Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

06 July 2023

Pengalaman berhadapan dengan masalah anjing semasa tinggal di Perancis satu ketika dulu

  Ano Nyme       06 July 2023


Antara pengalaman yang sentiasa saya ingat ketika tinggal di negara Perancis suatu ketika dahulu, adalah dalam bab anjing.

Jumlah anjing di Perancis sangat banyak. Anda boleh baca maklumat statistik di internet, menyatakan bilangan anjing di sana adalah sebanyak 7.5 juta ekor. Dengan jumlah sebanyak itu, tidak hairanlah jika anda bertemu anjing di mana saja anda pergi.

Itu mencetuskan satu masalah besar pada saya, sebagai seorang budak kampung, bila berada di sana.

Sebagai budak kampung, bangsa Melayu, saya membesar dalam keadaan sentiasa waspada dan takut dengan anjing. Bila tengok anjing, macam tengok hantu. 

Sekalipun anjing yang ada di depan hanyalah dari baka kacukkan yang cukup comel, kecil dan ketot, perasaan takut itu pasti wujud.

Setiap kali nak keluar rumah jiwa akan rasa terganggu sebab dah tahu akan terserempak dengan anjing dalam perjalanan nanti. Masalah itu benar-benar mengganggu jiwa. 

Sekalipun ada pemilik anjing yang merantai dan memegang rantai itu ketika bersiar-siar, tetap rasa tak selesa sebab saya akan jauhi juga dari anjing dan seterusnya pemilik anjing itu. Pemilik anjing akan melihat saya dengan rasa pelik dan kekok sebab mereka tak faham.

Apatah lagi jika anjing dilepaskan bebas oleh pemiliknya. Saya pasti akan terhenti dan cuba mencari jalan alternatif untuk mengelakkan diri dari terserempak.

Cari jalan keluar

Memandangkan saya bukannya sebentar akan tinggal di Perancis, saya mula berfikir apa sebenarnya masalah saya dengan anjing. 

Nak dikatakan takut, kenapa anjing kecil pun saya risau?

Dari refleksi itu, saya tersedar yang rupa-rupanya yang dirisaukan adalah bebanan terpaksa menyamak jika tersentuh anjing. Itu merupakan didikan yang saya dapat di kampung sejak kecil.

Kenapa ia satu bebanan?

Dari pengalaman saya sendiri, menyamak bukan lah kerja mudah. Kalau boleh saya sentiasa mahu mengelakkan diri dari melakukannya.

Sepanjang membesar di kampung, saya ingat banyak kali juga terpaksa bersusahkan diri menyamak anggota badan dan semua pakaian, kasut atau barang lain yang terkena najis atau kena anjing yang basah.

Mula sekali kena pergi cari selut di bendang. Selepas itu basuh semua benda tu dengan enam kali basuhan dengan air biasa dan satu basuh lagi dengan air selut. Malas betul nak buat kerja basuh yang panjang tu.

Rasa rimas dan was-was paling menyusahkan. Terfikir di mana lagi anjing tu sentuh. Adakah saya tertinggal mana-mana tempat yang sepatutnya di samak. 

Jika terpijak najis lagilah teruk. Dah la bau taik anjing busuk nak mampus, terpaksa jejak semula di mana saya dah pijak dan tinggalkan bekas taik anjing tu. Orang tua berleter arahkan saya samak semua tempat itu betul-betul. Mahu habis separuh hari buat semua kerja itu.

Pengalaman itu memberi bekas besar dalam jiwa untuk mengelakkan diri dari apa saja urusan yang berkaitan anjing.

Ubah persepsi terhadap anjing 

Untuk cari jalan keluar, saya mula perhatikan warga Arab dari Maroko dan juga Algeria yang tinggal di sana. Mereka juga orang Islam macam saya dan jumlah mereka juga sangat ramai dan sudah lama berada di sana.

Saya lihat mereka selamba saja memegang dan membela anjing. Wanita mereka selamba saja dukung anjing comel bawa berjalan. Dah jadi macam orang Perancis.

Ada kawan dari Algeria, penternak kambing biri-biri, yang tinggal di pergunungan Carcassonne yang membela anjing. Nama anjingnya Diana, sangat pandai menghalau anjing ribuan ekor tu dari padang masuk ke kandang.

Jika tak halau anjing, Nadia akan bermain dengan tuannya baling dan ambil kayu. Masa saya ada di rumah mereka, saya turut juga layan Nadia dalam keadaan tak selesa.

Bila tengok perbezaan Islam orang Arab itu dengan Islam orang Melayu macam saya, mula tertanya apakah yang membezakan antara saya dengan mereka.

Rumusan berbeza dari hadis yang sama

Nak dipendekkan cerita, siasat punya siasat rupanya ada pandangan mazhab Maliki yang ambil pendekatan mudah terhadap anjing.

Cara mereka melihat hadis yang menyuruh samak, tak sama dengan apa yang orang Melayu faham selama ini yang mengambil pandangan Mazhab Syafie.

Saya diberitahu kawan arab yang merupakan seorang Imam di masjid yang saya selalu pergi, hukum samak di ambil dari hadis, di mana Nabi suruh menyamak pinggan yang telah dijilat anjing.

Ada 2 cara anda boleh melihat hadis tersebut dalam menentukan kenapa perlu buat aktiviti samak.

Pertama, anda boleh lihat mulut anjing, bahagian paling bersih berbanding bahagian lain. Jika mulut atau air liur kena samak, maka sudah tentulah najis anjing lebih perlu disamak. Sebab itu kena saja anjing, perlu samak. Seluruh anjing itu najis berat. Itulah yang kita pegang. 

Sudut kedua, adalah mereka yang melihat pada pinggan yang kena samak tu. Bukan melihat pada anjing. Oleh kerana pinggan merupakan alat penting di mana kita gunakan untuk makan, maka perlulah pastikan dibasuh betul-betul supaya suci dan selamat sebelum digunakan.

Jadi cuma pinggan makanan yang dijilat anjing sahaja yang perlu di samak. Kalau anjing kena tempat lain tak perlulah samak. Tak kisahlah bahagian mana anjing pun, kalau kena seluar atau baju atau tangan, tak perlu samak. Itu jauh lebih cool dan make sense, kata orang putih.

Tak risau bab samak lagi

Dari situ masalah anjing sudah tidak lagi menjadi masalah bagi saya. Ia berjaya di selesaikan dengan hanya memikirkan semula kedudukan perkara tersebut dan kenal pasti apakah sebenarnya yang menyulitkan.

Saya meyerap logik kena samak antara pinggan dan mulut anjing. 

Kalau pinggan yang kena jilat, dan saya nak guna pinggan tu, maka kena samaklah. Selain dari itu, tak ada masalah. Dah tak payah nak pening kepala cari selut kat Perancis tu. Mana ada bendang di sana!

Bermula dari saat itu, kalau setakat anjing comel, saya sikit pun tak kisah dia nak datang serendeh atau tuannya minta tolong pegang sekejap. 

Itu di Perancis lah. Kalau di Malaysia saya tak akan buat sebab takut dipandang serong oleh ramai dari kalangan umat Islam yang memahami agamanya berdasarkan ikut-ikutan saja. Pernah saya tanya kawan yang sering jadi imam di surau kenapa anjing kena samak, datang dari mana. Dia hanya jawab itu hukum mazhab Syafie. Ikut sajalah, kenapa nak tanya. Dari mana datang fatwa tu, dia pun tak pasti. Saya juga macam tu dari kecil sehinggalah bila berada di Perancis, baru tahu.

Sama macam banyak kes viral pegang anjing yang sering berlaku, saya risau reaksi masyarakat jika buat sesuatu yang berbeza. Sama ada saya akan ditegur atau dijauhi terus oleh masyarakat jika dilihat berbuat begitu.

Takut anjing sebab bahaya

Ketakutan terhadap anjing sekarang berubah kepada anjing yang benar-benar perlu ditakuti saja seperti Bulldog, Labrador, Bullmastiff, German Shepherd, Rottweiler, Pit Bull dan seumpamanya. Tengok saiz dan taring serta mula huduh mereka saja sudah cukup menakutkan.

Anjing sebegitu, upah pun saya tak akan dekai tambah la lagi pegang.

Tapi kalau anjing liar yang suka menyalak acah nak datang gigit, jika seekor dua, saya biasanya tunggu dan kejar mereka balik. Tak ada masalah sangat pun jika kena gigit sebab mereka tidak sebahaya anjing yang saya sebut di atas tadi.

Nota: 

Untuk anda yang alim bab agama, jika ada yang tak betul apa yang saya ceritakan di atas tu, sila betulkan ya. 

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Pengalaman berhadapan dengan masalah anjing semasa tinggal di Perancis satu ketika dulu

Previous
« Prev Post

2 comments:

  1. Assalamualaikum tuan, mohon dengan pencerahan dari Ustaz Shamsuri semoga bermanafaat bagi kita semua

    https://www.youtube.com/watch?v=lnZYQtENYOI

    ReplyDelete

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !