Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

08 February 2023

Kemudahan penjagaan kesihatan yang sangat lumayan di negara kita untuk penduduk hujung julai

  Ano Nyme       08 February 2023


Kalau saya sebut tentang satu Pekan di Selangor ni yang bernama Pekan Sungai Pelek, pasti ramai yang tak tahu. Melainkan anda penduduk asal negeri Selangor dan dah biasakan diri memijak di segenap penjuru negeri Selangor.

Bagi yang tak tahu, Pekan Sungai Pelek ni terletak di Daerah Sepang, Selangor. Pantai yang dikenali ramai tak jauh dari Pekan itu adalah pantai Bagan Lalang. Ada beberapa restoran ikan bakar yang bagus di sana.

Setiap kali ada cuti 3 hari, pantai Bagan Lalang tu tak cukup tanah untuk dipasang khemah untuk berkhelah dan bermalam di tepi pantai itu. Orang ramai akan terjun turun ke situ bersama keluarga atau sesama kawan.

Makanan laut ikan bakar dan siput dah jadi popular untuk mereka yang anjurkan makan malam sambil bersantai keluar dari kesibukan bandar. Tapi biasalah, tempat tumpuan pengunjung akan hadiahkan anda harga yang agak mahal.

Dalam keadaan mahal pun, kedai ikan bakar di situ sentiasa dipenuhi orang setiap kali hujung minggu. Orang Malaysia memang tak lokek dengan benda makan. Apatah lagi jika suasana dan rasanya boleh diterima.

Tinggal di Sungai Pelek

Saya ada masanya akan tinggal di Sungai Pelek tu. Sebuah taman perumahan yang sederhana berhampiran dengan Bagan Lalang. Rumah Banglo kat situ murah berbanding rumah yang sama di kawasan berhampiran pusat bandar di daerah Selangor.

Sebab murah, maka saya beli sebuah. Dapatlah merasa duduk di sebuah Banglo. Walaupun kecil, masih ada halaman di keliling rumah yang boleh ditanam dengan pokok buah atau jadikan kebun bunga di depan atau belakangnya.

Kebanyakan dari masa saya akan tinggal bersendirian di situ. mencari diri, kata orang falsafah. Bila umur dah meningkat, fikiran lebih banyak terarah untuk bertanya soalan berat itu tentang kehidupan.

Satu lagi masalah orang yang dah meningkat umur ini adalah peranan emosinya menjadi lebih kuat. Kalau di andaikan manusia itu mengandungi 3 komponen penting pada dirinya, iaitu, tenaga, fizikal dan emosi, maka emosi akan berada di kemuncaknya ketika umur makin lanjut.

Ketika kanak-kanak, tenaga adalah komponen utama yang menguasai mereka. Sebab itu kanak-kanak tak reti apa itu letih.

Bila membesar remaja dan dewasa, fizikal mula menguasai keadaan. Masa itu nak badan sado. Nak melaram hiasi fizikal. nak hensem dan mahu memeliki apa saja kebendaan yang berbentuk fizikal.

Bila dah tua, tenag dan menurun. Keadaan fizikal sudah banyak yang kondem. Keinginan untuk melaram, memiliki kebendaan sudah rendah. Sebaliknya emosi berada di atas kuasai keadaan. Fikiran sudah tak sama seperti keadaan muda dahulu. Mungkin semua itu adalah persediaan untuk perjalanan seterusnya menuju kematian.

Itu yang saya rasa kenapa suka bersendirian melayan fikiran, mentelaah buku mendalami subjek tertentu dan adakalanya hanya duduk merenung kembali perjalanan hidup dan membuat penilaian apa yang ada dan apa yang tiada. Apa yang silap dan apa yang betul.

Semua itu saya buat bila tinggal disana.

Keseorangan dan pelajarannya

Ada satu buku lama yang di tulis oleh Henry David Thoreau bertajuk Walden. Saya beli dan baca buku yang dicetak kembali pada tahun 1902. Buku asal Walden - Life in The Woods, ditulis dan dicetak pada tahun 1854.

Penulis memegang prinsip 'simplicity and economy'. Kalau nak diterjemahkan ke melayu mungkin sesuai untuk dikatakan sebagai kesederhanaan. Tak banyak tak sikit, tak lebih tak kurang, tak sibuk tak kalut ..

Buku itu menceritakan pengalaman penulis mengasingkan diri duduk dalam belukar berseorangan. Di mana dia membuat refleksi ke atas dirinya sendiri untuk merasai pengalaman bersendirian selama 2 tahun 2 bulan dan 2 hari di dalam sebuah kabin ringkas yang dijadikan tempat tinggal.

Sejak kenal buku itu, idea untuk buat perkara sama tertanam dalam kepala. Kalau tak dapat buat macam dia, yang saya rasa amat sukar dalam keadaan terikat dengan tanggung jawab hidup dan tanggungan yang ada di dunia moden ini, dapat duduk sorang diri kat rumah di Sungai Pelek itu dah memadai.

Dapat membuat pemerhatian tentang hidup keseorangan.

Terfikirkan kepada kematian

Saya tak tahu pada orang lain, tapi pada saya itulah perkara pertama yang muncul dalam benak fikiran pertama kali saya asingkan diri sendirian di sana. 

Macam mana kalau tiba-tiba dada sesak, kena serangan jantung dalam keadaan saya sendirian di dalam rumah ditengah malam?

Dah tentu tak ada sesiapa yang akan perasan. Tak ada orang yang akan tolong, papah dan bawa ke hospital dan sebagainya. Alamat mati seorang diri apabila keadaan lemah dan darah terhenti mengalir ke otak.

Pada mulanya, itu amat menakutkan saya. Lama juga saya sering terfikirkan keadaan sebegitu. Pantang rasa semacam pedih dada, panik membuatkan keadaan jadi lebih parah.

Keesokkan harinya, terjaga dan ternyata masih bernyawa, masih hidup.

Lama kelamaan, saya menyerah dan buat keputusan untuk berdamai saja dengan kematian. Jika ia datang, terima sajalah. Di mana saja saya ada, ditempat sesak dengan orang ramai, di atas jalan raya, di dalam hospital atau dalam gua, bila ajal datang, merontalah macam manapun, panik lah macam manapun, nyawa akan keluar juga dari tubuh badan.

Kalau mati seorang diri dalam rumah tu, bukan urusan saya lagi untuk selesaikan jenazah saya sendiri. Paling kurang, bila mayat dah membusuk, akan ada orang yang ambil tahu dan uruskan semuanya.

Itu pelajaran paling penting yang saya dapat sejak biasakan diri bersendirian di sana.

Kemudahan penjagaan kesihatan

Bila duduk di sana, baru saya perasan betapa kerajaan sediakan kemudahan penjagaan kesihatan yang baik untuk rakyat Malaysia.

Memang di pusat bandar mana saja hospital kerajaan penuh sesak dengan pesakit yang berbagai-bagai. Pergi duduk perhatikan wad beranak sudah lah, anda akan faham kenapa nurse yang bertugas di situ nampak macam tak ada emosi. Letih dan lali dengan keadaan sama saban tahun membuatkan mereka berfungsi begitu supaya lebih cekap dan mampu mengawal tekanan kerja.

Tapi berbeza di Pekan Sungai Pelek itu. Ada sebuah Klinik Kesihatan Sg Pelek di situ yang lengkap ada doktor bertugas.

Saya jadikan pusat kesihatan itu untuk lakukan pemeriksaan rutin kesihatan diri. Murah saja. RM1 untuk sekalai lawatan. Mana nak dapat. Saya boleh pantau semua kerisauan yang ada dari darah tinggi, klestrol, barah usus, masalah jantung kencing manis dan apa saja. Di situlah saya ambil tanggung jawab menjaga dan mementau keadaan diri sebagai satu usaha hidup tanpa menyusahkan orang lain.

Satu lagi kemudahan yang saya amat kagum adalah adanya satu lagi klinik kecil di pekan kecil tak jauh dari rumah saya tinggal.

Klinik itu menawarkan pemeriksaan masalah biasa seperti demam, batuk, sakit kepala, selsema dan lain-lain seumpamanya. 

Ia dibuka bermula pukul 12 tengahari dan tutup pukul 9 malam. Beroperasi setiap hari termasuk sabtu dan ahad begitu. Kecuali raya besar saja tutup 2 hari. Selain dari itu sentiasa terbuka.

Kalau selsema, batuk, pening atau demam, selepas solat magrib berjemaah di surau tak jauh dari situ, saya akan singgah. Tak ada orang sangat. Beberapa kali saya dah singgah, saya sorang saja yang ada.

Bayar seringgi dan saya akan diperiksa tekanan darah, degupan jantung, sistem pernafasan, tekak dan bersembang dengan petugas di situ. Jika mereka rasa perlu disusulkan pemeriksaan, surat akan diberi untuk anda pergi pula ke Klinik Kesihatan Sg Pelek di atas tadi. Jumpa doktor dan buat pemeriksaan lebih terperinci di sana sebab kemudahannya adalah sangat lengkap.

Semua itu kosnya adalah RM1 sahaja sekali lawatan. Ubat percuma !

Nikmat mana lagi yang mahu didustakan!

Jiran yang baik

Ada jiran Cina di sebelah rumah saya. Sebelah lagi jiran India dan sebelah lagi Melayu. Kesemuanya mesra dan ambil initiatif untuk kenali saya dan ambil nombor telefon dan berikan nombor mereka bila melihat saya sering duduk seorang diri.

Tiap pagi ketika saya keluar jogging, Cina sebelah biasanya dah habis senamannya. Dia keluar lebih awal sedangkan saya tunggu cerah baru nak keluar. Jiran India itu pula taukeh kedai sports toto di pekan tak jauh dari situ. Rumahnya besar dan ada anjing besar dan garang. Itu juga membantu hilang kerisauan penceroboh.

Kebetulan semua rumah di sekeling saya ada penghuni. Jadi tak sunyi sangat. Cuma di belakang saja yang rumahnya sudah rosak teruk tanpa penghuni. Rasa teringin nak cari pemiliknya dan nak beli. Boleh gabungkan dua lot jadi lebih luas. Itu angan-angan saja. Jika ada rezki.

Suraunya aktif dalam semua waktu solat. Saya akan pastikan paling kurang untuk hadirkan diri satu atau dua wakto solat setiap hari. Kuliah juga sering diadakan di sana dan jemaahnya tak ramai sangat. Dalam 15 ke 20 orang ketika malam.

Makan minum tak ada masalah sebab ada beberapa pasaraya yang sederhana besar di sana.

Yang paling best adalah suasana bening dan sunyi terutamanya di waktu malam. Itu membuatkan otak banyak berfikir dan merenung kehidupan yang sudah dilalui.

Sekian coretan kali ini .. terima kasih sudi membaca.

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Kemudahan penjagaan kesihatan yang sangat lumayan di negara kita untuk penduduk hujung julai

Previous
« Prev Post

2 comments:

  1. Dahulu ketika berkerja sebagai rf drive tester untuk projek 2G/3G byk kawasan luar bandar yg kami cover di semenanjung ini. Dan banyak tempat2 yg tak dikenali disinggahi/bermalam. Area sepang antara daerah awal sy mula jelajahi😀

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tq sudi berikan komen Sara Vallera. Bila nak datang lagi ke Sepang, makan ikan bakar di Bagan Lalang

      Delete

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !