Bab nak cari dan pilih rakan kongsi perniagaan ni, anda perlu berikan perhatian yang serius.
Ramai sangat usahawan yang saya jumpa hadapi masalah berat ini. Mereka tersilap pilih rakan kongsi perniagaan.
Bukan disengajakan nak buat kesilapan yang menyakitkan tu. Tapi tak ada pengalaman. Tak terfikirpun bahawa isu nak pilih rakan kongsi ini adalah perkara yang amat penting kalau nak berniaga secara 'ber-partner'.
Bila dah terlanjur berkongsi, setahun, dua tahun .. baru sedar dah silap buat pilihan. Perjalanan bisnes mula jadi tak seronok. Makin lama dibiarkan berjalan, makin jelas rakan kongsi itu memang tak sesuai.
Kalau sedar awal dan buat keputusan pantas, taklah teruk sangat. Tapi kalau dibiarkan berpanjangan, jalan juga, dengan harapan boleh diperbaiki, masalah akan jadi semakin kusut.
Bila akhirnya terpaksa berpecah, salah seorang akan makan hati. Yang mengalah akan rugi teruk. Dah nak kena mula balik dari kosong dan berkorban semula segalanya untuk mulakan perniagaan.
Pilih rakan kongsi yang betul
Sama juga dengan nak pilih pasangan hidup.
Pilih rakan kongsi perniagaan adalah perkara penting. Tak boleh main hentam tanpa terlebih dahulu tetapkan kriteria pasangan yang nak dijadikan rakan kongsi perniagaan.
Oleh kerana saya sendiri dah ada pengalaman macam tu, maka saya kongsikan pada semua rakan usahawan macam mana nak pilih rakan kongsi perniagaan dengan betul.
Bila dah terkena, saya mula berikan perhatian terhadap isu pilih rakan kongsi ini. Saya mula peka dan kaji melalui kawan-kawan lain yang lebih berpengalaman.
Juga melalui buku-buku bisnes yang ditulis oleh pengkaji dan juga usahawan berjaya lain dari barat.
Bila dah ada panduan, sekurang-kurangnya, rakan niaga yang anda pilih taklah teruk sangat. Malah membantu untuk menjadikan perniagaan anda terbina dengan lebih mantap dan cepat.
Perlukah cari dan pilih rakan kongsi?
Kalau tu soalan yang timbul dalam benak kepala anda, saya boleh faham. Lebih-lebih lagi kalau anda dah terkena sebelum ini.
Ramai yang terkena akan buat keputusan untuk teruskan perjalanan solo tanpa ada rakan kongsi lagi.
Itu yang saya dah buat. Dan ramai lagi kawan-kawan lain yang buat keputusan yang sama.
Tapi kalau anda tanya saya, samada perlu atau tidak ada rakan kongsi, saya cenderung untuk katakan ‘Perlu!’.
Mula berniaga dengan adanya rakan kongsi adalah jauh lebih baik dari bergerak secara solo. Tambahan pula kalau anda hanya ada idea sahaja dan tak ada duit sendiri yang mencukupi.
Kalau nak pantas dan selamat, perlu cari dan pilih rakan kongsi untuk teruskan idea perniagaan anda itu supaya menjadi.
Saya berikan sebab kenapa adanya rakan kongsi adalah lebih baik dari bergerak secara solo untuk jayakan idea perniagaan anda.
- Penyokong idea niaga anda – Kalau anda boleh yakinkan orang lain yang idea niaga anda itu bernas, ada kemungkinan besar yang idea itu memang bernas. Jadi rakan kongsi adalah orang pertama yang boleh sahkan idea niaga anda itu.
- Kongsikan risiko – Kalau seorang diri, anda akan terpaksa tanggung semua risiko seorang diri. Kalau duit hangus juga, jumlahnya adalah besar yang anda keluarkan 100%. Jadi dengan adanya rakan kongsi, anda bahagikan risiko dan mampu kumpulkan dana awal yang lebih besar.
- Kombinasi sumber dan ilmu – Dengan adanya lebih dari seorang, anda akan ada sumber maklumat dan jaringan yang lebih besar. Keupayaan ada kemahiran juga lebih banyak. Gabungan peribadi dan pemikiran yang lebih besar. Semua itu membantu untuk menjayakan idea niaga dengan lebih mudah.
- Kongsi kegembiraan dan kesusahan – Kalau anda rasa kongsikan bebanan dan masalah bersama itu membantu, percayalah bahawa kongsikan kegembiraan dan kejayaan dengan orang lain yang turut sama menjayakan adalah lebih seronok dan memberikan kepuasan. Boleh ulang cerita dan rasa puas tak habis-habis sampai tua.
- Ada pengganti – dengan adanya rakan kongsi, perniagaan anda akan tetap jalan kalaupun anda sakit atau ada masalah lain. Sebab rakan kongsi boleh ambil alih kerja yang perlu diselesaikan bila anda tak ada.
- Pergerakan lebih pantas – Perniagaan yang ada rakan kongsi dapat bergerak lebih cepat bila anda ada lebih dari seorang yang mampu buat perbincangan dan nego segala urusan yang penting.
- Motivasi lebih tinggi – Sumber inspirasi yang tercetus dari anda dan rakan kongsi adalah lebih tinggi. Anda juga mampu melihat semua perkara dalam perspektif yang jauh lebih baik bila ada rakan kongsi.
- Lebih mudah dapat suntikan dana – Bila anda perlukan suntikan dana dari pelabur, dengan adanya rakan kongsi dapat lebih meyakinkan pemodal untuk bersetuju. Melabur dalam idea niaga yang diuruskan oleh lebih dari seorang usahawan adalah lebih selamat. Pelabur lebih yakin sebab jarang ada idea niaga yang tak bernas, yang diperjuangkan lebih dari seorang usahawan.
Keburukan ada rakan kongsi
Jom kita lihat pulak apa keburukan rakan kongsi.
- Sumbangan tak seimbang – Sumbangan tenaga dan sumber dari rakan-rakan kongsi ada kalanya tak sama besar. Ini bakal menimbulkan rasa tak puas hati dan kekecewaan.
- Keputusan lebih perlahan – Bila ada lebih dari seorang, anda tak bleh buat keputusan sesuka hati. Perlu dibincang dan dibahaskan terlebih dahulu. Ini akan melewatkan sedikit proses membuat keputusan penting dan strategik
- Untung kurang – Ini pun tak seronok juga. Bila ada lebih dari seorang kena kongsikan keuntungan, kalau ada. Kongsi rugi mungkin ok lagi. Bila nak kena kongsi untung, ‘tanduk‘ akan tumbuh naik perlahan-lahan..!
Perhatikan!
Keburukan memang ada. Tapi nampaknya kebaikannya adalah jauh lebih banyak.
Berikut adalah fakta yang didapati berdasarkan kajian yang terdapat dalam laporan bertajuk ‘Startup Genome Report – A new framework for understanding why startups succeed’.
Anda perlukan masa 3.6 kali lebih lama untuk membesarkan idea niaga kalau buat seorang diri berbanding kalau ada rakan kongsi - Fakta Kajian
Jadi, untuk itu, jalan terbaik adalah cari rakan kongsi. Kemudian pilih rakan kongsi dengan betul. Ini sudah tentu akan dapat membantu menjayakan idea perniagaan anda dengan lebih lancar.
Tips pilih rakan kongsi
Perlu ada pedoman yang betul untuk cari dan pilih rakan kongsi supaya betul dari awal.
Jangan buat silap dan bila dah belayar jauh baru sedar buat kesilapan.
Jadi sila berikan perhatian pada tips yang saya nak kongsikan di sini.
Bincang terlebih dahulu secara mendalam
Sebelum apa-apa, bincang terlebih dahulu secara mendalam. Bertekak dan berbahas secara jujur dan terus terang. Biar gaduh sebelum berniaga daripada gaduh selepas berniaga.
Pastikan anda bincang dengan rakan kongsi segala jangkaan yang boleh anda bayangkan akan berlaku. Perlu ada persetujuan dari awal dalam semua kes.
Apa motif masing-masing perlu dibentangkan. Duit atau glamor yang lebih penting. Apa keutamaan masing-masing?.
Bagaimana dengan masa yang mahu diperuntukkan untuk menjayakan idea niaga tersebut. Status rakan kongsi biasanya tak sama. Ada yang lebih banyak masa diperlukan untuk keluarga dan komitmen lain. Ada yang tidak. Boleh terma atau tidak?
Rakan kongsi perlu kenal rapat
Ini juga amat penting.
Pastikan anda kenal rapat siapa rakan kongsi anda tu. Mungkin dah pernah buat kerjasama sebelum ini. Dah pernah berniaga sekali dan bungkus sekali.
Atau pernah buat projek penting sekali dan anda boleh tahu tahap motivasi dan kecekalan rakan kongsi anda itu.
Jangan gatal setuju ambil rakan kongsi yang anda tak kenal hati budinya. Tak tahu macam mana pemikiran dan latar belakangnya. Tak tahu siapa kawan rapatnya dan lain-lain lagi seumpamanya.
Anda perlu selesa bersama. Selesa berseronok dan bersedih bersama. Boleh curahkan isi hati dan terus terang dengan mudah.
Pendek cerita, kalau anda disuruh pergi kembara buat kerja berat sebulan atau seminggu dengan rakan kongsi itu, anda akan rasa seronok dan selesa. Itu panduan mudah untuk tentukan samada rakan kongsi dengan anda serasi atau tidak.
Pastikan anda sekufu
Saya pinjam terma sekufu ini dari bab munakahat yang saya belajar dari kitab fekah dahulu.
Saranan ulama, kalau nak nak bernikah, pastikan pilih pasangan yang sekufu dengan anda.
Pandangan ini memang amat baik dan tepat sekali.
Sekufu ini ertinya sama martabat. Samada dari segi budaya atau aliran pemikiran. Supaya tak bertembung dengan masalah perbezaan yang teruk dari segi amalan dan pegangan.
Latar belakang yang sama sekufu, antara dua rakan kongsi, adalah lebih baik supaya perhubungan lebih erat. Kalau tak sekufu biasanya akan timbul banyak masalah.
Dan yang paling penting, anda mampu membaca isi hati dan pemikiran masing-masing dengan mudah tak tersorok.
Perbezaan kemahiran yang diperlukan
Dari segi kemahiran, rakan kongsi perlulah ada kemahiran yang tak sama. Tapi diperlukan untuk saling kuat menguatkan.
Ada dua kemahiran asas yang diperlukan dalam menjayakan idea niaga anda.
- Teknikal – segala ilmu teknikal yang diperlukan untuk menghasilkan produk atau servis yang mahu ditawarkan pada pelanggan.
- Komersial – segala ilmu yang diperlukan untuk menentukan, mencari dan menarik perhatian pasaran. Juga segala ilmu yang diperlukan untuk meyakinkan orang agar keluarkan duit beli produk atau servis anda itu.
2 perkara itu saja yang paling asas yang rakan-rakan kongsi perlu gabungkan dan buat kerja masing-masing sampai jadi.
Kalau kesemua rakan kongsi mahir teknikal, tak guna sebab apa saja produk atau servis, bagus macam mana sekalipun, kalau tak boleh nak jual, akan jadi sampah tak guna untuk perniagaan.
Kalau kesemua rakan kongsi hanya cekap dalam hal komersial juga tak boleh pakai.
Tak ada pula orang yang nak perhatikan produk atau servis, agar menepati jangkaan pelanggan.
Bila dah jual, akhirnya perniagaan anda akan di label sebagai bisnes penipu !
Oleh itu, kalau anda pandai teknikal, sila pilih rakan kongsi yang mahir tahap gaban, hal ehwal komersial.
Itu saja syarat yang anda perlu penuhi untuk pastikan perkongsian bisnes anda itu berbaloi dan boleh pergi jauh.
Silap saya dulu adalah pilih rakan kongsi yang teknikal pun kosong, komersialpun kosong. Sebab itu gagal dan akhirnya berderai.
Perlukah rakan kongsi yang pandai mengurus?
Tak payah!. Bersepah orang yang pandai mengurus yang anda boleh gajikan. Tak perlu rakan kongsi untuk hal pengurusan. Ia bukan perkara genting yang diperlukan untuk menjayakan bisnes pada peringkat awal.
Perlukah rakan kongsi pandai jaga duit?
Tak payah!. Ramai orang yang pakar jaga duit yang anda boleh bayar. Tak perlu rakan kongsi untuk jaga duit. Dia akan jadi rakan kongsi yang licik jaga duit masuk kat dia dulu sebelum masuk kat perniagaan.
3 rakan kongsi yang perlu ada
Paling banyak, anda mungkin perlukan hanya 3 rakan kongsi sahaja.
- Teknologi – rakan kongsi yang mahir dalam penggunaan teknologi dan pandai dalam perkembangan teknologi yang berkaitan dengan perniagaan anda.
- Teknikal untuk produk – rakan kongsi yang mahir dalam mereka cipta produk dan pakar dalam menjiwai produk agar mudah diterima pelanggan.
- Komersial – Pakar pemasaran dan jualan. Rakan kongsi yang ketul batu tepi jalanpun dia boleh cari pembeli dan boleh jual.
Selain dari kemahiran yang saya sebutkan kat atas itu, tak payah nak tawarkan jadi rakan kongsi.
Percayalah!
Kalau nak juga ambil rakan kongsi selain dari itu, anda akan menyesal satu hari nanti. Tolong dengar nasihat saya ini dan berikan perhatian yang serius.
Karakter perlu ada pada rakan kongsi
Ada karakter tertentu yang perlu ada pada orang yang berpotensi untuk jadi usahawan yang baik.
Selain dari 2 kemahiran yang saya sebutkan kat atas tadi, anda perlu juga lihat pada karakter yang perlu ada itu.
Saya akan tulis dilain artikel tentang karakter macam mana yang rakan kongsi anda perlu ada. Ianya berkenaan karakter yang biasanya ada pada usahawan yang berjaya.
Moga artikel ini bermanfaat untuk anda jadikan panduan jika ada hasrat nak cari rakan kongsi niaga.
Bagus juga jika bakal / rakan kongsi yang nak anda pilih itu baca sama artikel ini. Tentu dapat membantu pemahaman masing-masing dalam berkongsi susah dan senang nanti.
Semoga berjaya hendaknya!
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !