Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

23 November 2022

Nurul Izzah kalah sebab dia kahwin dengan orang Cina - Gossip pagi auntie di taman

  Ano Nyme       23 November 2022


Pukul 7:30 pagi, saya jalan perlahan masuk ke taman permainan. Baru nak panaskan badan untuk mulakan senaman pagi, kelihatan 2 orang auntie berbangsa cina, teman biasa setiap kali bersenam di situ. Mereka sudah berpeluh di tapak senaman.

Sebaik saja sampai berdekatan, salah seorang auntie yang lebih tua, kaki kepoh suka bersembang, tanya saya satu soalan. Masih berkisar bab politik dan pilihan raya.

"Itu Anwar punya anak perempuan, lawan Penang sana, dia punya husband apa bangsa aa?" Soal auntie pada saya.

"Cina, .. kenapa?", saya jawab pantas sambil berkerut dahi tanya semula soalan padanya.

Pelik juga soalan yang dia tanya tu. Masih tak dapat tangkap ke mana hala tuju soalannya.

"Ooo! betul la!, saya punya adik cakap itu orang Melayu tak kasi undi sama dia sebab dia kawin sama Cina" Laju jawab auntie terangkan kenapa dia tanya soalan tersebut.

"Itu pasal dia kalah!"

Nurul Izzah Kahwin dengan Cina

Buat anda yang masih tak tahu, Nurul Izzah kahwin buat kali kedua, pada 5 Ogos tahun ini. Suaminya bernama Yin Shao Loong, seorang penyelidik dari Khazanah Research Institute.

Pasangan itu dikatakan bercinta selama 2 tahun senyap-senyap tanpa diketahui umum, kemudian berkahwin.

Nurul Izzah bercerai dengan suami pertamanya pada tahun 2015. Mereka dikuarniakan 2 orang anak hasil dari perkahwinan itu. 

Yin Shao Loong pula pernah berkahwin dengan pengarah filem Tan Chui Mui sebelum bercerai dengan seorang anak.

Memang sah, suami Nurul Izzah yang kedua ialah seorang berbangsa Cina. Dan tak ada apa-apa peliknya dengan perkahwinan tersebut.

Sepanjang yang saya tahu, tak ada apa-apa komen pelik tentang perkahwinan mereka. Kahwin campur dah jadi perkara biasa walaupun ia bukanlah satu amalan biasa terutamanya buat orang Melayu.

Bangsa Cina berkahwin dengan orang India juga biasa, tapi bukanlah satu amalan biasa. Saya yakin kahwin campur bukanlah amalan biasa mana-mana bangsa sekalipun.

Bukan sebab rasis. Tapi lebih kepada cabaran sukar untuk sesuaikan diri bila hidup dengan pasangan yang berbeza adat dan budaya.

Kalah PRU-15 sebab kahwin Cina

Kenyataan dari auntie cina itu buat saya ketawa saja pada awalnya.

Tapi selepas bersenam 2 ke 3 pusingan, makin banyak pula yang saya fikirkan. Kenapa orang cina, sekurang-kurangnya saudara auntie tu berfikir bahawa Melayu tolak Nurul Izzah disebabkan dia kahwin dengan lelaki berbangsa Cina.

Sama betul atau tidak, bukanlah persoalannya. Nak tahu kena tanya mereka yang tak pangkah anak Anwar tu. Tapi saya yakin banyak lagi faktor lain yang lebih penting dan besar penyebab kepada kekalahan Nurul Izzah.

Beranggapan dia kalah hanya kerana kahwin orang Cina adalah sangat keterlaluan. Orang Melayu tak macam tu.

Yang pastinya, ada satu persepsi dari orang Cina bahawa orang Melayu tak suka Cina. Bagi orang Cina, perkara itu sangat serius buat Melayu, sehingga perkahwinan membolehkan seseorang pemimpin ditolak jatuh.

Walau bagaimana pun apa yang berlaku pagi tadi hanya mengesahkan perasaan orang Cina tahu yang Melayu tak suka pada mereka.

Tak perlu juga nafikan bahawa memang orang Melayu tak suka pada orang Cina. Sejak kecil di kampung dulu lagi saya dah sedar yang Melayu tak suka cina.

Semua orang tahu perkara ini termasuk semua pemimpin yang ada di atas sana. Yang paling best, tiada usaha untuk rapatkan dan redakan jurang saling tak suka tersebut.

Memang tak boleh nak hapuskan bab suka atau tak suka ni. Tapi tetap boleh diuruskan dengan baik. Bukan dipergunakan untuk agenda politik dan seumpamanya. Kita bahas bab cara depani masalah melayu tak suka cina ni di lain masa.

Kita akui saja dahulu dan fokus kepada bersikap adil kepada semua orang tak kira bangsa terlebih dahulu.

Tak salah untuk tak suka orang

Saya kongsikan pasal gossip auntie tu di facebook, mulanya dengan niat ia satu gossup lawak. Tapi ada komen dari kawan, nampaknya serius berkata, begitulah orang cina diajar untuk takut kepada Melayu, Islam terutamanya Pas.

Seorang lagi kawan komen, 'mereka memang berfikir macam tu, sebab itu keluar idea sebegitu.'.

Saya rasa tak ada salahnya untuk suka atau tidak suka pada seseorang, atau bangsa atau siapa saja. Suka atau tidak tu adalah mainan perasaan.

Orang kalau tak suka pada kita, memang tak boleh nak buat apa-apa. Dia boleh saja tak suka dengan apa alasan sekalipun.

Tapi yang salahnya adalah, disebabkan rasa tak suka itu, maka kita bersikap tidak adil kepadanya. Itu yang salah.

Ada kawan yang komen, melayu tak ada masalah jika tidak diganggu. Hanya bila dikacau, maka Melayu akan marah.

Pendapat itu agak pelik sebab, bab ganggu orang Melayu ni, bukan ada kena mengena dengan bangsa. 

Kalau Melayu ganggu orang Melayu sekalipun, Melayu yang diganggu itu akan marah. Memasukkan unsur bangsa ke dalam masalah itu adalah pemikiran yang celaru.

Jangan bersikap tidak adil

Suka atau tidak suka adalah urusan perasaan manusia. Susah nak kawal. Jadi kita terima keadaan itu. Berurusan, kahwin, kawan, dan lain-lain dengan orang atau bangsa yang kamu suka, tak ada masalah.

Tapi janganlah bersikap tidak adil.

Apa yang berlaku dalam masyarakat sekarang adalah bersikap tidak adil terhadap bangsa yang mereka tak suka.

Contoh paling banyak berlaku adalah apabila seorang Melayu ganggu Melayu yang lain, dia dilihat sebagai satu individu.

Tapi apabila seorang Cina ganggu Melayu, dia dilihat sebagai satu bangsa.

 Itu sangat tidak adil. Kenapa tidak melihat sama macam Melayu tadi, iaitu sebagai satu individu. Bukan melibatkan bangsanya.

Untuk parahkan lagi keadaan, melayu yang ganggu melayu di atas tadi dikaitkan pula sebagai pencacai kepada bangsa cina tu.

Betapa bercelarunya tanggapan kamu berubah kejap individu kejap bangsa!

Kawan saya berikan contoh ada orang Cina yang tak ada masalah dengan Melayu, seperti Ann Wan Seng umpamanya. Baginya, itu bukti Melayu tak ada masalah dengan Cina.

Tapi jika anda bersikap jujur, anda sendiri dapat lihat, apabila Ann Wan Seng masuk Islam, buat perkara baik, dia dilihat sebagai Ann Wan Seng sahaja, bukan Cina.

Sebaliknya, jika kita ambil Mat Kilau contohnya, melayu yang berbuat baik kepada orang Melayu, dia dilihat sebagai Melayu, bukan sekadar Mat Kilau. Pehlawan itu jadi ikon Melayu, lambang Melayu. Wakil melayu

Nampak tak?

Maksudnya dalam bab buat baik, bila cina buat, dia dilihat sebagai satu individu. Bila melayu pula buat, dia dilihat sebagai satu bangsa. Terbalik dari perkara buat jahat di atas tadi.

Semua itu tidak adil dan bercelaru.

Apa yang saya cakap ni bukanlah perkara baru. Amaran yang sama di sampaikan dalam Quran tentang sikap tidak adil terhadap sesuatu bangsa. Lihat surah 5 (Al-Maidah) ayat 8.

"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan."

Renungkan baik-baik sebelum hanyut dek emosi.

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Nurul Izzah kalah sebab dia kahwin dengan orang Cina - Gossip pagi auntie di taman

Previous
« Prev Post

2 comments:

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !