Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

31 December 2022

Perkara penting anda perlu lihat dalam memilih pasangan untuk berkahwin khas buat anak muda

  Ano Nyme       31 December 2022


Saya dah kahwin dan dah ada anak. Dah berpuluh tahun ada pengalaman melayari dunia perkahwinan. 

Apa yang saya kongsikan di sini adalah berdasarkan pengamatan. Juga dari pengalaman yang sudah ditempohi dalam tempoh perkahwinan tersebut.

Baik atau buruk apa yang sudah ditempuhi, terpaksa ditelan juga. Memang itulah, apa yang anda dah dapat, sesekali tak boleh tak dapat. Jadikan saja satu pengalaman. 

Pengalaman itu, cuba kongsikan untuk jenerasi yang di bawah. Agar mereka dapat sedikit pedoman untuk pertimbangkan dalam proses mencari pasangan kelak. 

Itulah tujuan saya kongsikannya di sini.

Gabungan 2 budaya

Kita orang Melayu, beragama Islam. Majoritinya berasal dari kampung. Tidak dapat lari dari punya budaya atau amalan tertentu. 

Amalan individu adalah rentetan dari amalan keluarga di mana anda di besarkan. Amalan itu adalah terjemahan dari budaya masyarakat tempat keluarga anda menetap.

Dalam setiap perkahwinan, anda bukan sekadar gabungkan 2 individu. Tapi sebenarnya adalah proses gabungan, adaptasi 2 budaya dari 2 keluarga yang berbeza.

Jangan ambil remeh perkara tersebut jika anda mahu membina sebuah keluarga yang baik. Kegagalan bertolak ansur untuk sesuaikan diri menerima perbezaan budaya keluarga pasangan, akan jadikan perkahwinan medan cobaan yang besar.

Macam saya kata di atas, visi kehidupan yang terpahat dalam kepala anda, terutamanya kepada seseorang lelaki, adalah pengaruh dari budaya amalan keluarga dan masyarakat tempat anda di besarkan. 

Mungkin ada penambahan atau pengurangan sedikit sebanyak. Tapi dasarnya adalah berpahat dari pengaruh budaya keluarga anda.

Fokus kita dalam perkahwinan adalah untuk membina sebuah keluarga yang baik. Kekal dalam perkahwinan sampai ke mati dan membesarkan anak-anak tanpa terlalu banyak cubaan dan cabaran yang tidak terpikul.

Oleh itu, pemilihan dalam menentukan pasangan yang sesuai adalah langkah pertama yang perlu diberikan perhatian.

Lihat siapa keluarga pasangan

Untuk pastikan anda tidak hadapi masalah yang besar dalam perkahwinan dan usaha membina keluarga anda sendiri bila dah berumah tangga nanti, sila perhatikan dan kenal betul-betul siapa keluarga pasangan anda itu.

Jangan terburu-buru main nak kahwin saja sebab pasangan tu cantik dan baik dan anda suka padanya. 

Masa bercinta boleh, hanya berikan tumpuan pada pasangan saja. Ketika itu semuanya indah. Kentut busuk pun suka.

Bila dah kahwin, anda berhadapan dengan keluarganya, saudara maranya, dan tempat atau masyarakatnya. Begitu juga dengan pasangan anda. Tak dapat lari dari berhadapan dengan semua itu.

Ada yang mungkin rasa tak perlu ambil kisah sangat hal keluarga sebab sekali sekala saja nak balik kampung. Tapi pemikiran itu salah sama sekali. Anda akan berhadapan dengan semua itu sepanjang hidup selagi perkahwinan itu kekal.

Pasangan anda, jika masih ada keluarga, dah tentu akan terpaksa libatkan keluarganya dalam banyak perkara kehidupan. Anda juga begitu. Kecuali anda berkahwin dengan lelaki misteri dari luar negara yang lansung tak ada saudara mara. Tapi itu adalah luar biasa, takkan berlaku.

Tanya dulu jiran bakal pasangan anda. Risik kepada orang yang kenali keluarga pasangan anda terlebih dahulu dan lihat kesesuainya dengan anda dan keluarga anda.

Pilih keluarga yang ada tradisi baik

Dalam kajian tentang melahirkan anak-anak yang berjaya, salah satu kriteria adalah lahir dari keluarga yang ada tradisi atau punya cerita keluarga yang baik.

Dalam konsep kejayaan juga saya lihat salah satu ciri-ciri yang anda perlu usahakan adalah untuk meninggalkan satu legasi atau tradisi yang bagus kepada anak cucu anda. Ketua keluarga yang tak ada visi sedemikian akan lahirkan keluarga yang merapu sahaja.

Tak kisah apapun tradisi mereka, sila pantau dan perhatikan samada mereka punya satu tradisi yang baik atau tidak. Tradisi berkelahi sampai tidak bertegur sapa dua tiga keturunan sesama saudara mara, adalah tradisi yang buruk. Jangan ambil keluarga sebegitu. Anda akan hadapi banyak masalah nanti.

Tradisi bermasyarakat juga sangat penting. Penting sebab satu lagi ciri kejayaan hidup adalah mampu memberi sumbangan kepada masyarakat. Bagaimana nak menyumbang kalau tak bermasyarakat?

Keluarga yang tidak bermasyarakat dah tentu tiada apa-apa sumbangannya terhadap masyarakat. Sumbangan tolong kenduri kendara, bantu anak khariah yang susah, sertai aktiviti gotong royong, pergi masjid dan surau, raikan kejayaan anak khariah dan macam-macam lagi.

Manusia yang banyak menyumbang hidupnya puas dan bermakna. Dari situ datangnya kebahagiaan hidup.

Aktiviti bermasyarakat membuatkan masa digunakan dengan baik. Tiada ruang 'bosan' itu dan ini. Bosan sebab tiada aktiviti. Salah seorang pasangan bosan, akan ganggu keharmonian keluarga. Tambah lagi jika yang sorang sibuk, dan sorang lagi tidak bermasyarakat, maka akan berlaku pergeseran jiwa yang besar dalam dunia perkahwinan.

Keluarga yang bermasyarakat, tak ada ruang, tak ada masa untuk sebut bosan itu dan ini. Hanya yang tiada aktiviti saja akan sering rasa kebosanan. Bila suami sibuk, isterilah yang akan bawa nama suaminya. Bila isteri sibuk, suami sendirilah yang akan wakili keluarganya. Yang penting keduanya libatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan.

Ringkasnya, pantau 2 tradisi tersebut di atas ada pada keluarga pasangan anda. Iaitu, menjaga nama yang baik atau ada legasi baik untuk keluarga dan keduanya bermasyarakat.

Lihat amalan Patriarki atau Matriarki

Satu lagi perkara besar yang anda perlu lihat pada keluarga pasangan anda adalah bab Patriarki atau Matriarki.

Maksudnya samada keluarga pasangan anda dikuasi oleh pihak lelaki atau pihak wanita.

Konsep Patriarki

Orang tua dulu-dulu biasanya amalkan konsep Patriarki. Ketua keluarga adalah dari kalangan ayah. Dia yang tentukan halatuju, keputusan besar dan visi keluarga di bawah jagaannya.

Si ibu dari keluarga Patriarki pula akan cuba fahami semua hala tuju tersebut, fahami visi suaminya dan menggunakan kebijaksanaan yang ada untuk merealisasikan visi suaminya.

Semua keputusan keluarga akan dibawa ke meja perbincangan terutamanya yang besar-besar. Termasuklah bab perbelanjaan dan pendidikan anak-anak. Suami cari duit lalu disalurkan kepada isteri untuk dia laksanakan hasrat atau visinya. Bukan untuk dia buat ikut suka kepalanya tanpa ada apa-apa hala tuju.

Saya percaya bahawa konsep keluarga Patriarki adalah konsep yang disuruh dalam Al-Quran. Hujah mudah saya adalah kesemua nabi dan rasul adalah dari kalangan lelaki.

Dari segi psikologi pun orang lelaki berbeza berbanding orang perempuan.

Lelaki akan memandang 3 atau 4 langkah ke depan atau jauh lagi dari itu. Dia ada visi dalam kepala, keluarga macam mana yang dia mahu bina. Sebab membina tradisi dan meninggalkan satu legasi yang baik kepada keluarga adalah kebanggaan seorang lelaki yang perlu dicapai.

Adakah amalan Patriarki bererti merendahkan martabat seorang wanita?

Tidak sama sekali. Wanita ada peranannya tersendiri. Sama besar kepentingannya samada wanita atau lelaki cuma berbeza peranan yang perlu dimainkan sahaja.

Tugas lelaki keluar cari makan, lindungi isteri dan anak-anak, fikirkan kebajikan mereka dan seribu satu lagi tanggung jawab yang penting perlu dipikul oleh lelaki. Tanpa isteri yang sokong semua itu, memahami kekangan dan cabaran yang dihadapi oleh suaminya, pembinaan keluarga yang baik tak akan berlaku.

Jika perempuan yang terdedah kepada amalan patriarki, berkahwin dengan lelaki yang tidak ada hala tuju, tak tegas, tak mengawal, akan berlaku masalah dalam perkahwinan. Sebab isteri patriarki tidak dapat hidup dengan lelaki yang tidak ada hala tuju dan tegas dengan visinya yang dia mahu.

Sebab itu kekadang kita hairan kenapa ada wanita yang masih setia kekal bersama dengan suami yang brutal, tegas, garang dan tiada tolak ansur dengan pendapat dan kemahuannya. Keyakinan dengan keupayaan suami membuatkan dia setia. Kesetiaan itulah yang buatkan rumah tangga itu kekal.

Konsep Matriarki

Ada juga keluarga yang amalkan konsep Matriarki. Di mana semua hala tuju di pegang oleh wanita. Ibu yang tentukan apa yang keluarga tu nak jadi. Ibu yang kawal pergerakan ayah.

Dalam keluarga Matriarki, ayah hanya jadi pak turut yang gunakan kudratnya untuk bawa balik duit yang diperlukan oleh ibu. Jika ayah tak bawa balik duit mencukupi, siap hari bulan dia boleh halau dan caci maki si ayah. Terpaksa tidur luar.

Keluarga Matriarki akan banyak bekerjasama dengan semua pihak wanita dalam keluarganya sendiri. Maksudnya, isteri anda akan sangat rapat saling sokong menyokong antara kakak dan adik perempuannya. Juga dengan abang atau adik lelaki pilihannya.

Hanya keluarga lelaki yang turut sama pegang amalan Matriarki sahaja akan didampingi. Jika keluarga lelaki yang amalkan Patriarki, biasanya mereka jadi tidak rapat dan ada kalanya bermusuh.

Pastikan anda lihat diri dan keluarga anda sendiri. Apakah mengamalkan konsep Patriarki atau Matriarki.

Bagi wanita yang amalkan matriarki, biasanya mereka adalah sebuah keluarga yang dah ada harta dan tradisi yang berakar umbi sekian lama. Untuk kekalkan status tersebut, wanita matriarki memang berupaya lakukannya. Contohnya adat Minangkabau yang semua pewarisan harta diberikan kepada kaum wanita. Lelaki beruntung tak perlu susah payah cari duit untuk adakan tempat berlindung. 

Lelaki yang amalkan konsep matriarki bersedia terima keadaan isterinya yang mengawal asalkan semua urusan makan minum, tempat perlindungan dan segalanya isteri dan keluarga isterinya memang dah ada banyak. 

Ada juga wanita yang nampak macam amalkan matriarki, sebab dia tak ikut, tak sokong serta tak setia dengan suaminya. Tapi hakikatnya dia bukan amalkan matriarki, cuma degil atau tidak diperturunkan ilmu dan amalan bagaimana tugas seorang isteri yang setia dan sentiasa berikan sokongan pada suami. Itu bukan wanita matriarki, tapi sengaja nak kena maki. Kita tak bincang bab itu di sini.

Berbalik kepada keluarga matriarki tadi; lelaki yang patriarki tak akan mampu tahan keadaan dikawal keluarga matriarki sebab bukan itu jiwa dan kecenderungannya. Akan berlaku perpecahan jika gagah juga nak tahan.

Pastikan sama-sama patriarki

Jangan salah pilih pasangan yang keluarganya amalkan konsep bertentangan dari apa yang keluarga anda amalkan. 

Jika berlaku sedemikian, rumah tangga tak akan aman. Isteri yang amalkan Matriarki akan buat keputusan sendiri tanpa merujuk suaminya. Hal ehwal anak-anak juga sama, dia yang tentukan.

Jika anda Patriarki, anda akan kecewa dan rasa marah sebab itu bertentangan dengan apa yang ada dalam jiwa anda. Tambah lagi apa yang isteri bawa tidak sebagaimana visi yang ada dalam kepala anda.

Jika anda membentak, akan berlaku pergaduhan. Jika anda bersabar, binasa dalaman. Cubaan untuk ubah itu semua tidak akan berjaya sebab amalan Matriarki dah berdarah daging dalam diri isteri anda dan keluarganya. Mereka bukan sengaja nak rosak dan sakitkan hati anda. Cuma mereka tidak dapat melihat semua itu. Merajuk dengan mereka adalah perbuatan sia-sia.

Biasanya, pasangan yang bertentangan konsep akan berakhir dengan perceraian. Sama ada secara baik atau buruk bergantung kepada tahap kematangan masing-masing. 

Tapi jangan pandang rendah kepada kebodohan orang yang bodoh. Mereka tak akan berdamai dengan orang yang tidak sehaluan dengan mereka. Jadi berhati-hati lah memilih pasangan agar tidak perlu lalui proses perceraian.

Biasanya lelaki Patriarki yang berkahwin dengan Isteri Matriarki, kemudian bercerai, semua anak akan dikuasai oleh isteri. Jika anak-anak sudah besar, beruntunglah si ibu dan dia tidak bergantung lagi kepada suami atau bekas suaminya.

Malang si suami akan kehilangan tempat bergantung, kehilangan kasih sayang anak-anak dan kalu nasib tak baik mati keseorangan jika bercerai setelah tua akibat bertahan dan sabar sekian lama.

Isteri Matriarki biasanya akan berubah makin tidak takut kepada suaminya apabila anak-anak semakin besar dan dah boleh cari duit. Itulah aset mereka. Dan ketika itu, suami akan makin terabai dan tidak dianggap penting lagi.

Maksudnya, jangan tunggu lama jika dapati pasangan anda Matriarki sedangkan anda Patriarki, pihak lelaki yang akan lebih mendapat mudharat jika tunggu lama. 

Bayangkan anda sedar dah silap setelah berusia lebih 50 tahun. Bercerai dan kahwin dengan pasangan baru yang amalkan konsep Patriarki. Dah 50 tahun baru nak dapat anak baru dan terpaksa pulun kerja lagi untuk besarkan mereka. Nasib lah kalu jadi macam itu. Kerja sampai mati lah jawabnya. 

Tapi jika itu yang terpaksa ditempuh, apa nak buat. Anggap saja semua itu adalah satu ujian. Lebih kuat ujian yang anda lalui, lebih banyak ganjarannya jika anda berjaya laluinya dengan baik.

Demikianlah perkongsian saya dari pengamatan bab rumah tangga dan memilih pasangan yang sesuai. 

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Perkara penting anda perlu lihat dalam memilih pasangan untuk berkahwin khas buat anak muda

Previous
« Prev Post

3 comments:

  1. Betul. Sebab dah terkena. Baru ni tahu... terima kaseh perkongsian.

    ReplyDelete
  2. Jikalah boleh memilih. Masalahnya, kita yg tak terpilih. Kita yg memilih milih, tp org yg kita pilih tidak memilih kita.
    Apapun, amalkan doa, "Rabbana hablana min azwajina wa zurriyatina qurrata 'ayun, wa ja'alna lil muttaqina imama - Wahai Tuhan kami, kurniakankanlah kami isteri isteri dan zuriat yg menyenangkan kami, dan jadikanlah kami contoh ikutan bagi golongan orang orang yg bertaqwa."

    ReplyDelete

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !