Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

29 May 2023

#2. Saiz Pasaran - 10 Perkara Wajib Semak Dan Betulkan Sebelum Mulakan Idea Bisnes Kecil Anda

  Ano Nyme       29 May 2023


Dalam siri pertama semalam, tentang 10 perkara 'wajib semak' dan betulkan sebelum memulakan bisnes, saya kongsikan bab 'desakan permintaan'.

Dalam artikel itu saya cuba sampaikan betapa pentingnya untuk anda fikirkan isu ‘tahap desakan’ terhadap permintaan produk atau servis yang anda mahu tawarkan kepada orang ramai.

Saya ulang sikit supaya anda lebih faham maksud tahap desakan yang tinggi tu.

Bayangkan anda tanya pada seseorang yang tengah bertahan dari terkencing dalam keretanya, ketika itu jalan tengah jem.

“Kalau saya bagi solusi mudah, selamat, terhormat untuk anda kencing sekarang tanpa masalah siap istinjak sekali selepas dah kencing, agaknya mahu tak?”

Sudah pasti dia akan jawab, “Ya!, nak sekarang jugak!”

Itu satu contoh tahap desakan paling tinggi terhadap permintaan sesuatu solusi yang pelanggan sedang butuhkan. Markah potensi produk sebegitu dalam bab tahap desakan ini kita boleh kasi 10/10.

Sekarang kita beralih kepada perkara nombor 2

#2. Berapa besar saiz pasaran

Ini soalan kedua yang wajib anda berikan pertimbangan. 

Berapa ramaikah orang yang anda yakin memerlukan produk atau servis yang nak ditawarkan itu?

Samada dia akan beli atau tidak itu bukan persoalannya. Yang penting, dia ada potensi untuk jadi pelanggan anda.

Kita balik kepada contoh yang saya berikan semalam berkenaan membuka sebuah workshop kenderaan di sebuah pekan kecil, Kampung Pelek di Sepang, Selangor.

Ideanya adalah mahu buka sebuah workshop yang fokus kepada kenderaan Proton dan Perodua sahaja.

Maksudnya, mereka yang berpotensi jadi pelanggan anda sudah tentu ialah mereka yang memiliki kenderaan samada Perodua atau Proton. Anda perlu dapatkan maklumat berapa ramai orang macam tu ada di sekitar Pekan Sungai Pelek.

Memang dalam bab saiz pasaran macam itu, kita hanya mampu buat anggaran sahaja. Tak perlu tepat. Tapi perlu tahu macam mana nak dapatkan maklumat tersebut.

Ada macam-macam cara untuk buat anggaran. Anda boleh dapatkan statistik jumlah rumah di kawasan tersebut. Atau korek maklumat dari dealers Perodua atau Proton berapa ramai pembeli dari sekitar kawasan itu. Biasanya, syarikat kenderaan ada semua maklumat itu. Mereka perlu simpan semua perincian tentang pelanggan yang dah beli produk mereka untuk pastikan ada follow-up selepas jualan.

Nota tentang bisnes jual kereta

Bisnes kenderaan dari syarikat automotif sebenarnya sangat tersusun dan bersistematik. Mereka tak akan lepaskan setiap manusia yang masuk ke dalam showroom mereka daripada disusuli dengan 'follow-up' sehinggalah berjaya menjual sebuah kenderaan kepadanya.

Bila dah jual pula mereka tak akan habis di situ berdiam diri. Semua maklumat dah ada. Mereka akan pastikan pelanggan datang selenggara kereta yang dibeli di pusat servis mereka juga.

Ada sistem reminder. Ada sms. Ada panggilan telefon. Semua usaha dilakukan agar pelanggan terus memberikan duit kepada syarikat kenderaan tersebut dari hari pertama dia membeli sampai hari terakhir dia melepaskan kenderaan itu.

Jika anda dapat jadi dealers samada Proton, Perodua, Toyota, Honda atau apa saja jenama kenderaan yang ada di pasaran, ertinya anda akan dapat sekali satu sistem perniagaan yang sangat lengkap terperinci.

Perancangan untuk menjalankan bisnes mereka mengambil kira dari A ke Z. Satu ruang pun tak lepas.

Yang membuatkan anda gagal hanya bergantung kepada tahap keupayaan untuk melaksanakan keseluruhan sistem yang telah mereka susun dan sediakan untuk anda sahaja.

Kenal pasti saiz pasaran

Berbalik kepada saiz pasaran pemilik kenderaan Perodua dan Proton di Sungai Pelek. Anda boleh google maklumat berkenaan penduduk di Sungai Pelek.

Jika anda Google, akan dapat maklumat jumlah pengundi pada tahun 2018 di Pekan Sungai Pelek. Ada seramai 29,770 pengundi.

Tolak dan campur mereka yang mengundi tapi tak tinggal di situ, mungkin boleh dianggarkan ada dalam 25 ribu pengundi. 

Tolak lagi mereka yang tiada kemampuan, anda boleh dapat lagi baki dalam 12 ribu.

Dan akhir sekali anda mungkin boleh andaikan ada dalam 6 ribu pemilik Perodua / Proton. Dengan anggapan, pemilik Perodua dan Proton adalah dalam lingkungan 50% dari kesemua pemilik kenderaan yang ada. 

Itu belum ambil kira kawasan persekitaran seperti Pekan Sepang, Labu dan Tanjong Sepat lagi.

Dengan jumlah pasaran 6 ribu itu, katakan anda berjaya usahakan dapat 5% jadi pelanggan tetap workshop yang bakl dibuka itu. Ertinya akan ada 100 pelanggan sebulan dengan anggaran perbelanjaan setiap pelanggan sebanyak RM200 sekali datang.

Ringkasannya:

  • Jumlah pelanggan tetap sebulan = 100 orang
  • Sekali datang, purata belanja = RM200

Workshop itu berpotensi untuk mendapatkan jualan sebanyak RM20 ribu sebulan paling rendah. Pelanggan akan datang workshop 3 bulan sekali. Jadi setiap bulan anda akan dapat jualan tetap RM20 ribu.

Itu satu pendapatan yang boleh tahan la jugak untuk area tenang seperti di Sungai pelek tu. Tapi taklah bagus sangat kalau nak pergi jauh.

Buat anggaran sampai puas hati

Macam itulah lebih kurang untuk kira saiz pasaran terhadap idea perniagaan anda.

Macam kes nak buka workshop yang saya jadikan contoh di atas, hasilnya tak berapa nak menarik. Ada sedikit risiko kat situ sebab anggaran jualan yang saya buat dengan cara sederhana itu tidak berapa menarik sangat.

Alang-alang nak berniaga, biar sampai kaya. Dengan hasil jualan RM20 ribu sebulan anda perlu sediakan hanya dalam 3 pekerja sahaja termasuk anda sendiri.

Tolak kesemua kos seperti gaji tokeh, gaji pekerja, sewa, dan lain-lain mungkin tinggal dalam RM1 ribu atau kurang sebagai untung bersih sebulan masuk dalam akaun syarikat.

Bagi saya secara peribadi, tak berapa menarik sangat bisnes macam itu. Kalau nak buat juga workshop tu kenalah cari maklumat lebih lagi untuk pastikan saiz pasaran yang lebih tepat untuk penduduk di sana sehingga anda benar-benar puas hati.

Sekian!

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, #2. Saiz Pasaran - 10 Perkara Wajib Semak Dan Betulkan Sebelum Mulakan Idea Bisnes Kecil Anda

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !