dan hilang di dalam perpustakaan ITM Shah Alam.
Perasaan ingin tahu yang tebal pasal Syiah. Pertelingkahan para sahabat. Puak Muktazilah dan sebagainya menjadi tajuk minat saya masa itu. Walaupun saya tak pernah kongsikan dengan sesiapa apa yang saya tahu dan baca hasil dari semua himpunan dan kajian di dalam buku buku tersebut.
Persepsi kebanyakan orang kita bahwa perbincangan hal ehwal agama hanyalah layak berlaku di kalangan mereka yang bergelar ustaz sahaja membuatkan saya bersikap tidak suka bincangkan kesemua bab yang menyentuh agama Islam.
Beli sendiri dan buat koleksi perpustakaan peribadi
Semua itu hanya kenangan perjalanan saya pasal buku.
Sekarang, apa saja buku yang nak dibaca, saya cari dan beli sendiri. Dah banyak rak buku saya penuhkan. Di pejabat, dirumah kat Puchong, di rumah kat Sepang semuanya penuh dengan koleksi buku.
Tajuknya berbagai.
Bab perlembagaan pun ada. Buku agama, buku liberal, buku Syiah, buku falsafah, buku matematik, buku sains, buku politik, buku sejarah, buku pelaburan, buku pengurusan, buku kewangan, buku novel … semua ada.
Mungkin sebab itu saya suka menulis. Untuk melepaskan kesemua yang terbuku dan terpendam dalam dada.
10 buku paling kerap dipinjam di Perpustakaan New York
Panjang lebar saya cerita perjalanan dunia buku saya kat atas tu!
Sekarang kita lihat senarai 10 buah buku paling kerap dipnjam orang ramai di Perpustakaan New York.
Mungkin dengan ketahui 10 buah buku tu, anda boleh pergi cari atau beli sendiri secara online. Untuk mereka yang kaki baca buku ..
- The Snowy Day by Ezra Jack Keats – dipinjam sebanyak 485,583 kali
- The Cat in the Hat by Dr. Seuss – dipinjam sebanyak 469,650 kali
- 1984 by George Orwell – dipinjam sebanyak 441,770 kali
- Where the Wild Things Are by Maurice Sendak – dipinjam sebanyak 436,016 kali
- To Kill a Mockingbird by Harper Lee – dipinjam sebanyak 422,912 kali
- Charlotte’s Web by E.B. White – dipinjam sebanyak 337,948 kali
- Fahrenheit 451 by Ray Bradbury – dipinjam sebanyak 316,404 kali
- How to Win Friends and Influence People by Dale Carnegie – dipinjam sebanyak 284,524 kali
- Harry Potter and the Sorcerer’s Stone by J.K. Rowling – dipinjam sebanyak 231,022 kali
- The Very Hungry Caterpillar by Eric Carle – dipinjam sebanyak 189,550 kali
Dalam kesemua 10 buah buku tu, hanya satu yang saya dah baca. Buku no 8. Itu antara buku awal yang saya beli dan baca dan buat koleksi sendiri. Memang banyak panduan yang diutarakan dalam buku tu mempengaruhi cara saya berkawan dan berfikir.
Buku no 5 tu saya tak baca lagi. Tapi rasanya nak kena cari dan baca sebab banyak anugerah yang dia dapat. Malah pada tahun 2006, di Britain, buku itu disenaraikan sebagai sebuah buku yang wajib di baca oleh orang dewasa, sebelum mati, mengatasi kedudukan Bible.
Maklumat senarai dari sini.
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !