Jumaat baru-baru ini, sambil dengar khatib membaca khutbah, saya pusing ke kiri dan ke kanan melihat ahli jemaah yang ada bersama.
Saya duduk di saf pertama menghadap ke dinding depan masjid, jadi tak ada ahli jemaah di depan. Nak pusing ke belakang tengok, rasa tak senonoh pulak. Maka cukup sekadar melihat orang yang ada di kiri dan kanan sahaja.
Biasanya mereka yang duduk di saf paling depan ialah mereka yang agak berumur. Datang awal sebelum masuknya waktu solat jumaat. Berpakaian lengkap berjubah dan kelihatan tenang dan bersih berkopiah.
Saya biasanya akan hadir ke masjid untuk tunai solah jumaat sejam sebelum waktu solat. Masa tu tak ramai lagi yang ada dalam masjid. Masuk terus ke sebelah kanan sekali, tunaikan solat tahhiyatul masjid dan duduk hadap telefon pintar. Bukan layari media sosial, tapi buka tafsir quran untuk dibaca dan renung sementara menunggu masuknya waktu.
Jika ada ceramah atau tazkirah sebelum azan, saya tetap lebih suka baca tafsir quran berbanding mendengar tazkirah tersebut. Mungkin ada yang berpendapat itu satu kesalahan. Tapi saya berbeza pendapat tentang itu. Biar apa orang nak kata, saya kekal leka membaca tafsir.
Hadir masjid awal sejam
Kenapa hadir awal sejam?
Memang itu azam yang saya tanam sejak beberapa tahun sebelum ini. Dah tak mahu kelam-kabut sibuk dengan urusan dunia sehingga sampai masjid lewat dan tidak selesa.
Masa bertenang yang agak lama itu boleh digunakan untuk merenung ayat-ayat Quran bersama tafsirannya yang ada dimuat turun dalam telefon. Bila lagi nak luangkan masa buat perkara yang dituntut sebegitu.
Saya dapati, dengan hadir awal juga menyebabkan rasa mengantuk jarang berlaku ketika imam membaca khutbah. Kalau terlelap pun, biasanya berlaku lebih awal sebelum azan dilaungkan.
Mengantuk ni bila dah dapat lelapkan mata sebentar lalu terkejut jaga, biasanya akan terus segar sampai ke akhir. Itu satu lagi kelebihan sampai awal di masjid pada hari jumaat.
Sejak hadir awal, saya sentiasa rasa segar mendengar khutbah. Sentiasa perasan orang sebelah, kiri dan kanan tersengguk-sengguk lena dan jaga menahan tidur. Tapi sentiasa gagal juga akhirnya. Anda dapat tahu jiran sebelah tidur bila imam duduk antara 2 khutbah, dia tetap leka pejam mata. Sehingga khatib berdoa di khutbah kedua, dia kekal lena tanpa angkat tangannya mengaminkan doa.
Ramai yang terlena
Jumaat baru ni, tergerak nak tengak lebih ramai jemaah yang ada. Di sebelah kanan, berderet yang pejam mata asyik dan tertunduk-tunduk makin lama makin rendah. Sebelah kanan dapat lihat jauh lebih ramai sampai ke tengah sana. Sangat ramai yang terlelap lena.
Lena sewaktu khatib membaca khutbah adalah satu fenomena biasa di mana saja masjid ketika solat jumaat. Yang jarang lena hanyalah kanak-kanak atau remaja yang duduk di bahagian belakang sekali bersandar dan berbual sesama mereka.
Yang tua-tua pula, sebaik saja khatib mula berkhutbah, dia akan pejam mata memberi perhatian dan akhirnya hanyut sehingga khutbah selesai. Sekali sekala terjaga lalu terus angguk-angguk kepala beri isyarat dia tak tidur.
Menahan diri dari tertidur ketika khatib membaca khutbah memang satu penyiksaan. Secara peribadi, memang timbul perasaan malu jika tertidur ketika itu. Tapi nak buat macam mana, mengantuk bukan perkara yang dibuat-buat lakonan. Ia berlaku di luar kawalan.
Saya yakin semua orang yang kaki solat berjemaah, tidak pernah tinggalkan solat jumaat, turut sama merasa malu apabila dia tertidur ketika khutbah.
Persoalannya, adakah ia satu perkara yang mengaibkan?
Survey di twitter
Untuk ketahui apa pendapat orang lain, saya post pertanyaan samada tidur ketika khatib membaca khutbah jumaat adalah satu amalan yang mengaibkan.
Saya dapat 2 jawapan. Ada yang kata tidak dan ada yang kata memang mengaibkan. Yang berpendapat aib itu, berikan pautan penerangan terhadap amalan yang 'lagha' ketika solat jumaat.
Yang dimaksudkan lagha itu adalah tidak mendapat kebaikan bersolah jumaat, hanya dapat pahala solat zohor sahaja. Boleh juga sampai terjadi sia-sia solat jumaat tersebut.
Saya rujuk kepada portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkenaan masalah tidur ketika khutbah, Memang dihukumkan sebagai lagha berdasarkan 2 hadith yang dilampirkan.
Hadith pertama merupakan yang selalu diumumkan oleh bilal tentang larangan berkata-kata ketika khatib berkhutbah. Larang cakap dengan berkata diam pun adalah lagha sedangkan itu adalah cubaan untuk mencegah perkara buruk.
Hadith kedua pula memberikan contoh makmum yang bermain batu kecil dihukum lagha. Samalah dengan bermain telefon, makan dan sebagainya.
Dari kedua-dua hadith di atas, dirumuskan bahawa tidur adalah termasuk dalam lagha. Pendapat ulama salah terdahulu juga dikatakan tegas dengan amalan tidur ketika khutbah jumaat. Ia disamakan dengan orang yang balik berperang dalam keadaan gagal iaitu tiada harta rampasan.
Bagi saya, disebut para salaf beri kenyataan begitu tegas larangan tidur dan samakan dengan perang tanpa harta rampasan, saya rasa tak lah tegas sangat. Biasa saja perang tak ada harta rampasan. Bukan itu tujuan utama perang pun.
Mengantuk adalah luar kawalan
Mari bahas hukum yang diputuskan di atas.
Agak keliru dengan pandangan dan hujah menyamakan antara amalan yang boleh dikawal berbanding amalan yang diluar kawalan.
Makan, minum, main, cakap, dan seumpamanya adalah sesuatu yang boleh dikawal dengan mudah. Tetapi, rasa mengantuk bukanlah perkara yang dapat dikawal. Malah ia berkait rapat dengan keadaan tubuh badan, suasana persekitaran dan bergantung kuat juga kepada cara penyampaian khutbah serta tajuk atau isu yang diketengahkan dalam khutbah tersebut.
Jadi menyalahkan tuan punya badan tertidur ketika khutbah adalah tidak kena. Apatah lagi menyamakan mengantuk dan tertidur dengan cakap, main dan makan.
Untuk beranggapan baik, saya lihat ada penekanan pada 'tidur dengan sengaja'. Ertinya dia memang niat nak tidur masa khutbah jumaat. Siap bawa bantal kecik atau penutup mata. Maka boleh lah diterima itu sengaja.
Apa yang saya lihat selalunya, abang-abang, pakcik-pakcik yang bersih beriman tu benar-benar tidak sengaja.
Wallahualam !
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !