Sebelum anda teruskan pembacaan, saya perlu beritahu terlebih dulu bahawa tiada jawapan terhadap soalan yang saya tanya di atas tu. Pertanyaan itu timbul setiap kali saya ada bersama orang tua yang mengalami masalah nyanyuk.
Persoalan tentang apa itu kesedaran dah lama jadi minat saya. Ia bermula dari timbulnya pertanyaan apa itu berfikir, salah satu perkataan yang banyak diulang sebut dalam Al-Quran. Hasil dari pembacaan, saya dapat tahu bahawa keupayaan berfikir yang saya ada tidak sama dengan sifat sedar yang ada dalam diri.
Dari teknologi, saintis dapat kesan aktiviti berfikir yang berlaku pada otak. Tapi sampai sekarang, tak ada siapa yang dapat ukur kehadiran 'sedar' dalam diri seseorang. Hanya tuan punya diri saja dapat tahu samada dia sedar atau tidak.
Untuk mudah faham, anda boleh lihat teknologi AI yang maju sekarang ini. Saintis buat robot yang sebijik rupanya macam manusia. Boleh bercakap dan mampu berinteraksi dengan baik. Jika anda ajak robot AI bersembang. akan terasa seperti sedang berborak dengan manusia biasa. Tapi robot itu sebenarnya tidak punya kesedaran seperti mana yang anda ada.
Itu yang membezakan antara anda, seorang manusia berbanding robot yang bijak dan dapat berfikir. Anda sedar sedangkan robot tidak punya kesedaran. Atau .. mungkin robot itu sedar, tapi tak ada alat untuk kesan kehadiran elemen sedar tersebut. Tiada jawapan!
Saya google dan cari jawapan terhadap apa itu kesedaran atau dalam bahasa inggerisnya di sebut 'consciousness', ternyata saintis masih teraba-raba untuk cuba memahami apa itu sedar.
Jika anda disakiti, tubuh badan akan berikan respon terhadap rasa sakit yang anda alami. Mungkin anda meng-adoi, melaung, menangis. Anggota badan menggigil, gigi digertap menahan sakit muka berubah jadi merah kebiruan dan lain-lain seumpamanya. Paling istimewanya, anda sedar semua keadaan itu dan dapat merasakan apa yang sedang berlaku.
Tapi jika robot di pukul, AI boleh di berikan segala keupayaan berikan respon seperti yang saya gambarkan pada manusia tadi. Bezanya, robot itu hanya memberi reaksi terhadap kejadian sahaja tapi kesedaran terhadap apa yang sedang berlaku padanya tidak timbul. (atau mungkin ada?).
Mana pergi sedar ketika tidur
Adakah anda sedar ketika tidur nyenyak?
Setakat yang saya lalui dari kecil dulu sampai sekarang, memang kesedaran terus tak ada setiap kali tidur. Ia muncul semula apabila anda bermimpi. Tapi kesedaran ketika bermimpi agak unik berbanding kesedaran ketika tidur.
Masa mimpi lari dikejar anjing umpamanya, memang dapat dirasakan ketakutan, ngeri, letih dan panik cuba selamatkan diri. Macam real benar-benar kena kejar. Sebaik saja terjaga, anda rasa lega bila dapati yang peristiwa itu sekadar ilusi. Ertinya, kesedaran ketika mimpi tidak dapat bezakan antara dunia nyata atau ilusi. Namun tekanan, seksaan adalah sama sahaja walaupun ketika bermimpi.
Adakah otak bekerja seperti biasa ketika anda tidur nyenyak?
Anda mungkin yakin jawapannya adalah tidak.
Tapi kajian membuktikan bahawa otak anda bekerja seperti biasa masa tidur nyenyak, sama seperti ketika anda berjaga. Cuma ada satu perbezaan saja iaitu anda tak rasa atau sedar aktiviti otak itu.
Saintis gunakan bunyi yang didengarkan kepada orang yang sama untuk membaca gelombang terhadap semua sel tubuh badannya ketika ia tidur dan bandingkannya ketika ia berjaga. Ternyata otak kesan kehadiran bunyi itu sama macam ketika sedar.
Bunyi masuk ke telinga, naik ke otak, diproses untuk kenal pasti samada dia kenal bunyi itu atau tidak berdasarkan maklumat yang memori simpan sebelum ini. Respon turun semula kebawah untuk sebarkan maklumat samada itu bunyi yang dikenal atau satu bunyi yang baru, juga untuk berikan maklumat samada nak ambil peduli atau abaikan saja.
Otak tetap kerja macam biasa nampaknya, cuma tak sedar sahaja. Boleh baca laporan tentang kajian itu di pautan sini.
Kesedaran masih ada ketika itu. Mungkin otak tidak berhubung dan memberikan maklumat apa yang sedang berlaku ketika anda sedang tidur. Itu berdasarkan keadaan gelombang yang saintis panggil 'alpha-beta' yang lemah ketika semua proses itu berlaku.
Gelombang alpha-beta dikaitkan dengan keupayaan memberi perhatian dan membuat penilaian jangkaan terhadap maklumat yang ada. Dalam kes ini, semua analisa berlaku kecuali identiti bunyi yang otak proses sahaja tidak berlaku. Kemungkinan gelombang alpha-beta ini adalah medium komunikasi antara otak dengan kesedaran yang manusia ada.
Adakah orang nyanyuk sedar
Dalam mencari jawapan samada orang nyanyuk sedar atau tidak, saya belajar satu maklumat yang sangat menarik dalam memahami kesedaran tentang diri yang ada pada manusia.
Untuk memahami makna kesedaran diri, anda perlu tahu akan kewujudan 3 jenis diri yang ada seperti berikut.
Diri 1 - Apa yang ada tahu dan sedar tentang identiti diri anda sendiri yang ada kesinambungan dari dulu sehingga sekarang dalam ruang tempat dan masa, kehidupan anda selama ini. Itu yang anda maksudkan setiap kali menyebut saya, aku, atau diri anda sendiri. Diri 1 ini wajib ada untuk membolehkan anda kaitkannya dengan diri 2 dan diri 3 yang adai di bawah.
Diri 2 - Merupakan sifat yang ada pada diri anda dari segi fizikal atau mental. Tinggi atau rendah, gelap atau cerah, bangsa, agama, kecenderungan politik, pegangan hidup, kegemaran, serius, happy go lucky dan sebagainya. Identiti ini ada yang kekal dari dulu seperti anak kepada anu bin anu, atau sepupu kepada seseorang dan sebagainya. Ada identiti yang baru berlaku seperti anda ada masalah suka lupa atau ada masalah dementia. Ia juga berkait dengan apa yang ada rasa tentang diri anda yang lalu, sekarang dan bakal berlaku di masa depan.
Diri 3 - Ini konsep yang agak kompleks terhadap diri anda dan hubungannya dengan orang lain. Bagaimana anda pamerkan diri anda kepada orang lain. Dalam erti kata lain, bagaimana anda pamerkan diri 1 dan diri 2 anda di atas kepada orang lain samada secara tindakan atau secara dialog dalam kepala anda sendiri. Kesan negatif atau positif boleh berlaku kepada diri anda bergantung kepada cara orang lain melayan anda.
Bagi orang yang alami masalah nyanyuk, diri 3 masih tetap ada. Ertinya dia masih tetap dapat rasa apa yang sedang berlaku, sedih atau gembira terhadap suasana yang ada di depannya, sedih atau gembira terhadap layanan orang lain kepada dirinya.
Paling penting, diri 2 pesakit dementia akan jadi lebih parah jika perhubungan dengan orang dalam kes diri 3 di atas tidak berlaku dalam suasana yang sepatutnya. Contohnya anak kepada ibu yang dementia berkasar secara fizikal ketika menjaganya atau kasar secara verbal ketika berkomunikasi dengannya.
Rumusannya, selagi anda masih bernyawa, masih hidup, samada anda nyanyuk atau tidak, anda tetap akan lalui pengalaman tersiksa dan kesakitan serta rasa sengsara.
Oleh itu, berhati-hati jika anda menjaga orang tua yang alami masalah dementia. Orang tua anda itu masih ada rasa terhadap dirinya lagi. Pastikan anda tidak beranggapan bahawa orang tua anda itu sudah menjadi seseorang yang lain atau paling teruk jangan anggap dia bukan lagi orang tua yang anda pernah kenal satu masa dulu ketika sihatnya. Rujukan di sini.
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !