Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

12 July 2023

Kenapa saya tak akan balik mengundi pilihanraya negeri tahun ini dan tahun-tahun yang akan datang

  Ano Nyme       12 July 2023


Dari dulu sehingga sekarang, alamat yang tertera dalam kad pengenalan saya masih kekal. Itulah alamat rumah tempat kelahiran dan di situ saya dibesarkan. 

Kalau diikutkan, dah beberapa kali tukar kad pengenalan. Dah ada rumah sendiri di tempat bermastautin cari makan, luar dari negeri asal saya sendiri. Untuk ubah alamat pada kad pengenalan dengan menggunakan alamat rumah sendiri sudah tentu tiada sebarang halangan.

Tapi saya masih kekalkan alamat kampung.

Bermakna, tempat saya mengundi setiap kali adanya pilihan raya akan kekal sama seperti dulu juga. Saya akan pergi pangkah calon pilihan di Parlimen Permatang Pauh dan untuk negeri, semua adun di bawah Parlimen tersebut.

Kalau ada pemimpin yang saya mahu ambil tahu, mahu berikan harapan, sudah tentu ia bermula dari kampung halaman asal usul saya sendiri. Itu sebab utama kenapa saya tak mahu ubah tempat mengundi. Lagipun, memang ada niat nak balik duduk kampung semula dan mahu habiskan umur di sana. 

Tak mengundi di Selangor

Kalau diubah ke Selangor contohnya, di mana saya bermastautin, memang tak ada masalah sangat pun untuk mengundi, malah menjimatkan kos tak perlu balik kampung. Tapi saya tak kenal siapa yang bertanding secara peribadi. Terutamanya wakil atau calon di peringkat DUN, memang tak kenal seorang pun. 

Mereka orang bandar yang sibuk macam saya siang malam cari makan. Saya faham kenapa mereka tak ada masa untuk turun ke padang berkenalan dengan orang taman tempat saya tinggal. Politik hanyalah kerjaya mereka.

Biasanya mereka hanya kekalkan perhubungan secara tersusun melalui wakil-wakil di setiap penempatan. Dan wakil mereka juga, saya tak kenal sebab biasanya mereka juga sibuk cari makan dan buat kerja politik yang menguntungkan untuk kehidupan mereka saja. Sama juga, politik adalah kerjaya mereka.

Mereka semua bermasyarakat demi kerjaya politik mereka. Bukan atas sifat ikhlas memenuhi tanggung jawab sebagai salah seorang ahli masyarakat. Mereka melihat saya yang tak ada dalam senarai keluarga, kenalan atau jiran mereka sebagai salah satu dari haiwan peliharaan saja, atau dalam bahasa orang putihnya 'herd'.

Politik orang bandar

Wakil Parlimen tempat tinggal saya sekarang ialah Yeo Bee Yin, saya kenal nama itu sebab dia ada jawatan dan namanya memang naik di peringkat nasional dengan beberapa isu yang beliau bangkitkan.

Pertamanya isu program permata di bawah naungan wanita no 1 negara ketika Perdana Menteri Najib dulu. Kemudian sebab dia wanita paling muda di lantik sebagai ADUN pada 2013.

Mungkin semua ilmu populariti itu dia dapat sebab dia berdamping sebagai pembantu Tony Pua yang memang dah popular juga.

Saya tak pernah melihat dia secara berdepan, tak pernah tahu apa aktivitinya di Puchong, saya tak tahu siapa orang yang jadi wakilnya untuk mendampingi orang Puchong. Semuanya gelap saja. Tapi dia boleh juga menang besar.

Sama seperti penyandang sebelumnya, Gobind Singh Deo yang berasal dari Pulau Pinang, Yeo Bee Yin juga tidak berasal dari Selangor dan bukan juga orang Puchong. Dia berasal dari Johor dan merupakan orang cerdik dari segi akademik dan aktif buat kerja amal dari zaman muda.

Dari semua yang kemenangan, pemilihan calon, tempat bertanding dan sebagainya, jelas kelihatan bahawa memilih calon anak tempatan bukanlah satu keperluan untuk menang.

Kalau nak diikutkan popular di kalangan masyarakat setempat, Uncle Kentang jauh lebih terkenal, tapi dia bertanding sebagai calon bebas dan mendapat 1,793 undian (1.5% saja dari semua undian), paling rendah sekali berbanding semua calon.

Rumusannya, jika calon tempatan tak penting, maka pengundi tempatan juga langsung tidak penting. Undilah di mana saja anda berada sebab tak ada sebarang kesan terhadap apa yang bakal berlaku ke atas negara atau negeri tempat anda tinggal.

Pemilihan terutamanya di bandar, adalah berdasarkan propaganda 100%. Itu yang menentukan kemenangan seseorang calon. Anda mendapat tahu pasal calon dan parti hampir keseluruhannya dari media massa atau media sosial saja. Alat utama propaganda.

Jadi lebih baik saya kekal mengundi di kampung asal. Boleh balik kampung ziarah kawan-kawan dan sanak saudara bila balik kampung. 

Itu yang jauh lebih utama dan memberikan kesan kepada kehidupan berbanding buang masa pangkah buat pilihan calon. Bila balik kampung waktu mengundi, saya tetap pergi mengundi juga sebab bila beratur nak mengundi tu akan bertemu dengan kawan atau saudara lebih ramai. Itu saja faedahnya.

Mengundi kali akhir di PRU 15

Kali akhir saya mengundi adalah di PRU 15 sebelum ini. Masa tu, hanya kerusi parlimen saja dipertandingkan sebab dewan undangan negeri Pulau Pinang masih tidak dibubarkan lagi. 

Asalnya memang tak mahu balik mengundipun sebab bagi saya hanya membuang masa dan membazir duit dan tenaga sahaja. Tapi akhirnya balik juga sebab ada urusan lain. Maka saya pergi mengundi juga untuk pangkah calon mana yang patut di beri peluang kononnya untuk ubah polisi negara.

Pangkah ketika PRU ke-15 dibuat dengan harapan untuk menangkan PH yang ketika itu terdiri dari PKR, DAP dan Amanah sebagai parti utama. Mahu lihat orang yang paling lama menunggu untuk jadi PM masuk keluar penjara dan janji seribu satu kebaikan untuk rakyat Malaysia.

Bagi saya, Malaysia dalam keadaan yang sangat memerlukan pemimpin yang nekad, keras kepala, tiada kompromi dan seumpamanya untuk mengubah kebiasaan yang sudah rosak. Paling kurang, perlu seorang pemimpin sama kaliber dengar Lee Kuan Yew. Orang akhir yang perlu dilihat adalah AI.

Malangnya awal-awal lagi dia sudah lembutkan kekerasan kepala yang diperlukan untuk buat perubahan negara dengan megambil semua 40 penyamun. Alasannya, mereka tiada pilihan. 

 Betul, itu alasan yang mereka pakai untuk menghalalkan diri melantik AI jadi PM. Tapi saya melihat itu sebagai petanda mudah untuk melupakan saja perubahan. Dan ternyata memang tiada yang berubah.

Untuk pilihan raya negeri kali ini, saya nekad untuk tidak lagi balik mengundi. Kalau perlu balik sebab ada urusan lain sekalipun, saya insyaallah tidak akan pergi membuang pangkah lagi. Sudah cukup rasanya diri diperbodohkan oleh sistem demokrasi yang hanya sebuah ilusi sahaja.

Saya berikan sebab-sebab utama kenapa saya tidak akan lagi menyertai sistem demokrasi membuat undian setiap kali adanya pilihan raya.

1. Demokrasi adalah ilusi

Ini sebab utama yang saya sudah mulai sedar. Semua orang diberitahu bahawa mereka ada kuasa menentukan siapa pemimpin pilihan mereka. Undi anda penting, kata pejuang demokrasi.

Tapi hakikatnya siapa saja anda undi, pemimpin mana satu yang akan naik atau turun tak ada kena mengena dengan apa yang anda pangkah. Anda ditinggalkan dengan harapan palsu.

Bila pertukaran Perdana Menteri berlaku seorang demi seorang, semua orang hanya boleh lihat saja sambil terkebil-kebil mata masing-masing tak boleh buat apa-apa. Bukan saja saya atau anda, siapa saja yang keluar mengundi tak kisah dari pihak mna sekalipun semua terkebil-kebil lihat saja.

Tak ada sesiapa bertindak sebab mereka telah berjaya yakinkan anda kononnya kuasa memangkah tadi melambangkan sumbangan anda terhadap apa yang berlaku kepada negara. Dan anda benar-benar percaya sudah tunaikan tanggung jawab sebagai insan yang mahukan kebaikan.

Anda boleh lihat dalam mana-mana organisasi sekalipun. Makin besar ahli di dalamnya, makin sukar untuk membina kesefahaman. Makin sukar untuk bekerja sama. 

Sebab itu mereka berikan ilusi melalui aktiviti propaganda bahawa setiap orang ada kuasa mengundi untuk menentukan keputusan pilihan yang terbaik. Dengan ilusi itu, orang biasa di bawah yang tak sedar bahawa hanya segelintir manusia sahaja di atas sana yang bekerja sama menyusun atur ke mana arah binatang gembalaan mereka bergerak.

Semuanya mainan persepsi, penggunaan mitos, penggunaan ayat kabur yang semua rasa ditujukan padanya tapi sebenarnya tak punya apa-apa makna.

Contohnya mereka gunakan slogan, 'Kuasa rakyat menentukan pemimpin'. Setiap orang baca rasa dia diberikan kuasa itu sebab dia salah seorang dari rakyat. Semua orang merasakan dia sebagai rakyat dan jadi bangga. 

Sedangkan rakyat sebagai entiti yang diisi oleh ratusan atau jutaan individu adalah mustahil dapat berfikir sebagai satu unit melainkan semuanya bergerak di bawah satu susunan propaganda. Dan propaganda serta agendanya ditentukan oleh sekelumit orang saja di atas sana.

2. Tiada perubahan polisi

Siapa saja naik, baik parti yang anda sokong, atau yang anda tentang, polisi utamanya kekal tdak berubah sekalipun polisi itu ternyata sangat bahalul tidak membantu membawa negara ke arah kejayaan sekalipun.

Sebagai contoh, lihat isu tol, pendidikan, AP Beras, AP Kereta, isu hak istimewa orang Melayu, isu integriti, isu pembangunan dan lain-lain lagi seumpamanya, kekal sama.

Prinsipnya tetap sama. Menggunakan rakyat untuk mendapat sokongan dengan memberikan mereka ilusi kemenangan. Kemudian memerintah berdasarkan kepentingan segelintir para elite dan kerabat mereka sahaja.

Ya! bukan semua elite dapat manfaat dari berubahnya kerajaan. Tapi mereka tidak tergugat sebab ke manapun, negara tetap tak dapat lari dari perniagaan yang mereka kuasai. Lagipun elite yang tersasar tetap berkawan dengan kumpulan elite yang mendapat manfaat. Yang beza hanyalah laba keuntungan elite mana yang lebih besar itu saja.

Lihat saja polisi industri negara yang masih kuat membela syarikat tempatan. Kita masih kekalkan juga dan harga kenderaan import masih mahal berbanding harga sebenarnya. Jika semua itu dibuang, separuh dari rakyat Malaysia akan ada keupayaan berbelanja yang lebih banyak bila ansuran bulanan kenderaan berkurang.

Lihat beras pula. Sampai sekarang masih dimonopoli oleh agensi yang kononnya mahu pulihkan kedudukan petani tempatan yang ternyata gagal tak ke mana. Petani sayur di Cameroon Highland yang sepatutnya di berikan perhatian dan bantuan untuk ditingkatkan keupayaan mereka menjadi pembekal sayur di nusantara tidak ada yang sudi melakukannya sebab mereka cina.

Rumusannya, siapa saja yang naik samada PH atau PN atau MUDA atau apa saja, tak ada yang mampu dan nekad untuk ubah landskap polisi negara yang telah berakar umbi seperti kanser. Buang ketumbuhan akan menyebabkan induk mati. Hanya Tuhan saja yang mampu ubah Malaysia samada dengan munculkan pemimpin yang nekad atau menghancurkan negara ke tahap paling teruk untuk dibina semula dari kosong. Begitulah keadaanya. Jadi nak undi untuk ubah apa lagi?

3. Sistem moden yang kawal manusia

Seperti yang saya kata di atas tadi, Demokrasi hanyalah satu ilusi. Ia digunakan hanya untuk tenangkan rakyat dengan memberikan ilusi bahawa mereka berkuasa.

Proses mengundi sebenarnya hanyalah untuk mengukur berapa ramai lagi rakyat yang masih berjaya diperbodohkan oleh sistem tersebut. Jika peratus keluar mengundi 70%, maknanya majoriti rakyat masih percaya demokrasi. Ertinya kepala sistem moden di peringkat global sana tahu yang mereka masih boleh pergunakan negara Malaysia.

Kita masih terikat dengan semua polisi peringkat global yang kebanyakannya hanya menjaga kepentingan para elite dunia sahaja. Mereka tidak ada hasrat untuk buat kebaikan melainkan hanya untuk mengaut keuntungan dan kepuasan diri merasa berkuasa sahaja.

Contoh mudah adalah apa yang berlaku ketika covid melanda. Malaysia dengan mudah dan rela ikut saja apa mereka kata. Semua kena vaksin, maka kita pun ikut. Semua kena pakai mask, kita ikut. Sekat perjalanan, ikut, berkurung dalam rumah, ikut. cucuk sekali, dua kali 3 kali, kita ikut.

Seandainya, elite global kata manusia perlu sarungkan pampers di atas kepala untuk keluar berjalan di tempat awam, nescaya majoriti rakyat Malaysia akan ikut dengan rela. Begitulah hebatnya bagaimana sistem moden telah berjaya menjadikan manusia di seluruh muka bumi sebagai makhluk bijak yang tidak mampu berfikir.

Budaya manusia sekarang sudah jadi global, lagu, musik, amalan kesihatan, bahasa, kepercayaan terhadap kebendaan, kebergantungan kepada manusia, fesyen, pemikiran dan segalanya sudah global. Tiada sebarang kerajaan yang mampu mengubah semua itu sekarang. Samada takut tersingkir dari arus keduniaan atau takut di tuduh gila. Negara kita masuk dalam kategori takut tersingkir.

Jadi kenapa perlu sibuk keluar mengundi dengan harapan semua itu dapat di kawal?

Hakikatnya, sistem moden ini sama saja dengan apa yang diamalkan oleh pemerintahan Firaun ang dinyatakan dalam Quran. Firaun memecahkan rakyatnya supaya berpuak-puak, konsep pecah dan perintah.

Lihat di sekeliling anda sekarang. Ada tangan yang sponsor, perjuangan feminism, lgbtqxyz, sufism, islamism, arabization, talibanism, drmazaism, drraraism, hjhadiism, anwarism, mahathirism, malayism, chinaism, hinduism, marxism .. semua itu bertujuan untuk pecah dan seterusnya memudahkan untuk diperintah. Sedangkan bagi mereka yang faham, hakikatnya sebenarnya hanyalah samada anda percayakan Tuhan atau selain dari itu. Hanya mereka yang meletakkan kepercayaan pada Tuhan satu-satunya saja akan selamat.

Firaun menekan siapa saja yang tidak berada di bawah telunjuknya. Yang ikut akan hidup mewah, kaya, senang lenang dan berkuasa. Yang lawan, akan miskin, merana, tidak berdaya dan lemah segalanya. Sama saja dengan apa yang berlaku sekarang.

Setakat itu saja yang dapat saya keluarkan dari otak ini untuk mempertahankan kenapa saya tidak lagi akan mengundi. Nanti kalau ada idea tambahan, akan saya sambung.

Terima kasih sudi membaca sampai habis.

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Kenapa saya tak akan balik mengundi pilihanraya negeri tahun ini dan tahun-tahun yang akan datang

Previous
« Prev Post

3 comments:

  1. sama Tuan...sy kerja johor, alamamt mengundi kg Lindungan , PJ..pun tak nak balik utk PRN ni...cumanya anak2 ngan isteri mengundi di shah alam, sy minta dorg mengundi

    ReplyDelete
  2. Bila undi PN dapat kah apa yang di hajatkan utk ubah negara…dah diberi peluang 33 bulan dan 17 bulan…

    ReplyDelete
  3. Ada.. cuba fikir guna iman...

    ReplyDelete

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !