Ada orang tak suka sangat dengan jurujual insuran ni. Tak suka sebab teknik menjual polisi insurans secara menakutkan prospek.
Perkataan ‘kalau’ banyak membuatkan orang rasa tak gemar dengan jurujual insuran. Kalau sakit, kalau kemalangan, kalau mati, kalau cacat kekal dan 1001 macam kalau lagi yang menakutkan.
Sedangkan kalau itu hanyalah kemungkinan.
Kemungkinan berlaku semua malapetaka itu sebenarnya sangat nipis.
Contoh nyata adalah dalam bab insurans kereta. Dalam 100 orang yang beli insurans kereta, berapa ramai yang claim dalam tempoh setahun beli insuran tu?
Berapa ramai yang buat tuntutan dalam tempoh 5 tahun atau 10 tahun?
Data menunjukkan peratusnya sangat rendah berbanding yang tak buat tuntutan.
Memang itulah sebab utama syarikat insurans masih wujud. Sebab jumlah yang tak tuntut jauh lebih rendah dari yang buat tuntutan.
Ertinya mereka yang malang, dilindungi oleh mereka yang bernasib baik.
Syarikat insurans yang jadi orang tengah yang uruskan himpunan duit dari semua orang. Ditambah dengan mekanisme pelaburan, yang tingkatkan lagi jumlah duit dan sebagainya, untuk lindungi kalau-kalau ada yang buat tuntutan.
Tapi itulah konsepnya industri insurans.
Bukanlah buruk pun konsep tu terutamanya dalam dunia moden nafsu nafsi sekarang ni.
Bukan macam zaman dulu yang masyarakat saling bantu membantu. Jika ada yang malang, orang kampung akan turun padang bantu ahli masyarakatnya.
Sekarang konsep perlindungan dari masyarakat dah mula menipis. Syarikat insurans yang ambil alih semua urusan itu walaupun semua ahli yang beli insurans tu saling tak kenal mengenali.
Satu lagi perkara yang orang tak suka syarikat insurans ni adalah proses penapisan yang mereka buat.
Jika anda nak ambil perlindungan hayat, terpaksa melalui proses pemeriksaan kesihatan.
Syarikat insuran akan semak sejarah kesihatan anda sampai ke tahap genetik.
Tujuannya nak pastikan supaya kemungkinan anda buat tuntutan adalah yang paling minima. Lebih menjurus ke arah tak buat tuntutan. Lagi tinggi anda tak akan buat tuntutan, lagi mudah lulus dan rendah duit yang anda perlu bayar.
Secara logiknya rasa macam kejam betul tak?
Haaa!
Kat situlah yang usahawan baru nak mula bisnes perlu belajar dari syarikat insurans.
Kilang beli perlindungan kebakaran
Untuk mudah faham, saya berikan contoh ringkas bagaimana proses anda nak beli perlindungan insurans dari kebakaran.
Katakan anda ada kilang.
Anda panggil syarikat insurans untuk membuat perlindungan kilang dari terbakar.
Sebab apa nak beli insuran dari kebakaran?
Sebab kes kilang terbakar, jika berlaku mampu membuatkan anda jatuh tersungkur tak naik lagi dah. Semua aset, semua produk dan banyak duit anda terpendam kat dalam kilang tu.
Sekali terbakar, bisnes akan hancur bila tak boleh nak buat bisnes lagi.
Jika anda faham begitu mudahlah syarikat insuran nak bantu. Itu menunjukkan yang anda memang tak minta supaya kilang tu mudah terbakar.
Anda juga tak akan marah bila syarikat insurans mula buat semakan risiko kebakaran terhadap kilang anda. Semua unsur-unsur yang memmudahkan berlakunya kebakaran akan disemak.
Adakah anda bermain dengan bahan bakar. Adakah kilang anda semuanya dibuat dari bahan mudah terbakar. Adakah kilang duduk berhampiran dengan kawasan mudah terbakar.
Adakah sistem penggera kebakaran disediakan, berfungsi dan berkesan menghalang kebakaran. Balai bomba jauh atau dekat ..
Dan seribu satu lagi semakan supaya kemungkinan kilang akan terbakar adalah hampir tidak berlaku.
Bila dah semak semua itu barulah dia akan berikan jumlah bayaran yang anda perlu buat untuk dilindungi.
Bagi orang yang tak faham, dia akan kata, kalau sampai macam itu kenapa aku nak beli insurans?
Kat situlah tujuan sebenar adanya insurans.
Untuk lindungi kemungkinan yang tak terlintas akan berlaku. Perlindungan yang tak terfikir dan tak disangka akan berlaku. Perlindungan diluar kawalan yang bukan disebabkan kecuaian.
Syarikat insurans tak mahu kilang anda terbakar. Anda juga wajib tak mahu kilang terbakar. Semua itu menyusahkan.
Jesteru itu anda berusaha jauhi semua kemungkinan yang boleh dicapai oleh akal supaya kilang jauh dari terbakar.
Tapi setelah semua itu diusahakan, nak terbakar juga, maka akan ada kusyen terakhir iaitu insurans. Maksudnya anda boleh dianggap telah lengkapkan hampir kesemua usaha semaksimum mungkin.
Kalau berlaku juga, anda masih ada peluang untuk bangun kembali. Kes paling teruk yang bakal berlaku macam manapun, selagi anda tak mati, akan ada bantuan, insyaallah!.
Itulah matlamat insurans.
Bukan untuk anda lalai dan buat sambil lewa dan tak kisah samada terbakar atau tidak. Tapi lebih kepada usaha untuk cuba sempurnakan perlindungan ke tahap maksimum.
Boleh faham tak?
Tiru konsep insurans bila mula bisnes
Sekarang saya bawa anda balik kepada cerita utama. Cerita bagaimana nak mula bisnes dan pastikan bisnes yang anda buat itu kemungkinannya untuk berjaya adalah sangat tinggi.
Perlu ikut konsep syarikat insurans kat atas tadi.
Anda wajib tutup semua lubang yang memungkinkan kegagalan boleh berlaku. Sama macam usaha kilang tadi tutup semua punca kebakaran boleh berlaku.
Usaha nak tutup semua punca yang boleh mengundang kegagalan itu bukan kerja mudah. Tambah lagi kalau anda tak ada pengalaman.
Bahkan, orang yang ada pengalaman sekalipun akan terperangkap dengan rasa teruja dan yakin diri dari kejayaan lalu, sampai tak nampak lubang gagal terbuka.
Perlu semak perkara asas paling utama samada bisnes yang anda nak buat tu ada permintaan atau tidak.
Kalau anda nak hasilkan satu benda baru yang tak pernah ada di pasaran, lagilah perlu semak. Produk lebih kurang pun tak pernah ada!
Kenapa tak ada?
Mesti ada sesuatu yang mungkin anda tak tahu atau tak nampak.
Bila dah semak pasaran, kena semak undang-undang. Samada bisnes tu dibenarkan atau tidak.
Perlu semak juga kos atau modal yang diperlukan. Adakah harga yang anda akan tawarkan tu mampu membuatkan orang boleh beli atau tidak.
Ada benda yang memang orang nak. Tapi disebabkan harga tak ngam berbanding alternatif yang ada membuatkan produk anda tak ada pasaran.
Kalau nak mudah orang semak kebolehjayaan idea bisnes anda, pergilah bentangkan pada kawan, pelabur atau pihak bank.
Bentang seolah-olah anda nak pinjam duit walaupun hakikatnya tak perlukan duit. Bukan duit yang jadi sasaran utama. Tapi sudut pandang dari mereka yang nak lindungi duit mereka dari hangus itulah yang paling utama.
Macam kes insurans kat atas tadi.
Bila anda nak orang bagi duit kat idea bisnes tu, mereka sudah pasti tak mahu duit tu hangus.
Anda juga tentu tak mahu bisnes tu gagal. Tak ada orang gila nak mulakan bisnes untuk gagal.
Untuk itu, semua sudut perlu disemak dan dikaji. Elakkan segala kemungkinan dari gagal. Barulah boleh labur.
Setelah buat kesemua itu, nak gagal juga, nak buat camna!
Marah bila orang tak bagi duit
Ramai usahawan yang letakkan punca bisnes dia gagal adalah disebabkan tak ada atau tak cukup duit.
Kalau ada duit pula, dia akan kata tak cukup masa. Atau duit datang bila keadaan dah terlambat.
Dia akan minta pada MARA, pada PUNB, pada Tekun, pada Amanah Ikhtiar dan pada mana-mana lagi agensi kewangan atau bantuan perniagaan yang disediakan oleh kerajaan.
Bila tak dapat dia nak marah ..
Semua itu hanya alasan.
Kalau dah tahu duit bakal jadi punca bisnes akan gagal, kenapa tak buat persediaan dari awal sebelum terjun berniaga?
Betulkah kalau ada duit anda akan berjaya?
Betulkah perlukan duit tu?
Tak ada kah cara lain yang anda boleh reka supaya bergerak juga?
Fikirkan semua kemungkinan itu. Pergi tanya kawan yang berpengalaman. Pergi jumpa Coach Bisnes yang berpengalaman untuk perah otak anda.
Bila agensi tolak permohonan anda tu, kat mana silapnya?
Fikirkan macam mana syarikat insuran yang tak mahu berikan perlindungan pada kilang yang mudah terbakar kat atas tadi.
Bukan dia sengaja tak mau tolong. Tapi dia hanya buat kerjanya sebagai melengkapkan usaha ke tahap maksimum sahaja. Bukannya nak bagi anda lalai untuk mengelak dari kebakaran.
Tapi kalau anda dah mulakan bisnes kemudian tetiba Covid-19 melanda, terus terkangkang hangus semua impian.
Itu boleh diterima.
Bukan kerja anda nak buat ramalan samada akan ada wabak penyakit tak diketahui akan berlaku atau tidak.
Point asas yang saya nak kongsikan kat sini adalah elakkan semua kemungkinan akan gagal yang berada dalam kawalan anda sebelum nak mulakan bisnes.
Jangan main terjun dan harapkan keajaiban berlaku tanpa ada usaha menutup kelemahan. Macam yang saya selalu ulang …
“Percaya pada keajaiban boleh, tapi jangan bergantung kepadanya untuk berjaya.”
Sekian untuk kali ini.
Harap artikel ini dapat memberikan pencerahan kepada semua usahawan dan bakal usahawan kat luar sana.
Bukan saja dalam bisnes, dalam semua urusanpun sama sahaja ..
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !