Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

04 May 2023

Kenapa adalah lebih lebih bagus untuk Sabah dan Kelantan terus kekal miskin

  Ano Nyme       04 May 2023

Kadar kemiskinan diukur dengan mendapatkan jumlah penduduk yang pendapatannya kurang dari jumlah minima untuk lepas dari kemiskinan. 

Sebelum 2019, mereka yang dapat kurang dari RM980 di anggap miskin. Angka itu dinaikkan kepada RM2,208 sekarang.

Maknanya, anda perlu ada pendapatan berjumlah RM2,208 untuk lepas beli semua makanan yang diperlukan supaya dapat hidup sihat berkualiti, ditambah lagi dengan keperluan beli 146 perkara bukan makanan untuk hidup.

Pengiraannya memang agak mencabar dan boleh timbul banyak persoalan. Tapi secara umum begitulah lebih kurang cara nak tahu samada anda masuk golongan miskin atau tidak.

Dari situ, jumlah penduduk yang tak dapat bawa balik ke rumah sebanyak itu dikira dan angka kadar kemiskinan pulak diberikan kepada setiap negeri. 

Dan dapatlah keputusan negeri mana kadar penduduknya paling ramai miskin di Malaysia seperti berikut.

  1. Sabah - 25.3%
  2. Kelantan - 21.2%
  3. Sarawak - 12.9%
  4. Kedah 12.7%
  5. Terengganu - 12%
  6. Perak - 11.4%
  7. Perlis - 9.9%
  8. Pahang - 8.8%
  9. Negeri Sembilan - 6.5%
  10. Melaka - 6.1%
  11. Johor - 5.9%
  12. WP Labuan - 5.2%
  13. Pulau Pinang - 3.3%
  14. Selangor - 1.7%
  15. WP Kuala Lumpur - 0.4%
  16. WP Putrajaya - 0.2%

Tu dia! 

Senarai lengkap negeri mana paling ramai orang miskin dan negeri mana paling kurang penduduknya berada di bawah tahap kemiskinan. 

Jika anda di Kelantan, dalam seratus orang yang anda jumpa, kemungkinan ada 21 orang yang berada di bawah paras kemiskinan.

Kalau di Putrajaya pulak, anda perlu kumpulkan 500 orang baru jumpa seorang yang tak lepas hidupnya.

Antara miskin dan hidup susah

Dari semua perkiraan yang mereka buat, jelas ia ambil kira hanya duit yang keluar masuk poket penduduk Malaysia untuk teruskan kehidupan. Kalau ada orang yang sayur dia tanam atau kutip sendiri di hutan, lauk dia buru atau menjala sendiri di laut atau sungai, dia dianggap tak bawa balik pendapatan kerumah.

Catitan pendapatannya adalah kosong sedangkan dia ada makanan yang sedap segar dan sudah tentu berkhasiat. Dengan sayur dan ulaman. Buah kelapa belakang rumah ambil sendiri untuk dibuat santan. Cili ditanam sendiri untuk buat sambal belacan dan pucuk putat dijadikan ulan segar cicah sambal belacan.

Apa yang perlu dibeli hanyalah beras. Itupun jika dia tak ada bendang yang diusahakan. Kalau ada, bekalan berasnya sudah dipenuhi. Dia boleh saja berikan tenaga bantu tanam sawah bendang kepada pemiliknya dan upahnya adalah sebahagian dari bekalan beras untuk keperluan makannya. Dia tak perlukan duit tetapi makan minumnya cukup.

Anda hanya boleh hidup begitu jika tinggal di negeri tak maju, banyak kampung tradisional seperti di Kelantan atau di cheruk Kedah atau Sabah.

Jika tinggal di bandar, rumah ditaman perumahan, tiada ruang bercucuk tanam. Tak boleh sewenangnya tanam pokok atau ambil ulam. Tiada sungai untuk memancing atau menjala, semuanya dah tercemar ikan yang ada beracun. Hanya duit saja yang dapat penuhi keperluan makan dan minumnya. 

Bila sebut bab duit, ia akan melibatkan keupayaan kerja di mana perlu ada transaksi pertukaran antara barang atau perkhidmatan, dengan duit. Jika tiada pertukaran, maka pendapatan tidak dapat dicatitkan. Bermaksud, perkiraan itu melibatkan peluang pekerjaan.

Jika aktiviti ekonominya baik, ada kilang, perniagaan rancak ada peluang pekerjaan yang besar, maka negeri akan dianggap maju. Sebab dah tentu penduduknya dapat cari duit dengan permintaan barangan dan perkhidmatan yang tinggi.

Untuk jana banyak peluang pekerjaan, pelabur perlu datang. Kerajaan kena mesra pelabur dan sediakan infra yang baik dari segi logistik terutamanya supaya pengedaran dan pengurusan perniagaan lancar.

Kemudahan hidup dari segi infra perlu mantap untuk membolehkan pelabur dan penduduk kekal cari makan di negeri tersebut.

Hubung kait itu boleh anda lihat sendiri dari angka kemiskinan di atas. Negeri mana yang maju, kadar kemiskinannya sangat rendah. Lembah Kelang, Pulau Pinang dan seumpamanya sangat kurang orang miskin.

Sebab banyak peluang kerja. Mudah sangat cari makan asalkan ringan tulang dan ada kemahiran dan kelebihan yang boleh ditawarkan kepada majikan. Nak berniaga pun mudah. Boleh saja tawarkan khidmat atau produk kepada pelanggan perniagaan juga yang ada banyak.

Berniaga kepada orang ramai juga mudah sebab kebanyakan orang ada duit sebab ada sumber pendapatan. Kesannya berganda-ganda dan kegiatan ekonominya meriah dan semakin meriah saban waktu.

Soalannya, penduduk di negeri yang maju tu mungkin tak masuk dalam kategori miskin. Tapi adakah mereka hidup senang?

Sama juga dengan negeri Sabah dan Kelantan. Dari angka boleh lihat yang jumlah penduduknya paling ramai miskin. Tapi adakah bermaksud mereka hidup susah?

Itu yang timbul dalam benak kepala saya bila melihat dan berfikir cara manusia moden mengukur kehidupan.

Siapa punya sistem ukuran

Perkiraan tersebut adalah seragam sebenarnya. Semua negara di dunia akan buat kiraan sama. Mereka akan ukur GDP sesebuah negara, ukur pendapatan isi rumah, ukur tabiat membeli dan lain-lain lagi.

Dari semua kiraan itu, mereka satu kepala bersetuju untuk katakan, negara itu kaya dan negara ini miskin.

Kenapa perlu ikut cara kiraan dan takrifan kehidupan mereka?

Sebab itu adalah sistem atau teknik kehidupan yang manusia telah terperangkap didalamnya. Dunia menuju kepada satu sistem yang selari yang hanya berasaskan kecekapan pengeluaran. Anda mungkin nampak Amerika dan Russia punya pemerintahan dan Kerajaan berbeza. Tapi hakikatnya sistem atau teknik yang fokus kepada penghasilan adalah sama saja. Kecekapan adalah tujuan utama dalam pengeluaran, baik untuk Russia mahupun Amerika atau China.

Tiada unsur kebudayaan diambil kira. Tiada faktor agama, faktor emosi, bangsa, etika atau seumpamanya. Semua itu tidak diambil kira dalam mengejar kecekapan penghasilan. Itulah teknik atau sistem moden yang bergerak laju.

Jika ada negara yang tak ikut semua sistem yang seragam atau standard, negara itu akan tersingikir. Tiada pelabur nak masuk, tiada peluang kerja, tiada pembangunan infra, dan negara lain yang ikut akan potong dari segi kemajuan semua negara yang tak mahu ikut sistem.

Hidup miskin berbanding hidup susah

Singapura contohnya, sangat jauh tinggalkan negara kita. Mereka sangat cekap dalam menerima sistem atau teknik kehidupan moden. Sebab itu Malaysia ketinggalan.

Kelantan atau Sabah pula sangat lembab ikut rentak kemajuan. Negeri itu berjaya menahan kemasukan teknik penghasilan seperti negeri lain macam Pulau Pinang atau Lembah Kelang. Hasilnya Kelantan atau Sabah ketinggalan dari segi kemajuan dan kemudahan hidup.

Secara ringkas, negeri yang patuh pada sistem dunia sekarang akan tewaskan negeri yang tak ikut. Manakala negeri yang ikut itu pula, penduduknya akan ditewaskan sendiri oleh sistem tersebut dengan kehancuran kemanusiaan itu sendiri yang jadi hamba pengeluaran, hamba kepada para elite di atas sana yang hanya beberapa kerat individu saja. 

Manusia akan rosak, malah negeri itu juga akan turut rosak dengan seribu satu masalah pencemaran, perubahan muka bumi, perubahan cuaca dan seumpamanya.

Lihat kepada budaya orang bandar, hancur. Lihat pula pada etika mereka, hancur juga. Cara bercakap orang muda terhadap orang tua juga dan rosak. Lihat ramai anak-anak muda tidak tahu beza dengan siapa dia berkomunikasi.

Pekerja dengan majikan tiada kejujuran. Tiada hubungan kemanusiaan antara manusia sebab semuanya digerakkan oleh sistem. Jika seorang pekerja di Kilang Petaling Jaya mati kena serangan jantung ketika stress dalam bilik kilangnya, mereka pantas saja iklankan dan ratusan calon akan beratur dan akan ada penggantinya dalam masa yang pantas.

Yang pastinya, penduduk di negeri yang kadar kemiskinannya rendah mungkin tidak miskin. Tapi belum tentu lagi mereka tidak susah. Tak miskin tidak bermakna tidak susah jika anda duduk di bandar.

Dari gambaran yang saya berikan terhadap kerosakan budaya, kerosakan amalan hidup, etika hidup, rosak hancur hubungan keluarga, agama lebih meriah ke arah ditunggang untuk ekonomi, manusia tidak ada nilai di mata sistem dan lain-lain, tidak memberikan gambaran satu kehidupan yang mudah.

Cuba lihat di negeri seperti Kelantan dan Sabah pulak.

Jumlah yang miskin memang ramai berdasarkan takrifan sistem di atas. Tapi adakah yang miskin itu hidupnya susah?

Orang Kelantan atau Sabah perlu renung perkara ini. Buat pemantauan sendiri dan boleh berikan komen hasil dari apa yang anda lihat.

Secara teorinya, saya yakin mereka mungkin miskin. Tetapi mereka tidak semestinya hidup susah dan tertekan sebagai mana penduduk negeri maju seperti Selangor dan Pulau Pinang.

Orang Kelantan, kalau ringan tulang, boleh saja cari lauk sendiri samada memburu atau memancing. Boleh juga bercucuk tanam sebab ada banyak tanah untuk itu. 

Sekalipun malas nak bertani, bangun masuk hutan kutip pucuk pisang, kutip pucuk paku dan banyak lagi sumber makanan lain untuk hidup. 

Jadi kat mana susahnya.

Secara mudah, bolehkah kita rumuskan bahawa langkah rakyat Kelantan tolak pemerintah yang tawarkan kemajuan dan pembangunan adalah satu langkah bijak.

Ia dapat lewatkan lagi kerosakan budaya, kerosakan institusi kekeluargaan, etika manusia dan agama berbanding negeri yang sangat maju.

Namun begitu, sudah tentu mereka tidak mampu bertahan lama sangat. Sistem moden atau teknik penghasilan yang terbukti berkesan dalam pembangunan sudah pasti akan masuk melanda Kelantan dan Sabah juga. Tunggu masa untuk hancurkan budaya dan kemanusiaan di sana pula

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Kenapa adalah lebih lebih bagus untuk Sabah dan Kelantan terus kekal miskin

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !