Kali pertama saya dengar nama makanan 'ayam tandoori' ni lama dulu ketika baru datang ke Lembah Kelang. Masa itu seorang kawan belanja makan di Bangsar. Dia order ayam tandoori dan roti nan.
Kami makan kat gerai saja. Ketika itu masih ada lagi kawasan gerai atau medan selera berbumbungkan khemah yang panjang meriah nak mampus, tak jauh dari masjid Bangsar.
Rasa ayam tandoori ketika itu agak sedap la juga. Berbeza dari rasa masakan ayam lain yang pernah saya makan sebelum itu.
Rasanya tak pedas sekalipun warnanya merah menyala, tak ada manis-manis berlemak macam ayam golek kelantan, nak kata berempah, tak berapa ada rempah sangat.
Yang jelas adalah rasa masam-masam masin. Setelah di perah asam limau kasturi sikit pada ayam tu, rasanya akan lebih naik ketika secubit ayam tu di masukkan ke dalam mulut.
Kuah dia pulak istimewa. Ada rasa sedikit pudina dan warnya kehijauan. Ayam akan datang sekali satu pinggan dengan potongan timun dan bawang besar. Sedikit sama macam makan satay dulu. Sekarang penjual satay dah tak bagi potongan bawang. Mahal katanya. Tapi mamak masih kekalkan tradisi bagi bawang walaupun pelanggan tak makan habis, mereka tak kisah.
Untuk makanan yang pertama kali saya makan dengan rasanya yang sangat berbeza dari segala masakan di kampung atau bandar, saya hanya berikan tahap boleh tahan saja.
Antara perkara yang saya tak berapa gemar adalah rasa kering ayam tandoori itu setelah di bakar masuk ke dalam tempayan besar tanah liat tu.
Ringkasnya, masakan ayam tandoori bukanlah salah satu dari masakan kegemaran saya. Itu rumusan yang saya buat. Jika ada pilihan masakan lain, dah tentu ayam tandoori akan kena tinggal.
Roti nan ayam tandoori Mahbub
Sekali sekala, bila teringat nak makan dan nak rasa kelainan sikit, barulah saya akan makan ayam tandoori. Paling kerap adalah di Restoran yang sangat terkenal di kalangan orang utara yang tinggal di Lembah Kelang, Restoran Mahbub
Itu pun restoran yang seorang kawan kenalkan masa awal datang KL dulu. Dia belanja saya makan nasi briani waktu petang di situ. Oleh sebab dah kemaruk makan nasi dalca penang ketika itu, saya rasa lega dan puas yang amat bila dapat makan briani di restoran mahbub itu.
Saya tanda dalam ingatan nama restoran itu untuk dijadikan tempat pelepas geram ketagih nak makan nasi kandar.
Bila dah kahwin, sekali sekala saya bawa anak dan isteri ke sana. Mereka turut suka rasa masakannya terutamanya roti nan.
Bagi saya roti nan di situ adalah yang paling sedap berbanding semua kedai yang jual roti nan di lembah kelang yang saya dah cuba. Lembut, gebu memang tak boleh lawan. Di tambah pula dengan rasanya yang tidak tawar dan kosong seperti kebanyakan roti nan di kedai lain.
Bila saya makan roti nan, maka akan tambah sekali dengan ayam tandoori, yang rasanya boleh tahan saja macam mana-mana ayam tandoori yang anda boleh jumpa di lembah kelang ini.
Ayam tandoori paling sedap
Semua rasa tentang ayam tandoori mula berubah bila seorang kawan beritahu dia ada satu restoran ayam tandoori paling sedap di Shah Alam.
Setelah dua tiga kali dia beritahu, maka satu hari kami pakat janji untuk berbuka puasa sunat isnin di restoran ayam tandoori itu.
Petang itu, selepas solat magrib, hanya batalkan puasa saja tak makan berat, saya terus ke tempat yang diberitahu. Makan ayam tandoori dengan sekeping capati hari itu.
Sebaik saja sampai, kedua kawan saya dah ada dan mereka dah mula makan dan saya juga terus boleh makan sebab depa dah order siap-siap.
Perkara pertama saya buat adalah cubit sedikit ayam tandoori.
Dari cubitan saya dapat rasa ada kelainan kali ini. Ayam yang dah kurang panas sebab mereka dah order awal, tetapi paling ketawa berbeza adalah tidak kering. Tak sama macam kebanyakan ayam tandoori yang saya pernah makan selama ini.
Saya masukkan ke dalam mulut dan kunyah perlahan-lahan.
Perghhh!
Memang terbaik rasanya. Ada rasa rempah yang berbeza, masam sikit, dikuatkan lagi dengan perahan limau pada ayam itu, masin secukup rasa dan paling berbeza adalah tekstur ayamnya sangat luar biasa.
Saya ulang suap, ayam, makan timun, makan bawag dan cicah capati sekali dengan ayam gaul sikit dengan kuah pudina tu. Sedar-sedar semua dah licin.
Oleh sebab tak sedar laju sangat habis, maka saya order sepinggan lagi ayam tandoori saja. Makan ayam saja cicah dengan kuah pudina, pepak timun dan bawang, leka dan zasss habis sepinggan lagi.
Sebelum terlupa, untuk makluman anda, tandoori tu datang dari perkataan Tandoor, iaitu tempayan tanah yang digunakan untuk masak ayam tandoori dan roti nan itu. Kalau anda buka wikipedia, masakan tu dah lama wujud sejak tahun 3,000 BC lagi
Baru dua tiga hari sudah kami makan malam di sana. Ketika makan kami bersembang persoalan kenapa masakan ayam tandoori yang sesedap itu tidak di ketahui oleh ramai orang di Lambah kelang ni.
Perlukkah kami tolong war-warkan?
Kawan saya pesan tak payah share kat kawan-kawan lain lah. Nanti kalau ramai orang tahu, jadi viral dah ramai sangat pelanggan kat kedai tu dan kami akan susah nak pergi melepak dan makan seperti selalu.
Hari ni saya kongsikan juga pasal masakan ayam tandoori tu kat blog ni khas untuk kawan-kawan yang rajin datang baca artikel saya di sini. Kalau anda nak pergi cuba makan di situ, cari waze di alamat berikut ..
Restoran Hameeds Corner, Jalan Dawai 16/2, Shah Alam.
Paling best adalah makan ayam tandoori dengan sekeping capati. Roti nan dia tak berapa sedap sangat, biasa saja. Lagipun, makan roti nan akan buat anda kenyang sangat dan akan hilang kelazatan ayam tandoori tu.
Itu pendapat saya. Mungkin anda berbeza dan boleh cuba sendiri nanti dan buat keputusan.
Selamat makan ayam tandoori paling sedang di Malaysia !
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !