Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

03 July 2023

Tak perlu susah-susah belajar pidato jika tiada apa-apa yang menarik mahu disampaikan

  Ano Nyme       03 July 2023


Setiap bulan, ada kelas belajar pidato dianjurkan di pejabat syarikat pest control saya di TTDI Jaya Shah Alam.

Kelas pidato itu merupakan salah satu dari aktiviti yang dijalankan oleh Kepentas, sebuah organisasi yang giat melatih individu yang mahu belajar bercakap di depan khalayak ramai.

Saya dah lama sertai kelab pidato tersebut dari dulu lagi. Bermula dari tak reti bercakap depan orang ramai sehinggalah mampu melakukannya dengan cara yang betul.

Saya berlapik sikit, tak mahu kata dah mahir bercakap depan orang tanpa gentar. Memang perasaan gementar akan sentiasa ada setiap kali mahu sampaikan ceramah atau kongsikan ilmu di depan khalayak.

Apa yang membuatkan saya tak kisah akan hadirnya rasa gementar itu adalah disebabkan sudah ada pengalaman yang banyak menghadapinya.

Rasa gugup itu hanya ada dalam 2 atau 3 minit pertama sahaja di awal percakapan. Selepas itu, semuanya hilang terus entah ke mana. Tumpuan akan mula diberikan 100% terhadap apa yang mahu diperkatakan kepada orang ramai sebaik mungkin agar semua orang faham.

Kenapa belajar pidato

Tujuan saya belajar pidato hanya satu saja. Mahu belajar sampaikan apa yang perlu disampaikan sebaik mungkin.

Ada ramai orang yang saya lihat dengan berani bangun di depan khalayak dan mula nyatakan apa yang dia mahu sampaikan. Tapi malangnya, dia tenggelam dalam kata-kata yang berulang-ulang, penyampaian yang tidak jelas. Paling ketara, gerak badan yang tidak membantu sehingga membuatkan orang bosan.

Hal itu berlaku bukan saja pada orang biasa, malah dapat dilihat berlaku kepada pegawai kerajaan yang banyak bercakap di depan orang ramai. Sekali tengok dah tahu dia tidak pernah sudi untuk dilatih bagaimana bercakap di khalayak ramai.

Kemampuan bercakap di khalayak adalah salah satu dari kemahiran yang mahu saya kuasai sebelum meninggal dunia. Maka sayapun carilah di mana boleh belajar kemahiran tersebut.

Itulah asalnya saya bertemu dengan Kepantas yang sebelum ini di kenali sebagai Kelab Pidato Perdana (KPP).

Kenapa saya mahu berupaya bercakap di khalayak ramai?

Sebab utamanya adalah, ada banyak perkara yang mahu saya kongsikan. Ada idea dalam benak kepala, ada pengalaman dalam dada yang perlu diluahkan kepada mereka yang memerlukannya.

Itu merupakan desakan utama kenapa perlu belajar berpidato.

Perlu ada sesuatu mahu disampaikan

Berbalik kepada kelas pidato yang saya sebut di awal tadi.

Dalam kelas tersebut, yang diadakan sebanyak 2 kali sebulan, setiap orang diperlukan bangun ke depan dan menyampaikan pidato atau ceramahnya kepada kawan-kawan yang hadir.

Ada masanya tema di sediakan. Ada masanya anda boleh belasah saja sampaikan apa yang anda mahu. Yang pentingnya kemahiran dalam membuat pidato itu dapat diamalkan berkali-kali sehinggalah ia menjadi sebati dalam diri.

Jika anda perhatikan pada semua orang yang bangun bercakap, cara dia bercakap, gaya tubuh badan dan semua intonasi atau kelajuannya sama saja setiap kali dia bangun bercakap.

Semua itu berlaku sebab begitulah yang dia amalkan dari awal dia mula bangun dan bercakap di khalayak sampailah berkali-kali mengulanginya. Sehingga setiap amalan itu jadi tabiat.

Tabiat adalah sesuatu yang anda ulang buat. Jika anda kerap ulang sesuatu amalan, maka lama-lama melekatlah jadi tabiat.

Untuk ubah semua itu menjadi gaya pidato yang baik, anda perlu terapkan gaya can cara baru yang betul dan buang cara yang salah. Sebab itulah perlu latihan berkali-kali untuk ulang buat yang betul, sehingga akhirnya jadi amalan spontan.

Apabila ahli bangun bercakap, semua orang akan beri tumpuan pada tajuk yang dia mahu sampaikan. Ada yang sentiasa berikan tajuk yang memang orang nak dengar sampai habis. Dia ada sesuatu yang mahu disampaikan.

Ada pula ahli yang setiap kali dia bangun bercakap, saya sendiri malas nak dengar apa yang dia cakap. Sebab dia akan cakap ikut suka saja, tidak menarik, tidak ada pengisian dan malah selalunya lari jauh dari tajuk yang dia nak beritahu.

Jika sekali sekala berlaku, masih ok. Tapi jika sentiasa berlaku begitu, saya rasa dia hanya membuang masa saja belajar berpidato.

Kenapa perlu belajar bangun bercakap seandainya dalam kepala tiada apa perkara penting yang diperjuangkan. Tiada ilmu, tiada pengalaman, tiada kemahiran yang boleh diturunkan kepada orang lain.

Tak payah susah-susah belajar bercakap depan orang ramai untuk anda yang tak ada apa-apa yang mahu dicakapkan.

Content is King

Memang betul kata-kata yang sering diulang terutamanya dalam maklumat di internet sekarang ini. Jika anda mahu orang ikut, mahu orang baca, samada dalam media sosial atau dalam blog, isi adalah segala-galanya.

Jika anda ada isi, maka langkah selanjutnya adalah untuk belajar bagaimana mahu disampaikan semua isi penting itu dengan cara yang berkesan.

Jika benar anda memang kosong idea untuk disampaikan, maka penuhkan lah benak kepala itu dengan maklumat baru.

Baca buku yang subjeknya anda minat. Dalami dan seterusnya kongsikan setiap kali masuk kelas pidato. Barulah ada manfaat berganda.

Jika membaca malas, berfikir malas, tapi masih mahu sertai kelab pidato dan bangun cakap mengarut melalut setiap kali disuruh bercakap, anda hanya buang masa orang yang mendengarnya sahaja. Berhentilah saja. itu lebih elok.

Bagi anda yang rajin membaca, suka berfikir. Ada idea atau kemahiran serta pengalaman yang mahu dikongsikan kepada dunia, anda perlu sertai saya di Kepentas untuk belajar pidato.

Bagi orang Shah Alam, anda boleh masuk kelas yang dianjurkan di pejabat saya di TTDI Jaya. Berbaloi untuk belajar bercakap dengan baik di khalayak jika anda ada sesuatu yang mahu disampaikan .. 

Call Cik Sandy untuk maklumat lanjut 012-276 4668

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Tak perlu susah-susah belajar pidato jika tiada apa-apa yang menarik mahu disampaikan

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !