Semalam minum dengan seorang kawan di kedai mamak. Kawan sama taman satu ketika lama dulu ketika kami sama-sama sibuk kononnya nak ubah negara.
Masa tu kami sama-sama sokong Pas. Sama dengan ramai lagi kawan-kawan lain di situ yang jadi jemaah tetap di surau taman. Imam juga orang kuat Pas. Ada jawatan juga dalam parti. Begitu juga pengerusi, penyokong tegar gabungan pembangkang.
Secara jujur, saya bukanlah fokus sangat nak sokong mana-mana parti ketika itu. Samada Pas atau Umno, sama saja bagi saya. Hanya satu landasan perjuangan bagi menegakkan impian masing-masing dengan kepercayaan yang tersendiri.
Prinsip perjuangan atau kepentingan diri
Apa yang pasti, jauh di dalam hati masing-masing tentu ada sebab peribadi kenapa parti tertentu di berikan sokongan.
Kenapa saya turut sama sertai geng pengokong Pas di situ?
Sebab paling utama adalah nak bermasyarakat.
Kebetulan zaman kemerosotan Umno dan Barisan Nasional masuk ke era paling teruk mereka. Banyak sudah negeri yang bukan lagi dikuasai Umno dan BN. Termasuklah Selangor tempat saya tinggal dan cari makan.
Ketika itu, kumpulan paling kuat dan rasa hebat sudah tentu parti yang satu ketika dahulu hanya pembangkang. Sekarang dah rasa kuat dan puas berjaya atasi populariti Umno.
Geng-geng kuat Umno dalam keadaan down sebab sudah tidak semegah dulu lagi.
Maka, pilihan paling bijak untuk saya bermasyarakat adalah dengan memilih kawan-kawan dari kalangan peminat parti Pas, atau Keadilan atau DAP. Oleh sebab saya jenis suka ke surau, maka parti Pas lah yang dijadikan landasan buat berkawan.
Saya tak pasti bagaimana dengan kawan-kawan lain. Samada mereka benar-benar ada perjuangan, atau sekadar nak berkawan atau ada komitmen ekonomi.
Saya syak ada yang terikat dengan komitmen ekonomi. Ada aktiviti cari duit yang berkait dengan parti yang mereka dah terlibat sejak sekian lama.
Sekarang, ketika gabungan pembangkang yang satu ketika dulu kuat, kini sudah hancur berderai, nampak jelas siapa yang ada kepentingan ekonomi untuk kekal bersama parti Pas atau mana-mana Parti sekalipun.
Orang yang sentiasa laungkan prinsip suci perjuangan dulu, masih tetap kekal sokong Pas sekalipun dia sendiri tahu ada perubahan besar dengan parti tersebut. Ada perkara yang saya tahu dia tak seiring dengan kepimpinan parti.
Ketika semua kawan-kawan lain, terutamanya yang tiada duit masyuk dari aktiviti parti, mula jauhkan diri dari Pas, dia masih setia walaupun dah tak seaktif dan vokal seperti dahulu lagi. Sebab utamanya adalah ikatan bisnes PASTI yang dia ada banyak cawangan di sana.
Takkan nak lepaskan semua itu?
Saya faham kedudukannya.
Dan saya juga faham antara tumpuan hidup berpaksikan Tuhan berbanding berpaksikan selain dari itu. Ramai yang tewas apabila terpaksa membuat pilihan antara Tuhan dengan selainnya.
Syaitan sentiasa akan takutkan manusia dengan kesusahan dan kemiskinan. Dan nampak terang ramai manusia akur dengan gertakan Syaitan itu. Mereka akan berikan alasan terbaik untuk melegakan hati sendiri. Dan syaitan memang pandai memujuk dalam bab cari alasan tu.
Sedangkan Allah janjikan kesenangan dan kemakmuran pada siapa yang percayakan Tuhan lalu meninggalkan gertakan Syaitan. Tiada ketakutan pada mereka yang berpaksikan segala tindakannya hanya untuk Allah. Hanya segelintir kecil saja yang benar-benar yakin dengan janji Tuhan itu.
Fokus pada tanggung jawab
Setelah kenal semua kawan-kawan di taman, bagi memudahkan kehidupan bermasyarakat di sana, saya mula tarik diri dari sembang kosong bab politik. Cukup-cukuplah berborak kononnya nak ubah negara. Lebih baik ubah diri sendiri dulu.
Bagi anda yang tiada ikatan ekonomi dengan kegiatan politik, hanya sekadar penyokong tegar tentu dapat rasa sendiri apa yang anda dapat hasil dari perjuangan yang bersungguh-sungguh tu.
Pemerintah berubah-ubah. Perdana Menteri silih berganti. Parti naik dan turun. Ada yang tengah sedap duduk di atas tetiba jatuh tersungkur, orang lain naik pula.
Dalam semua perubahan politik itu, apa yang anda dapat?
Adakah sesuatu berlaku yang menjadikan hidup, diri anda sendiri, keluarga, dan lain-lain seumpamanya, lebih baik apabila parti anda yang diperjuangkan itu naik atau turun?
Saya yakin tiada apapun yang berlaku pada diri anda sendiri. Kalau dulu kerja operator pengeluaran kilang, sekarangpun masih kekal operator. Mungkin hanya kilang saja yang berubah.
Kalau dulu jadi pemandu teksi, sekarang masih memandu teksi saja. Cuma ada tambahan peluang bawa Grab atau buat penghantaran barang.
Parti mana pun naik atau turun, sama saja. Tiada perubahan pada diri anda sendiri.
Kalau ada kepentingan ekonomi, ada bisnes berkait dengan politik, dah tentu ada kesan secara terus. Tapi saya cakap tentang mereka yang tak ada apa-apa kepentingan ekonomi.
Oleh itu jangan jadi bodoh. Buang masa sembang dan sokong parti politik sampai nak rak sedang diri sendiri tiada perubahan peningkatan yang lebih baik.
Itulah yang saya syarahkan pada kawan semalam.
Setelah kusyuk lama dengar syarahannya yang masih kuat ke arah politik, saya buat rumusan tentang konsep mengubah dunia dan negara, yang saya faham.
Penting untuk ubah diri sendiri dahulu, tunaikan tanggung jawab, perjuangkan hak anda dan keluarga bersungguh-sungguh supaya hidup lebih baik dari masa ke masa.
Apa saja yang tak kena yang menyentuh diri anda dan keluarga, bangun perjuangkannya. Jika jalan tak elok, buat aduan sampai pihak berwajib baiki. Tak kiralah parti mana duduk di atas tu.
Jika ada rasuah, buat laporan. Jika tak boleh jangan terlibat. Jauhi kawan kaki rasuah. Benci perbuatan itu.
Kalau 5 tahun dulu jadi eksekutif, sekarang perlu jadi Pengurus. Jika dulu tak pandai buat sales, sekarang dah jadi juara menjual hingga jadi rebutan banyak syarikat. Jika dulu sekadar jual insuran, sekarang dah ada agensi.
Itu barulah perjuangan yang betul.Jaga diri, jaga keluarga.
Jika semua orang fokus pada perbaiki diri, perbaiki kemahiran, perbaiki pengetahuan, tegas dengan hak masing-masing, secara tak lansung, siapa saja yang duduk di atas akan akur.
Apa yang berlaku sekarang adalah terlalu ramai yang terpedaya pada mereka yang cari makan dengan kegiatan politik. Ikut sampai lupa diri. Sedangkan diri tak dapat apa-apa selain dari membuang masa dan jadi hanyut.
Lupa perbaiki diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Macam mana nak ubah negara dengan majoriti rakyat yang bodoh jadi pak turut sedemikian.
Kita perlu lihat pada perjuangan yang kesan perubahannya lebih cepat berlaku pada diri anda sendiri dan keluarga.
Dan kesan segera itu tak ada pada perjuangan jadi macai politik yang proses pemilihan pemerintah hanya berlaku 5 tahun sekali. Biarkan orang politik yang buat semua kerja tu, bukan anda yang lansung tak ada kepentingan politik.
Ambil tahu dan simpan untuk tindakan bila datangnya hari mengundi nanti. Itu saja.
Saya suka pada satu ayat Jordan Peterson tentang pejuang. Dia kata,
..berhati-hati pada orang yang berjuang untuk jadikan dunia ini lebih baik sedangkan bilik tidurnya sendiri tidak dikemas rapi setiap kali bangun dari tidur ..
Sampai bila mereka akan sedar, sebenarnya mereka redha diri mereka dijadikan Keldai Politik... Mereka yang undi pemimipin mereka sudahnya pemimpin tersebut tunggang mereka
ReplyDeleteAsyik hingga melekakan .. betul tu, akhirnya pemimpin tunggang mereka!
Delete