Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

01 November 2023

Buang Ego! Selagi anda tak mahu jadi anak murid, tak ada guru yang akan muncul

  Ano Nyme       01 November 2023


“Bila anak murid bersedia, cikgu pun muncul”

Pernah dengar ayat macam tu?

Kalau pertama saya dengar ayat tu dalam Bahasa Inggeris berbunyi begini.

“When the student is ready the master will appear.”

Dari google saya dapat tahu ayat tu dikatakan berasal dari Lao Tzu.

Ayat penuhnya berbunyi begini.

 “When the student is ready the teacher will appear. When the student is truly ready… The teacher will Disappear.”

Ada juga yang berpendapat itu merupakan ajaran dari Gautama Buddha.

Walau dari manapun datangnya ia, saya rasa ayat itu amat menarik. Elok untuk cuba selami apa maknanya dan imbas kembali perjalanan hidup anda selama ini ketika menjadi anak murid dan mungkin juga pernah menjadi cikgu.

Anak murid bersedia jadi cikgu

Ini merupakan salah satu cara nak faham maksud ayat tersebut.

Saya pun sebelum ini tak nampak tafsiran dalam bentuk ini. Tapi kebetulan bila buat carian untuk mendalami maksudnya, terjumpa pula tafsiran ni.

Bila anak murid dah belajar, mendalami segala ilmu dari gurunya. Sehingga satu masa, satu tahap, dia telah berjaya menguasai ilmu tersebut. Maka ketika itu, muncullah pula seorang guru baru.

Ertinya anak murid tu dah naik darjatnya ke atas menjadi seorang guru pula.

Sebab itu ayat tersebut berbunyi, 'bila anak murid bersedia, cikgu pun muncul'.

Anak murid itu, dialah yang jadi cikgu tu sebab dah pandai dan bersedia untuk ambil peranan jadi cikgu.

Cikgu muncul bila anak murid bersedia

Cikgu hanya akan muncul apabila anak murid bersedia merupakan satu lagi fahaman yang biasa orang pegang yang sama dengan apa yang saya tangkap kali pertama membacanya.

Kebetulan saya sendiri ada pengalaman cuba untuk menjadi cikgu. Cuba untuk kongsikan sedikit ilmu yang ada kepada kawan-kawan yang berniaga.

Bila dah cuba, baru nampak sangat benarnya ayat itu.

Datanglah cikgu sehebat tara manapun nak cuba mengajar. Kalau anak murid kat depan tu tak bersedia nak jadi anak murid, tak bersedia nak belajar, rasa dah sangat bijak dan tak perlu diajar, sia-sia sajalah kehadiran cikgu tu.

Buang masa dan merosakkan jiwa sahaja.

Terutamanya jiwa cikgu yang sanggup bersengkang mata, sediakan segala bahan dan luangkan masa bercakap dan cuba memahamkan. Tapi anak murid tak pandang pun, malah anggap semuanya buang masa dan membosankan.

Anak murid hanya tunggu masa cikgu berhenti sebentar untuk dia cabar dengan pertanyaan yang dianggapnya sukar. Soalan yang kadangkala sangat dangkal dan bebal.

Macam sebutan Lao Tzu kat atas tu.

Bila anak murid dah betul-betul rasa dirinya bersedia, cikgu pun terus hilang. Walaupun cikgu secara fizikal masih terpacak kat depan tu, tapi martabat dan kegunaannya dah hilang. Sebab anak murid rasa dah pandai dan tak mau diajar lagi.

Bersedia jadi anak murid

Dari pengalaman saya sendiri yang dilalui terutamanya ketika waktu awal nak berniaga dahulu. Kalau benar-benar nak belajar, anda hanya perlu bersedia untuk menjadi anak murid sahaja.

Bila dah bersedia, tak payah tunggu lama. Cikgu akan muncul dari segenap sudut. Bukan macam cerita donggeng di mana muncul Tok Sheikh dari udara berkepul-kepul datang ajar ayat pengasih atau ayat kebal tak lut senjata. Tapi memang muncul kawan atau kenalan dan semua orang yang anda jumpa akan berubah bertukar menjadi guru anda. Ada saja perkara yang anda serap dan ambil pelajaran.

Masa mula beriaga dulu, saya memang sangat kosong pengetahuan. Memang saya sungguh-sungguh terasa macam tu. Rasa satu bebanan jiwa yang kuat mencari jawapan terhadap soalan berat masa tu.

“Macam mana nak berniaga?”

Apa yang perlu saya buat untuk mula berniaga.

Saya benar-benar cari jawapan bagaimana nak berniaga dengan betul. Maksudnya dapat menjana pendapatan dan dapat menampung hidup untuk diri sendiri serta semua tanggungan yang ada. Supaya tidak menyusahkan orang, malah memudahkan kehidupan orang. Biarlah diri sendiri bersusah-susahan. Asalkan banyak orang mendapat manfaat dari usaha yang dijalankan dalam perniagaan itu.

Bila ada pertanyaan secara ikhlas muncul dari dalam sudut hati yang paling dalam, maka itu tandanya sudah muncul anak murid dalam diri anda sendiri.

Tak tunggu lama, muncullah guru yang sudi memberikan pengajaran. Tak jemu memberi tunjuk ajar tanpa minta dibayar. Ramai yang muncul ketika itu.

Saya ucapkan terima kasih pada seorang kawan senior Zolkifly Mat Lazim namanya. Seorang Taukeh Hospital. Dia antara kawan-kawan awal yang banyak ajar saya tentang dunia bisnes.

Mungkin dia pun tak sedar yang dia jadi guru saya. Tapi saya sedar banyak benda yang sudah dipelajari dari dia. Masa mula-mula nak berniaga dulu, dialah yang banyak ajar saya. Dari dia saya jumpa lebih ramai lagi usahawan lain.

Kalau nak senaraikan terlalu banyak.

Seribu satu macam ilmu saya belajar dari mereka. Samada saya ikut atau tak ikut itu perkara lain. Tapi semua maklumat dan pengajaran itu membuatkan saya rasa mula faham sedikit demi sedikit. Mula membuatkan saya lebih yakin untuk membuat keputusan dan pergerakan dalam menjalankan bisnes sendiri. Sehinggalah sampai ke saat ini.

Rasa sukar untuk dapatkan guru

Sekarang, saya rasa sangat gundah gulana.

Gundah sebab memikirkan perlunya seorang guru yang saya boleh belajar, bagaimana nak keluar dari cengkaman atau belenggu statik di tahap yang saya tengah alami sekarang. Dah banyak tahun jadi macam tu.

Apa yang berlaku sekarang, bila duduk berjumpa dengan orang, sayalah yang banyak bercakap. Sayalah yang akan banyak berikan pandangan. Sebab kalau saya tak cakap maka tak akan wujud perbualan.

Bila selalu jadi macam tu, saya mula rasa bosan. Saya mula rasa takut kalau-kalau saya selama ini hanya perasan pandai, sedangkan orang tak hargai langsung apa pandangan saya. Mereka angguk sekadar nak ambil hati saja.

Itu tak pa lagi.

Paling risau adalah tahap statik yang ada sekarang. Rasa macam dah beberapa tahun tak bergerak naik. Itu lebih merisaukan. Saya ternanti-nanti munculnya seorang guru. Untuk itu saya perlu banyak mendengar dari banyak bercakap.

Bila saya cuba diamkan diri, biasanya tak akan jadi juga.

Apa masalah saya?

Kenapa guru tak mucul-muncul?

Sekarang baru saya sedar dan dah jumpa jawapannya. Kalau anda juga sedang alamai masalah yang sama. Saya nak kongsikan jawapannya kat sini hari ini.

Perlu bersedia jadi anak murid

Guru tak akan muncul selagi anda sendiri tak bersedia nak jadi anak murid. Tak ada pertanyaan yang ikhlas yang anda ingin tahu datang dari sudut hati anda yang paling dalam.

Ya saya tahu!. Memang semua orang ada pertanyaan.

Tapi tak berapa nak ikhlas lagi apabila, sebaik saja orang jawab soalan tu, anda bantah dan mencabar untuk menolak jawapan yang diberikan. Bukannya nak hadam dan cuba merungkai dengan lebih banyak lagi pertanyaan untuk mendalaminya.

Itulah yang sebenarnya berlaku pada diri saya selama ini.

Dalam bahasa kasarnya, saya dah mula jadi perasan pandai.

Nak tolak nak bantah semua pendapat orang. Kononnya pendapat saya lebih baik dan lebih matang. Tahap gurulah katakan. Itulah perasan yang membuatkan anda tak akan jadi anak murid.

Maka sampai bilapun guru tak akan muncul.

Eloklah saya dah sedar diri. Saya doakan hati ini segera menjadi rendah. Moga hati lebih tertunduk. Hilanglah perasaan perasan. Dan semoga menjadi kecil ego yang dah naik tocang tu.

Ya Allah, jadikah aku seorang anak murid yang dahagakan jawapan tentang kehidupan ini! Amin.

Saya harap anda yang membaca juga dapat manfaat dari artikel ini. Bersedia untuk menjadi anak murid. Insyaalah, guru akan muncul nanti.

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Buang Ego! Selagi anda tak mahu jadi anak murid, tak ada guru yang akan muncul

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !