Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

20 February 2023

5 Masalah Serangga dan Makhluk Perosak paling tinggi permintaannya di Easelife Services Sdn Bhd

  Ano Nyme       20 February 2023


"Selalunya siapa yang perlukan khidmat kawalan serangga dan makhluk perosak ni ya?" 

Itu soalan yang sering dikemukakan setiap kali saya jumpa kawan kepada kawan-kawan yang saya kenal.

Biasalah orang berniaga, salah satu perkara wajib kena buat adalah luangkan masa jumpa kawan-kawan.

Paling penting untuk pergi jumpa dan sembang santai dengan kawan-kawan lama ni apabila dia datang bersama kawannya yang saya masih belum kenal. 

Dengan bertemu mereka, secara lansung, bertambahlah lagi jumlah orang yang kenal saya, kenal syarikat saya dan seterusnya tahu apa yang saya boleh buat untuk mereka. Kalau bukan untuk merekapun, untuk kenalan mereka.

Itu marketing namanya.

Berbalik kepada soalan di atas tadi. Bila saya dapat soalan itu, perkara pertama yang saya dapat tahu pasal orang yang bertanya itu adalah, dia memang tak pernah lagi menggunakan khidmat pest control sepanjang hidupnya. Bukan kategori orang yang saya sasarkan.

Kalau dia pernah berdepan dengan masalah pest, dan mencari syarikat yang dapat selesaikannya, tentu dia tak akan tanya soalan itu.

Orang yang berurusan dengan masalah pest ni amat sedikit. Biasanya mereka yang terlibat samada dalam urusan selenggara bangunan, atau yang terlibat dalam urusan pembelian / procurement syarikat. Itu sasaran utama individu yang saya sangat-sangat mahu jadikan kawan baik.

Untuk menjawab soalan di atas tadi, sebenarnya agak panjang. Sebab secara umum, di mana saja ada penempatan manusia, di mana saja manusia berkunjung, maka di situ khidmat pest control diperlukan.

Maksudnya, keperluan kepada khidmat pest control ni adalah sangat luas. Bayangkan kalau saya nak jawab satu persatu!.

Namun begitu, apa yang saya sering kongsikan pada kawan yang tanya soalan begitu adalah dengan memberikan gambaran kepadanya apa yang sering berlaku dalam kehidupan seharian kami sebagai syarikat pest control.

Khidmat Pest Control Paling Hot

Lain syarikat pest control, lain keadaannya. Bergantung kepada tumpuan utama syarikat tersebut menjalankan perniagaan atau perkhidmatannya.

Ada banyak syarikat pest control yang ditubuhkan hanya untuk layan kerja tender dari kerajaan saja. Itupun, bukan semua tender kerajaan, hanya jabatan, kementerian atau agensi, atau tempat di mana dia ada kabel.

Itu hakikat yang berlaku sejak hari pertama saya terjun dalam dunia perniagaan sampai sekarang. Ada syarikat tu dia hanya layan kerja fogging saja dari Majlis Tempatan di sekitar lembah kelang. Kerja lain dia tak layan dan dia hidup senang lenang begitu berpuluh tahun relaks saja. Bayangkan betapa kuat ikatan silaturahim yang dia dah berjaya bina!.

Ada juga syarikat pest control yang layan kerja Fumigasi saja. Dia banyak habiskan masa kerjanya di Pelabuhan. Itu tempat utama di mana keperluan kepada khidmat Fumigation ini sangat tinggi samada secara kontena atau berasingan.

Bagi syarikat saya, seperti kebanyakan syarikat lain, kami berniaga dalam pasaran terbuka. Terpaksa menggunakan teknik marketing konvensional untuk luaskan jangkauan kami terhadap pelanggan yang ada.

Perlu juga gunakan segala medium pemasaran yang ada untuk pastikan gabungan pemasaran fizikal dan digital tidak terlepas pandang. Menulis pasal pest control di blog ini juga adalah salah satu dari usaha pemasaran yang saya lakukan untuk sampai kepada pelanggan yang disasarkan.

Untuk syarikat seperti saya, permintaan paling tinggi yang sentiasa datang adalah seperti yang saya senaraikan di bawah.

Ada lebih dari 5 sebenarnya. Tapi saya limitkan kepada 5 sahaja untuk anda yang membaca dapat gambaran apa dan siapa yang perlukan khidmat pest control.

1. Khidmat Bunuh Anai-Anai

Masalah rumah di serang anai-anai memang sentiasa ada dari mula saya berniaga dahulu sehingga sekarang. Walaupun hampir semua rumah sekarang telah beralih kepada penggunaan struktur kalis anai-anai, tetap ada serangan anai-anai juga di rumah mereka.

Pemilik rumah akan panik setiap kali dia terlihat kemunculan garisan berpasir keluar dari dinding rumahnya. Selalunya garis pasir itu muncul pada tempat yang tersorok sikit. Bila dia ubah almari untuk bersihkan, terlihat benda itu.

Bagi yang tahu, itu adalah lorong pasir anai-anai yang keluar dari dinding rumah setelah tak ada laluan lain untuk dia tembusi. Maka dibina lorong pasir yang lembab keluar dan bila ada laluan tersorok lain di dalam, dia akan masuk semula.


Jika tak diganggu, dia teruskan pakai laluan itu.

Paling banyak kejadian adalah pelanggan terkejut bila almarinya penuh anai-anai dan habis segala pakaian lamanya telah menjadi makanan anai-anai.

Bila jadi begitu, kami akan hantar juruteknik yang pakar dalam memasang sistem pengumpanan anai-anai untuk membunuh keseluruhan koloni anai-anai yang ada di rumah tersebut.

Cara itu lebih mujarab dan tak perlu risau takut kalau ada lagi kawasan lain yang anai-anai sedang buat kenduri. Sebab sekali koloni dah habis, maka kesemua tempat lain yang diserang tanpa diketahui akan turut sama habis.

2. Khidmat kawalan tikus

Masalah tikus atas siling berlari-lari mengejar pelangi adalah satu dari panggilan yang kerap kami dapat. Itu panggilan yang biasanya datang dari pemilik rumah.

Ada juga panggilan dari pemilik kedai yang berhadapan dengan masalah tikus yang merosakkan habis barangan di dalam simpanan kedai mereka.




Bagi syarikat yang terlibat dalam pembuatan barang makanan dalam premis atau kilang mereka, biasanya sudah pertimbangkan masalah tikus ini dan sudah ambil langkah awal untuk pastikan masalah tikus terkawal.

Untuk rumah, kedai atau pengeluar barang makanan amatur, semua itu terlepas pandang sejak awal. Jadi bila masalah muncul baru panik. Bila dah terantuk baru mengadah.

Kami akan hantar juruteknik untuk buat pemeriksaan secara menyeluruh terlebih dahulu di premis yang kena seranga tikus. Lihat apa puncanya. Dari mana akses kemasukkannya. Sudahkan dia bernak pinak atas siling atau sekadar masuk cari akan dan keluar balik ke sarangnya di luar.

Semua itu perlu diambil kira dan satu solusi jangka pendek dan jangka panjang akan disarankan untuk pelanggan.

3. Masalah gangguan burung

Ini satu lagi panggilan yang top kami dapat sepanjang berkhidmat dalam industri pest control ini sejak tahun 1998.

Biasanya mereka yang hadapi masalah burung jadikan premis sebagai tempat bermalam. Ada yang teruk sehingga premis sudah jadi sarang pembiakan burung, terutamanya burung merpati.

Dah bermacam solusi di buat. Dah banyak duit di keluarkan, tutup laluan pasang jaring, pasant spike dan lain-lain, semuanya tidak selesaikan masalah.

Oleh kerana solusi kami sangat berkesan, mungkin hasil dari cadangan pelanggan kami yang dah berjaya selesaikan masalah dengan menggunakan khidmat Easelife Services, maka kami di minta untuk berikan cadangan.


Apa yang kami buat, jika pemanggil adalah individu yang mahu selesaikan masalah burung di rumahnya, kami jual saja produk untuk dia lakukan sendiri rawatannya.

Hanya pelanggan dari syarikat saja yang mahukan khidmat kami untuk buat semua rawatan pada banggunan mereka akan kami buat lawatan tapak.

Biasanya mereka hadapi masalah burung jadikan bangunan mereka yang 4 atau 6 tingkat sebagai tempat bermalam. Habis kotor dan penuh najis bertaburan di bawah. Paling kritikal adalah syarikat yang terlibat dalam servis seperti hospital atai hotel.

Itu memang kepakaran kami sejak mula menggunakan produk mesra alam menghalau burung dari bangunan. Kos nya agak tinggi untuk bangunan sebab melibatkan hal ehwal keselamatan di tempat tinggi.


Perlu gunakan kenderaan, kren, scaffolding dan sebagainya yang mahal dan juruteknik yang berkelayakan.

Setakat ini, tidak ada pelanggan kami yang kecewa dengan solusi yang telah diberikan. Sekalipun dah beberapa syarikat lain di gunakan sebelum ini gagal, akhirnya kami jadi hero penyelamat mereka.

4. Masalah nyamuk

Bila musim hujan, panggilan terhadap khidmat fogging akan naik. 

Fogging dan larvasiding di perlukan untuk membunuh jentik-jentik dalam air bertakung dan kemudian membunuh nyamuk dewasa yang berterbangan mencari darah manusia.

Paling kerap permintaan datang dari syarikat pembinaan. Kawasan pembinaan mereka mahu tak mahu perlu juga buat kerja fogging dan larvaciding ini sebab itu keperluan dari kementerian kesihatan yang mahu pastikan site tidak jadi pusat pembiakan nyamuk aedes.




Ada juga rumah-rumah banglo yang luas kawasan halamannya diganggu oleh nyamuk. Mereka akan perlukan khidmat kawalan nyamuk ini secara berkala dan tetap.

5. Masalah Pepijat

Sejak 10 tahun kebelakangan ini, pepijat memang menjadi-jadi. Bukan saja di negara kita, malah di seluruh dunia.

Samada hotel 5 bintang atau hotel 2 bintang, bila pepijat datang, tak dapat tidak perlukan khidmat hapuskannya. Kalau tidak kena marah dan dapat reputasi buruk dari pelanggan.

Panggilan dari rumah persendirian juga sangat banyak kami dapat. Dah tak tahan bangun pag badan berbintil merah kena gigit pepijat.

Masalah pepijat ini bukan perkara asing. Semua syarikat pest control dapat panggilan dari pelanggan untuk selesaikan masalah ini.

Cuma ada kalanya masalah tidak selesai selepas rawatan dah dilakukan sebulan dua datang balik. Ada juga yang seminggu dua dah muncul semula.

Bagi kami, masalah pepijat akan kami selesaikan dengan gabungan dua cara. Rawatan menggunakan haba dan rawatan bahan kimia. Haba akan membunuh semua pepijat dari dewasa sampailah ke peringkat dakam telur sekali. Jadi mati habis terus kesemuanya tak akan muncul selepas seminggu dua buat rawatan.

General Pest Control

Pelanggan paling ramai kami di Easelife Services Sdn Bhd adalah yang mendapatkan khidmat GPC atau panjangnya seperti di atas tu.

Ia merupakan khidmat kawalan serangga perosak secara umum. Kami akan lakukan lawatan dan servis secara berkala samada setiap sebulan sekali atau setiap 2 bulan sekali bergantung kepada pelanggan.




Bagi rumah biasa, kami akan buat servis setiap 2 bulan sekali. Bagi premis perniagaan, akan buat setiap bulan.

Dalam GPC, masalah lipas, semut dan tikus adalah dalam perhatian kami sepanjang berkhidmat untuk pelanggan.

Servis berkala ini adalah sangat berkesan untuk kawalan masalah seperti lipas, semua dan tikus. Ia adalah gabungan pencegahan di mana setiap kali ada masalah, punca akan di cari dan diselesaikan samada oleh kami sendiri atau pelanggan.

Pelanggan kami untuk khidmat GPC ini terdiri dari banyak organisai terutamanya yang terlibat dengan perkhidmatan kepada orang ramai seperti hospital umpamanya.

Ada kondominium, ada apartment, ada restoran, ada pejabat, ada klinik malah ada hospital yag menggunakan khidmat servis pest control berkala ini.




Boleh dibanggakan kerana dalam berkhidmat untuk salah satu hospital berprestij di Lembah Klang ini, kami sentiasa mendapat markah tertinggi dalam keseluruhan tahap perkhidmatan kami. 


Itu bukti komitmen tinggi yang kami berikan buat semua pelanggan yang ada di bawah jagaan kami.

Jika anda perlukan khidmat pest control sila berhubung dengan pegawai kami untuk maklumat lanjut. Call Azrami 010-246 2542



logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, 5 Masalah Serangga dan Makhluk Perosak paling tinggi permintaannya di Easelife Services Sdn Bhd

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !