Baru-baru ni, saya perlukan sebuah kereta untuk ditinggalkan kepada orang rumah selama 5 hari. Saya mahu ke luar kawasan dengan menggunakan kereta yang ada.
Walaupun ada motosikal di rumah, tapi biasalah orang rumah tak akan berpuas hati jika saya keluar pergi cari makan dengan membawa kereta. Dia akan tarik muka, tunjukkan kesusahan hidup tanpa kereta.
Itu adalah isyarat, yang dia mahu saya tinggalkan kenderaan untuk dia hantar dan ambil anak ke sekolah. Walaupun kerja itu boleh saja dilakukan dengan motosikal yang ada di rumah tu. Jarak dari rumah ke sekolah pula hanya dalam 2 kilometer saja.
Pergi cari makan tidak sepenting ambil dan hantar anak ke sekolah. Itulah yang saya rasa dia faham. Saya terima saja pemahamannya itu sebab memang dia betul pun. Cari makan hanya penting untuk orang lelaki dan tak ada kena mengena dengan orang perempuan.
Isteri tak perlu fikirkan kesusahan suaminya keluar cari makan. Biarkan si suami tunaikan tanggung jawabnya. Bawa balik duit dan berikan kepada mereka untuk dibelanjakan sampai habis, kemudian minta lagi. Menyimpan juga tidak penting. Habis minta saja dari lelaki.
Orang perempuan memang dicipta untuk habiskan tenaga dan harta orang lelaki. Sebab itu lelaki makin kuat dan makin banyak harta sebab terlatih dengan keadaan tekanan sebegitu dari zaman purbakala lagi. Boleh dilihat sikap perempuan begitu sebagai sifat semula jadi untuk kuatkan lelaki sebagai ketua keluarga.
Orang lelaki perlu akur. Tapi perlu pastikan isterinya ikut segala cakapnya dan menguruskan keluarga berdasarkan halatuju suami. Mesti tegas dalam bab itu tanpa ada kompromi. Romantik, lembut tengkuk, ikut cakap isteri, dan seumpamanya tak boleh ada pada suami. Tak boleh ikut budaya barat yang meletakkan suami dan isteri sebagai sama.
Perkara paling penting untuk seorang isteri dan seorang ibu adalah menjaga dan membesarkan anak. Sebab itu saya kata di atas tadi kenapa bagi isteri cari makan tidak penting buat dirinya yang anggap jaga anak adalah jauh lebih utama. Itu satu contoh betapa besar perbezaan antara kepala perempuan berbanding lelaki.
Niat nak beli kereta terpakai
Tahun ni banyak cabaran yang terpaksa di lalui. Kenderaan syarikat terbakar. Maka syarikat kurang sebuah kereta untuk jalankan kerja. Perlu cari solusi lain sementara semua urusan tuntutan insuran selesai.
Untuk lancarkan kerja syarikat, saya terpaksa berikan kenderaan 4x4 peribadi untuk staff gunakan. Sebab itu kenderaan di rumah pula tak cukup.
Niat awalnya nak beli saja sebuah kereta terpakai untuk diberikan ganti tinggal di rumah. Lalu saya canang pada semua kawan-kawan yang ada di grup wasap dan grup lain kalau-kalau ada yang memang nak jual kenderaan lama mereka. Tapi tiada respon.
Saya juga minta kawan yang memang kerjanya jual kenderaan terpakai cari sebuah. Tapi dia juga masih tak dapat berikan solusi segera.
Bila masanya tiba saya mahu keluar kawasan, seorang kawan syorkan untuk saya guna saja aplikasi Trevo dan sewa kereta dari situ. Tawarannya agak mudah, kata kawan saya tu. Lalu saya tanpa fikir panjang lagi, terus muat turun Trevo dan daftarkan diri.
Muat turun Trevo
Saya cari dalam aplikasi iphone dan terus jumpa. Anda boleh klik di sini untuk lihat aplikasi tersebut. Muat turun, buka dan masukkan semua perkara yang perlu untuk mendaftarkan diri.
Apa yang bagus dengan aplikasi ini adalah dia pastikan anda masukkan butiran bersama dengan dokumen pengenalan yang anda ada secara mudah. Tangkap gambar kad pengenalan dan lesen dan muat masuk ke aplikasi.
Kemudian ambil gambar selfie bersama dokumen pengenalan anda.
Selepas buat semua itu, tak lama, dia terus sahkan semua butiran anda dan dah boleh mula gunakan aplikasi tersebut.
Cara buat pembayaran
Saya terus buka dan mula cari kereta yang ada. Buat pilihan tarikh mula dan tarikh akhir kemudian masukkan bajet yang anda mahu.
Semua maklumat kenderaan yang ada terpampang satu persatu dengan maklumat terperinci pemilik dan jenis kenderaan.
Dia senaraikan semua kenderaan yang ada berhampiran kawasan tempat anda duduk. Jadi sangat mudah untuk pergi ambil atau pemilik hantar ke rumah anda nanti.
Saya pilih kenderaan yang paling murah dalam kadar RM50 ke RM60 sahaja kos sehari. Dan memang ada pun.
Selepas itu perlu buat bayaran.
Di situ saya silap bila saya daftarkan kad pembayaran, dia masukkan ke dalam wallet aplikasi RM600. Tujuannya untuk mudahkan mereka tolak baki yang ada dari wallet tersebut.
Kemudian saya tempah sebuah kereta dan terlepas pandang untuk membuat pilihan cara bayaran mahu dilakukan. Aplikasi terus ambil duit dari kad kredit yang saya daftarkan dan baki dalam wallet tidak ditolak, kekal ada RM600.
Kebetulan kawan saya telefon dan ajak saya ikut keretanya untuk keluar kawasan. Maka saya boleh tinggalkan kereta sendiri pada isteri tanpa perlu lagi menyewa.
Saya baca syarat untuk batalkan tempahan ada 12 jam, maka sempatlah saya buat. Pembatalan di terima dengan mudah dan mereka kembalikan duit yang saya bayar masuk semula ke wallet aplikasi.
Itu masalahnya bila saya tak set pembayaran dibuat guna wallet tadi, mereka gunakan kad kredit saya. Sekarang duit dalam wallet aplikasi dah ada lebih dari seribu. Pembayaran yang dikembalikan hampir RM600 dan duit yang saya masukkan tadi RM600 ke dalam wallet.
Duit tidak dikembalikan
Aplikasi beritahu awal-awal yang duit anda jika tak pakai akan masuk ke dalam wallet dan tidak akan dimasukkan ke dalam bank yang anda daftarkan.
Jadi kekallah duit tu terpendam di situ selagi saya tak pakai.
Satu-satunya cara untuk dapatkan semula duit anda dari aplikasi adalah dengan batalkan pendaftaran. Itu yang saya baca dari soal jawab penerangan aplikasi.
Bila saya batalkan pendaftaran, barulah mereka akan transfer masuk semula duit dari bank yang anda guna ketika daftar atau transfer duit masuk ke wallet tadi. Ambil masa dalam 2 minggu katanya.
Sewa Myvi 4 hari
Oleh kerana duit memang dah ada dalam tu, maka saya mahu cuba sewa juga gunakan trevo bila ada keperluan nanti.
Di takdirkan, saya perlu keluar kawasan lagi dan perlu tinggalkan kenderaan untuk orang rumah. Maka terus saya buka Trevo sekali lagi dan buat pilihan kereta Myvi.
Harganya dalam RM54 saja sehari. Terus saya tempah dan buat pembayaran. Semua lancar dan tunggu harinya untuk mereka hantar kereta tu ke rumah saya.
Jika anda pergi ambil sendiri di lokasi kereta, dapat jimat dalam RM10.
Hari di mana kereta dihantar saya sudah bergerak keluar. Orang rumah akan menerimanya. Mereka sampai dalam pukul 11:30, awal setengah jam dari sepatutnya. Bagus!
Sepatutnya, bila terima kenderaan, anda perlu ambil 4 gambar dari semua sisi kenderaan sebagai bukti keadaan kereta semasa diterima. Saya tak perasan benda tu dan tak buat urusan itu. Pemiliknya juga tak kisah sangat.
Saya ambil kenderaan itu dari hari rabu sampai hari sabtu iaitu selama 4 hari. Dah jumlah yang saya perlu bayar adalah dalam RM198 sahaja.
Kenderaan itu bersih dan dalam keadaan yang baik. Minyak ngam-ngam satu bar saja dan bila pulangkan semula nanti kena pastikan sama banyak atau lebih.
Pada hari sabtu, mereka datang ambil. Saya wasap beritahu yang kenderaan itu siap untuk diambil dalam pukul 11:30 dan mereka sampai dalam waktu itu. Yang wasap saya beritahu nak ambil kenderaan adalah ibu kepada pemilik kenderaan tersebut.
Yang hantar juga bukan pemilik Myvi atau nama dalam pendaftaran Trevo itu. Mungkin nama saja dalam pendaftaran tersebut sedangkan yang uruskannya adalah orang lain. Biar saja lah asalkan bukan scammer dan budak jahat.
Semuanya lancar dan ternyata penggunaan Trevo sangat mudah.
Tak bagusnya hanya satu saja, iaitu duit terpaku dalam wallet aplikasi tu selagi tidak digunakan. Pembayaran balik hanya dapat masuk semula ke wallet saja. Itu kelemahan yang berikan kelebihan besar kepada pemilik aplikasi supaya orang yang daftar suadah nak keluar.
Anda juga boleh daftarkan diri sebagtai pembekal kenderaan sewa di dalamnya. Saya terfikir untuk buat nanti. Bagi semua masalah kenderaan tak cukup ni pulih dulu.
Selamat mencuba ..
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !