Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

07 January 2023

Kenapa saya tak mahu kahwin dua hanya disebabkan gagal dengan yang pertama

  Ano Nyme       07 January 2023


Dari gambaran usik mengusik sesama lelaki, samada di kedai kopi, dalam grup wasap atau di perbincangan kaki lima, nampak seperti kahwin dua, atau lebih dari itu adalah kesukaan lelaki.

Ia berikan gambaran terutamanya kepada kaum wanita yang lelaki ni pantang leka, jika berpeluang akan cari isteri kedua, ketiga dan seterusnya ke-4.

Saya rasa apa yang orang perempuan sangkakan terhadap lelaki dalam bab kahwin lebih dari seorang ni adalah gambaran yang diperbesarkan atas dasar benci dan cemburu sakit hati.

Kaum lelaki pula, usik mengusik bab kahwin dua ni sekadar untuk hiburkan hati berborak terhadap perkara yang dikongsikan bersama oleh semua lelaki iaitu dibenarkan berkahwin lebih dari seorang.

Ayat paling popular yang semua lelaki tahu adalah, 'yang cakap kuat pasal poligami tu biasanya memang tak akan berani berpoligami. Yang diam pijak semut tak mati tu la yang tup-tup kahwin seorang lagi'

Saya boleh sahkan ayat tu benar sekali.

Hakikatnya, dalam 100 orang lelaki di Malaysia, hanya 3 ke 5 orang sahaja yang amalkan poligami. Dalam erti kata lain, jika anda bertemu dengan 100 orang lelaki, insyaallah 95 ke 97 orang darinya kahwin seorang saja. Rujuk pautan ini.

Jadi kat mana bukti yang katakan lelaki ni pantang lepa akan kahwin sorang lagi?

Dalam apa saja perkara, antara percakapan mulut dengan perbuatan dan amalan, kebenaran adalah lebih berpihak kepada perbuatan dan amalan dan bukannya percakapan.

Kenapa berkahwin?

Masa muda dulu, mungkin saya tak fikir begini tentang kenapa nak kahwin. Sebab masa muda itu, kahwin ada banyak dipengaruhi atas dorongan syahwat. Desakan nafsu yang memang lumrah semula jadi ada pada setiap manusia, lelaki yang normal.

Atas faktor itu, dorongan untuk berkahwin sangat kuat. Bagi yang menjauhi zina, tiada cara selain dari cari pasangan dan berkahwin untuk halalkan segala perhubungan. Itu yang disuruh dalam Al-Quran.

Amalan hubungan kelamin diluar perkahwinan salah satu perkara terkutuk bagi orang yang percaya kepada Allah ada adanya pembalasan di akhirat nanti.

Diringkaskan cerita, lelaki yang berkemampuan akan berkahwin dan akhirnya dikurniakan anak. Terbinalah sebuah keluarga. Terimalah satu tanggung jawab dan amanah untuk besarkan zuriat yang dilahirkan hasil dari perbubungan suci perkahwinan itu.

Bila dah tua, saya baru nampak bahawa dalam keadaan normal, manusia memang begitu kecenderungannya. Macam mana kompas yang akan sentiasa menunjukkan arah utara, begitulah juga manusia akan sentiasa pergi ke arah melahirkan zuriat keturunannya. Antara mekanisme yang bawa ke arah itu adalah nafsu yang Tuhan berikan itu.

Tak ada nafsu, tak adalah zuriat. Oleh itu, jangan kecam kalau anak lelaki anda gatal. Dia normal. Jangan pelik dan hina perkara normal itu. Bayangkan seandainya hubungan kelamin itu sesuatu yang sukar, meyakitkan, menyeksa diri, perkara yang paling tidak disukai manusia .. alamat keturunan Homo Sapien akan pupus dari muka bumi.

Besar kesannya dari semua yang berlaku hasil dari perkahwinan itu. Jiwa lebih tenang selepas kahwin, sekalipun ada kalanya rasa lebih semak berserabut bila berkelahi suami isteri.

Karakter mula terbina, terutamanya di kalangan lelaki. Ia mula nampak ada tanggung jawab besar untuk membina keluarganya sendiri. Membina budaya keluarganya dengan membaiki apa pengalaman yang dia pernah rasa dan mahu anak-anaknya jadi lebih baik dari dirinya sendiri.

Pembentukan karakter pemimpin mula berlaku pada setiap lelaki yang berkahwin dan punyai anak. Maknanya, dia fokus kepada mencari rezeki buat menyediakan makan minum, perlindungan, pendidikan, kesihatan dan lain-lain keperluan untuk keluarganya.

Lelaki akan berfikir jauh, buat pertimbangan antara berbelanja dan berjimat untuk berhadapan hari esok yang masih belum tentu. Kalau dia matipun, dia mahu keluarganya dapat hidup dengan apa yang dia dah cari dan tinggalkan. Sekurangnya ada masa untuk sesuaikan diri di kala dia sudah tiada dan dapat berdikari dengan segera.

Dari sifat itu, maka ramai isteri akan kecam yang lakinya kedekut macam Haji Bakhil. Nak buat apa simpan harta tanpa dibelanjakan. Itulah bunyi sinisan mulut si isteri bila yang diminta tak dapat.

Tapi semua itu bukannya sengaja. Bukan kedekut. Lebih kepada berfikir untuk esok. Untuk mereka juga. nanti, bila aku dah mampus, apa yang kau orang dapat, kalau nak belanja sehari sekali guspun, lantak kau orang lah .. itulah pegangan lelaki, atau at least pegangan saya.

Laki tahu kalau dia habiskan kesemua yang da dengan berjoli sakan, esok bila tak ada makanan atas meja, tak ada duit nak bayar belanja anak sekolah, tak ada simpanan nak pergi klinik dan seumpamanya, semua orang akan memandang dirinya juga.

Dia juga yang akan terima bebanan selesaikan semua masalah tersebut. Dan dia tahu tak ada orang yang akan bertindak dengan cemerlang dalam keadaan tertekan.

Anda sendiri tahu kes bunuh diri di kalangan lelaki ketika wabak covid melanda negara 3 tahun lepas kan! Kenapa agaknya?

Secara jujur, dalam keadaan tertekan dengan tanggungan yang berat dan tak tahu mana nak tuju, kena covid-19, lalu koma dan kemudiannya meninggal adalah satu anugerah terbaik. Itulah yang pernah saya sendiri rasa.

Berbalik kepada persoalan kenapa nak kahwin di atas tadi. Dalam keadaan dah tua macam ni, saya baru sedar bahawa matlamat utamanya adalah untuk punyai anak-anak, bina sebuah keluarga yang baik, meninggalkan legasi kepada anak cucu yang masing-masing jadi manusia yang menunaikan tanggung jawab mereka dengan baik di mana saja mereka berada.

Itulah tujuan utama buat seorang lelaki, kenapa dia mahu berkahwin.

Kenapa cari isteri kedua

Ini yang sering berlaku kepada kaum lelaki yang buat perempuan, atau isterinya marah tak terhingga.

Perempuan akan pamerkan kehebatannya dalam penggunaan kata-kata yang mampu sakitkan hati suaminya tak terhingga bila dapat tahu ada insan ke-3 dalam perkahwinan.

Kenapa sanggup suaminya buat begitu?

Banyak kes berpunca dari rasa tak puas hati lelaki terhadap kedegilan isteri. Tak dengar cakap, mulut berbisa, suka buat keputusan tanpa bincang dengan suami, lebih dengar keluarganya dari berbincang dengan suami. Tidak selari dengan cara hidup suami dan lain-lain seumpamanya.

Ringkasnya, lelaki akan mula cari isteri lain bila dirasakan isteri yang dia ada di rumah tidak mampu memberi sokongan dalam pembinaan sebuah keluarga yang dia hasratkan. 

Atau dalam ertikata lain, kuasa kepimpinannya dicabar oleh si isteri.

Saya yakin dalam kes Syamsul Yusof yang cari isteri baru, berpunca sedikit sebanyak dari kes yang sama. 

Nak berkeras macam orang tua-tua dulu, mahu masuk lokap jadinya. Macam-macam undang-undang yang memihak kepada kaum isteri direka untuk pastikan kuasa kepimpinan lelaki dimandulkan.

Itu adalah masalah kaum wanita zaman sekarang. Wanita sudah jadi hak kerajaan. Jadi hak permodenan, mereka ada kuasa lain yang lebih kuat dari suami, kuasa undang-undang kerajaan.

Dalam keadaan biasa, lelaki yang taat, akan gunakan segala tulang 4 keratnya untuk membela anak dan isteri mungkin selama 20 atau 30 tahun. Sekali silap, habis semua pengorbanan 20 ke 30 tahun itu menjadi tiada nilai lagi.

Kenapa tak mahu kahwin kedua

Dari apa yang saya katakan di atas, nyata bahawa mencari perempuan lain untuk dijadikan isteri, selepas gagal dengan isteri yang ada sekarang adalah satu perkara yang bodoh.

Kenapa saya katakan bodoh?

Sebab kemungkinan anda mendapat seorang lagi wanita yang mahu dilayan sama rata, tidak mengiktiraf suami sebagai ketua menentukan hala tuju keluarganya, adalah sangat besar.

Lari dari mulut harimau, masuk ke mulut buaya. Mati sama juga kot manapun.

Kemungkinan anda berjumpa dengan seorang wanita yang taat sebagai mana tok nenek perempuan kita dahulu adalah satu dalam seribu. Yang lain semuanya sudah dirosakkan oleh ideologi sesat barat yang tidak mahu bezakan peranan antara lelaki dan wanita.

Lagipun, matlamat untuk ada zuriat sudah tertunai dengan isteri pertama tadi. Kalau ditakdirkan berpisahpun, sekurangnya anda dah boleh pejam mata ada keturunan ditinggalkan atas muka bumi ini. 

Dah selesai separuh dari matlamat berkahwin tadi. Doakan saja agar anak-anak akan dilindungi Tuhan dan menjadi manusia yang bertanggung jawab sekalipun anda tidak berjaya membina sebuah keluarga yang dibanggakan oleh seorang lelaki.

Untuk selesaikan matlamat membina sebuah keluarga yang diingini, memang anda terpaksa mencari seorang isteri baru. Tapi masalahnya isteri macam mana?

Saya berikan sedikit gambaran yang ada dalam kepala saya seperti di bawah ..

Saya ada sebut sebelum ini. Kriteria pertama adalah seorang isteri yang berpegangan, terdidik ke arah konsep Patriarki. Iaitu memandang lelaki sebagai ketua keluarga yang berperanan menentukan cara hidup, budaya keluarga dan hala tuju keluarganya.

Isteri yang baik adalah isteri yang taat menunggu suaminya balik untuk makan bersama anak-anak. Yang tak akan keluar rumah bermalam di rumah orang lain samada keluarga atau bukan tanpa kehadiran bersama suaminya.

Kalau nak bercuti, bercuti bersama suami. Kalau suami tak dapat bercuti, terimalah dengan hati yang terbuka. Tunggu kala suaminya ada kesempatan dan pergilah bercuti bersama.

Isteri yang baik adalah yang sentiasa cari jalan untuk pastikan anak-anak tidak renggang daripada suaminya. Tak kisah samada suami garang atau lembut, jangan jauhkan anak-anak dari suami. Carilah jalan dengan apa saja aktiviti dan pujuk suami untuk luangkan masa bersama. Jangan harap suami yang atur bab bersama keluarga sebab fikirannya lebih kepada cari makan.

Isteri yang baik adalah yang menghargai apa saja pemberian suaminya sekalipun sedikit dan tidak mewah. Bila diberi, disimpan untuk waspada di hari susah nanti. berjimat cermat dengan semua benda yang disediakan oleh si suami.

Dalam bab bermasyarakat, isteri yang baik akan pastikan siapa kawan-kawan akrab suaminya. Dia akan turut sama menjalinkan hubungan dengan isteri kawan-kawan suaminya. Orang surau, orang masjid, sanak saudara suami dan lain-lain seumpamanya.

Ringkasnya, isteri yang baik akan cari jalan untuk terjemahkan apa saja hasrat si suami dalam membina sebuah rumah tangga yang dia ada dalam kepala. Elakkan apa saja sikap atau percakapan yang mencabar kepimpinan suami. Kalau tak betul, cakap secara berhikmah, bukannya mencari salah.

Haha! macam bidadari syurga la pulak .. ada ke isteri macam itu?

Kalau ada, sekarang juga saya sanggup jadikan isteri!

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Kenapa saya tak mahu kahwin dua hanya disebabkan gagal dengan yang pertama

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !