Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

10 October 2023

Panjang umur saja tak cukup jika kesihatan mental dan fizikal rosak teruk

  Ano Nyme       10 October 2023


Setiap kali kawan-kawan sampai tarikh kelahirannya setiap tahun, saya akan mesej ..

Selamat hari lahir! moga dipanjangkan umur, sehat tubuh badan dan sentiasa dimurahkan rezki.

Doakan kepada orang yang kita ambil peduli agar dipanjangkan umur dah jadi perkara biasa sampai ucapan itu sekadar keluar dari mulut tanpa ada refleksi yang lebih mendalam.

Semenjak dua menjak ini, bab panjang umur mula berlegar dalam fikiran saya. Pertamanya, berbaloikah punya umur yang panjang?

Soalan itu muncul bila dah masuk umur lima puluhan, diri sendiri dah masuk peringkat ayah dan ramai juga kawan-kawan yang dah masuk peringkat nenek. Para ibu dan bapa pula dah masuk ke peringkat yang lanjut usianya jika masih panjang umur.

Ertinya zaman ini, anda dah banyak bertemu urusan menghadapi cabaran menjaga warga tua yang ada bermacam-macam keadaan. Umur mereka yang panjang yang melebihi 80 tahun datang dengan berbagai pakej.

Melebihi 80 tahun & masih hidup

Orang tua yang panjang umur ada beberapa keadaan seperti berikut.

1. Sihat mental dan fizikal - Agak jarang untuk temui keadaan orang tua, baik emak baik ayah, yang berada dalam keadaan sebegini. Contoh paling baik yang rakyat Malaysia boleh lihat adalah Tun Mahathir dan Tun Siti Hasmah.

2. Sihat fizikal sakit mental - Ini adalah keadaan yang sering saya temui. Tubuh badan orang tua masih sihat, boleh bergerak ke sana sini, masih lalu makan dan banyak cakap, tapi menghidapi masalah Dementia atau Nyanyuk.

3. Sihat mental sakit fizikal - Ini juga kerap saya temui. Otaknya masih tajam, ingat semua perkara dan punya fikiran yang masih logik dan bijaksana. Mata masih terang, boleh baca Quran dan baca buku. Tapi fizikal nya pulak tidak kuat, selalunya lutut sakit tak boleh jalan. Lebih banyak terbaring atas katil.

4. Sakit mental dan sakit fizikal - Ini juga ada terdapat dalam masyarakat kita. Paling ramai ada di pusat jagaan orang tua. Anak-anak tak tahan dan tak mampu menjaganya sendiri dengan berbagai alasan yang subjektif untuk diterima atau tidak. Termasuk lah orang tua yang koma, terlantar atas katil tapi masih ada nyawa.

Dalam semua kategori di atas, dah tentu panjang umur yang perlu diminta dari Tuhan adalah yang pertama sekali di atas. Panjang umur dalam keadaan masih sihat kedua-duanya samada fizikal atau mental. Macam Tun Mahathir dan Tun Siti Hasmah.

Keadaan demikian memberikan kebaikan kepada anak-anak yang tak perlu bersusah payah menjaga kedua orang tuanya, malah masih bergantung kepimpinan, tunjuk ajar dan nasihat dari mereka yang sangat banyak pengalaman hidup dan berfikiran luas.

Malah paling penting, memberikan kebaikan kepada orang tua itu sendiri yang masih ada kesempatan untuk berbakti kepada sanak saudara dan masyarakat. Apa lagi yang seorang hamba mahukan selain dari dapat mengabdikan dirinya kepada Tuhan dalam tempoh masa yang sangat panjang!

Di uji dengan ketuaan

Selain dari kategori pertama di atas, semuanya adalah satu cabaran. Baik kepada tuan punya badan, mahupun kepada anak-anak.

Yang paling mencabar untuk anak-anak bagi saya adalah dalam kategori ke-2 di atas. Di mana orang tuanya masih sihat fizikal tapi sakit mental. Anda akan berhadapan dengan banyak cabaran menjaga orang tua yang masuk dalam kategori itu.

Sakit mentalnya ada yang sangat teruk dan ada juga yang separa teruk bergantung kepada level dementia yang dihidapi. Tapi keadaan mental itu akan beransur jadi lebih teruk dari hari ke hari selagi umurnya masih panjang.

Dalam keadaan itu anak-anak akan teruji dengan hebat sekali terutamanya bila anda masih tidak dapat sesuaikan persepsi anda menerima hakikat bahawa orang tua itu sudah bukan lagi orang tua yang anda kenal ketika sihat dulu.

Jika orang tua itu penyabar ketika normalnya, maka sikap itu akan kekal di bawa sekalipun keadaan mentalnya rosak. Paling tercabar adalah jika orang tua anda masa normalnya panas baran, degil dan sangat mudah terasa. Kalau normal masih boleh dibawa bincang, tapi bila mental dah tak normal, perbincangan adalah sia-sia saja. Anda terpaksa banyak bersabar dan banyak mendiamkan diri dalam menunaikan tanggung jawab membela mereka.

Sikap buruk makan diri

Satu kategori yang banyak menguji orang tua yang panjang umur adalah bila fizikalnya tidak sihat tetapi mentalnya masih baik. Ditambah dengan keadaan dirinya ketika normal dulu panas baran, tak penyabar, degil dan kuat merajuk.

Masa muda dan sihat, merajuk anda boleh bangun buat semua urusan sendiri tanpa bantuan orang lain terutamanya anak-anak. Masa sihat juga anda boleh gunakan sikap baran untuk takutkan anak dan orang ,ain dengar cakap atau arahan anda. Tapi bila semua baran itu masih ada dalam keadaan fizikal anda yang sakit lemah dan tidak berupaya, baran hanya makan diri.

Jeritlah, tengkinglah, anda hanya mengundang lebih banyak masalah bila semua orang tahu yang anda boleh tengking menjerit sahaja tapi masih tetap bergantung kepada orang ;ain untuk semua urusan. Hanya kesabaran diri sahaja yang dapat legakan keadaan jiwa anda yang sentiasa memberontak tidak tahan terhadap apa yang berlaku pada diri sendiri.

Bagi anak-anak pula, masa ini adalah ujian samada pahala atau dosa yang akan anda kumpulkan bawa ke esok hari. Masa ini juga adalah satu ujian samada anda benar-benar mengabdikan diri hanya pada Tuhan atau anda hanya sekadar mengaku di mulut saja tanpa benar-benar mempercayainya.

Bagi yang dapat melihat semua itu, tentu sedar bahawa pendek umur ketika anda masih sihat, sedang giat mengabdikan diri kepada Tuhan, banyak buat kebaikan kepada manusia lain, boleh dianggap sebagai satu rahmat sebenarnya.

Apa yang paling penting adalah bagaimana anda menjalani kehidupan ketika masih sihat dan waras. Bukan bagaimana anda menemui ketuaan dan seterusnya kematian. Doakan agar kita panjang umur dalam keadaan sihat mental dan fizikal dan menjalani hidup yang penuh dengan kebaikan.

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Panjang umur saja tak cukup jika kesihatan mental dan fizikal rosak teruk

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !