Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

07 May 2023

Semakin tinggi kemajuan, anda makin tak penting sebagai individu - Kenapa Kelantan perlu kekal miskin

  Ano Nyme       07 May 2023


Ini lanjutan dari artikel yang sebelum ini. Sebelum diteruskan, elok saya berikan pencerahan terlebih dulu berkenaan pemilihan negeri Kelantan dan hubung kaitnya dengan maju atau mundur.

Pemilihan negeri Kelantan dibuat tanpa ada sebarang prasangka. Boleh saja untuk pilih negeri Sabah, Sarawak, Kedah, Terengganu dan seterusnya, yang disenaraikan sebagai antara negeri punya kadar kemiskinan tinggi.

Tahap miskin atau kaya pula berasaskan sistem ukuran dunia moden yang diamalkan oleh hampir semua negara di dunia. Semuanya diukur berdasarkan pendapatan yang mampu dijana oleh penduduk sesebuah negara.

Untuk menjana pendapatan, tiada pilihan selain dari masuk ke dalam sistem perniagaan yang terbentuk dengan kemas di segenap pelusuk dunia. Makan gaji adalah salah satu dari bentuk perniagaan sekarang. Anda tawarkan masa dan tenaga serta kemahiran kepada syarikat yang mahukannya.

Saya hanya melihat apa yang sedang berlaku. Bukan mahu memberikan satu prasangka samada ia baik atau buruk. Samada anda suka atau tidak, begitulah keadaan dunia yang anda sedang berada di dalamnya. Untuk memahami apa yang sedang berlaku dan menentukan halatuju kehidupan, perlulah tahu dan sedar di mana anda berada sekarang.

Ikut sistem, anda maju, lawan, mundur

Masyarakat dunia sekarang adalah sebuah masyarakat berasaskan teknologi bersistem. Bukan sekadar teknologi dari segi penggunaan mesin sahaja. Malah lebih mendalam dan luas dari itu. 

Teknik perlaksanaan, susun atur kerja, perancangan, penganalisaan, malah sampai ke tahap mesyuarat, pemantauan, dan segala yang berkaitan dengannya adalah masuk ke dalam apa yang saya katakan Teknologi Bersistem tersebut.

Makin lama dunia bergerak ke depan dari segi masa, teknik ini makin mencengkam dan makin menyeluruh. Hampir mustahil untuk anda keluar darinya. Hampir mustahil untuk sebuah negeri keluar darinya, juga hampir mustahil sesebuah negara dapat keluar darinya.

Negara yang tidak mengambil dan mengadaptasi Teknologi bersistem ini akan dihancurkan oleh negara yang mengambilnya. Lihat negara yang maju berbanding negara yang mundur. Lihat Amerika, dan bandingkan dengan Mesir atau mana-mana negara timur tengah lain.

Anda juga boleh lihat entiti yang lebih kecil dalam bentuk syarikat. Mana yang ambil dan guna pakai teknologi bersistem ini, akan maju dan kalahkan pesaing. Mana yang tak ambil, akan mundur.

Matlamat Teknologi bersistem

Teknologi bersistem ini nampaknya bergerak seperti ada tuan yang memacunya. Terasa seperti ia hidup dan sedar dengan apa yang berlaku di sekelilingnya.

Matlamat utama Teknologi Bersistem ini adalah untuk mencapai sesuatu matlamat dengan cara yang paling cekap. Tanpa ambil kira nilai atau etika, agama atau bangsa, budaya atau amalan kehidupan, baik atau buruk. Teknologi bersistem juga nampaknya bergerak laju ke depan tanpa sebarang prasangka.

Doktrin utamanya adalah, 'lebih banyak lebih bagus'. Maka ia sentiasa bergerak ke arah peningkatan penghasilan. Semuanya melibatkan ukuran. Kuantiti adalah matlamat utama yang mana, ia adalah kualiti.

Kualiti berada di bawah selepas kuantiti. Jika anda mampu hasilkan sesuatu dengan baik tapi lembab dan tak boleh buat banyak, anda akan kalah dengan entiti yang mampu hasilkan benda sama dengan lebih banyak. Yang mampu buat banyak akan menang.

Itulah yang semua negara sedang ukur dan kejar untuk lawan siapa lebih baik. Lebih tinggi GDP, lebih berkuasa dan berjaya sesebuah negara itu. Negara pengeluar itu dan ini terbesar dunia, negara pendapatan per kapita terbesar dunia dan seribu satu macam lagi siapa yang lebih banyak.

Doktrin itu meresap masuk ke dalam kepala para usahawan juga. Lihat di media sosial. Usahawan mana rumah lebih besar, bilik lebih banyak, jualan lebih tinggi, pengedar dan pekerja lebih ramai, keuntungan lebih banyak, siapa paling kaya dan sebagainya. Lebih banyak, lebih bagus ..

Satu lagi landasan utama teknologi bersistem adalah, berandaian bahawa semua manusia itu baik dan tujuan utama kehidupan manusia adalah untuk hidup bahagia dan gembira.

Manusia hanya alat mencapai matlamat

Dalam pergerakan mencapai matlamat teknologi bersistem, manusia dianggap sebagai salah satu dari sumber mencapai matlamat sahaja.

Tiada kepentingan individu di ambil kira bila setiap manusia hanyalah sekadar alat mencapai matlamat. Cuba lihat cara sebuah Kapal Terbang di uruskan ketika ia mahu melakukan penerbangannya dari KLIA 2 ke Kelantan.

Semua urusan dari awal kapal terbang itu sampai, pemeriksaan, persediaan di uruskan secara bersistematik dari krew di bawah sehingga ke kapten di atas. Yang lebih menarik adalah, setiap seorang dari mereka yang terlibat dalam semua urusan tersebut tidak perlu saling mengenali sedikitpun antara satu sama lain untuk membolehkan kapal terbang itu beroperasi dan membuat penerbangan dengan baik dan selamat.

Salah seorang dari petugas yang ada sakit, mati atau berhenti kerja, seorang manusia akan masuk ambil alih tempatnya. Sentiasa ada sparepart.

Ada pula entiti yang bergerak menghasilkan semua sparepart itu. Dalam bentuk sekolah, universiti, atau mana-mana institusi pengeluar spare parts manusia sebagai alat mencapai matlamat.

Keadaan itu bergerak dengan laju dan cekap. Proses penambah baikan berlaku secara automatik setiap saat. Apa saja yang menyesuaikan dirinya dengan sistem, akan membesar dan maju ke depan.

Dari situ anda dapat agak sendiri bahawa semakin maju sesebuah entiti, sesebuah negara, manusia sebagai seorang individu sudah tidak ada apa-apa kepentingan lagi.

Timbul stress sebab kerja. Satu sistem menguruskan emosi manusia supaya stress reda dan dia boleh digunakan pakai kembali masuk ke dalam sistem.

Agama dihancurkan, institusi kekeluargaan di hancurkan, tata susila di hancurkan, silatur rahim di hancurkan, kebudayaan di hancurkan, dan manusia di pastikan dapat hidup dalam tempoh yang optimum untuk diguna pakai masuk ke dalam sistem tersebut.

Negeri tak maju

Cuba lihat mana-mana negeri yang tak maju. Kilang tak berapa ada, dan majoriti besar penduduknya hidup kerja sendiri.

Perjalanan kehidupan masyarakat dalam negeri itu adalah lebih manusia dan setiap individu adalah penting dari segi individu. Ia di kenali bukan sebagai alat ganti kepada sistem, tetapi sebagai manusia yang ada pegangan, ada etika, ada emosi, ada karakter dan sebagainya.

Ibu bapa yang tua akan tinggal dengan anak-anak atau sekurangnya berhampiran dengan rumah anak-anak nya yang ada di sekeliling rumah orang tuanya.

Makan minum adalah mudah dan tidak berkira. Kenduri kendara adalah hasil gotong royong dan sumbangan satu kampung. Setiap keadaan individu di ambil berat oleh hampir semua orang yang biasanya mengenali setiap yang ada di dalam kampung samada masih hidup atau dah mati.

Lelaki adalah ketua keluarga dan wanita memainkan peranan mereka dalam membentuk sebuah keluarga berpaksikan cita-cita suaminya. Kedudukan antara wanita dan lelaki adalah sama cuma peranan yang diambil masing-masing adalah berbeza. Secara umum wanita di bezakan oleh 2 perkara, biologi dan budaya.

Kedua-dua faktor itu tidak dirosakkan oleh teknologi bersistem maka kekal lah manusia menjadi manusia, dan bukan alat ganti sistem.

Cuba lihat dan bezakan negeri maju. Anda akan nampak apa yang saya gambarkan di atas ..

Bolehkah diubah semua itu?

Secara peribadi, saya yakin tak boleh. Semuanya sudah terlambat. Malah para pemimpin yang ada di atas itu juga melihat setiap individu di bawah sebagai satu dari alat untuk dapatkan undi baginya saja.

Dia melihat rakyat hanya sebagai alat mencapai matlamatnya. Dia juga terpaksa akur dan berkhidmat dengan ketuanya di atas di peringkat antara bangsa daalam hiraki mereka yang tersendiri. Semuanya bekerja untuk teknologi bersistem yang bergerak di segenap penjuru dunia tanpa kawalan dari sesiapa.

Cara untuk selamat

Dengan keadaan di atas, adakah cara untuk selamatkan diri anda dalam dunia yang semakin rosak ini?

Jawapannya, boleh.

Abdikan diri hanya untuk Tuhan sahaja. Itu fokus utama dan negeri akhirat adalah sasarannya. Perkara utama yang amat penting di sini adalah untuk memahami apa yang Tuhan maksudkan dalam Al-Quran bila Dia arahkan dalam surat Al-Fatihah untuk mengabdikan diri hanya kepadaNya.

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Semakin tinggi kemajuan, anda makin tak penting sebagai individu - Kenapa Kelantan perlu kekal miskin

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !