Jalan ke Mekah. Itu nama buku alih bahasa dari Inggeris ke Melayu yang mahu saya kongsikan di sini.
Kali pertama saya mendengar tentang buku ini adalah ketika singgah solat magrib di Masjid Subang Jaya. Selepas solat ada kuliah yang disampaikan oleh Ustaz Ahmad Awang.
Oleh kerana saya suka cara Ustaz Ahmad Awang berbicara dan kongsikan ilmu, yang sudah pernah saya dengar ketika belajar dahulu, maka saya tunggu kuliah selepas magrib itu tak jadi keluar.
Dalam kuliah magrib itulah saya dengar beliau syorkan sebuah buku bertajuk, The Road to Mecca, perjalanan spiritual seorang anak muda berbangsa Yahudi dari Austria. Saya tak perasan nama penulis buku tersebut, hanya ingat tajuk bukunya saja.
"Kalau ada masa, beli dan bacalah buku The Road to Mecca. Buku yang sangat baik untuk tatapan dan renungan untuk meluaskan pemikiran", begitulah lebih kurang saranan Ustaz Ahmad Awang.
Tajuk buku itu terus melekat dalam kepala. Saya berazam untuk mencarinya dan baca satu hari nanti.
Lama masa berlalu, sehinggalah ketika membelek buku di MPH, terjumpa buku terjemahannya dalam Bahasa Melayu. Tanpa fikir panjang saya ambil dan terus beli bawa balik.
Biasanya saya lebih selesa baca dalam Bahasa Asal untuk mendapatkan gambaran lebih jelas tentang penulis dan ceritanya. tapi dah ada dalam BM, ambil sajalah. Nanti saya ulas sikit bab terjemahannya di bawah.
Muhammad Asad
Wartawan Yahudi ini dilahirkan di Austria pada tahun 1900 dan diberikan nama Leopold Weiss. Ketika umurnya 22 tahun dia pergi ke Timur Tengah dan kemudiannya menjadi wartawan khas dalam maklumat dan berita dari sana.
Ketika berada di sanalah dia menemui Islam dan memeluknya pada tahun 1926 dengan nama Muhammad Asad.
Kalau anda baca biodatanya di wikipedia di sini (Gambar di atas diambil dari sini juga), anda boleh tahu yang beliau memang berotak geliga. Dapat menguasai berbagai bahasa ketika usia muda dan punya pandangan yang mendalam, sangat jujur dan terbuka walaupun usianya masih muda.
Saya dapat tahu salah satu hasil yang terbaik Muhammad Asad adalah dalam terjemahan Al-Quran ke Bahasa Inggeris yang diberikan nama 'The Message of The Qur'an'.
Ada banyak kelainan terjemahannya berbanding terjemahan lain yang biasa anda baca. Penafsirannya lebih meluas dan bijaksana. Itulah yang boleh saya katakan.
Dari situ juga membuatkan saya terasa lebih teruja untuk membaca travelog The Road to Mecca ini. Tentu dia punya pemikiran yang menarik untuk cuba diselami. Dan ternyata saya tak rugi lansung beli dan baca sampai habis.
Jalan ke Mekah
Apa yang sangat menarik dihidangkan dalam buku ini adalah gambaran suasana geografi dan politik Timur Tengah ketika tahun-tahun di mana Muhammad Asad mengembara di sana.
Bagaimana kisahnya Ibnu Saud, pengasas Arab Saudi menjadi kawan baiknya dan kisah Raja Saud itu merampas takhta yang dia percaya merupakan miliknya dan seterusnya meluaskan jajahan Saudi Arabia.
Muhammad Asad juga menceritakan kisah pertemuannya dengan Singa Padang Pasir, Umar Mukhtar bagi membantu kesukaran puak pejuang kebebasan itu berhadapan dengan negara penjajah Itali.
Itu nama-nama besar yang saya yakin ramai orang Islam yang dah pernah dengar atau kenal cerita tentang mereka.
Bila membaca gambarannya tentang suasana padang pasir ketika dia mengembara dari wadi ke wadi merentas hampir semua negara timur tengah itu, boleh dapat bayangkan suasana hening persekitarannya ketika itu.
Dapat juga digambarkan betapa akhlak, budaya orang arab yang masih terpelihara keunikkannya dari semua penceritaan pengembaraan Muhammad Asad. Budaya kaum Badwi yang masih kekal ketika itu dengan sikap meraikan tetamu yang sangat luar biasa. Kesetiaan dalam berkawan, sopan, kasar tetapi jujur, teliti dan sebagainya dapat digambarkan dari semua tulisannya.
Dari semua kisah yang dituliskan, saya yakin impak paling besar yang meresap masuk ke dalam jiwa Muhammad Asad, lalu jatuh cinta kepada Timut Tengah, penduduknya dan timbul keinginan mencari apa yang membawa orang arab berjiwa sedemikian, hingga membawanya ke Islam, adalah kisah dia bertemu lelaki asing yang biasa berbangsa arab di atas keretapi.
Saya tak mahu cerita apa yang berlaku dalam perjalanan pertamanya di timur tengah naik keretapi itu, anda bacalah sendiri nanti. Baru suspen sikit.
Secara umum boleh saya katakan perjalanan yang dia kongsikan adalah lebih ke arah perjalanan spiritual mencari makna kehidupan. Dia merasakan ada sesuatu yang telah hilang kepada orang barat ketika, sekalipun masih di awal abad ke 20 saja. Bayangkan keadaan orang barat sekarang!.
Dia berjaya menemuinya di Timur Tengah dan dapat melihat perkara sama bakal melanda Timur Tengah yang ketika itu sudah mula meninggalkan apa yang membuatkan umat Islam menjadi satu bangsa yang hebat satu ketika dahulu.
Terjemahan ke Bahasa Melayu
Usaha terjemahan itu adalah hasil dari Islamic Renaissance Front.
Alhamdulillah sangat bermanfaat terutamanya buat tatapan pembaca Melayu yang lebih selesa membaca dalam BM.
Cuma saya rasa sangat berat terjemahannya sehingga membuatkan saya sendiri lemas setiap kali membaca.
Jika dituruti satu persatu bacaan dari terjemahan, anda terpaksa membuka kamus bahasa melayu untuk faham banyak perkataan pilihan yang digunakan.
Jika anda ada hasrat untuk belajar perkataan baru, silakan baca dan sediakan kamus atau muat turun kamus melayu ke telefon pintar tu. Memang berbaloi belajar banyak perkataan baru.
Saya ada kamus dan muat turun. Sekali sekala saya buka untuk buat rujukan makna perkataan melayu itu dan saya terjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris, baru lah faham. Bila jadi macam tu, terus terfikir adalah lebih baik saya baca edisi berbahasa Inggeris saja.
Oleh kerana terjemahannya cuba dijadikan lebih mendekati kepada apa yang ditulis dalam BI, maka saya terasa ayat-ayatnya berat, berulang ulang perkataan kami, perkataan malah dan banyak lagi yang membuatkan pemahamannya menjadi sukar.
Saya beranggapan yang cara itu terpaksa dibuat untuk pastikan makna yang mahu disampaikan adalah lebih dekat seperti asal. Namun saya yakin ianya boleh diringankan lagi dengan lebih baik tanpa mengubah maksud yang mahu disampaikan.
Jadi, buat anda yang mahir BI, saya lebih syorkan beli yang edisi BI dan baca.
Walau apapun, pembacaan buku itu sampai habis benar-benar meresapkan ke dalam jiwa saya rasa ingin kembali kepada perjuangan hidup seorang hamba untuk mengabdikan dirinya hanya kepada Tuhan.
Sekian ..
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !