Musim pilihanraya negeri datang lagi. Sabtu nanti, 12 Ogos 2023, semua 6 negeri yang telah dibubarkan DUN masing-masing akan membuat pilihan kerajaan negeri yang baru.
Jumlah kerusi yang akan dipertandingkan mengikut negeri adalah seperti berikut.
- Kedah - 36
- Kelantan - 45
- Terengganu - 32
- Pulau Pinang - 40
- Selangor - 56
- Negeri Sembilan - 36
Saya orang Pulau Pinang yang tinggal di Selangor. Masih tak tukar tempat mengundi sejak dari dulu lagi. Ingin kekal di tempat yang sama sebab ada niat nak balik duduk di kampung satu hari nanti kalau ada rezki.
Tempat mengundi sama saja seperti dulu lagi tak berubah. Masih perlu buang pangkah di Sekolah Menengah Kebangsaan Mengkuang untuk saluran 2 bagi DUN Penanti.
Penyandang untuk DUN Penanti pada PRN 2018 yang lalu ialah Norlela Ariffin dari PKR yang menewaskan calon BN, Suhaimi Sabudin dan calon Pas, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan.
Kali ini ada 2 orang yang akan bertanding. Ustaz Rosidi Hussain dari PH-PKR lawan Zulkefli Bakar dari PN-BERSATU.
Kalau ikutkan keputusan PRU 15 hari tu, kemungkinan PN akan menang adalah lebih baik berbanding PH.
Memang ikut logik, gabungan PH dan BN nampak macam besar dan mampu tewaskan PN dengan mudah. Tapi kemungkinan geng BN akan bagi undi kepada PN adalah sangat kuat.
Saya secara peribadi lebih cenderung untuk katakan PN akan menang di situ. Dalam semua 6 negeri yang adakan PRN di atas, ada 3 yang sebelum ini dikuasai oleh PN dan 3 lagi dikuasai oleh PH-Gabungan.
Kemungkinan untuk Kelantan, Terengganu dan Kedah jatuh ke PH adalah tipis, manakala kemungkinan untuk yang dikuasai oleh PH-Gabungan sebelum ini, jatuh dirampas oleh PN adalah agak berkemungkinan kecuali bagi Pulau Pinang. Apapun, kita tunggu saja keputusannya nanti.
Tak balik mengundi PRN 15
Macam yang saya dah tulis sebelum ini, saya tak akan balik mengundi kali ini. Bukan atas alasan tak suka calon atau parti yang bertanding. Tapi lebih kepada sudah hilang kepercayaan terhadap sistem demokrasi.
Saya anggap demokrasi adalah satu sistem scammer yang memperdaya manusia secara halus. Anda diberikan ilusi kononnya undi anda penting, kononnya anda ada kuasa menentukan siapa pemimpin. Tapi semua itu hanya satu ilusi.
Mustahil satu undi dapat ubah semua itu. Penentuan adalah bergantung kepada jumlah majoriti yang tidak dapat dikawal oleh sesiapapun melainkan melalui satu aktiviti propaganda yang berkesan.
Untuk laksanakan propaganda yang berkesan, memerlukan bajet yang tinggi. Maknanya siapa saja yang ada bajet tinggi dapat alihkan perhatian majoriti pengundi jika dia mahu.
Bajet akan turun bergantung samada keputusan di satu-satu tempat itu ada kepentingan untuk mereka yang sanggup berikan bajet tersebut. Maknanya semuanya adalah percaturan para elite yang ada kepentingan. Bukan percaturan undi anda.
Sebab itu saya yakin 100% bahawa mengundi adalah buang masa dan tiada apa-apa faedahnya. Ia hanya sekadar satu cara para elite di atas sana dapat tahu berapa ramai masih taat pada demokrasi di bawah sana. Itu saja ..
Kempen politik grup kampung
Saya sebenarnya nak cerita pasal aktivit kempen politik dalam grup wasap di kampung yang saya ada di dalam tu.
Tujuan grup wasap diadakan adalah untuk siarkan maklumat buat semua anak khariah samada yang masih tinggal di kampung mahupun yang sudah keluar berhijrah ke tempat lain.
Sering di ingatkan dalam grup itu untuk elakkan cakap bab politik untuk elakkan masalah bersengketa sesama anak khariah yang punya fahaman berbeza.
Lagipun tak ada ahli politik dalam tu. Semuanya hanyalah ahli parti saja yang fanatik dengan parti masing-masing tanpa punya apa-apa tujuan hidup. Hanya atas dasar ikutan dan hobi buang masa.
Tujuan grup adalah untuk silaturahim dan semua tahu pasal matlamat tersebut.
Tapi masih ada yang suka kempen sedangkan dia bukanlah ahli politik. Bukan seorang pemimpin pun, hanya pengambil kesempatan yang dapat keuntungan yang sangat sedikit dari sikap hemoinya sahaja.
Jika difikirkan secara baik, semua orang sudah ada pegangan masing-masing. Perkongsian kempen yang lebih cenderung membuka kesalahan parti atau kelemahan individu pemimpin lawan akan mengundang rasa tak puas hati pihak yang terkena.
Sebab setiap serangan ada hujahnya dari pihak lawan yang boleh dipertahan dan dibahaskan. Kalau tidak, dah lama mereka ubah sokongan parti.
Jadi aktiviti perkongsian sebegitu tidak memberi sebanrang manfaat melainkan membangkitkan rasa marah orang lain. Itu pasti berlaku.
Kemngkinan orang akan ubah pendiriannya dari posting kempen adalah sangat rendah, mungkin 0.1% saja atau kurang dari itu. Tapi kemngkinan orang akan rasa marah dan benci adalah amat tinggi, barangkalai 99.9%.
Maka jelas keburukannya adalah jauh lebih tinggi. Kerosakkan adalah hampir pasti. Tidakkah mereka sedar keadaan itu?
Biasanya orang yang suka provokasi bodoh sedangkan dia tiada apa-apa jawatan dalam parti mana-mana pun merasakan dia buat kebaikan. Tapi hakikatnya dia lah agen kerosakan dalam masyarakat seperti mana yang disebut dalam Al-Quran surah Al-Baqarah
Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi", mereka menjawab: " Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan". Al-Quran 2:11
Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya. Al-Quran 2:12
Yang paling peliknya, kaki kongsi maklumat provokasi sebegitu adalah mereka yang kaki masjid, pergi umrah setiap tahun, pegang tasbih tak pernah lepas dan perjuangan agama sentiasa keluar dari mulutnya. Tapi malangnya apa yang dia buat hanya menzahirkan busuk yang ada dalam dirinya sahaja. Itulah sebenarnya dia ..
Harap anda yang masih tidak sedar akan kesan buruk berkempen dalam grup yang tidak bertujuan untuk perbahasan politik, sila hentikan kerja bodoh tersebut.
Sekian ..
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !