Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

01 August 2022

Pengalaman beli barang di Decathlon Shah Alam. Cuba sekali terus melekat

  Ano Nyme       01 August 2022


Kedai Decathlon ini dah lama saya dengar. Kali pertamanya disebut oleh kawan yang tinggal di Shah Alam juga.

Kawan tu jenis yang suka mengembara dan kerap masuk melepak dua atau tiga hari dalam hutan. Masa dia sebut tentang kedai Decathlon tu kami tengah bincang pasal projek masuk camping dalam hutan.

Saya beritahu padanya untuk ajak sekali jika dia ada plan nak masuk hutan lagi dengan kawan-kawannya.

Untuk buat persediaan, saya korek maklumat berkenaan segala peralatan yang diperlukan. Nak kena beli terlebih dahulu. Tak mau saya jadi tukang kacau daun pulak bila masuk hutan nanti. Tak mahu jadi penumpang yang terpaksa guna semua peralatan kawan-kawan punya.

Dari sembang itu, nampaknya banyak juga barang masuk hutan yang perlu disediakan. Perkara asas seperti khemah pun saya tak ada. Maksudnya yang lasak dan sesuai untuk duduk maksimum 2 orang.

Apa yang saya ada hanya jenis saiz besar, dibeli lama dahulu di Giant. Itu projek layan anak-anak yang teringin nak ada khemah. Bila dapat, mereka suka pasang khemah tu dalam rumah dan duduk main-main kat dalam tu.

"Hang pi Decathlon kat Shah Alam tu saja", cadang kawan saya tu.

Dia beritahu ada segala macam tok nenek kat Decathlon. Sebut nak apa semua ada. Harganya boleh tahan murah berbanding kualiti barang yang diberikan.

Sejak itu, nama Decathlon masuk ke dalam kepala. Tanam hasrat untuk masuk sekali bila ada kelapangan nanti. Dan begitulah saja berlalu punya lama tak masuk-masuk.

Pertama kali masuk Decathlon

Hingga satu hari yang damai, puasa sunat Isnin pula hari tu dan waktu tengahari selepas selesai kerja jumpa orang kat Shah Alam.

Ketika nak balik ke pejabat saya pusing sekejap dengan Toyota Hilux tu perlahan sekitar kawasan Seksyen 14. Pusing masuk mana-mana simpang yang saya belum cuba lalu sebab dah banyak sangat perubahan di kawasan itu.

Banyak bangunan perniagaan, banyak kedai makan. Dah tak berapa serabut dengan projek pembinaan lagi sebab kebanyakan bangunan nampaknya dah sap.

Lalu punya lalu tetiba sampai depan Decathlon. Masuk parkir percuma pulak.

Apa lagi saya pusing masuk dan terus parkir tak jauh dari pintu masuk ke dalam bangunan decathlon yang besar tu. Tak ada orang, sunyi dan tak banyak kenderaan. Menarik! itu cetus hati saya.

Terus masuk ke dalam bangunan tu dan jalan perlahan-lahan dari satu bahagian barangan ke satu bahagian lain sehingga naik ke atas dan turun balik. Habis semua saya tengok.

Semua barang sukan ada di Decathlon

Saya terus kagum dan teruja sangat dengan semua barang yang ditawarkan dalam bangunan tu.

Sama kagum macam saya masuk pertama kali dalam kedai Daiso di Subang Parade sebelum itu. Sebab teruja dengan segala benda pelik yang praktikal boleh dibeli dan digunakan.

Tapi di Decathlon ni luar biasa lagi sebab jauh lebih hebat segala tawarannya.

Kalau Daiso adalah segala gajet untuk rumah. Decathlon pula adalah segala gajet yang anda perlu untuk diri anda sendiri dan keperluan diri dalam aktiviti harian atau sukan.

Kaki sukan dah tentu akan leka masuk dalam bangunan decathlon tu. Saya duduk lama di bahagian barangan untuk jogging sebab memang setiap hari berjalan kaki dan jogging.

Nak tengok apa lagi boleh saya beli untuk kemudahan aktiviti harian saya tu.

Pusing punya pusing, angkat kasut yang dah berkenan lima enam kali dan akhirnyaletak balik sebab kasut yang dok ada masih utuh elok lagi. Akhirnya saya beli juga beg ikat dipinggang untuk masukkan telefon ketika berjogging.

Itupun sebenarnya dah ada kat rumah. Beli kat Giant saja. Tapi beg kecil yang ada di situ menarik, praktikal dan tak mahal. Maka saya sebat juga. Selepas tu ambil sehelai seluar bersenam yang sangat selesa ringan dan cantik.

Saya ingat dah habis, tapi masa jalan nak pergi bayar tu, lalu pula bahagian suka kembara seperti hiking dan seupamanya. Tersangkut pulak pada bahagian seluar lasak yang kemas tapi ringan dan praktikal.

Saya ambil sehelai juga. Bukan untuk pakai hiking. Saya bukan kaki hiking pun. Tapi untuk dipakai setiap kali saya travel dengan keluarga naik Hilux jalan-jalan balik kampung atau hantar anak balik asrama.

Kalau nak bukit selesa, maka pakai ketika memandu dan berjalan sehari suntuk tentu selsa juga. Jauh lebih selesa dari pakai seluar jeans yang kasar dan berat tu. 

Akhirnya banyak jugalah intro pembelian pertama saya kat Decathlon tu.

Bawa balik dan mula digunakan. Ternyata pembuatannya sangat memuaskan hati. Sangat berbaloi dengan harga.

Apa yang jauh lebih menarik, masa habis bayar dan nak keluar. Promoter tu pesan yang barang tu jika ada sebarang masalah, rosak atau apa saja. Bawa balik semula ke situ dan mereka akan tukar bagi yang baru.

Saya jadi members dengan daftar guna nombor telefon saja. Semua maklumat barang yang saya beli ada pada mereka jadi jangan risau untuk rekod pengesahan jika diperlukan nanti.

Jaminan itu diberikan selama 2 tahun bermula dari tarikh saya membelinya.

Bila dengar kelebihan itu, saya tak tau nak kata apa lagi. Memang hebat, berbaloi dan yakin dengan tahap kualiti barangan mereka. Dah tentu bukan calang-calang kawalan kualiti di lakukan dengan jaminan yang mereka berikan sebegitu.

Patutlah ada seorang kawan baru-baru ni bagi tahu yang dia bawa anak-anak beli baju rayapun kat situ ..

Perghhh! hebat.

Masuk sekali jadi berkali-kali

Semenjak saya masuk kali pertama tu dan beli barang, saya masuk lagi dan lagi. Aktiviti tu dapat dikesan oleh anak-anak dan orang rumah. Kena bawa mereka pulak. Ini bab yang merisaukan sikit.

Kali pertama depa ikut masuk, borong macam nak raya la pulak. Tapi memandangkan memang semua yang dibeli adalah keperluan sukan mereka saya relakan saja.

Memang dua perkara yang saya janji pada diri sendiri untuk berikan pada mereka. Pertamanya adalah segala benda yang dibeli untuk tujuan ilmu pendidikan dan pelajaran.

Keduanya pula adalah semua benda yang berkaitan dengan aktiviti sukan dan senaman. Sebab itu kasut bola, kasut jogging, seluar sukan dan apa saja yang mereka nak saya tak kisah. Jika mampu saya luluskan saja.

Sebab kedua-dua itu penting untuk belajar hidup. Kalau bagus dalam pendidikan insyaalah ok. Dan jika pendidikan lembab, pastikan bagus dalam sukan atau kokurikulum yang perlukan aktiviti bersosial. Insyallah saya percaya mereka akan belajar untuk hidup berdikari.

Orang rumah pula sekarang, sampai beg sekolah pun dia nak beli kat situ .. tak pa lah.

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Pengalaman beli barang di Decathlon Shah Alam. Cuba sekali terus melekat

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !