Artikel ni khas untuk anda yang berniaga, ada syarikat sendiri dan punya pekerja. Bila dah berniaga, jadi usahawan, tak dapat elak dari ambil pekerja untuk keperluan syarikat.
Antara perbezaan seorang usahawan berbanding orang yang berniaga atau kerja sendiri adalah dalam usaha memperkenalkan syarikat sebagai identiti utama di depan.
Usahawan perlu pastikan pelanggan selesa untuk berurusan dengan syarikat dan bukan berurusan dengan taukeh.
Orang yang berniaga atau kerja sendiri tak kisah bab identiti ni. Pelanggan lebih selesa berurusan dengan taukeh. Bagi pelanggan, syarikat tak wujud dalam urusan perniagaan itu. Yang ada hanya taukeh yang menjalankan semua urusan kerja dan transaksi perniagaan.
Jika usahawan mahu ketengahkan syarikatnya, maka dia perlu uruskan perniagaan secara bersistem. Semua urusan ada cara tersendiri yang konsisten dapat dirasakan oleh pelanggan tak kisah dengan siapapun dia berurusan.
Pekerja hanya salah satu dari sumber pelaksana amanah yang diberikan oleh pelanggan kepada syarikat. Jika pekerja berhenti, tak kisah dari bahagian mana sekalipun, maka syarikat secara automatik akan cari orang lain sebagai pengganti.
Memang kalau boleh, sebagai usahawan saya sendiri mahu pekerja kekal lama dengan syarikat. Membesar bersama syarikat dan sama-sama mengambil manfaat dari kejayaan syarikat. Tapi memang sukar untuk tahan pekerja dari cari kerja lain atau cari majikan baru yang dirasakan lebih sesuai untuknya.
Majikan pula tak boleh halang pekerja yang nak berhenti samada masuk ke syarikat pesaing atau mungkin dia berhenti dan jadi pesaing. Perjalanan atas dunia ni lama mana sekalipun hanyalah sementara. Tak payah emo sangat dalam bab cari makan dan bersaing ni.
Apa yang nak saya beritahu di sini adalah, sebagai usahawan anda tak dapat elak untuk merekrut pekerja baru. Perlu buat tawaran dan panggil mereka yang berminat datang temuduga.
Jadi kena tahu nak tanya soalan apa masa temuduga.
Nak tanya soalan apa?
Apa soalan yang biasanya anda tanya dalam temuduga nak ambil pekerja baru?
Kalau anda ada pengalaman bekerja di syarikat besar, dalam jabatan Human Resource pulak tu, tentu ada pengalaman yang lebih luas dalam bab temuduga ni.
Syarikat besar biasanya ada satu cara yang tersusun rapi dalam proses pengambilan pekerja. Pegawai yang terlibat dalam temuduga pula biasanya akan diberikan latihan yang mencukupi dalam pelaksanakan proses temuduga yang berkesan.
Tapi kalau anda tak ada pengalaman kerja di syarikat besar. Tak ada juga pengalaman dalam proses menemuduga pekerja. Kemudian berhenti kerja dan berniaga, proses temuduga biasanya akan dilakukan secara spontan berterabur tak ada cara yang tetap.
Bila temuduga pekerja baru, soalan yang ditanya akan ikut mood anda hari itu.
Saya juga hadapi masalah yang sama bila berniaga dan mula nak ambil pekerja. Tak pasti apa soalan yang terbaik nak tanya orang yang datang temuduga tu.
Kriteria utama pilih pekerja
Sebelum saya kongsikan pasal 5 soalan yang anda perlu tanya dalam temuduga, elok dikongsikan terlebih dahulu apa perkara utama yang perlu anda lihat dalam proses pengambilan pekerja.
Ada 2 perkara utama sahaja.
- Kemahiran – Perlu pastikan orang yang nak diambil ada skill yang diperlukan untuk dia jalankan kerjanya atau tidak. Kemahiran bergantung kepada jenis kerja yang dia minta.
- Sikap – Sikap yang sesuai penting untuk pastikan orang yang masuk kerja dalam syarikat anda dapat sesuaikan diri dengan cara syarikat anda menjalankan bisnes. Biasanya kita panggil budaya syarikat.
Dari 2 perkara utama kat atas tu, sebagai usahawan, anda wajib tahu secara terperinci dan jelas senarai semua kemahiran dan sikap yang sesuai untuk mereka yang nak kerja dalam syarikat anda.
Ramai usahawan rasa dia sangat jelas pekerja macam mana yang dia nak. Tapi bila disuruh berikan senarainya dan minta dijelaskan satu persatu, ramai yang jem.
Rupanya ramai yang rasa dia tahu tapi sebenarnya tak pasti. Saya juga macam tu sebelum ini.
Untuk selesaikan masalah ini, cuba buat senarai kemahiran yang anda perlu berdasarkan jabatan yang ada dalam syarikat anda. Dan buat juga senarai sikap macam mana yang anda nak ada dalam diri setiap orang pekerja di syarikat anda.
Kalau dapat sediakan semua itu, memang anda dah jelas.
5 soalan wajib dalam temuduga
Sekarang saya kongsikan 5 soalan yang anda perlu tanya dalam setiap temuduga untuk ambil pekerja baru. Terus saja lihat senarainya di bawah.
#1. Tanya pasal syarikat anda
Sekarang setiap pekerja yang datang, saya akan tanya soalan penting ini.
“Apa yang anda tahu pasal syarikat ini?”
Kalau dia jawab tak tahu apa-apa. Malah syarikat saya buat bisnes apapun dia tak tahu. Saya akan pantaskan terus temuduga untuk ditamatkan dengan segera.
Saya akan berikan nasihat dengan baik agar dia ubah sikap selepas ini untuk luangkan masa, ambil inisiatif sikit untuk cari maklumat berkenaan syarikat yang dia nak minta kerja.
Memang ada orang yang jelaskan pada saya dia tak pentingkan sangat pasal syarikat. Dia hanya nakkan kerja untuk cari makan.
Bagus ada sikap nak cari makan tu. Saya pun tak kata salah dengan sikap dia yang tak peduli syarikat apa dia nak mohon kerja. Dia tak nak peduli itu hak dia.
Tapi saya sangat ambil peduli tentang setiap pekerja yang nak jadi rakan kerja saya. Yang saya harapkan akan kekal selama mungkin membesar dan membangun bersama syarikat saya susah atau senang.
Saya nak lahirkan sebuah keluarga atas ikatan satu syarikat yang sama.
Kalau dia rasa syarikat tak penting, elok pergilah cari syarikat lain yang memang tak pentingkan pekerjapun. Memang ada saja syarikat yang macam tu. Syarikat yang anggap setiap pekerja adalah hamba yang dibayar untuk diperah kerja sekuat mungkin.
Alasan tak tahu sebab syarikat saya tak popular tak boleh diterima.
Ini zaman teknologi maklumat. Hanya orang yang sangat malas dan lengai saja yang tak tahu mana nak cari maklumat. Anda akan berjaya juga jumpa maklumat syarikat yang ada di dalam negara ini. Apatah lagi syarikat sendirian berhad.
#2. Soalan untuk tengok perangai
Macam yang saya sebut kat atas tadi. Perangai adalah perkara penting untuk anda cuba selidik. Adakah orang yang minta kerja itu ada perangai yang dah anda senaraikan kat atas tadi.
Ada satu artikel yang saya baca kata. Separuh atau 50% daripada soalan temuduga perlu fokus kepada soalan-soalan nak tahu perangai ni.
Katakan anda nak ambil pekerja customer servis atau yang berkaitan dengannya. Anda nak tahu dia punya sikap sabar dalam uruskan pelanggan.
Boleh cuba tanya soalan seperti, “Cuba kongsikan pengalaman paling teruk anda hadapi ketika berhadapan dengan pelanggan tak puas hati?”
“Dan macam mana anda selesaikan masalah tersebut?”
Jika anda perlukan pekerja yang datang kerja awal, soalan yang berkaitan denga bangun awal perlu ditanya.
Contohnya, soalan seperti , “Selalu tidur pukul berapa?” atau “Selalunya bangun tidur pukul berapa?”.
Atau, “Pukul berapa yang anda anggap sangat awal pagi untuk waktu masuk dan mulakan kerja?”. Kalau dia kata pukul 9 adalah sangat awal, anda tahulah macam mana dia ukuran tentang awal tu.
Jika anda tahu perangai macam mana anda nak, mudahlah nak rangka soalan yang sesuai.
Jangan lah tanya soalan yang terlalu bendul. Contohnya nak tanya samada dia sabar atau tidak anda tanya, “Adakah anda seorang yang penyabar?”. Mike Tyson pun akan jawab “Ya!”.
#3. Tanya pasal boss lama
Ini satu lagi soalan penting yang anda perlu tanya. Suruh dia ceritakan pasal boss lama dia. Kekuatan dan kelemahan boss lama yang dia nampak.
Kemudian cuba tanya apa agaknya yang boss lama dia tu akan ceritakan jika anda telefon dan tanya boss lama dia tu tentang dia ketika kerja sebelum ini.
Dari jawapan yang dia berikan, anda boleh lihat dengan jelas macam mana dia menilai dirinya sendiri dari kacamata orang lain, terutamanya boss yang dia pernah kerja sebelum ini.
#4. Apa dia isi dengan masa lapangnya
Soalan ni nampak macam geli. Tapi sebenarnya sangat besar kegunaannya. Ia bakal menjawab samada calon yang anda sedang temuduga itu seiring dengan budaya syarikat yang mahu anda terapkan.
Kalau dia jawab, bersama keluarga. Itu tandanya dia punya pegangan kuat dalam amalan menjaga perhubungan dan kekuatan keluarga.
Mungkin dia akan jawab, pikat burung. Itu tandanya dia jenis suka layan hobi yang perlukan tahap kesabaran yang tinggi untuk menunggu hasil. Tekun punya sikap tu.
Kalau dia kata main tenis atau badminton. Itu tandanya dia ada ciri suka bersaing. Jadi salesman bagus tu.
Bila dia kata suka mengembara. Tandanya dia seorang yang gemarkan cabaran dan mencuba pengalaman baru.
Orang yang suka habiskan masa lapang dengan membaca sudah tentu punya sikap ingin membina diri dan menjadi lebih bagus dari masa ke masa.
Bagi orang yang kata dia bersenam angkat besi atau pergi gym pula adalah orang yang pentingkan kesihatan diri dan penampilan diri.
Anda boleh cuba tafsirkan sendiri dengan apa saja jawapan yang dia berikan. Kalau nak lebih faham lagi, tanya dengan lebih mendalam. Kenapa dia suka habiskan masa dengan aktiviti itu dan lain-lain lagi seumpamanya.
#5. Adakah anda selalu bernasib baik
Ini salan yang saya baru jumpa yang saya rasa agak menarik. Anda boleh lihat apa yang dia jawab dan boleh baca perangainya macam mana.
Orang yang merasakan dia sentiasa bernasib baik biasanya ada satu sikap yang berbeza berbanding orang lain.
Bukan sebab nasib baik tu.
Tapi lebih kepada apa tindakan yang dia buat sebaik saja melihat peluang muncul di depan mata.
Orang yang boleh pergi jauh dan berjaya adalah jenis yang sentiasa buka mata melihat peluang dan mempergunakan peluang tersebut semaksimum mungkin.
Bagi orang yang anggap dia sentiasa tidak bernasib baik pula bukanlah sebab dia sentiasa malang. Tetapi kebiasannya dia jenis tidak mencari peluang dan tidak konsisten berusaha terhadap sesuatu.
Bila peluang datang terbuka, dia tidak bersungguh-sungguh menggunakan peluang tersebut pula.
Anda sendiri tentu boleh perasan macam mana sikap orang yang dipanggil dan ditawarkan jawatan naik pangkat atau pindah ke tugasan lain yang lebih mencabar.
Bagi orang yang tak cemerlang, dia akan cuba menolak apa saja tawaran atau peluang sedemikian. Alasan biasa orang berikan adalah tak bersedia, tak layak dan macam-macam lagi.
Saya macam tulah satu ketika dahulu. Sekarang pun masih ada sikit lagi perangai macam tu.
Sepanjang yang saya ingat. Bila saya buang sikap menolak dan mula rebut tawaran yang diberikan dan gunakan semaksimum mungkin, kehidupan jadi sangat berubah dan lebih baik.
Saya yakin, bagi orang yang cemerlang, dia akan terus saja merebut tawaran dan menggunakan kesempatan itu sebaik mungkin.
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !