Masa balik kampung sekali tu, ketika pergi makan laksa campur di Kampung Petani, terserempak dengan kawan satu sekolah dari darjah 1 sampai darjah 6 dulu.
Dah berpuluh tahun tak jumpa. Rupa masing-masing dah berubah. Tapi ada riak rupa tertentu yang membolehkan kami masih saling mengenali. Saya pun tak tau kat mana boleh cam muka masing-masing tapi kami dapat kenal.
Zaman sekolah rendah
Saya sekolah Rendah Stowell dulu. Pergi naik bas dari Penanti ke Bukit Mertajam setiap hari dari tahun 1975 sehingga tahun 1980. Masa tu semua urusan pergi balik ke sekolah buat sendiri saja. Tak ada siapa nak manjakan pergi hantar dan pergi ambil.
Bukan tak ada samseng zaman tu. Ada saja. Penuh kat pekan BM tu. Tambah lagi situ terletaknya segala pusat judi, main video game, billiard, pangung wayang, pusat jalang dan seribu satu macam maksiat lagi.
Salah seorang samseng atau lebih kepada budak jahat yang saya kenal ketika itu ialah G Pengkaq. Dia sentiasa saja berlegar di sekitar pekan BM tu. Jalan terpengkaq-pengkaq sebab sebelah kakinya pengkaq. Tapi dia tak kacau saya pun sebab saya kenal abang dan saudaranya yang lain di kampung.
Point dia nak bagi tau, masih ada orang jahat tapi kami masih lagi selamat pergi dan balik sekolah sendiri naik bas. Zaman itu la ..
Masa sekolah tu, saya terpilih main bolasepak wakili sekolah. Masa tu kawan yang saya jumpa ketika makan laksa di atas tadi ialah ketua pasukan kami.
Dia punya kehebatan adalah dalam bab menjaring. Setiap kali main, sudah pasti dia akan jaringkan lebih dari 3 jaringan dalam satu game. Dia memang laju macam lipas kudung dan tinggi kurus orangnya.
Selepas masuk sekolah menengah, saya pergi sekolah Penanti saja dekat kampung. Malas nak ke BM High School. Semua pemain pasukan bola stowell pergi ke HSBM untuk teruskan aktiviti sukan masing-masing kecuali saya.
Sekolah Penanti punya team bola adalah team belasahan saja. Buat penat main, tak ada makna lansung. Jadi saya stop main bola. Sekadar main dengan kawan-kawan kampung saja untuk hiburan petang.
Kapten pasukan saya tu, masa naik ke sekolah menengah, dia tinggalkan bola. Tapi berikan tumpuan kepada olahraga pulak. Memang dia kaki pecut dan prestasinya juga cemerlang masa tu.
Kami berpisah ketika darjah 6 dulu. Dan masa makan laksa tu baru jumpa. Selama ini hanya dengar khabar saja tak pernah jumpa.
Makan malam di Penang
Ketika jumpa tu, dia kurus, nampak keletihan macam tak berapa sihat. Bila dah sembang panjang betullah apa yang saya sangkakan. Dia kena kencing manis. Sampai kesut habis tubuh badannya.
Macam mana boleh jadi macam tu sedangkan dia aktif sukan sampai habis sekolah menengah, masuk maktab perguruan, kekal aktif dan kemudian cari cikgu.
Jawapannya adalah sebab dia duduk kekal di Pulau Pinang. Makanan nasi kandar di Pulau Pinang tak boleh nak lepas. Setiap hari, makan nasi kandar siang dan malam. Paling tak bagus adalah makan nasi kandar ketika malam hari sedangkan sepatutnya masa itu adalah untuk tidur dan rehatkan diri.
Itulah yang dia beritahu saya.
Punca kencing manis
Punca utama dia jadi macam tu adalah makan lewat malam yang dijadikan amalan bertahun-tahun sampai rosak kesihatan. Itu hanya teorinya. Entah betul entah tak betul.
Tapi hari ni saya baca satu artikel tentang makan waktu malam, yang sepatutnya ketika itu adalah waktu tidur, waktu tak aktif. Amalan itu membuat potensi kena kencing manis dan jadi gemuk gedempol adalah sangat tinggi.
Cuba baca pada pautan di sini.
Saintis masih mengkaji untuk memastikan apakah punca sebenar makan lewat malam boleh jadi macam tu. Dalam artikel itu ia ada kaitan dengan jam dalam tubuh badan kita. Tapi saya tak berapa faham sangat penerangannya. Kena baca lebih tekun untuk cuba paham.
Apa yang saya pasti dalam artikel itu adalah tentang makan lewat malam. Elakkan saja dari dijadikan amalan
Masa duduk kat kampung dulu, makan lewat malam ni memang dah biasa sangat. Banyak kedai nasi kandar pula hanya dibuka selepas pukul 10 malam. Mereka layan pelanggan sampai subuh.
Kampoi suap nasi macam esok tak ada lagi dah nasi kandar. Saya juga terikut-ikut. Tapi nasib baik buat keputusan keluar dari kampung dan siksa diri makan tak sedap di Kuala Lumpur. Dan akhirnya, berhenti terus dari makan berat jika waktu dah melebihi 8 malam.
Petua sihat awet muda Korea
Ada seorang Korea yang amalkan perubatan homeophaty di Langkawi yang saya jumpa berikan petua rahsia amalannya. Dia dah lebih 70 tahun tapi nampak macam 40 an saja. Saya tanya apa rahsianya.
Dia pesan, never ever makan selepas jam 7 malam. Itu saja pesannya. Buat itu dan lihat sendiri perubahannya.
Jadi betullah petuanya itu. Badan kita tak sesuai untuk disumbat masuk makanan tak kira waktu. Lebih banyakkan diri berlapar dari makan sampai sengkak perut.
Oklah!, jangan layan makan lewat malam. Kalau sibuk pasang bendera parti ketika kempen PRU 15 sampai lewat malam sekalipun, elakkan makan berat.
Paling baik, tak payah nak bersungguh pasang bendera dan kempen kalau tak ada apa-apa ganjaran. Buat kerja free macam tu kononnya demi perjuangan adalah perkara mengarut yang ramai masih tak nampak.
Selamat mengundi!
Perenggan yang terakhir itu betul betul sangat, jangan jadi tonggong, lebih lebih lagi dah habis PRU/PRN masih pecah kepala cakap pasal politik... Kita yang pilih wakil rakyat dia lah yang patut kerja bagi kita, bukan kita siang malam kena sembah wakil rakyat
ReplyDelete100% !
Delete