Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

22 August 2023

Pengalaman aneh sakit, panas dan rasa demam tapi doktor kata sihat tak ada masalah

  Ano Nyme       22 August 2023


Ini pengalaman sekali seumur hidup. Ada sekali tu, hari Jumaat, 20hb Julai 2012. Saya jatuh sakit lalu pergi klinik di pekan tak jauh dari rumah. Doktor buat pemeriksaan kemudian ambil darah. Dia syak saya kena demam campak dan mungkin juga positif denggi.

Itu kali pertama jatuh sakit ketika masuk bulan puasa. Malam itu, ketika orang ramai bersemangat bersiap mahu ke surau untuk solat berjemaah magrib, insya dan bertarawih, saya bergelut menahan rasa sakit. Seluruh badan rasa seperti terbakar.

Kalau anda pernah buat lemang, tentu pernah rasa bagaimana tak tahannya seperti muka disalai dengan bahang api setiap kali nak alih buluh lemang tu. Begitulah rasanya. 

Lebih pelik lagi, dalam keadaan rasa panas membahang itu, tiba-tiba badan bertukar jadi sejuk menggigil pulak. Dah terpaksa panaskan semua anggota badan. Saya pakai jaket tebal macam nak main salji, membalut badan yang dah ada 2 helai baju di pakai dalamnya. Masih tak hilang kesejukan itu.  Balut pula dengan selimut, masih tetap menggigil sejuk.

Belum sempat sejuk selesai, dah bertukar jadi panas pulak seluruh badan. Terpaksa buang semua selimut, buang pakaian buang jaket. Basahkan tuala kecil untuk disapukan pada kepala dan badan sampai kering tuala basah tu.

Begitulah silih berganti, sehingga, sahur dan seterusnya subuh sampailah ke pagi. 

Pukul sembilan setengah saya telefon klinik bertanya samada doktor sudah hadir, tak ada orang angkat. Jam menunjukkan pukul 10, saya minta isteri bawa saya terus ke klinik. Sampai dalam klinik tu, terus ke kaunter.

“Doktor tak sampai lagi, pukul 11 baru ada”, kata pembantu klinik.

Saya merungut dalam hati, “dia yang pesan suruh aku datang awal pagi semalam”.

Saya tak sabar nak ketahui keputusan ujian darah yang doktor ambil semalam. Entah apa yang berlaku dalam tubuh badan sampai jadi sakit tak ketahuan sejak saya keluar dari masuk hutan di Endau Rompin sebelum puasa hari tu.

Dalam keadaan tubuh kesakitan sebegitu, perasaan tak sabar mencanak naik. Mula teringat rekod prestasi klinik itu nak mengungkit. Itu bukan kali pertama, malah sudah beberapa kali sampai pagi doktor masih tak sampai.

Patutlah sekarang ada banyak krepek di dalam kliniknya. Selain dari jadi doktor, dia juga jual macam-macam krepek. Pernah saya terlintas yang doktor ini sudah tidak yakin dengan perkhidmatan kedoktoran agaknya.

Dalam keadaan tertekan begitu, terus terasa yang sangkaan saya memang tepat. Dia sudah tidak berminat jadi doktor.

Saya minta semua laporan makmal darah dan air kencing yang diambil semalam dari pembantu klinik.

Dia memberinya setelah merujuk kepada doktor melalui telefon. 

Saya beredar dari situ sambil membawa semua laporan itu, terus menuju ke Hospital Serdang. Saya tak boleh main-main dengan apa yang berlaku pada diri ini, terasa amat genting ke tahap hidup atau mati.

Itulah yang dirasakan saat itu. Perit menahan sakit di seluruh badan dari hujung jari kaki sehinggalah ke hujung rambut kepala berdenyut-denyut. 

Dalam kepala hanya ada bayangan kematian, mandi jenazah, kafan, solat dan kebumikan. Saya terbayang kegelapan, kesunyian .. rasa takut memuncak.

Berbagai soalan muncul keluar. Selamatkah aku di sana nanti?

Banyak atau tidak bekalan kebaikan yang telah disediakan untuk berhadapan dengan hidup selepas mati saya tak tahu. Tapi, saya yakin, banyak manapun yang saya ada, ianya tidak cukup untuk selamatkan diri saya.

Itu yang buat fikiran serabut, makin lama semakin takut.

Teringat sepotong ayat yang saya baca di sebuah kedai mamak bulan lepas.

“Semua orang mahu ke syurga, tetapi tak ada siapa pun yang mahu mati".

Saya tertawa kecil ketika membaca ayat itu. Memang betul jika ditanya semua nak ke syurga, tapi dalam masa yang saya semua orang takut mati. Bagai mana dapat ke syurga jika tidak mati terlebih dahulu. 

Kalau benar-benar mahu ke syurga, anda juga perlu benar-benar mahu mati. Keadaan itu rupanya sedang berlaku kepada diri saya sendiri.

Hospital Serdang

Sekejap saja kami sampai ke Hospital Serdang, lalu terus ke rawatan kecemasan spara kritikal. 

Saya hulurkan laporan doktor dari klinik tadi. Pegawai pendaftaran memprosesnya dengan pantas lalu menyuruh saya tunggu di dalam. Belum sempat saya labohkan punggung pada kerusi, nama saya dikeloi.

Saya masuk ke dalam bilik, disambut oleh seorang pembantu perubatan wanita di situ. Dia suruh saya duduk sambil bertanya apa masalah saya.

Setelah diterangkan serba ringkas, dia ambil suhu, tekanan dan sampel darah sekali lagi untuk ujian. Dia kata memang badan saya terlalu panas. Diberikan 2 biji pil untuk saya telan masa itu juga.

Selesai semua itu, disuruhnya saya mendaftarkan diri dan tunggu untuk berjumpa dengan doktor pula.

Pendaftaran, ujian makmal dan rawatan hanya dicaj RM1 sahaja. Memang murah berbanding harga yang sering saya bayar di klinik swasta. Setiap kali jumpa doktor, saya di kenakan sekurang-kurangnya RM125.

Murah betul Hospital Kerajaan. Saya membayarnya dengar senang sekali. Mahu rasanya saya sedekahkan RM10 lagi kalau mereka terima.

Tak lama kemudian giliran nombor saya dipanggil untuk menghadap doktor. 

Seorang doktor berbangsa Cina yang masih muda. Dia bekerja sangat pantas. Sambil melihat semua data dan laporan terbaru terhadap darah saya dari makmal, dia dengan selamba berkata saya “ok”, tak ada denggi. Malah tak ada apa-apa masalah merbahaya yang diketahui.

“Habis apa masalah saya doktor, demam campak saja ka?”, tanya saya ingin tahu.

“Campak pun bukan, you memang demam kuat tapi saya tak tau kenapa, ada virus mungkin, Tapi apa itu virus, saya tak tau”, jawab doktor itu lagi.

Apa yang boleh saya kata lagi. Saya terima saja dan terus suruh isteri bawa saya balik ke rumah. Dalam kepala, berbagai pertanyaan timbul. Apa sebenarnya masalah yang sedang berlaku dalam badan ini. 

Seluruh sendi dan urat di dalam badan rasa sakit. Seluruh kulit rasa sensitif. Badan terlalu panas. Kepala tidak stabil. Mata berpinar. Saya lemah. Tenaga hilang lebih dari separuh dan saya sentiasa rasa berada di awang-awangan. Saya tak mahu lalui sekali lagi siksaan ngeri seperti semalam.

Separuh perjalanan balik dari Hospital Serdang itu, saya teringat kepada seorang kawan yang saya rasa boleh membantu.

Saya terus suruh isteri pergi ke sana. Ke sebuah surau kecil tempat kawan saya itu mengubati orang ramai yang terkena penyakit mistik. Dia tentu dapat bantu saya rungkaikan masalah pelik ini.

.. nanti sambung apa yang berlaku di surau kecil itu. Insyaallah!

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Pengalaman aneh sakit, panas dan rasa demam tapi doktor kata sihat tak ada masalah

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !