Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

28 December 2022

Aktiviti pencarian sampai jumpa analisis manusia terperangkap dengan teknologi dalam tulisan Jacques Ellul

  Ano Nyme       28 December 2022


Sejak masuk ke fasa akhir hidup ni, lebih cenderung untuk mencari dan cuba memahami kehidupan dengan lebih mendalam.

Nak cuba faham sendiri dengan gunakan akal fikiran yang Tuhan berikan. Bukan sekadar mendengar apa yang orang lain kata. Kalau bab potong rumput, boleh kita serahkan pada kontraktor.

Tapi bab kehidupan yang tiada kesudahan di sana nanti, mana boleh main serahkan begitu saja selain kepada diri sendiri yang perlu bertanggung jawab.

Lihat surah Al-Baqarah ayat 166. Siapa saja yang anda ikut, bla di sana nanti, masing-masing akan berlepas diri. Sendiri lah tanggung. 

Mereka yang diikuti akan berkata, 'akau hanya beritahu, yang kamu ikut buat apa?' .. begitulah hatta syaitan sekalipun akan lepaskan dirinya dari bertanggung jawab.

Selama ini, sejak kecil sampai tua, bab kehidupan dunia dan terutamanya akhirat, semuanya di outsource kepada mereka yang belajar ilmu agama. Apa yang mereka kata, itulah yang dianggap benar.

Tiada siapa yang berani bantah melainkan dia juga bertaraf tok guru. Lebih lagi jika anda ahli masyarakat setempat. Setuju dengan semua perkara yang dianggap penting adalah kewajiban untuk pastikan diri tidak disingkir dari masyarakat tempat anda bergaul.

Jika anda lahir di tempat yang aliran fahamannya adalah fahaman tua, maka itulah pegangan anda. Jika lahir dan bergaul di kalangan mereka yang condong ke arah fahaman muda, maka itulah jadinya pegangan anda. Malah jika seseorang itu lahir di India, maka besar kemungkinan Hindu akan jadi fahaman dan ikutan tegarnya.

Kemungkinan untuk anda keluar dari fahaman, yang berbeza dari tempat di mana anda di lahirkan adalah sangat nipis. Kecuali anda keluar berasingan dari situ dan mula bergaul dengan masyarakat baru. Melihat dan berfikir.

Lahir di kawasan pondok

Saya lahir di Kubang Semang. Membesar di situ dari sekolah rendah sampai sekolah menengah. 

Ada satu pondok di Kubang Ulu yang popular masa saya kecil dulu. Pondok tu juga aktif kegiatan tabligh. Banyak anjurkan perhimpunan tabligh dan menerima kunjungan dari ramai kumpulan tabligh lain dari seluruh pelusuk dunia.

Kebetulan Tok Guru mengaji, juga imam masjid Kubang Semang ketika itu ahli tabligh yang konsisten. Maka saya turut sama sertai jemaah tabligh ketika itu.

Oleh kerana tabligh banyak fokus kepada amalan sunnah secara berjemaah, tak banyak pendedahan kepada ilmu Ketuhanan yang sistematik. Bab itu hanya dipelajari ketika mengaji dan masuk sekolah agama pagi atau petang setelah habis sekolah kebangsaan.

Pengajian agama, samada feqah, tauhid, atau tasauf banyak diadakan secara konsisten di masjid-masjid. Ada juga dianjurkan oleh individu dirumahnya dengan menjemput tok guru mengaji yang diiktiraf. Itu cara pengajian keagamaan untuk orang awam di kampung.

Banyak kitab akan dibuka. Orang panggil kitab kuning. Semuanya dalam tulisan jawi. Rumah saya jadi salah satu pusat pengajian kitab kuning ni bila arwah bapak jemput Pak Su Mat Yatim, Imam dan tok guru agama di kampung ketika itu.

Arwah Tok Ayah juga dulu ketika hidupnya adalah tok guru agama. Juga imam dan seorang qori yang bagus suaranya. Itulah yang diberitahu pada saya sebab saya tak sempat hidup di zamannya.

Maka aliran saya sudah tentu adalah fahaman lama. Sealiran dengan semua orang lain di kampung. Juga apa yang diajarkan di pondok berhampiran.

Sehingga sekarang, aliran muda atau orang lebih suka panggil Wahabi, tidak berapa diterima sangat di kampung tu. Cuma dah mula ada yang condong kepada pemikiran Mufti Perlis yang juga berasal dari Mengkuang, kampung sebelah saja dari Kubang Semang.

Sekarang, zaman dah berubah, di mana banyak maklumat boleh dikutip saja dari internet. Banyak aliran bercambah, banyak fahaman didedahkan secara terbuka kalau anda rajin layari internet.

Fahaman 'Lepat' dan mereka yang sealiran dengannya pun, ada ramai yang ikuti dan suka. Sekarang otak anda dah tak boleh jumud lagi. Perlu digunakan untuk membezakan antara yang benar dengan yang palsu. Yang make sense berbanding nonsense.

Dengar dan ikut tanpa soal jawab akan buat anda jadi benar-benar berbeza. Samada selamat sebab taat pada kumpulan yang sama atau kacau bilau sebab berlawan arus. Atau anda terus dengan kebodohan jadi lalang mana-mana fahaman pun ikut dan buat-buat selesa demi nak bermasyarakat.

Bila dah semuanya terbuka, maka ada keperluan untuk melihat kepada pandangan yang bertentangan. Membuat perbandingan apa yang sama apa yang berbeza dan sebagainya.

Tak cukup dengan buka hati untuk mendengar dan buat perbandingan, terpaksa juga korek lagi maklumat dengan lebih mendalam untuk puaskan kefahaman. Kalau tak, macam mana nak bandingkan.

Masalah pengikut yang lepaskan semua pada tok gurunya adalah disebabkan majoriti tidak mahu berusaha untuk cari dan fahami sendiri. Bayangkan ada 2 tok guru, masing-masing ada ribuan pengikut. Tapi fahaman kedua-dua tok guru itu saling bertentangan. Jadi mana satu yang betul?

Samada salah satunya betul atau kedua-duanya tak betul. Mustahil kedua-dua betul. Tapi orang tak ambil peduli semua itu sebab dia hanya mahu ikut tapi tak mahu bertanggung jawab terhadap apa yang dia ikut. Banyak keadaan itu berlaku kepada umat islam malah kepada semua agama sebenarnya samada Hindu, Buddha, Kristian, Yahudi, dan lain-lain lagi.

Belajar dan mengkaji

Masa ada di luar negara dulu, saya berpeluang untuk belajar bab feqah dan akidah dari orang arab. Mereka sama fahaman, iaitu fahaman lama. Mereka percaya bahawa fahaman lama adalah sebenarnya fahaman ahlisunnah wal jamaah. Wahabi tak diiktiraf masuk dalam aliran itu. Sama juga macam di Malaysia sekarang.

Kitab feqah yang diajar ketika itu adalah matan Abu Sujak. Dalam masa yang sama, kami juga merujuk kepada Syarah Al Katib Al-Syarbini.

Dalam bab akidah pula sheikh kami ajar Aliran Asy’ariyah. Dia turut juga ajar kitab karangan tok gurunya sendiri kitab tauhid bernama As-Sirotul Mustaqim. Tak payah saya nak bagi tau siapa tok tok guru tu sebab riuh juga kontroversi yang mengecam para tok guru aliran yang saya pelajari di sana dulu.

Yang pastinya, kumpulan yang saya ikut tu sangat kuat lawan fahaman Wahabi. Bah kan mulut mereka sentiasa basah sesatkan para Tok Guru semua kitab Wahabi. Malah ada yang dikafirkan.

Saya dengar dan cuba faham saja.

Balik Malaysia, saya cari beli dan habiskan baca Tafsir Al-Azhar karangan Buya Hamka. Sekalipun Hamka itu dikatakan condong kepada aliran muda, saya baca juga sebab nak buat perbandingan. 7 tahun juga digunakan untuk habiskan semua jilid tafsir Al-Azhar tu. Banyak buku-buku karangan Hamka yang saya habis baca.

Dalam masa sama saya teruskan pencarian dengan ikuti kuliah mingguan para Tok Guru agama di masjid-masjid.

Semua tidak habis di situ saja. Pencarian itu berterusan dengan membuka pula segala buku karangan mereka yang digelar liberal. Kemudian baca dan perhatikan perbincangan mereka yang gelar diri sebagai Quranite atau Ahli Quran. Mereka hanya mahu lihat Islam sebagaimana yang ada dalam Al-Quran saja.

Ubah kepada yang tak popular

Sehinggalah di satu tahap timbul pertanyaan adakah setiap makna perkataan dalam Quran itu adalah bermaksud sebagaimana yang telah didedahkan kepada kita sejak kecil sampai besar ni.

Pertanyaan ini muncul bila saya ikuti tulisan geng Ahli Quran. Mereka banyak pertikaikan maksud sebenar perkataan yang ada dalam Quran adalah berbeza daripada yang difahami oleh majoriti orang Islam.

Bagi mereka, umat Islam majoriti besarnya ambil dan pegang kuat apa saja yang telah ditafsirkan, dihuraikan dan fahamkan oleh para ulama dulu saja.

Maka terbuka pula satu ruang untuk saya cuba mencari makna yang lebih jauh. Timbul rasa tak puas hati cara ahli quran ni berikan makna dalaman setiap perkataan dan bukan makna luaran perkataan.

Nampak macam mereka hanya plug-in maknanya, dari kefahaman mereka sendiri tanpa ada satu methodologi yang konsisten. Ia lebih kepada memberikan makna yang orang putih kata make sense.

Yang bagusnya mereka ini adalah, membuat rujukan perkataan asal bahasa arab itu berdasarkan makna originalnya di zaman dulu. Ada yang hadkan kepada makna asal bahasa arab sebagaimana yang digunakan oleh orang quraish ketika zaman al-quran di turunkan dulu. Itu menarik!

Hasil dari pendedahan geng Quranite itu, saya mula beralih untuk mencari pendapat mereka yang tidak masuk dalam aliran semasa. Banyak buku yang saya baca adalah benda berat yang saya percaya tak ramai orang akan buka dan baca berbanding buku popular dan terkenal.

Cara itu membuatkan otak dan pemikiran saya lebih terbuka untuk memahami perbezaan. Berikan ruang mendengar atau membaca perkara baru membuatkan saya terjumpa banyak perkara yang tak nampak selama ini. 

Macam anda lihat gambar ilusi dua wajah dalam satu gambar. Biasanya orang akan nampak satu saja gambar. Tapi bila orang beritahu ada lagi satu bentuk yang tersorok dalam gambar itu, anda mula cuba melihatnya. Sehinggalah akhirnya anda dapat lihat. Dan sekali dah nampak, anda tak boleh lagi tak nampak. Begitulah pemahaman benda baru dalam otak kita berjalan.

Panjang nak cerita perjalanan mencari dan mengkaji secara amatur ini. Saya hanya buat sedikit-sedikit dalam meluangkan masa setengah jam setiap hari membaca dan berfikir. Semua itu mudah dilakukan dengan adanya teknologi maklumat yang canggih sekarang.

Ada satu penterjemah Quran yang saya dah ikut usahanya sejak dulu menawarkan satu method yang sangat baik dalam mencari makna sebenar setiap perkataan dalam Quran.

Apa yang dia buat adalah bayangan dalam keadaan anda membuka lembaran Quran di dalam sebuah gua di mana tiada siapa yang mampu anda rujuk selain dari Al-Quran itu sahaja. Bagaimana anda dapat baca dan fahami apa kandungan yang mahu disampai oleh Quran. Tuhan kata Quran mudah dan dapat di fahami oleh semua orang dan setiap ayat atau perkataan yang anda tak faham akan ada huraiannya di lain ayat.

Apa yang dia buat sangat menarik. Asasnya adalah dengan menggunakan kelebihan satu perkataan yang banyak diulang-ulang dalam Quran. Dia akan masukkan satu demi satu makna asal perkataan itu dalam kesemua ayat yang ada berulang di banyak tempat.

Jika satu saja tak make sense, maka dia sahkan bahawa makna itu tertolak. Sehinggalah dia jumpa satu makna yang bila dimasukkan dalam kesemua ayat berbeza itu make sense, maka barulah dia sahkan itulah maknanya.

Logiknya, dia pegang yang Al-Quran itu dari Tuhan dan Tuhan janji tak akan ada pertentang dalam satupun ayat dan perkataan yang ada dalam Quran. Jadi mustahil Tuhan akan peningkan manusia untuk berikan makna berbeza-beza pada satu perkataan yang sama.

Satu lagi buku menarik yang saya jumpa adalah tulisan Jacques Ellul yang saya sebutkan pada tajuk di atas.

Asalnya nak cerita pasal ahli falsafah orang Perancis di atas tu. Teringat nak kena cerita bagaimana saya boleh terjumpa, lalu jadi panjang pulak .. saya ubah tajuk artikel ni selepas dah terlajak kongsikan pengalaman saya luangkan masa sedikit demi sedikit mencari maklumat kehidupan.

Berbalik kepada Jacques Ellul ni, dia ada menulis satu buku yang agak kontroversi. Ada yang setuju dan ada yang tolak bantah. Tapi ia menarik untuk dibaca dan difikirkan. tajuk buku tu adalah The Technological Society

Buku asalnya ditulis dalam Bahasa Perancis pada tahun 1954 kemudian diterjemahkan ke Bahasa Inggeris pada tahun 1965.

Saya masih sedang cuba memahami buku itu sebab dia tulis sangat mendalam dan terperinci. Kena betul-betul fikir untuk faham. Buat orang yang tak pandai sangat berbahasa Inggeris macam saya, memang ambil masa untuk faham.

Secara asasnya buku ini ceritakan bagaimana manusia mulai terperangkap dalam apa yang Jacques Ellul kata Technique.

Bukan sekadar teknologi, tapi teknik adalah lebih luas. Ia bukan sekadar mesin dan peralatan. Tapi merangkumi semua urusan yang jauh lebih besar yang saling kait mengait mencengkam kuat kehidupan manusia.

Teknik dah jadi macam benda hidup yang ada kesedarannya sendiri. Dia kekal berevolusi sehingga menjadikan dunia sebagaimana yang kita diami sekarang ini. Dah masuk ke tahap global dan setiap pelusuk dunia tak mampu menempiskan diri darinya.

Anda boleh lari dan lari ke ceruk terpencil untuk bebaskan diri dari teknik, tapi lambat laun ia akan datang juga. Kalau bukan anda, anak cucu anda pasti akan masuk terperangkap juga.

Untuk tahu lebih lanjut, boleh mulakan dengan nonton youtube ini. Dia terangkan pasal Jacque Ellul dan tulisannya dalam beberapa siri.

Panjang tulisan ni. Tapi saya yakin hanya anda yang ada minat sama macam saya saja akan sanggup habiskan sampai di sini. Terima kasih ..

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Aktiviti pencarian sampai jumpa analisis manusia terperangkap dengan teknologi dalam tulisan Jacques Ellul

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !