Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

06 June 2023

PH, PN, PAS, PKR, BERSATU, UMNO, MIC, MCA dll - Siapa yang perlu anda risau sebenarnya?

  Ano Nyme       06 June 2023


Semalam sempat bawa keluarga jalan-jalan sekejap sempena cuti sekolah. Dah seminggu, nak habispun cuti sekolah, baru sempat luangkan masa.

Sehari sebelum tu, dapat idea untuk pergi bawa anak-anak ke Bentong, makan tengahari di Kedai Lemang To'ki. Kalau perjalanan menarik, boleh bermalam sebentar di pekan Bentong tu dan balik semula ke Lembah kelang hari isnin pagi.

Nota: Intro artikel ni nampak macam tak kena dengan tajuk di atas. Tapi bacalah dulu. Ia ada kaitan dengan tajuk. Cuma saya sampaikan melalui perjalanan kehidupan seorang warga marhaen macam saya di bumi Malaysia ini. Baca sampai habis dan anda akan faham.

Pagi ahad tu, orang rumah awal-awal dah bersiap. Habis dikerahkan anak-anak turut sama bersiap. Begitulah mereka, bila diberitahu nak berjalan, memang sesuatu yang sangat menggembirakan.

Bagi orang lelaki, keluar berjalan membawa maksud bajet untuk simpanan duit kecemasan akan menyusut. Perlu bersedia perah akal fikirkan bagaimana nak ganti semua duit yang akan lesap sekelip mata tu nanti.

Itulah masalahnya jadi lelaki. Tanpa dapat dikawal, lelaki sentiasa melihat jauh dua tiga langkah ke depan. Urusan menyara keperluan hidup dan membesarkan anak-anak, makan minum, persekolahan dan pengajian, kesihatan mereka, dan sebagainya, semua perlukan duit.

Duit juga diperlukan bila sakit demam si suami dan isteri itu sendiri. Umur makin tua, duit untuk selenggara diri makin meningkat. Masa muda habiskan waktu cari duit yang tak pernah cukup, lalu urusan kesihatan diabaikan dulu. Bila makin tua, kesihatan makin menjunam, duit masih juga tak pernah cukup.

Begitulah keadaan warga marhaen seperti saya berhadapan dengan kehidupan seharian yang tak pernah cukup. Majoriti rakyat Malaysia, malah di seluruh dunia adalah terdiri dari kalangan marhaen yang sentiasa jadi Pak Turut tanpa mampu buat apa-apa. Hidup sekadar mencukupi saja.

Aaaah! lupakan dulu. 

Perkara pertama yang perlu saya buat awal pagi ahad itu adalah buang semua kerisauan. Biarlah dulu semua kerisauan tu, fokus dan sediakan diri untuk berbelanja tanpa fikir panjang. Kalau tak, nanti aktiviti keluar jalan-jalan bersama keluarga tu akan jadi masam dan menyakitkan sahaja.

Sarapan pagi di McDonald

Makan di McD bagi warga marhaen adalah satu kemewahan. Itulah level kebanyakan rakyat Malaysia. Tak payah cakap pasal makan di hotel 5 bintang atau restoran mewah di pusat bandar, paling banyak, hanya dalam 5% saja rakyat Malaysia yang mampu merasai pengalaman itu seperti lazimnya warga marhaen makan McD.

Kembara mewah saya bersama keluarga hari itu bermula dengan sarapan di McD. Perlu sampai ke restoran makanan segera itu sebelum pukul 10 pagi untuk dapatkan harga istimewa sarapan McD. 

Tak ramai orang waktu tu. Kami terus dapat buat tempahan guna skrin dalam restoran tersebut. Semuanya main tekan-tekan saja. Dah bila dah siap pilih, bayar sendiri guna kad bank. Selepas itu duduk tunggu tempahan di siapkan. Luangkan masa itu untuk sembang dengan anak-anak.

Selesai satu bab. Habis dalam RM90 bersarapan seramai 5 orang. Kalau anak yang 2 orang lagi ada, dah tentu akan lajak melebihi RM100 hanya untuk sarapan pagi sahaja. 

Lepas makan, terus isi minyak kenderaan pula. Habis lagi RM100 walaupun tak penuh, dah cukup untuk perjalanan pergi dan balik dari Shah Alam ke Bentong. Itupun nasib baik naik Hilux, penggunaan diesel untuk perjalanan jarak jauh begitu sangat menjimatkan. Tak perlu fikir bab selesa, itu kelebihan warga marhaen, keselesaan adalah benda terakhir untuk difikirkan.

Bergerak ke Bentong

Selesai isi minyak, masuk dalam kenderaan, terus buka waze dan cari Restoran Lemang To'ki. Semua menjadi mudah dengan adanya aplikasi macam waze tu. Tapi kemudahan itu bukan pemberian kerajaan yang ada di Malaysia. Siapa saja jadi kerajaan, waze tentu akan ada juga. Sekalipun aplikasi itu ciptaan yahudi atau nasrani, orang Islam yang memakainya sama naik saja dengan yang bukan islam. Kita sebut bab itu lebih panjang nanti jika perlu.

Jalan damai saja waktu pagi hari ahad. Tak banyak kenderaan, jadi perjalanan untuk ke gombak di mana bermulanya lebuhraya karak sangat lancar. Bila sampai dekat tol saja kenderaan dah mula banyak. Ramai lagi orang Malaysia yang turut sama bergerak naik ke Pahang nampaknya.

Separuh perjalanan, waze beritahu ada kemalangan teruk. Kenderaan mula berbaris tersekat-sekat. Tak lama sangat perlahan akhirnya sampai ke tempat kejadian. Seorang lelaki lengkap bertopi keledar tertiarap di tengah lebuhraya arah ke Bentong itu seorang diri tidak bergerak. Motosikalnya kelihatan ada di seberang sana jalan arah ke KL. Dia terhumban jauh. 

Ada sekumpulan anak-anak muda bermotosikal membantu uruskan laluan untuk menjaga keadaan supaya tak jadi lebih teruk. Saya yakin kejadian baru saja berlaku ketika lalu di situ. Hari ini saya dapat tahu lelaki dalam kemalangan itu ialah juru photo sebuah portal berita. Dia meninggal dunia di tempat kejadian. 

Moga Tuhan permudahkan ahli keluarganya menghadapi dugaan itu. Tapi, untuk majikannya, seorang juru photo lain akan datang menggantikan tempat lelaki yang sudah meninggal itu. Business as usual, kata mat saleh. 

Di mata sistem kebendaan moden, lelaki itu dikenali hanya sebagai seorang juru photo. Tak lebih dari itu. Tiada keistimewaan sebagai seorang individu dalam sistem ekonomi moden. Bagi parti politik pula, mereka kehilangan satu undi bagi parti yang berjaya mencuri hatinya. Bagi parti yang dia tak sokong, mereka menang satu undi. Itu saja peranannya di mata parti politik dan kepimpinan negara.

Makan lemang To'ki

Ngam-ngam kami sampai ke kedai lemang to'ki waktu tengahari. Pengunjung dah agak ramai tapi masih ada banyak meja yang kosong. Kami ambil tempat duduk jauh sikit dari seorang penghibur solo yang sedang buat persediaan menghiburkan pelanggan yang makan di kedai itu.

Kedai makan tu tak ada pelayan yang nak datang tanya makan dan minum anda. Bangun dan pergi ambil sendiri, bayar dan baru duduk makan. Jadi saya ke meja lemang, minta 6 piring untuk makan di tambah dengan 2 ketul ayam golek. Kemudian minta air minuman, dan buat bayaran. Habis RM70 untuk merasai semua kelazatan itu. Orang rumah memang hantu lemang, begitu juga dengan anak-anak. 

Bagi saya lemang to'ki biasa saja rasanya. Samada anda ambil lauk ayam atau daging, kedua-duanya manis tanpa ada rasa pedas sikit pun. Itu bukan citarasa saya yang dah biasa makanan berempah dan  pedas. Kalau makan lemang cicah dengan durian adalah jauh lebih lazat dari makan dengan rendang di situ. 

Tapi pendapat saya tidak penting bagi kedai to'ki. Saya hanya dikenali sebagai pelanggan yang tidak ideal baginya saja. Dia kekal dengan citarasa pilihan pelanggan majoriti yang membuatkan tokeh kedai itu kaya raya. Begitulah cara sistem moden yang anda perlu akur, kalau nak maju.

Sistem perniagaan moden melihat manusia sebagai kumpulan yang ada satu persamaan tertentu. Kemudian mereka sebarkan propaganda, yang diberi nama lembutnya, marketing. Mesej dibuat seolah-olah anda seorang individu penting yang dipedulikan. 

Hakikatnya, itu hanyalah teknik iklan sahaja. Bukannya satu keikhlasan. Jangan nak perasan. Yang dipandang adalah duit anda saja. Malah duit itu jauh lebih penting dari anda sendiri sebagai individu.

Tengok air terjun Chamang

Perut dah kenyang. Saya bawa semua pergi tengok air terjun Chamang yang tak jauh dari kedai lemang to'ki yang satu lagi di pusat bandar. Masuk melalui taman perumahan yang saya lihat majoriti penduduknya orang cina. 

Taman itu amat bersih terurus dan terjaga. Saya yakin penduduknya aktif bekerja sebagai satu unit. Tentu mereka tidak segan-segan perjuangkan hak mereka sebagai penduduk yang membayar cukai di situ. Mereka perah habis-habisan siapa saja wakil rakyat yang menang di situ. Itulah yang rakyat perlu lakukan. 

Wakil rakyat melihat anda semua sebagai satu kumpulan. Sebagai individu, anda tidak penting buat dirinya. Tapi kerja propaganda dilancarkan supaya anda tertipu dan merasakan dia melihat anda sebagai seorang individu penting. 

Saya sebut semua itu bukan nak merungut, tapi sekadar mahu sedarkan diri ini akan hakikat sebenar sistem moden dunia sekarang supaya diri tidak terus tertipu. Oleh itu, anda juga perlu lihat diri wakil rakyat itu sebagai satu kumpulan profesional saja. Patah tumbuh hilang berganti. Tak perlu ada emosi atau ikatan perasaan, apatah lagi untuk jadi fanatik!.

Lebih kurang 7 km, saya sampai ke puncak taman rekreasi itu. Nak masuk dengan kenderaan kena bayar RM3 satu kepala. Dia tak peduli samada kanak-kanak atau dewasa, harganya sama saja sekalipun di papan tanda diberitahu berbeza. Masuk jalan kaki pun kena bayar juga.

Itu satu lagi sistem moden. Alam sekitar, seperti sungai, laut, hutan, gunung, bukit bakau dikomersialkan sedangkan semua itu adalah hak rakyat atau hak awam. Itulah takrifan kebebasan yang semua kerajaan di seluruh dunia mahu anda percaya. Sedangkan hakikatnya anda tak memiliki apa-apapun samada hartanah, kebebasan pergerakan dan seumpamanya.

Bukan nak merungut. Tapi nak sedarkan diri sendiri keadaan sebenar dunia sekarang supaya diri tak tertipu.

Rehat sebentar di homestay

Pengunjung agak ramai datang ke air terjun chamang. Ada berbagai bangsa saya lihat. Cina, Melayu, India, Pakistan, Arab, semua ada bersuka ria berkelah di sana. Masing-masing buat hal sendiri tanpa menegur sapa antara satu sama lain. Sebab semua orang rasa dia ada hak sama banyak dengan semua yang ada masuk ke situ sebab dia juga bayar untuk masuk tadi.

Kami hanya tengok sebentar, ambil gambar selfie macam semua manusia moden lain buat dan tampal masuk ke media sosial. Biar satu dunia tahu saya ada di situ. Biar semua kawan-kawan yang kenal dan tak kenal dalam senarai kengkawan medsos itu tahu kami keluarga bahagia yang sedang menikmati kehidupan berkeluarga jalan-jalan ke sana kemari bergumbira.

Itu amalan manusia moden. Dia paparkan maklumat serong yang tipu-tipu. Pembacanya bukan tak tahu, tapi masih juga mahu percaya dunia tipu tipu itu sebab otak emosi anda tak dapat bezakan antara palsu dengan realiti. Otak anda percaya paparan satu dari seribu satu perkara yang berlaku dalam hidup anda menggambarkan keseluruhan hidup anda. Maka jiwa jadi tak tenteram. 

Saya juga tahu perkara itu. Tapi tetap mahu kongsikan juga di medsos sebab saya juga ketagihkan pengiktirafan manusia lain sekalipun saling tak kenal. Mendapat like pada paparan medsos adalah seperti satu pam sedutan ganja di kampung dulu.

Akhirnya saya patah balik turun dan pergi check in ke homestay yang saya tempah dari Agoda. Harga promosi katanya. Asalnya RM144, sekarang hanya RM83 sahaja. Maka saya beli dan buat bayaran. Nampak ruangnya macam besar dan review nya juga bagus. Jumlah sebenar yangt saya bayar untuk tempahan home stay itu adalah RM103.

Bila sampai di sana, homestay itu adalah sebuah rumah besar 3 tingkat yang diubah suai jadikan banyak bilik untuk disewa. Bilik saya besar sikit di bahagian bawah rumah itu dengan satu katil bersaiz queen dan satu single. Ada satu bilik air di dalamnya dan ada pendingin hawa.

Boleh rehat sebentar untuk lepaskan lelah saja. Tak ada privasi sebab satu rumah itu ada ramai orang. Ruang legar semuanya adalah dikongsi. Jadi yang anda benar benar bebas adalah dalam bilik kecil anda sendiri saja. Lesap RM103 sebab saya rasa tak akan tidur di situ. Lebih baik balik saja tidur di rumah sendiri lebih selesa.

Yang menariknya homestay jenis macam itu adalah anda tidak perlu bertemu dengan seorang manusia pun untuk masuk, ambil kunci, tidur dan serahkan semula kunci rumah. Semua dilakukan melalui wasap, dan portal agada tadi. Ada tempat simpan kunci ber-kod yang diberikan kod nya melalui wasap.

Satu lagi contoh dunia bergerak sebagai satu unit manusia yang tidak ada apa-apa kepentingan emosi. Mereka tidak ada simpati atau perasaan pada anda melainkan pada duit anda sahaja. Itu lah hakikatnya manusia moden. Dan itulah yang semua kerajaan dunia mahu anda ikut atas nama kemajuan. Tapi hakikatnya adalah bertujuan untuk ubah setiap individu di bawah kelolaannya sebagai alat melaksanakan agenda mereka saja. Tak lebih dari itu.

Agenda mereka, kerajaan negara anda, adalah sama dengan agenda kerajaan dunia di atas lagi di seluruh dunia, iaitu kearah kecekapan menghasilkan apa yang mereka mahu. Memajukan lagi segala-galanya. Manusia akan jadi lebih cekap apabila setiap individu dapat berfungsi tanpa perlu menjalinkan sebarang ikatan emosi. Macam kes saya sewa homestay di atas tadi. 

Balik ikut jalan lama

Sebelum balik, saya bawa anak-anak makan ais kacang di pekan bentong tu. Nampak macam lazat dari luar. Dan memang boleh tahan juga ais kacang dan cendolnya. Semasa nak buat bayaran, saya tanya penjaga kaunter tu kat mana ada durian murah.

Dia dengan gembira beritahu untuk saya pergi ke depan sana ke kedai Adam Satay. Situ murah sikit sebab mereka beli secara borong. Maka ke sanalah saya pergi dan dapat makan 5 biji durian yang saya taki ingat apa namanya dengan harga sekilo RM20 saja. 

Itu berjaya membahagiakan isteri saya dan selesai satu masalah sebentar dalam bab nak durian. Sebentar saja sebab saya tahu bila balik ke rumah nanti dia akan sebut setiap hari nak lagi durian atas alasan yang mudah saja. Sebab dia sangat suka durian. Jadi kena beli dan makan sebanyak mungkin bila ada saja orang jual durian.

Habis makan durian kami bertolak naik semula ke Lembah Kelang ikut jalan lama. Dengan harapan dapat menikmati suasana kampung dan suasana hutan yang cantik. Tapi malangnya di penuhi dengan aktiviti kerja pembangunan yang sangat rancak di sepanjang jalan.

Ada dua projek besar. Pertamanya hutan dicerahkan untuk ditanam pokok durian. Keduanya ada projek ECRL sedang giat dijalankan. Saya lihat semua sungai airnya keruh dan tidak cantik lagi. Itulah harga sebuah pembangunan.

Dari jauh anda boleh lihat bukit tinggi yang ada bekas air terjun tapi airnya sudah tiada. Bukit bukau dan hutan sebagai tempat tadahan air sudah tidak dapat berfungsi lagi. Manusia rakus hapuskan semua hutan dan bukit yang ada untuk kumpul duit supaya lebih banyak.

Cuba fikirkan bab durian saja. Adakah tanpa durian Malaysia tidak dapat berfungsi dengan baik dan rakyatnya tidak dapat jalani kehidupan yang baik?

Jawapannya sudah tentu tidak. 

Durian kampung selama ini dapat besarkan nenek moyang kita hidup dengan aman tenteram dan melahirkan kita semua. Tak perlu ada Musang King dengan banyak macam sekarang. Mereka pilih baka yang baik dan tanam sekitar kampung untuk makan anak cucu. Tetap cukup dan mewah ketika datangnya musim durian.

Tapi alam sekitar tetap dirosakkan  demi untuk tanam musang king sebab harganya mahal. Orang Cina suka makan, negara china suka import. GDP negara dapat naik. Pegawai tanah dapat habuan yang baik dan begitulah juga semua yang terlibat dalam melahirkan industri tanam musang king dan hancurkan alam sekitar di negara kita sekalipun ia tidak mendatangkan apa-apa faedah untuk manusia.

Itu yang berlaku kepada manusia moden yang akur dengan sistem moden. Konsep "lebih banyak lebih bagus" sekalipun ia bakal merosakkan alam, rosakkan manusia, rosakkan budaya, rosakkan agama dan rosakkan apa saja. 

Adakah kerajaan dapat kawal semua itu?

Tidak sama sekali. Letaklah siapa saja. Kerajaan mana sakalipun, doktrin atau ideologi politik apa sekalipun, semuanya akan dikawal oleh sistem kecekapan moden yang entah siapa di atas sana yang mengawalnya.

Untuk tahu samada sesebuah tempat itu selamat dari sistem moden anda hanya perlu lihat samada tempat tersebut sudah sampai telefon pintar dan internet atau tidak. Kalau dah sampai, sudah sahih ia telah terjebak. Dia bukan lagi di bawah kawalan mana-mana parti politik.

Semua berita, maklumat, ilmu, halatuju, sistem dan lain-lain seumpamanya bergerak dari sumber yang sama di seluruh dunia untuk membentuk cara manusia berfikir secara keseluruhannya. Sistem yang dibentuk, kemudian disebarkan kehebatannya dengan propaganda adalah ke arah membuatkan manusia menjadi makhluk yang tidak relevan dan tidak berfikir. Makhluk yang secara tidak sedar melupakan kewujudan Tuhan dan bergantung penuh kepada ciptaan manusia.

Jadi bagi mereka yang giat sebarkan propaganda untuk menangkan parti dan pemimpin pilihan mereka dengan usaha takut-takutkan pihak di sebelah sana, anda cuba takutkan rakyat Malaysia kepada musuh yang salah. Anda sendiri sudah pasti tidak sedar fikiran anda sudah dipengaruhi dan keupayaan anda berfikir sendiri sudah sangat lemah dan tidak mampu melihat dunia dan apa yang berlaku secara kritis.

Dari semua propaganda politik yang saya dapat, diviralkan dalam medsos, saya nampak jelas sekali betapa isinya dan maklumatnya adalah sampah. Samada penulisnya memang berotak sampah, atau dia sekadar panjangkan viral dari penulis lain yang tahu bahawa otak sampah akan panjangkan maklumat sampah begitu tanpa mampu membuat pertimbangan benar atau salah.

Parti mana sekalipun naik, hampir kesemua projek akan diteruskan juga. Polisi dibuat sekadar untuk ambil hati rakyat saja supaya parti politik mereka di gemari. Arus pergerakan negara adalah arus sama yang menggerakkan dunia moden keseluruhannya di segenap muka bumi. Arus sama yang merosakkan manusia yang hanya mengukur kejayaan berdasarkan kemajuan dengan kuantiti menjadi kriteria utama kepada kualiti.

Bagi anda yang sudah termakan dengan propaganda itu, sedarlah siapa sebenar musuh anda dalam kehidupan moden sekarang ini. ia lebih besar dari apa yang anda sangkakan.

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, PH, PN, PAS, PKR, BERSATU, UMNO, MIC, MCA dll - Siapa yang perlu anda risau sebenarnya?

Previous
« Prev Post

1 comment:

  1. satu artikel yang menarik untuk dihadami ayat demi ayat....yang pasti hidup tetap diteruskan biar apapun berlaku...

    ReplyDelete

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !