Artikel ini khas untuk anda yang jalankan perniagaan dan sering beriklan di media sosial atau portal lain yang berkaitan.
Anda mungkin dah biasa buat iklan di Facebook. Itu media sosial pilihan yang sudah agak lama berada di pasaran sejak sebelum kehadiran TikTok lagi. Tapi bila TikTok dah datang, ramai yang beralih arah ke situ pula. Nampak macam Facebook terkial-kial cuba bersaing dengan TikTok yang jumlah penggunanya meningkat saban hari.
Saya ada terbaca di satu posting TikTok yang melintas ke akaun tiktok saya baru-baru ini :-), kononnya ada usaha untuk sekat kemaraan TikTok di Amerika sangat dialu-alukan oleh Facebook. Entah betul entah tidak ..
Selain dari Facebook dan rangkaiannya, anda mungkin juga dah pernah beriklan di Google. Sebuah enjin carian yang tidak asing lagi sejak lama dulu. Tak tahu apa nasib Google pula selepas ini apabila ChatGPT mula mendapat tempat di hati para manusia moden yang sudah mula ketagihan bantuan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence).
Iklan berbayar di Google
Ada ke iklan yang tak berbayar di google?
Setakat yang saya tahu memang boleh beriklan di google sekalipun anda tak bayar. Tapi bukan secara terus dari enjin carian google. Anda perlu pakai platform lain seperti blog atau website.
Anda boleh rajin menulis di blog sediakan isi menarik yang bermanfaat. Lebih bagus jika blog berbayar dan bukannya blog percuma. Blog percuma selalunya alamat begini, contoh.blogspot.com, itu jika pakai blogger. Kalau pakai wordpress pula lebih kurang sama, contoh.wordpress.com.
Isi kandungan blog aau website yang bagus, kemudian SEO punya status bagus, maka bila orang buat carian di google, blog atau website anda terpampang di muka pertama carian google. Lebih hebat lagi jika berada di kedudukan nombor satu pula di atas sekali.
Namun begitu, anda tentu perasan ada lagi senarai yang duduk atas sekali dalam setiap page carian. Itu semua adalah iklan berbayar. Lagi tinggi anda berikan bajet untuk iklan tersebut, lagi gediklah dia naik duduk pada tempat yang paling strategik terpampang buat tatapan si pencari tadi.
Maksud carian adalah anda taip satu perkataan atau satu ayat dan berdasarkan ayat atau perkataan itu, google cadangkan maklumat yang dirasakan paling membantu untuk anda ambil dan baca. Itu biasanya disebut 'keyword'.
Yang saya nak kongsikan di sini adalah iklan berbayar. berdasarkan pengalaman saya sendiri menggunakan iklan berbayar di google.
Klik baru bayar
Apa yang best iklan di google ni adalah anda tak perlu bayar apa-apa kalau setakat ia muncul di mana-mana portal atau pagi carian google.
Tetapi, sebaik saja orang yang baca iklan itu klik padanya, barulah dikenakan bayaran. Anda perlu letakkan bajet maksimum sehari untuk iklan itu muncul.
Google akan berikan maklumat bajet pesaing yang relevan dengan iklan anda dan anda perlu letakkan dalam lingkungan bajet tersebut. Pilihlah antara paling tinggi atau paling rendah.
Letak rendah luar dari bajet pesaing pun boleh. Tapi google akan berikan amaran yang iklan anda akan jadi tukun tak guna dan tidak berkesan. Pandai depa kan!.
Bila anda risau dengan amaran itu, maka letaklah bajet dalam kadar yang google berikan agar tidak tercicir.
Bila orang klik duit dipotong dan begitulah seterusnya sehingga iklan anda habis makan kesemua bajet sehari anda. Dan iklan tak akan keluar lagi untuk hari itu. Kena tunggu esok balik.
Google akan berikan maklumat berapa peratus anda terlepas iklan dari carian prospek berdasarkan bajet anda tersebut. Dan anda boleh adjust sehingga bajet anda optimum. Ok itu semua teknikal saja. yang penting buat terlebih dulu dan anda akan faham.
Duit habis sia-sia
Konsep klik baru bayar memang sangat bagus seandainya orang yang klik menghubungi iklan anda itu adalah pelanggan yang anda memang sasarkan.
Katakan anda iklan khidmat pest control, itulah yang saya buat untuk syarikat Easelife Services Sdn Bhd saya. Duit anda akan jadi sia-sia di potong apabila yang klik ada pemanggil yang bertanyakan tentang tiket bas ekspress!.
Itulah yang paling kerap saya lalui. Setiap hari akan ada 4 ke 5 panggilan entah apa-apa. Ada yang tanya pasal lori angkut barang, ada yang tanya pasal wiring rumah, ada juga tanya pasal barang yang di kirim ke J&T.
Semua panggilan itu amat menyakitkan hati sebab google akan potong makan duit saya buta sedangkan mereka bukan prospek yang saya mahukan.
Macam mana perkara itu boleh berlaku?
Dari pertanyaan yang saya buat setiap kali pelanggan tak relevan call, barulah saya faham kenapa ia jadi begitu.
Semua berpunca dari kelaian pemanggil juga.
Saya berikan contoh. Katakan dia google perkataan 'J&T Shah Alam'. Maka terkeluarlah portal J&T Shah Alam pada page cariannya. Lalu pengguna tadi klik dan dibawa terus ke web J&T tersebut.
Jika pengguna pakai komputer, tak ada masalah sebab skrin besar dan semuanya jelas. Yang timbul masalah adalah bila dia pakai telefon. Itulah yang majoriti besar pengguna pakai sekarang bila buat carian.
Skrin yang kecil mampu timbulkan kekeliruan bila pengguna kelam kabur terus tekan button 'Call Now' yang terpampang pada skrin telefonnya. Dia tak semak yang itu adalah iklan syarikat pest control saya yang muncul terselit atas dasar ada perkataan Shah Alam pada salah satu keyword yang saya tulis di iklan.
Biasanya saya promosikan syarikat saya dengan jenama "E Pest Control". Jika pengguna ambil mas abaca dan semak dulu betul-betul sebelum klik, maka dia akan perasan itu bukanlah button yang betul untuk buat panggilan ke J&T Shah Alam.
Tapi biasalah, tak ada orang yang akan peka dan berhati-hati. Ramai dari manusia adalah tergesa-gesa. Tapi tu tidak menyusahkan mereka sangat. Yang suadah dan tepuk kepala adalah saya yang duit di potong tapi tak relevan punya prospek.
Macam sauk ikan sempilai tapi dapat ikan sempilai karen!.
Saya masih mencari solusi macam mana nak elakkan semua itu dari berlaku dan masih tak jumpa jalan. Saya dah habis beribu-ribu kos iklan sejak awal dulu menggunakannya. Nak hentikan sayang juga sebab bukan tak ada prospek yang bagus buat panggilan, ada. Banyak juga pelanggan baik yang saya dapat hasil dari iklan tersebut.
Tapi seandainya ia boleh di baiki lagi, maka duit habis sia-sia akan dapat dielakkan.
Jika anda ada ilmu tentangnya, saya pohon sesangat untuk kongsikan pada saya ok!.
Dalam blog belum pernah buat tetapi ada mencuba di FB...memang cepat habis duit tetapi hasilnya tiada
ReplyDeleteFB lagi teruk. Entah mana punya Bangladesh, Nepal, India, Kemboja dll klik buta aja .. kena bayar sia-sia :-)
Delete