Saya terjumpa kisah menarik lama sebelum ini di akhbar Focus Malaysia. Kisah tentang seorang pemuda berbangsa Cina yang dulunya seorang Ah Long beri pinjaman duit, jadi pengedar dadah kena tangkap, masuk penjara dan sekarang jadi taukeh bisnes aiskrim.
Dulu ketika masih rajin baca akhbar, saya beli sekali sekala akhbar bisnes Focus bila terlihat ada cerita menarik tentang bisnes di negara kita. Dalam naskah Focus Malaysia edisi mingguan yang ke-214 bertarikh 17 Jan – 13 Jan 2017 ini, saya tertarik dengan cerita 10 syarikat baru yang perlu diberi perhatian untuk tahun 2017.
Setelah membelinya, saya mula baca laporan berkenaan bisnes yang dijalankan oleh kesemua 10 syarikat baru tersebut. Memang menarik sangat dan mampu memberikan sedikit idea ke depan dan motivasi terhadap bisnes saya sendiri ketika itu.
Kisah taukeh bisnes aiskrim
Kesemua bisnes syarikat baru yang dikatakan perlu diberikan perhatian itu lebih tertumpu kepada bisnes yang berasaskan teknologi dan tidak punya produk secara fizikal.
Tapi amat menarik bila salah satu dari 10 syarikat, terselit satu bisnes aiskrim yang memang punya produk secara fizikal.
Jadi saya cari maklumat lagi berkenaan bisnes itu.
Sebelum itu, saya berikan senarai 10 syarikat bersama dengan nama pengasasnya, yang perlu diberikan perhatian sebagaimana yang disenaraikan oleh akhbar bisnes Focus:
- iflix – Patrick Grove dan Mark Britt
- Carousell – Lucas Ngoo, Quek Siu Rui dan Marcus Tan Yi Wei
- KFit – Joel Neoh, Danny Yeung dan Yeoh Chen Chow
- iPrice Group – Heinrich Wendel dan David Chmelar
- ServisHero – Karl Loo, Jason Kang, Nicole Sia, Paul Copplestone dan Adam Burmister
- Carsome – Eric Cheng dan Teoh Jiun Ee
- Nuren Group – Petrina Goh, Kelvin Leow, Stacey Lee dan Alice Ong
- TheLorry – Nadhir Ashafiq dan Goh Chee Hau
- Fruiti King – Gideon Leong dan Teh Kim Seng
- Katsana – Syed Ahmad Fuqaha Syed Agil dan Mohd Irwan Ibrahim
Senarai di atas adalah dalam tahun 2017. Sekarang dah masuk 2023, lebih dari 6 tahun sudah berlalu. Ada syarikat yang terkenal dipromosikan dengan baik dan ada yang tak pernah dengar ketika itu. Agaknya sekarang apa dah jadi pada semua syarikat tersebut di atas saya tak luangkan masa lagi untuk menyemaknya.
Saya nak lanjutkan hanya pada bisnes aiskrim saja dulu kali ini.
Dari Ah Long ke bisnes aiskrim
Dari maklumat yang saya cari, Gideon Leong ini asalnya agak liar sikit. Dia Ah Long dan dia juga pengedar dadah. Semua itu bertukar apabila dia tertangkap dan dipenjarakan. Dia dikenakan tuduhan mengedar dadah.
Setelah menerima hukumannya, pada tahun 2008 dia keluar dari penjara. Dan dia keluar sebagai orang baru. Dia berubah hasil daripada hukuman yang telah diterimanya di penjara.
Menurut Gideon Leong, penjara membuatnya berfikir tentang apa itu kehidupan. Pendedahan jiwa keagamaan telah mengubah dirinya.
Kisah perniagaan aiskrimnya bermula bila dia rasa setangkai aiskrim buatan tangan dari seorang peniaga aiskrim di Ipoh. Rasanya yang lazat dengan mengekalkan rasa buah tempatan itu membuatkan Gideon Leong mahu usahakan bisnes itu.
Dipujuknya taukeh aiskrim itu untuk menjadi rakan niaganya tapi ditolak. Setelah puas memujuk, akhirnya usahawan aiskrim itu bersetuju untuk menjadi penasihatnya. Terutamanya dalam mencari formula untuk buat aiskrim berperisa buah-buah tempatan.
Diringkaskan cerita, akhirnya setelah 2 tahun, Gideon Leong berjaya keluarkan produk aiskrimnya sendiri dengan perasa durian king, buah nangka, kacang merah, jagung, mangga dan Durian Belanda. Dari situ lahirlah sebuah jenama aiskrim Mr Cool.
Usahanya mendapat perhatian pula dari Pengerusi Netrove Ventures Group, iaitu sebuah syarikat Venture Capital. Dan dari situ Gideon Leong mendapat lagi suntikan dana untuk kembangkan bisnes aiskrimnya.
Pengerusi Netrove Ventures Group, Teh Kim Seng, sekarang menjadi rakan pengasas bisnes aiskrim Fruiti King.
Taukeh bisnes aiskrim ke pasaran global
Suntikan dana sebanyak RM 1.5 juta diberikan oleh Netrove Ventures Group.
Bila dah berteman dengan orang yang punya visi yang lebih jauh, sudah tentu ia membantu melonjakkan lagi segala usaha yang dijalankan oleh bekas Ah Long itu.
Mereka mula berusaha untuk kembangkan lagi pasaran perniagaan mereka merentasi sempadan.
Dipendekkan cerita, dana tambahan lebih besar yang diperlukan oleh mereka didapati pula daripada CrowdPlus.Asia, sebuah entiti crowd funding. Dari situ Fruiti King mendapat lagi suntikan dana sebanyak RM 5 juta.
Cerita mudah, buat susah
Dari cerita di atas sekali baca nampak mudahnya dia berniaga!
Cerita memang mudah, tapi cerita yang ambil masa kurang 5 minit ni, adalah hasil dari usaha yang makan tahun. Apa yang penting adalah berusaha. Mesti ada impian besar dan perlu berusaha mencari networking yang dapat membantu anda sentiasa ke depan.
Apa sejarah latar belakang anda tidak penting sebenarnya. Asalkan nak berubah, perjalanan yang bermula dari sekarang ke hadapan yang perlu diberikan perhatian.
Tapi bila dah mula, jalan dan naik, belum habis lagi. Seperti pepatah orang Cina,
Nak buka kedai berniaga memang mudah, tapi nak pastikan perniagaan kedai itu kekal di buka adalah satu seni.
Saya teringat balik cerita ni bila jumpa kawan minggu lepas ceritakan adik iparnya yang berhenti kerja dan buka bisnes aiskrim fruti king ni dan bungkus. Baru saya perasan yang banyak juga kedai bisnes fruiti king yang tutup dah tak ada sekarang. Mungkin kesan dari wabak covid sebelum ini.
Apa saja cerita kejayaan bisnes akan dilambung-lambung seantero negara sehinggalah bisnes itu bungkus, maka semuanya mengecut dan kesut hilang entah ke mana. Ada yang naik balik dan ada yang segala kenangan pahit manisnya di bawa masuk pemiliknya ke dalam kubur. Itulah yang paling ramai yang semua orang tahu tapi tak perasan sebab tak ada cerita.
Kalaulah mereka yang membawa mati segala impian yang hancur berkecai masuk ke kubur di ceritakan sama macam kisah kejayaan bisnes, dah pasti semua orang akan lega makan gaji sahaja ..
Nota: Gambar aiskrim di atas hanya hiasan.
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !