"Hang raya mana tahun ni?". Itu mesej wasap yang saya hantar kepada seorang kawan.
Setiap kali masuk minggu akhir ramadan, pertanyaan sebegitu sering diajukan kepada kawan-kawan yang keluar dari kampung halaman cari makan untuk sara kehidupan diri sendiri dan keluarga.
Saya salah seorang warga dunia yang terperangkap dalam sistem moden yang berpacukan kemajuan. Manusia berpusu-pusu keluar dari kampung halaman, tinggalkan ibu bapa di kampung, tinggalkan sanak saudara dan kawan-kawan. Semuanya mengejar impian untuk hidup senang.
Hakikatnya, samada kekal dalam kampung atau keluar berhijrah, kesan dari arus kemajuan dunia moden tetap sama. Bezanya cuma dari segi tempo saja. Di kampung rentaknya lambat sedikit berbanding di bandar. Tapi halatujunya sama saja, menuju perubahan dan kerosakan.
Budaya yang cantik terbina sejak zaman tok nenek kita dulu sedikit demi sedikit dihancurkan oleh kemajuan itu.
Tok nenek dulu tak ada istilah balik kampung raya. Mereka memang tinggal di kampung. Sekali sekala keluar atas urusan kerja atau cari makan untuk tempoh tertentu kemudian tetap akan balik semula ke kampung halaman mereka. Di kampung itulah mereka tinggal, sama-sama membina budaya, membina adat dan pertahankannya.
Fenomena duduk terperap dalam kenderaan, terperangkap atas jalan raya dari pukul 8 pagi sehingga 8 malam tak pernah berlaku pada tok nenek kita dulu. Orang sekarang jadi macam orang gila terhegeh-hegeh bergerak sedikit demi sedikit sambil sebelah kaki menekan pedal minyak. Anak dan isteri kejang kaki dan badan kejap tidur kejap terjaga menahan sabar berjam-jam lamanya perjalanan balik kampung.
Kononnya manusia sudah mampu bergerak laju dengan kenderaan. Jauh lebih laju dari zaman tok nenek dulu. Tapi semua itu ternyata meleset. Dalam kajian yang dilakukan di Amerika, purata kelajuan sebenar bila dicampur tolak lampu trafik, jem dan sebagainya, sama laju atau lebih perlahan dari pergerakan orang zaman dahulu saja. Unta di padang pasir bergerak lebih laju sebenarnya.
Bila saya merunggut bab terperangkap di jalan raya, ada kawan yang ingatkan bahawa kalau tak terperangkap, bukan rayalah jadinya. Untuk merasakan suasana raya, perlu tahan terkurung dan bergerak macam kura-kura dalam kenderaan.
Mulanya saya setuju. Tapi bila fikir balik, betapa bodohnya menerima keadaan itu dan membiarkan sistem kehidupan yang rosak itu perlakukan sesuka hati kepada diri kita makin lama makin teruk. Tapi apa yang boleh dibuat untuk ubah semua itu?.
Sambut raya di Langkawi
"Aku raya di PD?" jawapan yang saya terima dari salah seorang kawan.
Dia bukan orang Negeri Sembilan, bukan orang Port Dickson. Tapi dah jadi amalan dia dan keluarga menyambut raya seperti orang nomad. Mereka akan sewa hotel, atau resort lengkap diuruskan pihak hotel dengan makan minum dan penginapan untuk semua ahli keluarga tinggal di situ buat sambutan perayaan.
Dulu, saya rasa pelik dengan amalan keluarga mereka. Tapi saya diamkan saja.
Tak terlintas pulak perkara sama akhirnya berlaku kepada diri saya sendiri. Balik raya bukan di kampung. Tapi raya di Langkawi yang bukan kampung asal saya dan keluarga.
Kebiasaannya, kami akan berkumpul di kampung Kubang Semang. Itu rumah asal kami dibesarkan. Di sebuah rumah kayu bumbung zink yang menggantikan bumbung atap rumbia satu ketika dulu. Banyak kenangan terpahat di rumah dan di kampung itu.
Bila mak dah mampu tinggal sendirian, adik yang tinggal di Langkawi menjaganya.
Selama ini, setiap kali musim perayaan, adik akan bawa balik mak ke kampung. Saya dan abang-abang juga akan turut balik kampung. Tapi tahun ini sudah tidak sesuai untuk bawa balik mak yang fizikalnya masih agak baik sebagai orang yang dah berumur, tapi mentalnya sudah tidak sesihat dulu lagi.
Bila dah putuskan untuk raya di langkawi, saya dah tempah tiket bot lebih awal untuk satu keluarga 7 orang kami. Terpaksa juga tempah rumah penginapan. Nasib baik masih ada sebuah homestay banglo besar tak jauh dari rumah adik yang belum disewa. Hampir semua home stay penuh. Tak sangka pulak di musim raya puasa begitu homestay laku keras.
Harga tiket feri masuk langkawi dah naik sekarang. Dari RM23 seorang, naik ke RM26.50. Kos pergi dan balik seramai 7 orang dah jadi lebih dari RM360!. Sewa parkir selama 4 hari untuk 2 buah kenderaan dah RM90 dan sewa rumah RM600, itupun agak murah sebab kenal tuan punya homestay. Dari RM250, dia beri RM200 saja.
Kos perjalanan termasuk makan dan minum akhirnya melebihi RM1500. Jumlah yang saya stand by tunai dalam poket sebanyak itu kering dalam masa yang amat pantas!.
Untuk jimatkan kos, kami tak sewa kenderaan di Langkawi. Bukan nak jalan ke mana pun. Nak duduk rumah dan beraya bersama mak saja.
Suasana raya di Langkawi
Kami sempat berbuka ramai-ramai 2 kali. Sempat solat taraweh di surau Taman Desa Kemboja sekali dan berpuasa sehari pada hari jumaat sebelum raya.
Tiada bakar tempurung di malam raya. Tiada meriam kabat. Tiada melilau kampung ramai-ramai dengan kawan-kawan. Tiada masak ketupat di bawah rumah dan tiada tidur lewat di malam raya.
Pagi raya, saya dan anak-anak bersolat sunat aidul fitri di Masjid Kampung Yooi.
Seperti di semua kampung di negara kita, sebelum solat, takbir dilaungkan tanpa henti. Tekong takbir hanya diambil oleh orang tua dengan mikrophone bertukar tangan di bahagian depan saf masjid saja. Rentak syahdu tetap terasa tapi sudah tentu takkan sama dengan di tempat sendiri.
Habis solat sunat, dengar bacaan khutbah. Katib dan imam kedua-duanya orang muda. Khutbahnya biasa saya dengan bacaan teks yang sudah disediakan. Berbeza dari teks khutbah kampung di Kubang Semang yang biasanya tak ikut teks yang jabatan agama berikan.
Tiada ziarah kubur, terus balik dan makan ramai-ramai. Sembang kejap dan akhirnya semua selesai. Balik ke homestay dan rehat lalu tertidur.
Jalan keliling kampung beraya di rumah jiran, rumah kawan dan rumah saudara dan orang tua yang masih ada seperti mana amalan sejak kanak-kanak tak dapat dilakukan. Itu lah beza besarnya. Sangat terasa kekurangannya.
Anak-anak kecil bersilih ganti datang berikan salam dan tak mahu masuk makan. Mereka hanya minta duit raya dan berlalu pergi. Sampul duit raya yang dah jadi amalan zaman sekarang macam orang Cina punya angpau kelihatan bertaburan di jalan depan rumah sepanjang taman.
Balik Penang raya ke-2
Hari ahad kami berangkat balik. Naik bot dari jeti Kuah ke jeti Kuala Kedah. Ambil kereta dan bergerak ke Kubang Semang. Macam biasa jalan raya sesak bergerak perlahan-lahan. Hadap jem lagi dan malam baru sampai ke Kubang Semang.
Kami tak sempat ke jamuan raya yang Masjid Kubang Semang anjurkan. Itu tradisi yang diamalkan sejak saya muda. Ia dihentikan sepanjang zaman covid dan baru tahun ini dimulakan balik. Rugi terlepas bertemu semua kawan kampung malam itu.
Keesokkan harinya, barulah kami ziarah semua saudara mara dan petangnya bergerak balik ke Lembah Kelang. Keluar rumah pukul 4, sampai rumah di Selangor juga pukul 4 pagi. Hadap kesesakan lebuh raya lagi sekali.
Tema raya adalah JEM. Itu akan kekal entah sampai bila ... adakah semua itu akan berubah?
Saya yakin keadaannya akan jauh lebih teruk lagi. Mungkin ke tahap tiada lagi ziarah menziarahi dan akhirnya musim perayaan hanya akan ada cuti dan semua orang akan pergi bercuti sahaja. Satu lagi budaya murni akan dikuburkan oleh kemajuan dunia .. mungkin?
Apapun, selamat hari raya maaf lahir & batin untuk semua yang sudi singgah ke blog ini.
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !