Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

20 July 2023

Imbas tahap kesihatan anda dengan lihat bentuk sel darah di bawah microscope - Betul ke?

  Ano Nyme       20 July 2023


Habis solat asar di surau, saya bangun dan keluar nak balik. Turun ke bawah dan pergi ke tempat motosikal di depan. Ketika masukkan kunci saya ditegur jiran yang rumahnya di depan padang permainan.

"Lama tak tengok jogging waktu pagi?" tanya jiran itu.

"Dok jogging macam biasa, tapi ada buat sedikit perubahan laluan", saya terangkan padanya. 

Mungkin sebab itulah dia tak perasan yang saya masih kekal bersenam setiap pagi di taman tu. Cuma laluan depan rumahnya sudah tidak saya ambil lagi. Pusingan akhir saja baru lalu. Mungkin ketika itu dia sudah keluar pergi kerja.

Ketika berbual, saya perasan ada perubahan ketara pada muka disebelah kanannya. Mata nampak senget sikit. Lalu saya tanya samada dia perasan perbezaan pada sebelah kanan mukanya itu. Dia mengaku memang ada masalah kesihatan.

Kebetulan seorang lagi jiran ada bersama ketika kami berbual bab kesihatan.

Jiran itu terus menyampuk, dia baru saja balik dari melakukan pemeriksaan darah. Murah saja, semua masalah kesihatannya dapat dikesan dari situ. Ada seorang yang masih muda awal 40-an dah ada macam-macam penyakit tadi, katanya.

Kalau nak pergi periksa, dia boleh bawa sekarang. Mereka yang membuat pemeriksaan masih ada lagi di tempat itu. Lebih baik kesan awal jika terdapat masalah daripada terlewat. Itu hujahnya bagi meyakinkan saya setuju.

Dah tak ada apa nak buat petang tu, saya kata boleh saja. Tapi kena balik tukar pakai selur terlebih dahulu. Takkan nak pakai kain pelikat saja ke sana.

MLM punya trick menjadi

Saya dapat agak bila jiran tu ajak pergi buat pemeriksaan darah yang dia mahu bawa saya pergi ke satu pusat perniagaan MLM.

Tapi tak kisah sebab tertarik dengan tawaran pemeriksaan darah dan dapat tahu masa tu juga apakah tahap kesihatan saya. Siapa tak nak tahu status bacaan darah. 

Kalau klinik swasta, mahu ada RM100 ke Rm200. Kalau ke klinik kesihatan kerajaan, sekalipun RM1 saja kosnya, boleh masak ranum buat pisang baru dapat nombor giliran di panggil.

Saya terbayangkan pemeriksaan darah, masuk makmal dan bacaan kedudukan darah itu dikeluarkan macam yang saya selalu dapat setiap kali buat pemeriksaan kesihatan untuk insuran dan sebagainya.

Balik kerumah, pakai seluar dan saya pergi ke surau semula. Jiran tadi kata dia akan balik ambil kereta dan sampai surau semula dalam tempoh 15 minit. Kami sampai serentak dan saya masuk ke keretanya dan bergerak ke destinasi.

Bagaimana dia sertai MLM tu

Ketika dalam perjalanan, dia kongsikan sejarah bagaimana bertemu dengan pusat penjagaan kesihatan tersebut. Dia juga turut diperkenalkan oleh kawan.

Hasil pemeriksaan darahnya, menunjukkan dia ada masalah buah pinggang. Untuk buat pengesahan, mereka syorkan dia pergi ke klinik berdaftar, swasta atau kerajaan untuk melakukan pemeriksaan darah untuk ketahui kedudukan buah pinggangnya.

Mulanya dia buat semakan umum. Ambil darah dan selepas 2 minggu pergi balik untuk lihat keputusannya. Masa temujanji ke-2 tu, pihak klinik minta untuk buat satu lagi bacaan susulan khas untuk buah pinggang saja. Dia diminta berikan darah sekali lagi.

Dia dah syak itu memang sah tanda buah pinggangnnya bermasalah.

Lalu terus dia pergi semula ke pusat MLM tersebut dan minta cadangan produk yang dapat bantu dia selesaikan masalah buah pinggang tersebut. Maka diberikan produk ajaib mereka dan dia makan selamat 2 minggu.

Bila buat pemeriksaan susulan, ternyata dia tak ada apa-apa masalah buah pinggang. 

Itulah hasil kehebatan produk MLM yang dia telan.

Walaupun ceritanya langsung tidak meyakinkan saya. Malah amat mengelirukan, saya angguk saja. Ikut ke sana juga sebab niat utama adalah untuk melalui pengalaman apa yang mereka akan buat nanti di pusat pemeriksaan darah cum pusat MLM tu.

Tengok sel darah bawah microscope

Sampai di pusat MLM tersebut, saya diperkenalkan kepada seorang lelaki yang bertopi yang dipanggil ustaz. Dia yang mula membuka cerita pada saya berkenaan syarikat MLM itu dan sama juga kisahnya.

Dia kenal syarikat itu dan produknya hasil dari masalah kesihatan yang dia alami. Ada bisul berlaku di badannya dan tidak dapat dirawat melainkan perlu dilakukan pembedahan sebab dia ada masalah kencing manis yang kuat.

Ada kawan yang cadangkan untuk dia ambil satu produk berasaskan kacang soya untuk pulihkan masalah kencing manisnya. Dia pun ambil dan minum satu bungkus.

Kesokkan harinya, dia rasa pelik sebab terasa segar lebih dari biasa. Malam itu, selepas minum produk tadi, rupanya dia hanya bangun untuk kencing sekali saja. Sebelum ni, memang dia akan kerap bagun untuk kencing. Akibat tidak kerap terjaga dan bagun itulah dia sering tak cukup tidur dan tak segar.

Bermla dari situlah, dia percaya dan terus amalkan semua produk dan aktif menjadi ahli MLM tersebut. Isteri ustaz itu juga ada bersama dia dia mengiyakan semua cerita Ustaz tersebut. Saya terus mendengar tanpa sebarang komen.

Kemudian tiba masanya untuk darah saya di ambil. Yang ambil itu juga dipanggil sebagai ustaz. Setitik darah diletakkan atas kaca dan diletakkan di bawah microscope. Itu rupanya cara mereka buat pemeriksaan darah.

Tersasar dari apa yang saya bayangkan oleh kawan surau tadi. Dia ada sebut teknologi dari jerman yang hebat di gunakan oleh syarikat MLM itu. Saya ingatkan teknologi itu yang akan digunakan dalam melakukan pemeriksaan darah saya. Terpedaya saya di situ.

Tapi tak apalah, bagus juga melihat cara mereka melakukan pemeriksaan dan meyakinkan saya kenapa saya perlu sertai MLM itu dan masuk jadi ahli dan menggunakan produknya.

Diringkaskan cerita, saya ditunjukkan bentuk rupa darah saya bila dibesarkan melalui microscope tersebut. Ia berbentuk seperti permata yang bulat. Ada yang berasingan, itu yang banyak dan ada juga yang kelihatan seperti bertindih. da satu dua berbentuk seperti durian dan ada seperti bahan putih sikit di sana sini dan ada satu lagi kehitaman yang sikit.

Saya tak pasti samada itu normal atau tdak. Tapi hasil dari semua bentuk yang terpamer di situ, saya ada kolestrol, ada masalah darah yang kurang oksigen dan ada sedikit toksik. Sepatutnya semua keadaan darah itu berbentuk bulat seperti pearl dan sekata. Itu gambaran manusia sihat sempurna.

Cuma satu salan saya tanya. Ada ke darah manusia yang bila di ambil dan dilihat bawah microscope itu semuanya sempurna tandanya tak bermasalah. Mereka jawab memang tak ada.

Soalan yang saya simpan dan tak tanya sebab tahu mereka tak akan dapat jawab adalah, berapa berat tahap kolestrol saya dan toksik serta keadaan buruk lain yang ditunjukkan tadi. Adakah ringan, sederhana atau teruk. Dan bagaimana nak membuat penilaian itu.

Cuma akhirnya mereka syorkan saya makan produk MLM tadi. Sepatutnya, selepas di lihat darah saya tadi, saya perlu minum satu cawan produk itu dan tunggu 15 minit diambil semula darah untuk ditunjukkan kesan perubahannya. Biasanya darah semua jadi elok dan segar. Tapi saya puasa hari tu dan mereka tak tahu yang saya puasa. Jadi tak dapatlah lihat kesannya.

Apapun, balik petang ketika buka puasa baru saya minum segerlas produk mereka. Tadi sempat saya tanya bila dah minum, darah dah ok balik, berapa lama dia kekal bertahan untuk ok dan kembali ke asal tak ok balik dan kemdian kena makan untuk jadi ok balik. Jawapannya mereka beritahu boleh tahan dalam 12 jam. Wallahu'alam.

Saya memang dah set tak nak beli dan balik selepas selesai semua proses itu. Kalau saya nak beli, kena belanjakan lebih dari RM2,000 petang tu. Elok fikir 2 kali. Kalau nak murah dengan sedikit tambahan free gift, saya perlu bayar dalam RM5 ribu. Saya telan air liur dengar semua tu.

Untuk baiki kesihatan saya, kena makan produk air dibancuh tadi sehari 2 kali. Kosnya adalah RM30 sebungkus dan saya perlu telan RM60 sehari untuk produk itu saja. Saya telan air liur juga dengar kos untuk sihat sebegitu. Mungkin saya masih belum ada apa-apa kesakitan yang teruk, maka terasa tak perlu dan tak terpanggil untuk beli.

Tapi saya yakin, bagi orang ang memang ad amasalah kesihatan, mereka akan habiskan apa saja duit yang ada untuk dapatkan keajaiban seperti yang diceritakan pada saya.

Saya belajar 2 perkara dalam peristiwa tersebut. Mereka dilatih untuk kaitkan pengalaman peribadi terhadap kehebatan produk. Kemudian membuat penerangan dan tunjukkan secara life kesan yang berlaku pada darah di bawah microscope tersebut. Itu semua kesan psikologi yang kuat untuk mereka yang tidak berfikiran secara kritis.

Saya balik dan keluar dari bangunan  yang ada 2 buah kereta mewah jutaan ringgi diparkir depannya. Itu kereta boss kata kawan saya tadi. Sebelah kanan bangunan ada banyak akuarium bela ikan, itu boss punya. Dia suka ikan maka dibuat begitu. Saya ingatkan mereka jual ikan peliharaan.

Memang itu modus operandi MLM, kesihatan, tolong orang yang memerlukan, dan jadi kaya raya berkereta mewah. Dan saya masih tidak memerlukan kedua-dua benda itu lagi.

Demikian lah pengalaman nya ..

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Imbas tahap kesihatan anda dengan lihat bentuk sel darah di bawah microscope - Betul ke?

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !