Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

24 September 2023

Bagaimana gajet membelengu minda sehingga anda terikat dan bergantung kepadanya

  Ano Nyme       24 September 2023


Setiap pagi, antara pukul 7:30 ke pukul 8:00, saya turun ke taman untuk bersenam. Amalan itu dah berlanjutan sejak berpuluh tahun yang lalu. Tak kisah samada duduk di rumah atau keluar kawasan atas urusan kerja, amalan bersenam tetap diteruskan.

Bila anda amalkan sesuatu secara konsisten, ia melekat jadi tabiat. Bila dah jadi tabiat, tak buat rasa tak selesa. Rasa semacam ada yang tak kena. Memang kejadian manusia begitu. Ada kegunaannya kenapa jadi begitu.

Bagi anda yang rajin tunaikan solat 5 waktu, perkara sama berlaku. Tabiat telah terbentuk sehinggakan rasa tak sempurna selagi solat tidak ditunaikan bila masuk waktunya. Bagi yang rajin ke surau atau masjid untuk solat berjemaah pula, sama juga berlaku secara automatik sebaik saja azan di laungkan.

Tabiat membantu anda bertindak secara spontan tanpa perlu sebarang motivasi yang tinggi untuk bertindak. Itulah kelebihan tabiat.

Para peniaga, pencipta barang permainan, gajet dan seumpamanya tahu sudut lemah yang ada pada manusia itu untuk dieksploitasikan

Gajet untuk bersenam

Masa mula datang ke Lembah Kelang tahun 1999 dulu, aktiviti riadah terhenti terus. Sebelum tu di kampung, setiap petang turun padang main bola. Baju basah lencun berpeluh. Selepas asar, badan dah tentu menggigil tak tentu arah teringatkan padang bola, begitulah setiap hari.

Semua aktiviti lasak di kampung buatkan badan jadi fit.

Di Lembah Kelang, kalau tak kerja, melepak. Itu saja aktiviti yang ada. Tak kenal orang, malah orang tak sudi nak kenal pun kalau tak ada pasal. Masing-masing terperuk dengan diri sendiri dalam linkungan kerjaya sahaja.

Otak hanya fikir cari duit dan cara nak habiskan duit yang dah ada tu. Itulah budaya orang bandar terutamanya anak-anak muda.

Tak berapa lama kemudian saya mula rasa berat badan naik, perut dah menonjol ke depan. Satu hari saya naik atas penimbang yang kawan serumah baru beli, berat dah naik melebihi 80kg. Terlalu banyak berbanding 67 ke 69 kg yang saya ada selama duduk di kampung.

Petang itu juga saya pakai kasut getah dan tutun berjogging. Bermula dari situ saya terus bersenam. 

Tak lama kemudian rasa sakit belakang sampai ke kaki. Puas saya bertanya dan cari sebab kenapa tiba-tiba rasa sakit pinggang dan sakit kaki tu akhirnya dapat jawapan. Kasut tak sesuai digunakan untuk berjogging. Orang yang nasihati saya tu pesan jangan kemut duit beli kasaut yang sesuai untuk kebaikan kaki dan tulang belakang, dan saya turut.

Itu permulaan untuk fikirkan pasal gajet bersenam.

Gajet pertama yang saya beli adalah kasut adidas khas untuk bersenam. Memang sedap pakai dan sakit belakang serta sakit kaki beransur hilang. Harganya juga boleh tahan. Kena tunggu waktu atau model yang mereka nak habiskan stik, baru dapat harga bawah RM300.

Kemudian saya beli seluar dan baju yang sesuai dan selesa untuk tujuan berjogging. Termasuklah seluar dalam kena ada khas untuk aktiviti itu. Dah mula jadi macam ritual.

Akhir sekali saya muat turun aplikasi Fitbit. Dia boleh kesan jarak perjalanan saya samada berjalan kaki atau berlari. Kena bayar sikit untuk guna, tak kisahlah asalkan dapat pantau pergerakan saya. Bermulalah amalan bersenam dengan pemantauan aplikasi Fitbit.

Tak boleh tinggal apps

Kasut dan pakaian dah berubah sekarang. Semuanya saya dapatkan dari Decathlon Malaysia. Barangnya agak murah dan paling penting kualitinya melebihi jangkaan saya. Tapi aplikasi yang saya guna pada telefon apple masih kekal.

Tambahan pula di decathlon ada beg poket kecil yang khas direka untuk orang yang nak isikan gajet seperti phone ketika berjogging, saya lebih selesa bawa phone tu dalam aktiviti bersenam setiap kali turun ke padang.

Ada niat nak beli jam tangan apple, tapi masih bertahan sebab sayangkan duit. Dah boleh pakai phone saja, nak habiskan duit buat apa, itulah pujuk hati saya setiap kali nak beli jam apple.

Apa yang best bila pakai aplikasi fitbit atau aplikasi lain adalah kelebihannya beritahu jarak yang anda dah lalui. Phone saya akan beritahu kilometer ke berapa dengan jelas, dalam Bahasa Inggeris setiap kali saya habiskan satu kilometer.

Mudah untuk saya tahu bila nak berhenti berjogging.

Dari maklumat yang apps beri setiap kali lengkap satu kilometer, lama-lama saya tahu berapa jarak dah siap sekalipun tak pakai aplikasi tu. Satu pusingan lengkap taman yang saya lalui sama dengan satu kilometer. Saya hanya perlu kira berapa pusingan saja untuk lengkapkan 6 kilometer sehari aktiviti jogging tersebut.

Maksudnya, secara logik, saya sudah tidak perlu membawa telefon lagi setiap kali berjogging.

Tapi ternyata tidak semudah itu. Fikiran masih tetap nak bawa phone juga. Rasa tak lengkap dan macam tak bersenam bila jogging tanpa membawa gajet phone terselit di beg kecil berpoket pada pinggang.

Saya hairan pada diri sendiri .. kenapa jadi begitu?

Cuba tinggal phone

Satu hari, saya dengan sengaja tak mahu bawa telefon ketika turun berjogging. 

Dari awal sampai ke akhir, fikiran asyik terfikir berkenaan isu tersebut. Terbayangkan apa yang saya tak dapat lakukan apabila bersenam tanpa membawa phone.

Saya sangat pasti bahawa dalam semua aktiviti bersenam itu, yang paling utama adalah saya lakukannya setiap hari, cukupkan jarak yang dah ditetapkan dan hasilnya ia mendatangkan kesegaran dan kepuasan dalam diri.

Saya tak nampak kenapa perlu ada phone itu merakamkan pergerakan saya dan data itu tersimpan di dalamnya. 

Sebenarnya itulah yang saya rasa rugi. Setiap kali phone akan simpan semua jarak yang saya dah habiskan. Berapa jumlah langkah saya dah buat dan semua maklumat itu akan disimpan dalam phone itu secara konsisten.

Saya tak boleh bayangkan tiba-tiba satu hari tak ada maklumat, atau dalam phone saya dikatakan tidak melakukan senaman dan habiskan jarak seperti selalu. Itu hanya emosi saja tetapi saya tetap rasa tak suka.

Itu emosi, bukan kebenaran berdasarkan keperluan yang hakiki.

Apabila sesuatu amalan itu sudah jadi kebiasaan, ia berubah menjadi tabiat dan itu hampir keseluruhannya dikuasai oleh emosi.

Larangan solat berjemaah

Ketika wabak covid 19 melanda negara bermula tahun 2020 dulu, semua umat Islam dilarang menunaikan solat berjemaah di masjid dan surau. Solat jumaat tak boleh dan solat hari raya juga tak boleh.

Apa yang berlaku adalah kemarahan umat Islam akibat ditegah dari melakukan amalan kebiasaan mereka. Di negara jiran sampai ada yang mengamuk dan memecahkan pintu masjid dan surau sebab tegar mahu menunaikan solat berjemaah seperti biasa.

Alasan yang diberi adalah itu perintah Tuhan.

Tapi mereka lupa bahawa menjaga nyawa dan kesihatan orang ramai juga adalah satu suruhan Tuhan yang lebih utama. Tapi tetap ada yang tidak dapat menerimanya.

Itulah yang melanda umat Islam apabila sesuatu amalan itu dikerjakan hanya dengan emosi dan bukannya kesedaran akal yang waras.

Saya mula faham akan keadaan itu hasil dari cubaan mengabaikan telefon pintar di atas tadi. Membuatkan saya terfikir seluruh amalan saya atas nama agama dan atas nama Tuhan samada ianya adalah berdasarkan kesedaran dan penghambaan diri kepada Tuhan atau hanya sekadar mainan emosi dikerjakan tanpa adanya kesedaran yang penuh.

Semua gajet direka supaya terikat

Pencipta semua gajet yang ada sekarang termasuklah segala aplikasi, media sosial dan seumpamanya adalah dengan satu matlamat. Ia mesti berjaya mengikat emosi penggunanya sehingga ia menjadi tabiat yang sukar dilepaskan.

Sebab itu anda sukar lepaskan semua benda tersebut sekalipun dah sedar ia langsung tidak produktif malah melalaikan dan membuatkan hidup anda jadi makin lama makin rosak.

Untuk melepaskan diri dari semua itu jiwa mesti kuat. 

Tapi ia tidak semudah itu.

Cuba tanya samada anda akan berjaya melakukannya jika mahu umat Islam bangun menguasai dunia, semua orang Islam perlu tinggalkan telefon pintar selama-lamanya.

Agaknya akan berjayakah kempen tinggalkan telefon pintar dilakukan oleh setiap orang Islam di Malaysia demi menjadikan umat Islam berkuasa?

Anda tentu akan berikan hujah bahawa saranan itu adalah bodoh dan tidak berguna ...

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Bagaimana gajet membelengu minda sehingga anda terikat dan bergantung kepadanya

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !